manusia-manusia bergelar dan keistimewaannya
>> Thursday, May 16, 2019
MANUSIA-MANUSIA BERGELAR DAN KEISTIMWWAANNYA
LUMRAHNYA setiap manusia yang
lahir diberikan nama-nama yang tertentu oleh ibu bapa mereka untuk mengenali
dan membezakan antara seseorang dengan seseorang dalam keluarga dan juga dalam
masyarakat dunia.
Ia merupakan kad pengenalan asli diri seseorang untuk dia dan orang lain mengenali diri dan anak siapa dia, kerana bapaknya juga mempunyai nama-nama yang tertentu.
Nama-nama itu akan menjadi lebih istimewa kemudian hari jika ianya digandingkan dengan gelaran-gelaran tertentu pula.
Ada beberapa tujuan gelaran-gelaran itu disangkutkan kepada nama seseorang yang menjadi amalan yang disukai oleh sesetengah masyarakat dan negara di dunia. Malaysia dan penduduknya adalah salah sebuah daripada negara itu.
Gelaran-gelaran itu diberikan kepada seseorang tokoh yang berjasa kepada negeri atau negara tersebut. Biasanya sejak kebelakangan ini tokoh-tokoh yang banyak dikurniakan gelaran ialah ahli-ahli politik, tokoh-tokoh perniagaan. Dan sejak kebelakangan ini para penghibur juga sering dikurniakan dengan gelaran.
Yang memberikan gelaran-gelaran itu ialah pihak berkuasa atau kerajaan sesebuah negeri dan juga negara. Kalau di peringkat negeri ia dikendalikan khusus oleh pihak istana diraja, dan disampaikan oleh sultan atau raja di negeri itu.
Sementara di peringkat pusat ia diuruskan oleh kerajaan pusat, tapi di sampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Yang Dippertuan Agong kepada penerimanya di hari-hari tertentu.
Gelaran di peringkat negeri
biasanya ialah datok, dan gelaran datok itu pula ada mempunyai berbagai-bagai
kategori. Sementara di peringkat pusat pula ada gelaran Tun dan Tan Sri.
Gelaran-gelaran ini adalah gelaran-gelaran yang istimewa dalam masyarakat, di mana kehadiran penerima gelaran itu di sesuatu tempat akan dihormati sebagai tetamu istimewa yang diberi layanan yang khusus.
Pengurniaan gelaran-gelaran itu boleh dan pernah ditarik balik oleh pengurnianya kerana sebab-sebab tertentu, seperti penerimanya terlibat dalam kes-kes mahkamah yang berkait dengan jenayah dan sebagainya. Raja-raja atau sultan-sultan yang mengurniakan pengurniaan itu boleh menarik balik pengurniaannya kerana sebab-sebab tersebut.
Gelaran Sendaan
Di samping gelaran-gelaran istimewa yang diminati ramai itu, ada lagi gelaran-gelaran yang tidak disukai yang dikurniakan secara langsung kepada seseorang yang juga mempunyai “keistimewan” yang tertentu.
Biasanya gelaran-gelaran ini dikurniakan oleh masyarakat atau orang ramai tempatan yang mengenali orang itu. Gelaran-gelaran ini biasanya diberikan kepada seseorang berdasarkan kepada sifat-sifat fizikal seseorang yang kurang atau tidak menyenangkan,
Gelaran-gelaran ini basanya merupakan gelaran untuk menghina atau mengejek ataupn untuk suka-suka kepada seseorang.
Ia telah berlaku lama dalam masyarakat, bermula dari masyarakat desa atau kampung lagi. Gelaran itu diberikan kadang-kadang ada juga bertujuan yang baik, iaitu sebagai pengenalan diri seseorang supaya mudah dicami, atau dikenali terutama ketika ada keperluan untuk mengenalinya seperti dicari orang.
Tapi pengurniaan gelaran untuk mengejek ini atau untuk dijadikan bahan sendaan atau lawak jenaka ini kian populer di kalangan masyakat di zaman internet ini. Ia boleh diihat dan di dengar di atas pentas, menerusi siaran radio atau tv dan juga menerusi akhbar-akhbar dan majallah-majallah.
Di kampung-kampung biasanya gelaraan diberikan kepada seseorang dengan bersumberkan kepada sesuatu sifat yang tidak sempurna atau jelik yang dimiliki oleh seseorang, seperti pendek, tinggi, botak, gemuk, kurus, pincang dan sebagainya.
Saya senaraikan sedikit gelaraan-gelaran yang diberikan kepada seseorang berdasarkan kejeliikan yang ada pada mereka.
-Muda Belacan- kerana orang suka menggaru atau menggaruk gatal, seperti beruk kena belacan
-Daud Besar- kerana tubuhnya yang besar daripada biasa.
-Minah Birat- kerana disudut sebelah mulutnya ada tanda birat.
-Mamat Butut- kerana bentuk kepalanya berbentuk butut atau bunjul sedikit di bahagian tengah dan atas kepalanya.
-Dolah kawah- kerana bentuk mulutnya luas atau suaranya deras atau kuat bia bercakap.
-Maryam Ketok – kerana tubuhnya terallu pendek.
Salamah Kewet- kerana
caranya berjalan tidak betul seperti lumrah, kerana kakinya lembek sebelah, dan
berjalan seperti itik.
-Hasmah Juling- kerana matanya juling.
-Ali Soyak- kerana suaranya deras bila bercakap.
-Kalsum Tonggek- krana buntutnya berbentuk tonggek, atau tinggi ke atas.
Selain daripada sifat-sifat fizikal itu ada juga gelaran-gelaran yang diberikan berdasarkan kebiasaan atau kegemaran seseorang. Antaranya:
-Hussin Pelandok- kerana dia seorang yang pandai menipu daya atau mengecek orang dengan kata-katanya.
Halim Sekarang -kerana dia seorang yang suka menggunakan perkataan sekarang dalam percakapannya.
Pak Teh Burung- kerana suka menangkap burung, tak kira siang atau malam.
Demikianlah sekadar contoh yang terlintas dalam kepala saya, dan saya percaya masih banyak lagi gelaran-gelaran yang sering dan akan digunakan untuk menggelarkan seseorang.
Gelaran-gelaran ini biasanya tidak akan ditanggalkan sehingga seseorang itu meninggal dunia dan gelaran tetap digunakan sebagai pengenalan diri mereka.
Walau bagaimanapun jangan asyik melemeparkan gelaran-gelaran terhadap orang lain sesuka hati; apakah kita merasa diri kita sudah cukup sempurna sebagai seorang hamba Allah?
Kalau gelaran yang diberikan kepada seseorang itu memang disukainya memanglah tidak menjadi masalah, tapi kalau gelaran itu tidak disukainya atau mencetuskan kemarahannya?
Ia akan bertukar menjadi problem kerana ia merupakan satu ejekan atau kejian yang menempah dosa.
Marilah kita hidup dalam sebuah masyarakat yang harmoni, aman damai berpelantarkan saling percaya dan mempercayai, serta hormat menghormati antara satu sama lain sebagaimana digariskan oleh Islam.
Allah berfirman, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum
memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan lebih baik dari mereka yang mengolok-olokkan...... Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk........”.Al-Hujurat: 11.
Nabi SAW juga bersabda maksudnya:
“Mncela seseorang Muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya adalah kekufuran”.
Justeru itu berhati-hatilah dalam menggelarkan seseorang, takut-takut menjadi fitnah yang merugikan diri kiita sendiri. Adakah kita merasa diri kita ini sentiasa lebih baik dan mulia dari orang lain?
Kg.Kubang Siput, KB.Kelantan.
11 Ramadhan 1440
16 Mei 2019
0 comments:
Post a Comment