BAGAIMANA SINGAPURA MENJADI MILIK INGGERIS

>> Saturday, March 18, 2017





BAGAIMANA SINGAPURA MENJADI MILIK INGGERIS?
Sejenak Ke Belakang



[Sejarah TanahnAir Kita]

Wij leeren historie om wijs te worden van te voren”. John Sealey.”kita mempelajari sejarah, unttuk menjadi bijaksna terlebih dulu”.



“Bahawa ini surat pada menyatakan, maka adalah kita Sultan Husain bin Almarhum Sultan Mahmud Shah, Sultan Johor dan Pahang, iaitu Sultan di negeri Singapura, mengaku dalam surat ini bahawa sesungguhnya maka adalah dengan suka-suka hati kita telah menyerahkan negeri Singapura ini serta dengan perintah-perintahnya sekali kepada Kompeni Inggeris adanya. Shahadan lagi adalah perjanjian Kompeni kepada Sultan, maka sekiranya Sultan hendak berpindah dari negeri Singapura ini ke negeri lain, melainkan Komperni memberi hadiah tiga puluh ribu ringgit, dan kepada Temenggong dua puluh enam ribu delapan ratus ringgit. Dan lagi adalah perjanjian Komperni Inggeris memberi belanja kepada kita pada sebulan seribu tiga ratus ringgit besar, dan kepada Temenggong pada sebulan tujuh ratus ringgit. Bermula ada pun pemberian Kempeni Inggeris yang  tersebut pada sebulan-sebulan itu, iaitu selagi ada hayat Sultan saja. Bahawa surat pejanjian ini diperbuat dalam negeri Singapura kepada 2 haribulan August 1824 bersamaan dengan 6 haribulan Dzul-hijjah 1230 Hijrah”.



Demikian susunan-susunan perkataan yang telah disediakan oleh John Crawfurd, Resident East India Company di Singapura 1823-1826 [menurut Abdullah Munsi]. Yang kemudiannya ditandatangani oleh Almarhum Sultan Husain Muhammad Shah, Sultan Singapura dan Johor yang kelima belas [1819- 1835 dan Temenggong Abdul Rahman, wakil Sultan di Singapura.



“Setelah selesai pekerjaan itu, maka ditembaklah meriam dua belas pucuk di atas bukit [Fort Canning sekarang] kata Abdulah Munshi lagi dalam hikayatnya. Kemudian lepas lima hari penandatangan surat perjanjian itu, oleh John Crawfurd dicananglah berkeliling Singapura, “Bahawa hendaklah diketahui oleh segala orang dalam negeri [Singapura] ini, maka ada pun segala hukum  dan perintah negeri Singapura ini semuanya telah terpulang kepada Kompeni Inggeris; maka seperti Sultan Husain Shah dan Temenggong itu sekali-sekali tidaklah berkuasa; maka jika tidak dengan perintah polis tidaklah boleh Sultan itu membuat barang suatu”. Kata Abdullah Munshi seterusnya.



Apabila terdengar oleh Sultan, maka ia menampar-namparkan pehanya melepaskan sesal yang tak berkesudahan. Ada pun kisah penyerahan ini dinyatakan juga oleh Abdullah Munsi begini:-



“Sebermula maka adalah belanja yang diberi oleh Tuan Raffles itu yang ditentukannya, seribu ringgit kepada Yamtuan, dan tujuh ratus ringgit kepada Temenggong [seperti yang dinyatakan dalam persetiaan antara Raffles, Sultan Husains dan Temenggong  pada 6 Febuari 1819] itu; maka selalulah diterima oleh mereka pada tiap-iiap bulan, sehingga sampailah  zaman Tuan Crawfurd menjadi raja dalam Singapura. Hatta pada sekali persetua, maka apabila sampai bulan, maka datanglah orang-orang Yamtuan hendak mengambil wang itu daripada Tuan Crawfurd. Maka jawabnya, “Sekarang Kompeni ada kekurangan, nantilah sebulan dua sampai wang dari Banggala”. Baliklah orang itu mempersembahkan perkataan  Tuan Crawfurd itu. Yamtuan pun diamlah.



Maka setelah datang bulan lain, pergilah pula orang itu menghendaki wang itu, maka itupun jawab Tuan Crawfurd demikian juga. Maka baginda pun heranlah, sebab pada sangkanya sekali-kali tiada patut Kompeni kekurangan wang, kalau-kalau ada juga satu rahsia dalam pekerjaan ini. Maka itupun idsabarkannyalah juga, tetapi banyaklah baginda telah berhutang dan bergadai sebab belanja itu, maka itupun, sesaklah juga hendak belanja. Maka dengan hal yang demikian sampailah juga tiga bulan, itupun demikian juga kata Tuan Crawfurd sehingga tiadalah tersabar lagi. Sultan dan Temenggong pun pergilah mengadap Tuan Crawfurd di bukit.



Dalam pertemuan inilah, Crawfurd menerangkan rancangan hendak memiliki Singapura bulat-bulat. “Rancangan ini ialah dengan kehendak Tuan Besar di Bneggala. Kata Crawfurd kepada Sultan, “………jika tuan Sultan dan Temenggong menyetujuinya, maka Tuan Besar akan memberi hadiah kepada tuan-tuan” Kata Crawfurd lagi. Sultan minta tangguh satu malam. Esoknya baginda kedua menemui lagi Crawfurd menyatakan keredhaannya. Ketika itulah Crawfurd mengeluarkan surat perjanjian tadi diMelayukannya lalu dimintanya Sulan dan Temenggong mengecap surat itu.



Apakala persetiaan 2 Ogos 1824 itu itu ditandatangai, meriam ditembakkan dua belas kali, terserahlah Singapura ini di bawah kuasa Kompeni Inggeris [East India Company].



Dipetik dari

Majalah:Dupa Nirmala

Bilangan:? [Mungkin bilangan 1]

Tahun:? [Mungkin menjelang kemerdekaan].

Beralamat:No 1, Henderson Drive,

Singapore 3.

Majalah ini telah tercicir kulitnya mungkin terdapat kenyataan-kenyataan tersebut dan sebagainya.







Lorong Masjid al-Qasimi,

Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,

Kota Bharu, Kelantan.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP