TOMBO ATI SYAIR AJAIB

>> Monday, September 16, 2019






TOMBO ATI SYAIR SUNAN BONANG YANG AJAIB






Tombo Ati adalah sebuah tembang atau syair religious yang telah menjangkau usia ratusan tahun tapi masih didendang dan hidup bersemarak di hati rakyat Indonesia, khususnya di Tuban.Syair ini hasil karya Sunan Bonang, salah seorang Wali Songo [1465M-1481M].

Tuban ialah sebuah Kabupaten atau daerah di Jawa Timur, seluas 1,834.5 kilometer persegi.


Tombo  Ati ini berasal dari Bahasa Jawa yang liriknya seperti berikut: 


Tombo ati iku lima perkarane

Kaping pisan moco Qur’an lan maknone

Kaping pindo sholat wengi llakonono

Kaping telu wong kang sholeh kumpulono

Kaping papat kudu meteng ingkang luwe

Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawinjine sapo bisa ngelakoni

Mugi-mugi Gusti Allah nyenbadani.





Dalam Bahasa Indonesianya ia bererti:

Obat ati ada lima perkaranya

Yang pertama baca Quran  dan maknanya

Yang kedua sholat malam dirikanlah

Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh

Yang ke empat perbanyakkanlah puasa

Yang ke lima dzikir malam berpanjanglah

Salah satunya siapa bisa menjalani

Moga-moga Gusti Allah mencukupi


[Lirik syair Tombo Ati ini dikirim oleh Pak Tom Badawi Warga Tuban.

Tembang atau lagu syair ini masih boleh dinikmati memancar dari surau-surau di desa-desa di waktu solat berjemaah lima kali sehari di Tuban. Tembang ini akan dialunkan sebagai lagu pujian kepada Allah menjelang solat jamaah ditegakkan.

Sepatah kata Pak Tom Badawi,  tembang ini, “Di musala-musala kampung  tembang ini masih sering dinyanyikan sebagai puji-pujian sebelum solat jemaah didirikan. Syahdu mengalun dan menjalari memori kenangan indah kita masa silam. Tembang ini adalah sebuah petua purba yang masih lestari hingga kini di tengah gempuran budaya internet yang merajalela. Di antara budaya asing yang semakin menghimpit akal fikiran masyarakat nunsantara”.

Tombo Ati bukanlah semata merupakan lirik-lirik lagu atau bait-bait syair biasa, tapi lebih merupakan ajaran-ajaran suci kepada umat Islam untuk diikuti dan diamali sejajar dengan ajaran Rasulullah SAW.

Kata Pak Tom Badawi lagi, “Selain bernada seni yang indah, ternyata ajaran tombo atinya Sunan Bonang didasari pada ajaran yang disampaikan oleh para ulama salafus soleh, yang merujuk pada ajaran mulia Rasulullah SAW”.

Tombo Ati yang membawa maksud Obat Hati adalah hasil  hasil karya sastra Sunan Bonang, salah seorang daripada wali sembilan yang memain peranan yang penting dalam mengembangkan agama Islam di Indonesia khasnya, dan di Jawa.

Sonan Bonang dilahirkan pada tahun 1465M, dan dinamankan Raden Maulana Makdum Ibrahim. Ayahandanya Bong Swi Hoo, elias Sunnan Ampel dan bondanya Nyai Ageng Manila. Beliau meninggal di Pulau Bawean pada tahun 1525 M.


Saya dimaklumkan, di kota Tuban setiap tahun diadakan majlis memperingati Sunan Bonang setiap malam Jumaat, iaitu pada bulan Muharam atau bulan asura.


Tombo Ati ini yang   didendangkan di surau dan di musala di Tuban, dipercayai mempunyai kekuataan mistik yang luar biasa. 


Bila tombo ini dialunkan, ia dapat menumpaskan musuh-musuh yang berniat jahat terhadap Sunan Bonang, dengan jalan menyebabkan musuh-musuh yang mendengarnya itu menjadi kaku  keras tanpa boleh bergerak-gerak. Perkara ini dilaporkan pernah berlaku ke atas sekumpulan penjahat yang ingin merompak Sunan Bonang. Penjahat-penjahat itu terpaksa memohon maaf dan kemudian bertukar menjadi pengikut Sunan Bonang.


Di samping itu Sunan Bonang juga dipercyai dikurniakan Allah dengan kekeramatannya sendiri, seperti berjaya meumpaskan musuh tanpa perlu beradu kekuatan fizikal.


Mungkin tidak ada orang di Tuban yang mengetahui bahawa Sunan Bonang ada mempunyai pengaruh ketuhanian yang kuat di negeri kami, Kelantan Darulnaim. Ada segolongan penduduk di negeri ini mendakwa mereka memiliki ilmu mistik yang diperolehi secara langsung dari Sunan Bonang, iaitu ilmu perubatan tradisional.


Bagi orang-orang  Kelantan yang pernah mendengar cerita-cerita lisan tentang  latar belakang sejarah negeri Kelantan  tidaklah aneh dengan kejadian ini,  kerana Sunan Bonang pada suatu ketika dulu dipercayai pernah datang ke Kelantan dan belajar dengan seorang guru yang beroperasi di  Bukit Panau, sebuah bukit yang terletak dalam Jajahan Pasir Mas, Kelantan. 


Demikian menurut Abdul Halim Bashah, seorang pegkaji dan penulis sejarah dalam bukunya "Wai Songo Dengan Perkembangan Islam di Nunsantara".


Bukit ini terletak di kira-kira 11 kilometer dari Bandar Pasir Mas, Sunan Bonang dan seorang lagi, iaitu Sunan Giri dikatakan telah belajar di Bukit Panau dengan seorang guru yang terkenal, iaitu Syeikh Muhammad Saman atau Saiyid Thana’uddin.

Saya pernah mendaki bukit ini sebanyak dua kali, saya naik ikut jalan biasa dari arah hadapan, dan turun menyusur jalan belakang yang dipanggil jalan pelupoh, kalau tidak silap saya, tidak mempunyai jalan seperti di bahagian hadapannya. Pada masa itu saya tidak mengetahuii di atas bukit itu ada perkuburan orang alim.

Mereka percaya mereka telah didampingi oleh wali itu dari masa ke masa untuk menyampaikan secara live kepada mereka ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu. Sunan Bonang kata mereka akan datang menemui mereka dari masa ke masa dengan berpakaian jubah putih dalam keadaan sedar, dan yang beliau ajar bukan sahaja ilmu-ilmu perawatan penyakit tapi juga ilmu-ilmu agama, termasuklah ilmu peribadatan.

Kata mereka yang memanggil Sunan Bonang itu sebagai “guru” mengajar mereka dalam keadaan jaga dengan cara yang sungguh menarik dan berkesan, termasuk dalam bidang peribadatan.

Adakah tidak mungkin ilmu-ilmu ini merupakan warisan  Sunan Bonang ketika beliau berada di Kelantan ratusan tahun yang lampau itu yang telah diperturunkan kepada murid-muridnya yang menyampaikannya pula sambung menyambung dari satu generasi ke satu generasi hingga ke hari ini?



Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan, Darulnaim.
19 Septemkber 2019
/16 Mahmram 1441

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP