ANEKA SENI DI DALAM AL-QURAN

>> Thursday, March 30, 2017







ANEKA SENI DALAM AL-QURAN



Memang salah jika ada orang menyangka bahawa agama Allah itu semata-mata zahid, atau semata-mata hidup secara kepadrian atau kejerihan tanpa memperdulikan perhiasaan dan keindahan dunia ini, atau hidup secara bertasauf berpakaian  yang kasar. Kalaulah begitu agama Allah itu, maka ianya tidak boleh dianggap sesuai dengan seluruh umat manusia yang beraneka ragam, malah ia hanya sesuai untuk segolongan manusia sahaja, iaitu mereka yang memilih cara hidup yang zahid  dari cara hidup yang mewah, sedangkan agama Allah itu tidak begitu.

Malah agama Allah itu agama umum yang sesuai dengan segala manusia yang tidak menyusahkan mana-mana golongan pun. Justeru itu Allah jadikan hidup zahid itu satu kebenaran sahaja kepada sesiapa yang suka  menjalananinya tanpa dijadikan cara yang disunat dan difardukan ke atas umat Muslimin. Demikian juga Allah menghalalkan segala kebaikan dan keindahan itu kepada sesiapa yang ingin menikmatinya, tanpa menjadikannya makruh atau haram agar tidak ada mereka yang merasa susah dan keberatan hidup di dunia ini.

Al-Quran banyak sekali menyebut tentang seni, seperti seni bina, seni pahat, seni lukis, seni suara dan sebagainya dari cabang-cabang seni yang indah, tanpa memandangnya dengan mata orang zahid, malah al-Quran itu memandang seni secara objektif, dan meyanjung tinggi kepada keindahan dan keagungannya.

Al-quran dengan jelas menyebut tentang perkembangan seni suara di zaman Nabi Daud as, kerana Nabi Daud seorang nabi yang mempunyai suara yang amat merdu sehingga menjadi buah mulut orang ramai. Perkataan “Lagu Daud” telah dijadikan bidalan untuk menggambarkan kemerduan dan keindahan suara. Kisah Nabi Daud ini telah disebut dalam ayat 10, Surah Saba’:

“Sesunguhnya Kami telah menganugerahkan Daud kelebihan dari Kami!
Wahai bukit bukau dan burung!
Ulangilah pujian kepada Allah bersama Daud,
Dan Kami juga telah memperliatkan besi untuk pergunaannya”.

Kebiasaannya bila Nabi Daud berdiri di mihrabnya membaca Kitab Suci Zabur, maka burung-burung dan binatang-binatang liar kelihatan terpegun berhenti mendengar kemerduan suaranya.

Selepas Nabi Daud, lahir Nabi Sulaiman, maka Allah menyebut pula tentang perkembangan dan kemajuan seni bina, seni pahat dan seni lukis di zamannya yang telah mencapai ke puncak keagungan dan kebesaran yang megatasi kemajuan seni yang dicapai oleh umat yang bertamadunn di zaman purbakala. Kesan-kesan kemajuan seni itu dapat dilihat dengan jelas pada bangunan-bangunan masjid, bandar dan kubu-kubu yang dibina oleh Nabi Sulaiman, sebagaimana dicerita oleh Allah dalam ayat 12 dan 13 Surah Saba’  yang berbunyi:

“Dan kepada Sulaiman Kami anugerahi penggunaan angin,
Sepaginya bertiup sebulan perjalanan dan sepetangnya bertiup sebulan perjalanan,
Dan Kami alirkan untuknya mata air leburan tembaga,
Dan Kami kurniakan buruh-buruh jin yang bekerja di hadapannya dengan keizinan Tuhannnya,
Sesiapa dari mereka menyempang dari perintah Kami,
Nescaya Kami rasakannya dengan keseksaan yang teruk,
Mereka membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung dan pinggan-pinggan seperti kolam dan periuk yang tegak tesergam,
Dan Kami berseru wahai keluarga Daud,
Kerjakanlah ketaatan kepada Allah sebagai tanda bersyukur
Dan memang sedikit dari hamba-Ku yang bersyukur”.

Bangunan Baitul Maqdis merupakan sebesar-besar hasil seni yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh seni yang bijak pandai. Pembinaan bangunan ini telah dimulai oleh Nabi Daud, kemudian puteranya Nabi Sulaiman as. menyudahkannya dengan tujuan untuk dijadikan sebagai tanda kebanggaan kemajuan seni yang indah  permai di zmannya. Baginda telah mengumpulkan tokoh-tokoh seni dari dalam dan luar negeri, baginda membawa masuk batu-bat marmar dan kaca. Sebelum itu baginda lebih dulu mmerintahkan supaya Bandar Baitul Maqdis itu dibina dengan batu-batu marmar dan keping-keping batu yang lebar agar pandangan seirama dengan keindahan bangunan Baitul Maqdis yang akan dibangun nanti. Bandar itu dibahagikan kepada 12 kawasan kediaman, tiap satu bangunan ditempatkan satu keluarga dari keluarga Bani  Israil.

Untuk membina Baitul Maqdis itu Nabi Sulaiman as telah membawa masuk tidak terkira banyaknya dari luar negeri  emas, perak, batu permata, kasturi, ambar dan bauan-bauan.

Bangunan Baitul Maqdis itu didbina dengan batu marmar yang berwarna-warni, putih, hijau dan kuning dan tiang-tiangnya diperbuat dari kaca-kaca yang cantik, bumbung dan dindingnya dihiaskan dengan berbagai jenis batu yang mahal dan lantainya dihampari dengan batu-batu permata fairuz yang indah. Justeru itulah bangunan Baitul Maqdis merupakan seindah-indah bangunan di dunia di zaman itu yang sentiasa bersinar berkilau-kilauan hingga kelihatan di malam yang gelap persis bulan purnama.

Kecantikan bangunan ini telah ditambah lagi oleh hiasan-hiasan berbagai-bagai lukisan, gambaran dan patung-patung yang indah seninya. Dua ekor patung singa telah diletak di bawah kerusi singgahsana Nabi Sulaiman, sedangkan di atasnya diletak pula dua ekor patung garuda. Bila baginda berangkat naik hendak bersemayam di atas takhta itu, maka kedua-dua patung singa itupun kelihatan bergerak membentangkan kedua-dua belah tangannya dan bila baginda dudk di atas kerusi singgahsana itu, maka patung dua ekor geruda itupun kelihatan bergerak mengembangkan dua sayapnya seolah-olah memayungi baginda.

Di antara istana-istana yang tercantik dibina oleh Nabi Sulaiman ialah yang dibina khas untuk menyambut kedatangan Puteri Balqis, Ratu Negeri Saba’. Kecantikan istana itu digambarkan dalam al-Quran ayat 44, dalam SurahAl-Naml:

“Lalu diserukannya [Balqis]
Silalah masuk ke dalam mahligai ini!
Bila sahaja [Balqis] melihatnya [mahligai]
 Dia menyangka sebuah kolam air,
Lalu dia pun menyingsing betisnya,
[Sulaiman] menegur,
Memang istana ini ditutupi dengan kaca-kaca, Balqis berkata
Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya aku telah menzalami diriku sendiri
Dan kini aku berserah bersama Sulaiman kepada Allah seru sekalian alam.

Mahligai itu telah dibina seindah-indahnya oleh Nabi Sulaiman untuk membukti keagungan dan kebesaran kerajaannya kepada Ratu Balqis. Mahligai yang terbuat dari cermin yang berwarna air, kemudian di bawah cermin itu diisikan air dan dilepaskan di dalamnya berbagai-bagai ikan, katak dan sebagainya dari hidup-hidupan yang hidup dalam air. Dan baginda duduk bersemayam di atas katil yang terletak di tengah mahligai.

Bila Puteri Balqis masuk ke mahligai untuk menemuinya, dia menyangka di hadapannya terbentang sebuah kolam yang luas, lalu dia pun menyingsing kain di betisnya untuk mengharungi air itu. Nabi Sulaiman segera menegur dan menceritakan kepadanya bahawa mahligai itu sememangnya diperbuat dari kaca. Medengar penjelasan itu, Ratu Balqis pun menutup semula betisnya dan timbullah keyakinan di hatinya bahawa kerajaan baginda adalah kerajaan dari pemberian Allah dan berikut dengan itu Ratu Balqis menyatakan keimanannya kepada Allah.

Di dlam sejarah Islam Khalifah Usman bin Affan adalah awal-awal Khalifah yang menaruh minat yng besar kepada keindahan seni. Beliaulah yang berusaha memperelokkan semula bagunan Masjid Madinah dengan membawa tukang-tukang bina yang mahir dari Negeri Mesir dan lan-lain negeri yang menjadi jajahan takluk Islam yang berkembang di zamannya sehingga sesuai merupakan sebuah masjid sebuah kota Islam. Kemudian di zaman Khalifah Alwalid bin Abdul Malik baginda telah memerintah Gabenor Madinah, iaitu Umar bin Abdul Aziz supaya menambahkan lagi masjid itu di bahagian timur, barat dan selatan dan mendirikan empat buah menara bang, menghiaskan dinding-dindingnya dengan ukiran-ukiran kaca yang berwarna-warni, menyadurkan bumbungnya dengan emas dan membuat tiang-tiangnya dengan batu marmar.

Selanjutnya Khalifah Usman bin Affan telah memberi keluasan kepada penduduk-penduduk Madinah mendirikan rumah-rumah dan istana yang besar dan indah. Beliaulah Khalifah yang mula-mula menukar corak pemerintahan secara lama Islam kepada pemerintahan secara kerajaan-kerajaan yang besar, meskipun langkah itu telah dipandang salah oleh setengah pihak, namun itulah sebenarnya satu langkahan yang patut menjadi kebanggaannya, kerana kerajaan Islm tidak patut selam-lamanya kekal dengan corak lamanya yang kasar dan primitip, malah mestilah menunjukkan tanda-tanda tamadunnya yang tinggi setelah kemewahan dunia terbuka di hadapan, maka dengan cara ini dapatlah kerajaan Islam menjaga maruah kehebatannya di antara kerajaan-kerajaan dunia.

Demikianlah sikap yang selayaknya bagi Agama-agama  Allah terhadap seni yang indah, kerana seni itu memang berguna dan berpengaruh dalam mengasuhkan tabiat manusia, menigggikan zuk dan memperhaluskan jiwa mereka.

[Rencana ini disaring dari rencana saringan Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky Yaacob yang berjodol Aneka Seni Dalam al-Quran oleh Al-Syeikh Abdul Mula’ad Al-Sa’edi, Pengarang dan Mahaguru Bahasa dan Sastera di Azhaar Unniversiti Khaerah.]


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Parit, Pasir Tumoh,
Kota Bharu, Kelantan.

 

 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP