MINGGUAN KOTA BHARU MENGHIMBAU KENANGAN

>> Tuesday, November 19, 2019






MINGGUAN KOTA BHARU MENGHIMBAU KENANGAN







MINGGUAN KOTA BHARU sebuah akhbar yang berpengaruh dan digeruni serta populer, terutama di seluruh Negeri Kelantan Darulnaim. Akhbar yang ditunggu-tunggu oleh peminat-peminatnya setiap hari Sabtu pengeluarannya untuk menemui mereka.

Di samping itu terdapat  sekumpulan para penulis yang memulakan penulisan mereka di Mingguan Kota Bharu sebelum menerjunkan ke bidang penulisan yang lebih luas dalam persuratan tanahair. Ada antara mereka terdiri dari penulis rencana, wartawan dan penyair yang memulakan penulisan mereka dalam Mingguan Kota Bharu.

Ketika menggendalikan pnerbitan Mingguan Kota Bharu saya terpaksa mengerah seuluruh daya upaya saya untuk menjayakannya. Sejarahnya penuh terukir dengan kisah suka dan duka.

Namun begitu saya banyak menimba pengalaman yang dikurniakan kepada saya sepanjang masa tersebut, khususnya tentang  sifat-sifat manusiawi yang aneka ragam.

Mingguna Kota Bharu ulung kali diterbitkan pada hari Sabtu 7 Mei 1966 iaitu keluaran sulungnya dengan begitu bersahaja. Mengandungi lapan muka surat, bertulisan Jawi dengan harga  10 sen senaskah.

 Ia merupakan sebuah akhbar yang julung kali diterbitkan, bukan sahaja di Kelantan, tapi juga di seluruh Pantai Timur selepas Perang Dunia Kedua. Sampai hari ini pun, tahun 2019, masih belum ada sebuah akhbar yang diterbitkan khusus di mana-mana negeri di Pantai Timur.

Mingguan Kota Bharu diterbitkan oleh , M. Zain Saleh bagi pehak Perko Mingguan Kota Bharu, beralamat Tingkat 1, Bangunan UMNO, Kota Bharu Kelantan. Ia tercatat di lembaran akhir, bahagian bawah mingguan tersebut. Dan ia dicetak oleh Pustaka Dian.

Kelahirannya tidak disambut dengan apa-apa majlis keraian, seperti dengan mengadakan majlis makan atau kesyukuran. Namun sebelum kelahirannya itu saya telah mengada beberapa siri pertemuan dengan para penulis muda dan mereka yang berminat dengan penulisan di pejabat, memberitahu Mingguan Kota Bharu akan diterbitkan dan kami berharap untuk mendapat sumbangan mereka. Malah saya juga bertemu dengan,  penulis-penulis  vetran untuk mendapat sumbangan mereka, termasuklah penulis-penulis wanita.

Kelahirannya pada hari itu berkebetulan dengan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan yang didakan di seluruh negara dalam usaha untuk meninggi dan mendaulatkan bahasa Kebangsaan di negara ini yang terpinggir sekian lama di tanah ibuandanya sendiri. Kerajaan sendiri memain peranaan yang penting dalam gerakan-gerakan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini. Justeru itu Mingguan Kota Bharu meletakkan motto “Jayakanlah Bahasa Kebangsaan Kita” di tempat yang teratas di muka pertamanya. Sedangkan Bahasa Melayu, kemudian Bahasa Malaysia akan dirasmikan sebagai Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967 nanti.

Kandungannya muka pertama dipenuhi dengan berita-berita dalam negara dan luar negara. Berita-berita luar negara hanya setiap satunya mengandungi beberapa  para sahaja yang saya petik daripada siaran berita Radio Malaysia pada malam tersebut.

Di Pada muka satu ini juga terdapat kata-kata sambutan/aluan daripada  Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Encik Murad Mohd Noor, kemudiannya bergelar Tan Sridan menyandang jawan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia]. Allahyarham mengalu-ngalukan penerbitan Mingguan Kota Bharu dan berharap akhbar itu akan memberi sumbangan yang penting kepada bangsa dan negara.

Muka dua ditempatkan rencana pengarang, ruangan pojok 6/9, dan berita-berita. Dalam editorialnya yang berjodol “Kelahiran Suara Rakyat” antara lain ia mendklimasikan cita-cita yang luhur dan tinggi untuk memberi khidmat kepada bangsa dan negara dengan jujur dan ikhlas tanpa terikat atau terbelenggu oleh batas-batas parti dan politik.  

Muka tiga memuat surat-surat pembaca.

Muka 4 mengandungi semuka penuh sebuah artikel megenai ajaran Subud, sebuah ajaran yang berkembang di Kelantan yang difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan.

Muka 5 mengandungi semuka penuh sebuah rencana mengenai aneka kesulitan yang terpakasa dihadapi oleh para penjual di Pasar Besar Kota Bharu.

Muka 6 mengandungi beberapa buah berita.

Muka 7 memuat campuran bahan, iaitu berita-berita, kisah lucu dan sebuah puisi. Puisi sulung yang disiarkan ialah karya Abdul Hadi berjodol Berbara Di Hati Mara Berbakti.

 Sementara  muka 8, iaitu muka akhir ialah memuat kronologi ringkas peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dalam masa seminggu sebelumnya, dan Rancangan Radio Pantai Timur dalam seminggu.

Dengan digandingi usaha yang gigih, berani, sabar dan syukur dan seronok bekerja, Mingguan Kota berjaya diterbitkan setiap minggu, meriuh-rendahkan suasana, khususnya di bumi kelahirannya Negeri Kelantan. Walaupun letih dan penat, saya terus berusaha keseorangan membina Mingguan Kota Bharu untuk diterbitkan setiap minggu sejajar dengan namanya Mingguan Kota Bharu.

Sebenarnya saya bertugas secara solo bermula dari A sampai Z. Mencari bahan/berita, membuat dami muka surat, membaca pruf dan sebagainya. Hari kemuncak bekerja setiap minggu ialah hari Jumaat, malam Sabtu. Hari itu, saya dan rakan-rakan setugas di bahagian percetakan mempunyai masa yang paling sibuk dari sejak pagi hingga jauh malam.

Pada mula-mulanya ruangan pojok Wak Long dan Pak Dogol itu disediakan oleh {Dato’] Yusoff Zaky,tapi selepas beberapa keluaran beliau menyerahkannya kepada saya untuk mengambialih tempatnya itu. Dan salah satu daripada pojok saya itu telah diberi oleh amaran keras oleh Kementerian Dalam Negeri kerana boleh mencetuskan ketidaktenteraman.

Rencana pengarang Mingguan Kota Bharu adalah hasil tulisan saya dari sejak awal sampai akhir. Beliau hanya kadang-kadang memberi sumbangan sebuah rencana untuk disiarkan, terutama rencana agama berupa terjemahan.

Malah tidaklah pelek sekiranya dalam sesuatu keluaran Mingguan Kota Bharu itu hampir seluruh kandungannya,kecuali puisi merupakan karya-karya saya sendiri, baik dalam bentuk berita atau rencana, dengan menggunakan aneka nama samaran, atau tanpa sebarang nama penulis.

Demikianlah keadaan terus berjalan selama beberapa tahun, dengan saya bermandi keringat dan mengekang mata seorang diri malam siang untuk menghasilkan Mingguan Kota Bharu setiap hari Sabtu untuk menemui para pembacanya.



Tapi pada tahun 1970 Mingguan Kota Bharu diakhiri riwayatnya kerana saya difitnah oleh kawan dari dalam luar dengan tuduhan yang memalukan. Satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan sampai sekarang. Tuduhan ini dipercayai oleh [Datok] Yusuff Zaky dan segera mencetuskan kemaraahannya dan dengan serta mengarah saya supaya segera memberhentikan penerbitan Mingguan Kota Bharu. Beliau mempunyai kuasa penuh terhadap sebarang penerbitan Syarikat Dian. Saya memohon tempoh satu keluaran sahaja  lagi kerana segala isinya telah saya siapkan dan menunggu dicetak sahaja. Turut terpalit dalam fitnah itu ialah sastrawan Norhisham Mustafa yang masih belum begitu lama bertugas bersama dengan saya di Mingguan Kota Bharu.

Maka berakhirlah Mingguan Kota di hujung senjata fitnah terhadap kami berdua. Keluaran terakhirnya yang ada dalam simpanan saya ialah bilangan serangkai 186-187 tanggal 14 Febuari 1970.

Saya masih terhimpit dengan keraguan adakah itu sebenarnya bilangan terakhir hayat Mingguan Kota Bharu? Kerana saya merasa saya ada membuat catatan pendek tentang bilangan terakhir mengenai penamatan penerbitan Mingguan Kota Bharu dan itulah bilangan terakhir menemui pembaca-pembacanya, dan ada sedikit tanda rahsia berupa bintang-bintang. Tapi Mingguan Kota Bharu yang ada dalam simpanan saya ini tidak ada perkara-perkara tersebut. Walau bagaimanapun saya berharap perkara ini dapat dipastikan nanti, Insya Allah.


Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
19 November 219
/22 Rabiulawal 1441







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP