SABAR! MARILAH KITA PAKAT-PAKAT SABAR

>> Wednesday, May 29, 2019







SABAR,
MARILAH KITA PAKAT-PAKAT BERSABAR



SABAR sepatah perkataan yang terlalu gampang untuk diucapkan tapi sukar untuk dilaksanakan. Ungkapan sabar yang melucnur dari mulut, tidak memberi sebarang faedah jika tidak disusuli dengan amalan.


Di samping itu sabar itu pula berada dalam skop yang amat luas, melingkungi segenap penjuru kehidupan kita sehingga kita sampai ke liang lahad.

Sabar. Sabar. Dan sabar.

Kita manusia membutuhi kesabaran dalam melakukan amal kebajikan, dan juga bersabar dalam tidak melakukan kejahatan atau maksiat atau larangan Allah.

Kita tidak dapat beramal dengan sewajarnya jika kita tidak menyertainya dengan sabar. Banyak perkara yang sentiasa menunggu untuk mencegah kita dari berbuat amal dan juga kebajikan.

Dalam menjalani kehidupan di dunia yang pana ini banyak menuntut kita supaya bersabar. Di rumahtangga, di tempat kerja, dan di mana-mana sahaja kita sentiasa dituntut supaya bersabar.

Dalam kehidupan di rumahtangga kesabaran amatlah diperlukan menjadi benteng untuk menjaga keamanan dan ketenteraman. Suami dan isteri walaupun melangit cinta antara keduanya, tapi tidaklah menjamin mereka bersetuju dalam semua perkara. Kadang-kadang suami kata A tapi isteri kata B. Itu adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga tapi dapat deiselesailan dengan gampang jika disiram dengan air kesabaran.
Tanpa kesabaranlah salah satu sebab  angka-angka perceraian amat tinggi dalam masyarakat kita hari ini.

Demikian juga dengan anak-anak. Mereka mempunyai problemnya yang tersendiri yang boleh memeningkan kepala ibu bapa. Ada anak-anak yang tidak mendengar kata, degil, tak makan nasihat, berkawan dengan teman-teman yang jahat, malah ada yang mencapai taraf durhaka.

Dalam perkara ini ada pula anak-anak yang malas belajar, malas mengaji al-Quran, malas solat, asyik bermain, asyik menonton tv, main alat-alat hiburan yang hanya terletak di hujung jari  dan sebagainya. Semua ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran untuk menyelesaikannya dengan baik.

Di samping itu ada pula pula ibu bapa yang mendapat ujian yang berat, iaitu dikurniakan anak OKU yang memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menjaga dan mendidiknya. Insya Allah dengan banyak bersabar, Allah akan mengurniakan pahala besar kepada ibubapa-ibubapa tersebut kerana redha dengan kurniaan Nya.

Hubungan kekeluargaana juga tidak selama-lamanya aman dan lancar. Kadang-kadang ada ketempangan di sana ini di selubungi oleh berbagai-bagai fitnah. Kita mungkin disingkir atau dipulau oleh keluarga kerana sebab-sebab yang tidak dapat kita duga Kita hendaklah perbanyakkan sabar untuk menghadapinya, sambil mengangkat doa supaya Allah menyelamatkan kita dan keluarga.

Namun begitu, periksalah diri kita sendiri terlebih dahulu, bagaiana sikap kita terhadap keluarga, apakah yang telah kita lakukan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia? Tegasnya cubalah perbaiki diri kita terlebih dahulu sebelum menuduh dan melemparkan kesalahan ke atas  orang lain.

Sihat dan sakit adalah dua perkara yang tidak dapat dicerai-beraikan daripada kehidupan manusia. Dan sakit itu pula ada bermacam-macam jenisnya, ada yang ringan dan ada yang berat, ada yang dapat sembuh dan ada pula yang terpaksa ditanggung di sepanjang hayat, seperti penyakit jantung dan penyakit lumpuh.

Walau apapun jenisnya penyakit itu, baik yang sekejap atau yang berpanjangan, kesabaran amatlah perlu untuk menanggungnya. Lagipun keluh-kesah dan kesalan tidak akan mengubah keadaan atau menyembuhkan penyakit, malah tidak mendapat rahmat dari Allah yang telah menguji sejauh mana kesabaran kita sebagai hamba Nya.

Kehilangan orang yang dikasihi memanglah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kerana setiap yang hidup mesti mati. Kalau usia kita panjang, kita mungkin akan kehilangan ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara mara, keluarga dan sahabat handai yang pergi mendului kita. Itulah ketentuan Allah, Qada’ dan Qadar yang tidak dapat dimungkiri. Semuanya mesti kita hadapai dengan hati yang cekal dan kesabaran yang tinggi supaya kita tidak hanyut oleh keluh kesah dan kesalan yang berpanjanngan yang tidak memberi sebarang manfaat.

Di tempat kerja, apa-apa kerja sekalipun, semuanya membutuhkan kesabaran. Sebab rakan-rakan sekerja itu adalah mansia biasa seperti kita juga yang mempunyai sikap dan tingkah laku yang tidak dapat kita duga dan berbeza-beza.

Ada yang baik, ramah mesra dan suka membantu, tapi sebaliknya ada pula yang suka mengumpat, mencela, mencari kesalahan orang, mengadu domba dan suka mengancum atau mengadu kepada pihak atasan.

Di samping itu bos kita juga mnusia yang mempunyai keperibadiannya yang tersendiri, yang mungkin wajar dan mungkin  tidakwajar.

Semuanya ini menutut kita bersabar dalam menjalani kehidupan di pejabat di mana sebahagian besar daripada masa hidup kita, kita dihabiskan.

Sabar di jalan raya amatlah penting, kerana mungkin boleh mengelak berbagai-bagai kemusnahan daripada menimpa kita dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Memandu dengan laju melebihi had, memotong kenderaan di kawasan yang tidak dibenar, memandu dilorong yang menyongsang arus, bergurau senda ketika memandu, mengguna telefon, dan sebagainya adalah merupakan manifestasi tidak sabar yang telah menguasai jiwa seseorang. Ketikasabaran inilah biasanya berjaya meragut begitu banyak nyawa di jalan raya.

Di pasar-pasar raya atau di tempat-tempat membeli-belah dan seumpamanya memerlukan kesasbaran untuk selamat. Tanpa kesabaran seseorang boleh melanggar peraturan yang telah ditetapkan untuk mempastikan semua berjalan lancar dan tidak mencetuskan sebarang masalah. Memotong barisan di tempat pembayaran umpamanya boleh menganggu ketenteraman awam di pasar raya tersebut.

Hidup berjiran tetangga juga mesti mempunyai banyak kesabaran, terutama di rumah-rumah pangsa atau rumah berkembar dan sebagainya. Elakkanlah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu jiran, dan bersabarlah jika kita diganggu oleh jiran untuk mengelak daripada berlaku kekeceohan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang keperluan kita menghormati jiran tentangga. Antara lain Baginda SAW bersabda:

-“Sesiapa beriman kepada Allah dan percaya adanya Hari Akhirat  maka  hendaklah dia memuliakan jirannya”

Dan sabdanya lagi,

-“Hendaklah kamu berbuat baik terhadap dua ibu bapa, terhadap kaum kerabat, terhadap anak-anak yatim, jiran yang dekat dan jiran yang jauh”.

Pendeknya kesabaran itu diperlukan dalam semua stiwasi selagi kita hidup di dunia ini, baik di utara atau di selatan, di timur atau di barat.

Hidup kita ini mesti mempunyai tali kekang.Dan tali kekang itu mesti untuh. Tali kekang itu adalah kesabaran.

Malah jiwa kita adalah tunggangan kita yang akan membawa kita ke mana  arah tujuan kita, ke syurga atau ke neraka. Dan tali kekangnya  adalah kesebaran. Tanpa tali kekang atau mempunyai tali kekang yang rapuh meletakkan anda dalam bahaya. Kerana tanpa tali kekang, tungganan anda akan berlari dan melompat ke sana ke mari sesuka hati,  dan akhirnya akan membawa anda melompat dan terjun ke dalam neraka jahanam, iaitu seburuk-buruk tempat tinggal.

Ingatlah syaitan sentiasa memasang jaring-jaringnya yang amat ampuh untuk memerangkap kita daripda melakukan kebaikan. Serentak itu juga  syaitan mnyudurkan berbagai-bagai keindahan dan kenikmatan kepada kita dalam melakukan kejahatan atau kemaksiatan.

Sabar adalah salah satu tonggak penting untuk dikasihi Allah. Sabar dalam erti katanya yang sebenar, dengan jiwa dan raga,  dalam semua sitiwasi yang mencabar. Hidup ini penuh dengan guggatan dan pancaroba  yang berusaha untuk meruntuhkan keimanan kita sebagai seorang hamba Allah.

Justeru itu Allah   memberi jaminan akan memberi ganjaran pahala yang amat besar kepada orang sabar.

Sehingga Allah mengajar hamba-hamba Nya supaya memanjatkan doa kepada Nya supaya dikurniakan dengan sifat kesabaran yang tidak ternilai harganya itu.
Firman Nya:

“Wahai Tuhan kami! Limpahlah kesabaran  kepada kami”. Al-Baqarah:250.

Dalam surah yang lain pula Allah berfirman:
“Dan bersabarlah engkau [Muhammad] bersama oraang-orang yang menyeru Tuhan nya  pagi dan senja dengan mengharap keredaan Nya”. Al-Kahf: 28.

Dan berwasiatlah Luqman kepada anaknya,

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah [manusia] mengerjakan yang makruf, cegahlah [mereka] dari perbuatan yang mungkar,dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting”.Luqman:17.

Demikianlah pentingnya kesabaran itu dalam menjalani kehdupan dunia yang penuh dengan ancaman dan pancaroba, yang selalu diiringi oleh bisikan-bisikan syaitan yang mempesonakan yang akan membinasakan tali kekang kesabaran itu.

Justeru sentiasalah kita berawas dan berwaspada darpada terputusnya tali kekang yang penting itu yang akan membawa kita ke lembah keji dan hina., tersisih dari jalan Allah yang suci dan mulia.

Hiduplah dengan saksama dan wajar sebagai hamba Allah dengan  memathui segala apa yang diperintah Nya dan menjauhi larangan Nya. Hidup di dunia ini hanya sementara tapi penuh dengan cabaran-cabaran yang pahit dan getir yang memerlukan kita mempunyai kesabaran yang tinggi untuk menghadapainya. Sabar itulah tali kekangnya. Justeru itu sentiasalah mengutuhkan tali kekang kesabaran kita baik di kala aman atau pancaroba, senang atau susah, di mana kesabaran dibutuhkan sepanjang masa.


SABAR! MARILAH KITA PAKAT-PAKAT SABAR!

Semoga kita dikurniakan rahmat Allah dari dunia hingga akhirat.




Kg. Kubang Siput, PT.KB, Kelantan

24 Ramadhan 1440
29 Mei 2019

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP