Suka Mendedah Mengundang Bencana

>> Wednesday, March 14, 2012


Kenapa Suka Mendedah? Menempah Bencana.



Kenapa mendedah?



Kenapa suka mendedah?



Apa yang didedah?



Ada berbagai-bagai sebab orang mendedah dan suka mendedah; demikian juga ada berbagai-bagai perkara yang mereka dedahkan, dengan berbagai-bagai cara pula.



Pelakon muda, Melia Aimelia menjadi mangsa pendedahan klip video lucah.



Di samping mereka yang mendedah dan suka mendedah, ramai pula orang yang suka menikmati apa yang didedah dan suka didedahkan itu. Mereka suka melihat, mendengar dan menikmati apa yang terdedah itu.



Dan akhirnya pendedahan telah berjaya melahirkan indsutri istimewa yan bukan sahaja boleh memberi kepuasaan nafsu tapi juga menguntungkan pengusahanya.



Maka dengan itu banyaklah perkara yang terkoyak, tertanggal, dan semuanya menjadi terlondeh dan terdedah tanpa segan dan silu lagi.



Di antara objek-objek yang suka didedah ialah segala keburukan dan aib orang lain, dan di antara pendedahan yang disukai oleh orang ramai ialah yang berkait dengan seksual manusia.



Pendedahan itu mungkin berupakan cerita-cerita skandel manusia yang bergelar lelaki dan perempuan, ataupun berupa batang tubuh wanita yang selama ini tersembunyi di sebalik pakaian mereka, walaupun ada sebahagian daripada anggota badan itu seharusnya ditutup daripada pandangan awam, tapi sengaja didedah oleh tuan empunya badan sendiri untuk tuntunan ramai.



Pendedahan itu dibuat menerusi buku-buku, majalah-majalah, akhbar-akhbar, surat layang dan juga internet-blog, facebook dan sebagainya. Dan tentunya pendedahan seperti ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.



Dalam hal ini ada orang yang kerjanya suka mendedah, termasuklah mendedah tubuh badan wanita kepada umum, dan sudah tentu tanpa kebenaran empunya badan.



Foto-foto wanita yang sedang berbogel, dikamar tidur atau di bilik mandi dirakamkan dan kemudiannya disebarkan seluas-luasnya oleh orang-orang tertentu, dengan tujuan tertentu.



Ini sudah tentu boleh menimbulkan rasa aib dan malu, dan keresahan kepada mangsa yang normal yang didedahkan foto bogelnya itu.



Tujuan Mendedah



Apakah tujuannya yang sebenar di sebalik pendedahan seperti itu?



Tujuannya untuk mencari sensasi dan menambah peminat dari segala peringkat, tanpa mengira aib orang yang didedahkan itu.



Kerana mengejar sensasi dan populariti seperti ini ada sesetengah pengusahanya terlepas pandang, akan etika-etika moral, adab sopan malah juga ketentuan agamanya yang suci, asalkan mereka boleh mendedah. Lantak dan gasak shajalah.



Walau pun dalam pendedahan itu mengoyak-ngoyakkan aib orang bukanlah persoalan penting, kerana yang penting ialah kemampuan mendedah. Dedah dan dedah. Peha orang, buntut orang, buah dada orang, anu orang....semuanya menjadi mangsa pendedahan.



Adakah mereka yang suka mendedahkan aib orang itu lupakan diri mereka sendiri?



Bagaimana sekiranya, ibu mereka didedahkan orang sperti itu?



Bagaimana kalau isteri mereka didedahkan orang seperti itu?



Bagaimana kalau anak-anak perempuan mereka didedahkan orang seperti itu?



Bagaimana andainya kalau tunang-lanang mreka didedahkan orang seperti itu?



Bagaimana andainya batang tubuh mereka sendiri yang dijadikan hahan pendedahan orang?



Adakah mereka merelakannya? Menerimanya dengan senang hati.



Tanya dan tanyalah diri sendiri?.



Islam Melarang



Islam melarang keras kita mendedahkan aib orang, cacat cela orang, keburukan orang lain yang dianggap salah satu perbuatan berdosa, seperti juga dengan mengumpat.



Jika kita berbicara tentang keburukan orang atau mendedahkan aib orang kepada umum, kalau ianya benar maka itulah yang dikatakan MENGUMPAT, tapi kalau tidak benar atau bohong itu adalah fitnah.



Kedua-duanya berdosa dan akan diminta pertanggungwanjawab nanti di hadapan Allah Rabuljalil.



Mengumpat adalah suatu perilaku yang buruk yang kita lakukan terhadap sesama Islam, sesuatu yang tidak disukai atau menimbulkan kemarahannya bila dia mengetahui atau menyedari perkara yang hendak disembunyiknanya telah kita dedah atau sebarkan pada umum.



Perkara-perkara yang boleh mengaibkan seseorang itu memang banyak, termasuklah perkara-perkara aib yang boleh memalukannya, yang bersangkutan dengan agama dan juga badan fizikalnya, tentang famili, anak-pinak, tingkah laku, gerak geri, pakaian dan sebagainya.



Baginda Rasulullah SAW. bersabda,



“Nabi SAW. pernah ditanya mengenai [maksud] umpatan, maka sabda Baginda , “[Iaitu] bila kamu sebut saudaramu apa yang dia tidak sukai. Maka jika sesuatu [yang kamu sebutkan] itu benar ada padanya, maka sesungguhnya kamu telah melakukan pengumpatan [ghibah], dan jika sesuatu itu tidak ada padanya, maka sesungguhnya kamu telah melakukan kedustaan [buhtan] mengenai dia”.



Perbuatan mengumpat itu boleh dilahirkan menerusi lidah dalam bentuk kata-kata, isyarat dengan tangan, termasuklah segala macam tulisan dan gambar-gambar yang disebar untuk umum.



Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa mengumpat itu adalah salah satu dosa besar sebagaimana terdapat dalam firman Allah Taala:



“Janganlah kamu mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya”. Al-Hujurat: 12,



Dalam ayat di atas Allah SWT. dengan jelas mengibaratkan orang yang suka mengumpat itu sebagai memakan daging saudarnya sendiri yang telah mati. Ini menujukkan bagaimana hina dan, kejinya perbuatan mengumpat itu.



Tidakkah kita merasa bimbang pada suatu nanti, kesukaan kita mengumpat itu akan dibalas oleh Allah dengan mendedahkan pula segala malu dan aib kita, kalau tidak di dunia, tapi di akhirat nanti.



Anjing Dan Kucing


Ada sebuah kisah mengenai makhluk Allah yang kita kenali dengan panggilan kucing. Ketika bahtera yang dibina oleh Nabi Nuh as. siap sebagaimana diperintah oleh Allah SWT., maka ikut serta dalam rombongan menaiki bahtera itu ialah haiwan-haiwan secara berpasangan, seekor jantan dan seekor betina, dalam kumpulan itu tidak ketinggalan kucing dan anjing.



Nabi Nuh as. mengeluarkan perintah melarang keras setiap pasangan yang ada dalam bahtera itu melakukan hubungan kelamin, untuk mencegah mereka daripada melahirkan anak, yang akan menyebabkan bahtera itu menjadi penuh sesak nanti.



Tapi pasangan anjing tidak dapat menahan godaan nafsu seksnya, lalu mengingkari perintah Nabi Nuh as. itu, lalu keduanya mengawan.



Perbuatan pasangan anjing itu telah diketahui oleh si kucing yang mematuhi perintah Nabi Nuh as. maka kucing itu terus mengadap Nabi Nuh as. melaporkan perbuatan kedua ekor anjing itu.



Mendengar cerita tersebut, Nabi Nuh as. pun segera memanggil anjing itu, dan selepas memarahinya, lalu anjing itu dibebaskan.



Tapi kedua anjing itu mengulangi lagi perbuatan tersebut. Maka kucing pun datang lagi membuat laporan kepada Nabi Nuh as.



Berikut dengan laporan sang kucing itu, Nabi Nuh as. pun membuat pemeriksaan, dan sempat melihat perbuatan anjing tersebut, tapi tidak sempat mencegahnya kerana telah terlewat.



Kedua ekor anjing itu merasa amat malu bila mengetahui Nabi Nuh as. mengetahui dan melihat perbutan mereka yang sedang mengawan itu.



Maka berdoalah anjing kepada Tuhanya, supaya Tuhan menampakkan kepada semua makhluk ketika kucing sedang mengawan atau melakukan hubungan kelamin, sebagaimana kucing itu telah menampakkan malu mereka ketika sedang mengawan itu.



Doa anjing itu telah dikabulkan oleh Allah SWT.



Sampai hari ini, kita dapat mendengar buyi suara bising kucing mengerang dan memekek ketika mereka mengawan. Semua makhluk yang ada berhampiran akan mengetahuinya.



Demikianlah sebuah kisah yang patut dijadikan iktibar oleh kita semua.



Hukuman Di Akhirat



Di samping itu di akhirat nanti, kita yang mengumpat ini terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal terhadap mangsa umpatan kita, di mana amalan-amalan kita akan dirampas oleh Allah untuk dijadikan harga bayaran kepada mereka yang kita umpat itu.



Abu Umamah Al-Baahili berkata, “Sesungguhnya ada seorang hamba yang menerima kitabnya pada hari kiamat, maka dilihatnya kebaikan-kebaikan yang rasanya dia tidak pernah melakukannya. Maka dia pun berkata, “Wahai Tuhan! Dari manakah kebaikan yang aku terima ini?”, maka dijawab oleh Allah SWT.”Ini adalah amal dari orang yang mengumpat kamu, sedangkan kamu tidak merasanya”.



Justeru itu kita hendaklah sentiasa berwaspada supaya tidak melibatkan diri kita ke dalam perbuatan mengumpat yang hina itu. Ingatlah setiap orang Islam memiliki hak peribadi yang istimewa yang tidak boleh dicerobohi sesuka hati oleh orang-orang lain, lebih-lebih lagi seagama dengannya.



Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Hak setiap Muslim yang lain, haram darah, harta dan kerhormatannya”.



Apa yang boleh kita lakukan ialah memberi nasihat apabila kita dapati ada perkara-perkara yang kurang elok dilakukan oleh saudara-saudara kita, dan nasihat itu pun hendaklah disampaikan dengan lembut, mahabah dan kasih sayang, tegasnya dengan hikmah, supaya tidak berlaku perkara sebaliknya yang tidak diingini.



Ingatlah kepada sabda Rasulullah tentang bencana mengumpat, “Jauhilah oleh mu mengumpat orang [ghibah], kerana dalam mengumpat terdapat tiga bencana: pertama, tidak diperkenankan doanya, kedua tidak diterima kebaikan-kebaikannya, dan ketiga bertambah keburukan-keburukannya”.



Sahabat Jabir bin Abdullah Al-Anshori pula bercerita, “Pernah kami menyertai Nabi SAW., sekonyong-konyong kami tercium bau bangkai yang sangat busuk, maka Nabi SAW pun bersabda, “Tahukah kamu sekalian, bau apakah itu?”.



Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”. Maka bersabda Nabi SAW,, “Itu adalah bau dari mereka yang mengumpat orang lain sesama Mukmin”.



Adakah anda tidak takutkan semua hukuman bencana yang bakal menimpa itu, jika kita bergelar seorang pengumpat, penghina dan pembongkar keburukan dan keaiban orang lain?



Awas dan waspadalah!



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.


Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

1 comments:

Anonymous,  July 19, 2013 at 1:42 PM  

Kalau tak mau didedah, jangan mendedah. Ini mcm membela org yg suka tunjuk/ dedah paha, buah dada, anu n lain2.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP