Wanita Itu Terus Berperang Dengan Hanya Sebelah Tangan

>> Saturday, October 20, 2012




 

WANITA ITU TERUS BERPERANG DENGAN HANYA SEBELAH TANGAN….



 Salah seorang insan yang telah dijamin menjadi penghuni syurga ialah seorang wanita, Nusaibah bin Ka’ab. Beliau telah diberikan teket syurga oleh Rasulullah s.a.w. kerana jasa-jasanya yang begitu cemerlang terhadap Islam.

Beliau seorang wanita yang berani dan gagah perkasa. Beliau ikut serta menceburkan diri dalam berbagai-bagai peperangan, antaranya Perang Uhud, Perang Hudaibiyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah.


Dan  sebelum semuanya itu beliau ikut serta dalam pertemuan Aqabah di Mekah. Di situlah beliau, bersama dengan seorang wanita lagi, berbai’at dengan Rasulullah s.a.w dan memeluk agama Islam bersama-sama dengan berpuluh-puluh orang lelaki lagi yang datang dari Madinah.


Ummu Nusaibah tidak ingin menerima tanggapan umum bahawa kaum wanita Arab adalah  kaum yang lemah dan hanya mampu meratap dan menangis. Beliau ingin mengubah tanggapan tersebut, lalu bangkit berjuang bersama lelaki dalam perjuangan menegak kebenaran dan jihad.


Bila menyedari di dalam kitab suci al-Quran hanya menyebut-nyebut kaum lelaki sahaja, di mana kaum wanita hanya disebut sebagai sampingan sahaja, maka beliau pun segera menemui Rasuslullah s.a.w. menyatakan kemuskilannya itu. Kata beliau, “Wahai Rasulullah, aku melihat, wahyu-wahyu yang diturunkan Allah selalu berkaitan dengan kaum lelaki. Tak pernah ada kaum wanita disebut-sebut dalam wahyu Allah”. Hadis hasan Tirmizi.


Maka turunlah wahyu yang menjelaskan kedudukan wanita di samping lelaki secara positif. Allah berfirman, “Sungguh, lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan ynag berpuasa, lelaki dan perempuan yang memeihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut [nama] Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”.Al-Ahzab:35.


Beliau menjalankan berbagai-bagai tugas, dan sebelah tanganya telah putus ditebas oleh musuh Islam dalam salah perang jihad yang disertainya.


Demikianlah kita lihat, kata Dr.Yusuf Al-Qardhawi, “Nusaibah mengikuti, bersama Rasulullah s.a.w. sebahagian daripada peperangan, melayani mereka yang berjihad, mengobarkan semangat mereka yang sedang bertempur dan meneguhkan hati mereka yang bimbang dan ragu. Merawat prajurit-prajurit yang terluka dan membawakan air kepada mereka yang dahaga. Akan tetapi apabila stiwasi berubah menjadi serius dan keadaan menjadi gawat dan dia dipanggil oleh keadaan, maka dia mengangkat senjata dan bertempur sebagaimana seorang pahlawan bertempur dan tetap bertahan laksana gunung yang maha kukuh”.


Dalam Perang Uhud, Nusaibah Ummu Al-Ansariah adalah seorang serikandi yang berjuang dengan gagah beraninya mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari serangan orang-orang kafir yang ingin membunuh Baginda s.a.w.


Beliau  pada mulanya bertugas sebagai jururawat tentera-tentera Islam yang tercedera, tapi bila melihat keselamatan Baginda s.a.w. sedang terancam beliau pun terus melibatkan diri secara langsung dalam medan pertempuran untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan sepuluh orang tentera Islam lagi, sedangkan yang lainnya telah bercempera melarikan diri. Beliau dengan beraninya melancarkan anak-anak panahnya ke arah musuh.


Keadaan ini berlaku kerana sebahagian besar daripada anggota-anggota tentera pasukan pemanah Islam yang telah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga bahagian belakang pasukan tentera yang sedang berjuang itu telah meninggalkan posisi mereka masing-masing kerana terpedaya dengan harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh musuh. Dan ini menyebabkan musuh mengambil kesempatan menyerang tentera Islam dari arah belakang yang menjadi punca ketewasan mereka dalam Perang Uhud itu.


Dengan mengikat baju pada pinggangnya, Nusaibah berdiri di hadapan Rasulullah s.a.w. untuk 
mempertahankan Baginda s.a.w. dengan menjadikan diri beliau seolah-olah seperti sebuah perisai. Beliaulah yang memberi perlindungan kepada Rasulullah s.a.w dari tetakan Ibnu Qumainah, menyebabkan baunya luka parah dipedangi oleh musuh Allah itu. Walau bagaimana pun beliau berjaya membalas tetakan-tetakan Ibnu Qumainah itu sebanyak beberapa kali.


Akhirnya Nusaibah sendiri telah tercedera parah akibat luka terkena panah musuh serta tikaman tombak dan serangan pedang musuh.  Dalam Perang Uhud itu beliau mendapat dua belas liang luka,  sementara dalam Perang Yamamah beliau mendapat sebelas liang luka, di samping itu sebelah tangan beliau juga telah putus dalam peperangan menentang nabi palsu.


Siapa Nusaibah?


Nama penuhnya Nusaibah binti Ka’ab bin Amr, dari kabilah Khazraj, Marga Bani Najjar, dan nama jolokannya ialah Ummu Ammarah. Beliau adalah daripada golongan Ansar.


Ikut serta berjuang bersama-sama dengan beliau ialah suaminya, Ghuzyah bin Amr, bersama dengan dua orang puteranya, iaitu Habib dan Abdullah.


Dua orang saudara lelakinya yang ikut berperang ialah,  Abdullah bin Ka’ab Al-Mazini, dan Abu Laila, Abdurrahman bin Ka’ab yang selalu memercikkn air matanya kerana takutkan Allah.


Suaminya yang pertama ialah Yazid bin Ashim dan dikurniakan dengan dua orang putera, iaitu Habib dan Abdullah, orang yang beriman dan berjhad di jalan Allah. Bila suaminya itu wafat, beliau berkahwin sekali lagi dengan Ghuzyah bin Amr, dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Tamin dan seorang anak perempuan benama Khulah.


Nusaibah Dalam Perang Uhud


Pada suatu ketika dalam Perang Uhud beliau berjuang tanpa menggunakan perisai, sehingga Baginda s.a.w. memerintah seorang  lelaki yang membawa perisai supaya memberikannya kepada Nusaibah yang digunakan oleh Nusaibah sebagai pendinding untuk melindungi Rasulullah s.a.w. dari asakan musuh yang kencang yang ingin membunuh Baginda s.a.w.



Akhirnya Nusaibah jatuh dan pengsan kerana tercedera. Beliau ditemui oleh para sahabat dengan berlumuran darah. Bahumya telah luka parah. Mereka membalut lukanya dan memberi beliau minum. Bila tersedar dari pengsan, beliau segera bertanya, “Di mana Rasulullah? Apakah yang telah dilakukan oleh orang-orang kafir ke atasnya?”.


Pertanyaan Nusaibah itu dijawab oleh para sahabat, bahawa Rasulullah ada di sisinya.


Melihat keberanian Nusaibah berjuang itu, maka berkatalah Baginda s.a.w. kepadanya, “Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga”.


Maka berkata pula Nusaibah memohon kepada Rasulullah s.a.w. dengan katanya, “Doakanlah kami kepada Allah agar dapat bersama-sama engkau di dalam syurga”.


Lantas Baginda s.a.w. berdoa kepada Allah, “Ya Allah! Ya Tuhanku!  Jadikanlah mereka ini teman-temanku dalam syurga nanti”.


Apabila mendengar doa Rasulullah s.a.w. seperti itu, Nusaibah pun berkata, “Aku tidak peduli apa yang akan menimpaku daripada segala bencana dunia ini”.


Malah Baginda s.a.w. pernah menceritakan tentang Nusaibah ini dengan sabdanya, “Wanita yang bernama Nusaibah inilah yang paling sibuk memberikan perlawanan membelaku semasa peperangan Uhud,  sehingga ke mana sahaja aku berpaling ternampak dia memagari diriku sehingga beliau sendiri menderita dua belas luka-luka terkena panah dan tikaman lembing”.


Memerangi Nabi Palsu


Nusaibah juga ikut menyertai pasukan yang dipimpin oleh Khalid bin Walid yang diutus oleh Khalifah Saidina Abu Bakar untuk memerangi nabi palsu, Musailamah Al-Kadzab dari Bani Hanifa, penduduk Yamamah. Pada waktu itu usianya telah meningkat enam puluh tahun. Tapi ketuaanya itu tidak mematahkan semangat juangnya yang kental itu. Beliau berangkat bersama dengan puteranya Abdullah, sedangkan puteranya yang seorang lagi, iaitu Habib telah mati dibunuh dengan kejamnya oleh Musailamah kerana enggan mengakuinya seorang nabi.


Sebelum bertempur Nusaibah pernah berikrar bahawa, dalam pertempuran nanti, salah seorang daripada mereka mesti mati, waemo beliau atau nabi palsu Musailamah. Beliau amat marah terhadap Musailamah yang telah membunuh puteranya Habib yang menjadi utusan Rasulullah untuk menemuinya. Perbuatan Musalimah itu telah mealanggar peraturan dan tradisi, di mana para untusan tidak boleh ditahan atau dibunuh seperti itu.


Kedua beranak itu pun terus mencari ruang untuk  menyerang Musailamah. Akibatnya sebelah tangan Nusaibah telah terputus diserang musuh. Tapi beliau tidak mengendahkan semuanya itu, sebaliknya terus mara mencari Musailamah. Dan akhirnya beliau dan  puteranya Abdullah telah menentang Musailamah. Akhirnya Abdullah telah berjaya membunuh Musailamah dengan pedangnya serentak bersama-sama dengan tombak Wahsyi yang tepat mengenai sasarannya pada tubuh Musailamah. Wahsyi adalah pembunuh bapak saudara Nabi s.a.w., Hamzah dalam Perang Uhud, tapi kemudiannya memeluk agama Islam dan ikut berperang dalam memerangi nabi palsu itu.


Bila peperangan selesai, Nusaibah dan puteranya Abdullah kembali ke rumahnya di Madinah dengan penuh kesabaran. Beliau pulang dengan membawa hanya sebelah tangan dan seorang putera. Sebelah tangan dan seorang putera lagi telah ditakdirkan lesap dari sisinya. Di samping itu banyak luka-luka baru dan lama bersarang pada badannya yang tidak pernah dikesalinya. Malah, beliau merasa lebih gembira dengan yang tiada daripada apa yang tinggal padanya. Darah-darah yang memancut dari jasadnya itu, nanti tidak akan mengeluar bau yang hanyir dan busuk, sebaliknya akan mengeluarkan bau  harum yang mewangi. Justeru tak perlu dikesal apa yang hilang, dan tak perlu ditangisi apa yang lesap. Kerana pada hakikatnya, semuanya akan hilang, dan semuanya akan lesap, kecuali Allah S.W.T. semata-mata. Dan segala derita yang ditanggungnya itu pula nanti akan menjadi saksi yang akan dibawanya ke hadapan Alah S.W.T. di akhirat nanti.


Bila Khalifah Saidina Abu Bakar mengetahui Musalimah mendapat kecederaan, lalu beliau berkunjung ke rumahnya, dan memberi kata-kata semangat kepadanya.


Dan akhirnya bila saat ketentuannya telah tiba, Nusaibah yang gagah, berani dan sabar ini kembali ke pangkuan Ilahi, Yang Maha Pencipta.


Insya-Allah syurga sedang menunggunya.


Kita mungkin tidak mengenal Nusaibah. Kita mungkin tidak pernah mendengar namanya. Kita mungkin tidak menyedari siapa dia sebenarnya. Tapi semuanya itu tidak penting kepada beliau. Jasa-jasanya tetap kekal dan abadi di sisi Ilahi. Tempat berlabuhnya yang abadi pun telah pasti. Jaminan Syurga untuknya.


Alhamduillah Nusaibah. Demikian besarnya khidmat dan jasamu. Sesiapa yang mengikut jejak langkahmu, pasti bertuahlah ia. Tidakah cemburu engkau wahai kaum wanita? Tidak rindukah engkau kepada syurga?


END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd




END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr,PR.End

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP