BUDAYA KANAK-KANAK DI KAMPUNG SALOR

>> Wednesday, November 13, 2019





BUDAYA KANAK-KANAK DI KAMPUNG SALOR









SEBELUM ini saya telah mendedahkan permainan-permainan budaya penduduk-penduduk di sekitar Kampung Salor pada masa-masa yang lampau.Dan kali ini saya akan menyambung tulisan itu berkenaan dengan permainan kanak-kanak di waktu lapang di Kampung Salor dalam kira-kira masa yang sama


Permainan-permainan ini hidup subur di kalangan kanak-kanak  di sekitar peghujung tahun 1950an hingga  awal tahun 1970an. Selepas itu terutama sepanjang penghujung tahun 1970an dan seterusnya hingga sekarang tidak ada lagi kanak-kanak di Kampung Salor yang bermain dengan mana-mana permaianan-permaianan tersebut di masa-masa lapang mereka. Ia hanya ada di dalam kenanagan generasi lama belaka.


Ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku,dan salah satu daripada sebabnya ialah kerana sudah tidak ramai lagi bilangan kanak-kanak yang hampir sebaya usianya dalam satu-satu masa. Salah satu daripada sebabnya pula adalah akibat daripada perpindahan tempat tinggal generasi-generasi baru selepas tahun 1970an ke lain-lain tempat kerana memburu pekerjaan dan menetap di mana mereka bekerja hingga mereka berumahtangga dan melahirkan keturuan baru di tempat mereka tinggal.


Dan sebahagian besar dari mereka hanya pulang menetap di kampung untuk disemadikan di tanah perkuburan buat selama-lamanya.
Jenis-jenis permainan:

Sebab lain pula kerana kanak-kanak kebelakangan ini lebih gemar berlonggok di hadapan peti TV, atau bermain dengan handfon daripada bermain seperti kanak-kanak zaman lampau itu. 

Antara permainan-permianan itu yang masih saya ingat ialah:


Bedil Buloh:

Bedil buloh atau meriam buloh ialah sejenis permainan kanak-kanak lelaki. Saya pernah menulis mengenai permainan bedil buloh ini dalam Pondokrahmat di masa yang lalu.



Permainan ini permainan berkala, iatu menjelang Hari Raya Haji Puasa atau Hari Raya Haji. Sejenis permainan kanak-kanak lelaki.


Bedil buloh itu diperbuat daripada buloh sepanjang beberapa kaki yang diperlukan. Kemudian segala ruas atau bukunya ditanggalkan, kecuali di bahagian bawahnya untuk menampung pengisian  minyak atau bahan letupan yang lain. Di bahagian sebelah atas dekat dengan buku atau ruas yang tidak dibuang itu ditebuk sebuah lubang kecil untuk dicucuh api yang dinyalakan di hujung sebatang buluh yang kecil, panjangnya    kira-kira sekaki untuk mengeluarkan bunyi atau letupan pada  permukaan bedil yang terbuka yang diletak lebih tinggi daripada bahagian bawahnya yang disikan dengan bahan letupan itu

.
Pada nulanya kami menggunakan minyak gas atau minyak tanah sebagai bahan letupan, kemudian minyak tanah dicampur dengan minyak benzin [petrol] dan akhirnya menggunakan karbait [cobalt] yang lebih mudah cara pengunaannya.


Kian besar dan kian tebal buloh itu kian baik, kerana lebih kukuh.


Demikianlah secara ringkasnya penggunaan bedil buloh. Permaian ini hanya ditamatkan bila diharam oleh kerajaan selepas merdeka.


Congkak

Permainan congkak adalah dua orang, dan merupakan permainan kanak-kanak perempuan. Permainan ini merupakan permainan tradisional di kalangan orang-orang Melayu.


Pemain congkak menggunakan buah congkak dan alat congkak yang berlubang yang dipanggil papan congkak untuk mengisi buah-buah ongkak itu. Ia biasanya diperbuat dari kayu yang berat dan keras.


Justeru papan congkak ini sukar untuk diperolehi, maka kanak-kanak yang ingin bermain congkak terpakasa membuat papan  congkak dengan menggali lubang di atas  tanah yang agak keras. Lubang itu  sebanyak 14 buah, iaitu 7 buah sebelah, dan setiap hujung kiri dan kanannya dibuat lubang yang lebih besar yang  masing-masing dimiliki oleh para pemain untuk diisi dengan buah-buah congkak masing-masing.


Pada masa dulu buah congkak itu dipilih dari anak-batu sungai yang kecil, bulat  dan licin, tapi akhir-akhirnya ditukar dengan buah-guli kaca yang kecil yang dijual di pasar.


Setiap lubang itu dimasukkan dengan 7 biji buah congkak, yang akan dipindahkan sebiji demi ke dalam lubang-lubang berikutnya dan pemaini dapat mengambilnya kiranya buah terakhir yang dibawanya itu terkena pada lubang itu berisi buah congkak, tapi jika lubang itu kosong tidak ada buah di dalamnya  ia dikira kalah dan terpakasa menyerah permaian kepada lawannya pula untuk bermain dengan cara yang sama..


Sesiapa yang dapat memungut buah congkak yang banyak yang diletak dalam lubang ibunya itu maka dia dikira menang.





Sesiapa yang akan memulakan permaian akan ditentukan dengan cara tertentu dan dengan persetujuan  bersama.


Decak

Decak ialah berjalan atau melompat diatas sebelah kaki, sementara kaki sebelah lagi itu dilipat ke atas, ia boleh dipegang dan juga dilepaskan tanpa dipegang.

Permainan ini meerupakan perlawanan. Sebelum bermain sebuah rajah berbentuk empat pergi memanjang atau berbentuk kapalterbang secara kasar digaris di atas tanah. Kemudian diperbuat beberapa petak di dalammya dipanggil “rumah”.


Setiap peserta secaea bergilir-gilir mencampak “kor”, atau alat untuk mencampak, biasanya terdiri daripada kepingan kecil genting pecah, atau anak batu yang leper kecil yang tidak mudah bergolek. Kor ini dicampak ke dalam “rumah” tersebut, dan pemainnya akan berdecak untuk mengambilnya. Kalau dia berjaya mengambilnya, dia dikehendaki berdecak hingga habis petak “bangunan” itu sampai ke permulaannya. Dan dia boleh memulakan lagi bermain sehingga dia gagal, iaitu kalau kakinya terjatuh ke tanah atau dia tidak dapat mengambil “kornya” itu, dia dikira kalah dan kena keluar dari bermain dan  tempatnya akan diganti oleh orang lain. 

Golek Para:

Permainan ini permainan kanak-kanak lelaki Ia menggunakan buah pinang masak. Sekeping buluh sbesar tiga atau empat jari dan sepanjang tiga atau empat hasta diperlukan dan diletak di atas dua buah tungku. Di atas keping buluh itulah diletakkan buah-buah pinang itu pada suatu kawasan yang agak lapang.


Kemudian ditentukan jarak yang dipersetujui bersama di mana para peserta yang mengambil bahagian untuk membaling buah pinang itu sampai jatuh ke tanah dengan menggunakan sebuah biji pinang sebagai alatnya. Mana-mana buah pinang yang jatuh itu adalah menjadi miliknya.
Giliran membaling itu dibuat pemilihan  dengan cara tertentu dan dengan persetujaun bersama, 


Pada masa itu pokok-pokok pinanag banyak di kampung, tumbuh meliar dan berbuah sepanjang musim. Kanak-kanak boleh mengutipnya sesuka hati mereka tanpa dilarang oleh empunya pokok.


Kalau rajin buah-buah pinang itu boleh dikupas kulitnya dan boleh dijual.


Gurah

Gurah adalah guli, buah gurah adalah buah guli. Permainan ini adalah permainan kanak-kanak lelaki.


Biasanya buah gurah ini bulat dan lebih besar sedikit dari ibu kaki, dan dierpbuat dari simin dan boleh dibeli di kedaai-kedai runcit.


Sebelum bermain digali dulu lubang-lubang kecil untuk dimasukkan buah guli itu dengan cara mengoleknya, Biasanya sebanyak tiga buah lubang digali dalam keadaan jarak yang tertentu untuk bermain. Pemain kena golek buah gurahnya masuk ke dalam lubang yang pertama, kalau masuk dia dikira berjaya dan kena golek ke dalam lubang yang kedua dan seterusnya sampai habis.Kalau dia gagal, lawannya akan memukul buah gulinya itu dengan buah gurah juga sambil melumpat untuk menjauhkan dia dari lubang, di mana dia kena menggilikknya semula untuk untuk meneruskasn permainan. Kadang-kadang salah satu daripada buah guru itu mungkin pecah bila kena “pangkah” seperti itu. Demikianlah permainan itu dilakukan berulang-ulang sampai selesai.


Nusuk

Nusuk bererti menyorok atau sembunyi diri. Kadang-kadang dimain secara berpasukan, iaitu dua puak,dan dimain juga dengaan tidak berpasukan. Biasanya permainan nusuk ini dimainkan di malam hari, waktu bulan terang.


Jika bermain dua pihak, anggota-anggotanya akan dibahagikan sama rata seramai beberapa orang. Semuanya lelaki. Satu kumpulan menjadi pencari, dan satu kumpulan lagi menjadi penyusuk atau penyembunyi.Tidak ada ketentuan sejauh mana mereka boleh pergi.Tugas pencarinya, mencari kumpulan tersebut sampai ketemu,dan bila ketemu, keadaan akan bertukar di mana pihak penyusuk akan menjadi pencari pula. Demikianlah seterusnya.


Cara pemilihan regu atau kumpulan dilakukan sambil membaca sebuah pantun yang berbunyi seperti Berikut;

Cap taluk,Tulang had
Cap jeki Tulang cap.

Mana gutu Mana gu[n] 
Wan sasmsi Gudi sepen.


Pembaca pantun tersebut akan menujukkan dengan telunjuknya bergilir-bergilir kepada  setiap orang yang berdiri dalam satu bulatan, sesiapa yang terkena perkataan akhir “sepen” mereka adalah kumpulan sama, dan mana-mana yang tidak terkena perkataan tersebut adalah merupakana angoota  kumpulan lain.


Pantun akan berhenti dibaca bila bilangan anggota kedua-dua pasukan itu sama banyak..


Tidak ada siapa yang dapat menjelaskan maksud pantun tersebut selain daripada mendengar hujungnya bersajak.


Satu cara lagi ialah penuysuknya ramai tapi pencarinya seorang, tugas pencari ialah mencari penyusuk, dan bila ditemui salah seorang dari mereka,maka orang yang mula-mula ditemui itulah akan menjadii pencarinya, tidak perlu mencari semuanya. Bila sudah ditemui semua orang akan keluar dan memulakan permainan semula. Demikianlah seterusnya.Kawasannya tidak seluas seperti permainan yang berkumpulan itu.


Ada cara-cara tertentu untuk memilih seorang pencari itu, dan cara itu mesti dipersetujui bersama.


Pelaga Lutut

Permainan kanak-kanak lelaki yang beradu kekuatan. Dua orang pemain diperlukan.


Caranya dua orang kanak-kanak itu memperlagakan lutut mereka. Nereka dikehendaki berdiri di atas sebelah kaki berhadap-hadapan antara satu sama lain, kemudian dengan berdecak atau berjalan di atas kaki sebelah dengan agak laju mereka memperlagakan lutut mereka yang kakinya dipegang dengan sebelah tangan.


Sesiapa yang terjatuh atau terlepas pegangan tangannya pada kakinya itu, dia dikira kalah, dan hendaklah keluar, dan tempatnya diganti oleh orang lain pula. Demikianlah seterusnya.


Peluk.Tubuh:

Permainan ini boleh terdiri daripada beberapa orang peserta, di mana salah seorang daripadanya dilantik menjadi paramadona yang bertugas  mengendalikan acara permainan Peluk Tubuh itu. 


Para pemain akan menghulurkan kedua-dua tangan mereka ke hadapan dengan bertindan  antara satu sama lain, kemudian bersama-sama  memusingnya, Di waktu yang sama sang petugas akan membaca pantun yang berikut:

Tun tun tumbuk

Tun-tun tumbuk

Tun tumbuk mak ayam didir

Pecah sebutir pecah semua.
Seiring dua iring

Semangkok lewa-lewa,

Temu pulut kuning

Cap peluk dada.

Bila habis sahaja pantun itu dibaca, setiap pemain hendaklah memeluk dada mereka masing-msing iaitu dengan meletaknya secara bersilang di atas bahu kanan dan bahu kiri. Kemudian sang pengendali akan mengetuk lengan salah seornag dari mereka seolah-olah menebang atau mengergaji pokok sambil berkata”Kok-kok kayu apa ni?”. Pemain yang kena tanya itu akan menjawab nama pokok yang dimaksudkannya dari jenis yang kuat seperti merbau, cengal dan sebagainya, atau kayu yang rapuh seperti cermai dan sebagainya. Kemudian si pengendali akan cuba membuka pelukan tangan itu dengan menarik pelukan bahu bahagian atas sampai terbuka. Kalau tak berjaya si penarik hendaklah mengaku kalah. Dia boleh meneruskan tugasnya dengan membuka pelukan orang lain pula atau menyerahkannya kepada orang lain untuk meneruskannya kalau dia tidak mampu dan menyerah kalah.


Terjun;

Permainan ini hanya terbatas kepada kanak-kanak lelaki yang cekap berenang dan berani,dan ia bukan merupakan permainan yang berterusan sepanjang masa.


Ada dua keadaan permainan ini dilakukan, pertama bila banjir mulai melanda, di mana air sungai mulai merangkak untuk menaiki dan melimpah tebing.Pada masa itu itulah kanak-kanak yang cekap berenang dan berani itu akan melompat terjun dari atas tebing ke dalam sungai yang airnya dalam dan deras itu.Ia dilakukan berulang-ulang kali sampai puas.


Kedua kanak-kanak tersebut akan menaiki bot-bot penumpang yang singgah di pengkalan Kedai Salor untuk menghantar atau mengambil penumpang dalam perjalannya ke Pasir Mas atau ke Kota Bharu. Kanak-kanak itu akan naik di bahagian belakang bot,dan bila bot itu sampai jauh di tengah sungai mereka pun terjun dan berenang ke tepi.Hanya beberapa orang kanak-kanak sahaja yang berani mengambil bahagian dalam sukan air ini.


Tor;

Permaian raidah dalam air, iaitu berenang untuk bersuka-suka, Ia dimainkan oleh kanak-kanakl lelaki dan kanak-kanak perempuan ketika mandi-manda. Biasanya kanak-kanak lelaki berenang secara kuak biasa menggunakan tangan tapi kepada kanak-kanak perempuan mereka berenang secara melentang menggunakan tangan dan kaki.


Demikianlah sedikit permainan kanak-kanak di Kampung Salor yang dapat saya ingat. Di samping itu ada satu dua permaian yang saya ingat namanya tapi saya tidak ingat cara bermainnya iaitu tor kopi,polis sentri, dan coh.

Saya teringat beberapa buah pantun, tapi saya tidak ingat dalam permainan apakah pantun itu dinyanyikan. Bunyinya:


-Cak gercak

ambil cak gali ubi,

temu kayu bongkok

tempat kera meniti. 


-Itik Tok Teh Itik  Tok Tanjung

Buah lonang buah tempoyak

Adik putih mengilik buyung

Kacip pinang abang sepiak


-Gelap gugup di Sungai Pinang

Tahan racit di hujung galah

Sedap duduk di rumah tunang

Makan nasi dengan gulai telur.


Sekian. Salam hormat dari saya.


Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,

Kota Bharu Kelantan, Darulnaim.

16 Oktover 2019
/17 Safar 1441.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP