BILA AZAN BERKEMUNDANG?
>> Wednesday, October 3, 2012
Setiap hari, kita
mendengar suara azan berkemundang di segenap ceruk rantau negara kita. Lima
kali sehari, bermula dari Subuh sampai ke Isa’ dan dari Isa’ sampai ke Subuh.
Azan bukan sahaja berkemundang di negara kita, tapi di sleuruh
negara-negara Islam dan di negara-negara terdapat ramai umat Islam. Justeru
setiap hari, seluruh dunia ini, akan bergema dengan suara azan memenuhi angkasa
langit dan bumi.
Azan bukan sahaja menandakan waktu solat telah masuk, atau merupakan seruan kepada umat Islam untuk bersolat, tapi lebih jauh dari itu lagi, azan merupakan lambang dan simbol kedaulatan dan keunggulan Islam dan umatnya yang bertebaran di segenap pelosok dunia.
Di Kampung
Pada masa yang lalu, di kampung saya, dan di kampung-kampung yang lain juga, sebelum ada bekalan elektrik, umat Islam menggunakan cara-cara yang lain untuk memberitahu waktu solat sudah masuk dan untuk mengajak orang solat bejemaah di masjid atau di surau.
Di kampung saya, Kg. Salor, sebelum bekalan elektrik masuk, masjid menggunakan beduk atau tabuh [geduk dipanggil oleh orang Kelantan] yang dipalu bertalu-talu setiap kali tiba waktu solat lima kali sehari.
Biasa juga beduk ini dipalu bila berlaku kematian di kalangan anak mukim.
Di samping itu, madarah di kampung saya [balaisah dipanggil oleh orang Kelantan] dikenali dengan nama Balaisah Pohon Sagu mengetuk loceng bila waktu solat telah masuk. Loceng itu bukannya loceng dalam erti kata yang sebenarnya, tapi sekeping besi daripada bahagian alat jentera yang digantung pada madrasah dan dipalu dengan pemalu juga dari sebatang besi pendek yang mengeluarkan bunyi yang gemercing dalam jarak yang agak jauh untuk memanggil orang solat jemaah.
Walau apapun, baik beduk atau loceng yang dipalu, ia hanya bertujuan untuk memberitahu waktu solat telah masuk dan mengajak umat Islam solat berjemaah di masjid atau di surau.
Tapi bila bekalan api elektrik telah masuk, kedua-dua alat tersebut, tidak lagi digunakan, dan ia hanya merupakan kenangan silam dan menjadi catatan sejarah. Generasi-generasi muda sekarang mungkin tidak menyedari hal itu.
Reaksi Umat Islam
Sepatutnya setiap umat Islam bila mendengar suara azan dikemundangkan, mendengarnya dengan tenang dan khusyuk, menjawabnya mengikut cara yang telah ditetapkan dan menunaikan panggilannya untuk bersolat.
Tapi sejak kebelakangan ini, keadaan telah jauh berubah. Ada anak-anak umat Islam bukan sahaja tidak menjawab seruan azan yang berkemundang itu, malah buat tidak mengerti sahaja seperti lembu kenyang, tidak mempunyai apa-apa makna kepada mereka, semacam mendengar lagu-lagu dikir yang megarut.
Kalau mereka sedang berbual-bual, mereka terus juga berbual, malah dengan lebih rancak dan suara yang lebih dikeraskan supaya suara azan itu tidak kedengaran, atau kalau mereka sedang menonton TV, mereka bukan sahaja terus menontonnya, malah mengeraskan suara TV untuk mengatasi suara azan.
Atau ketika mereka sedang asyik menonton TV, tiba-tiba secara kebetulan kedengaran suara azan berkemundang, mereka akan terus menutup siaran TV itu atau menukarnya kepadaa saluran lain yang ada hiburan, nyanyain, lawak jenaka dan sebagainya.
Ibu-ibu bapa yang ada pun tidak menegur anak-anak mereka, kerana mereka juga dua kali lima, berbuat demikian, jika tidak ada anak mereka yang melakukannya, niscaya mereka sendiri akan melakukannya.
Saya juga mengetahui seorang lelaki Muslim yang tinggal di salah sebuah kota metropolitan di Asia. Ketika balik ke kampung, dia amat takut bila mendengar laungan azan. Macam nak masuk lubang cacing rasanya. Kebetulan rumah keluarganya terletak tidak jauh dari masjid dan suara azannya dapat didengar dengan jelas lima kali sehari dari rumahnya. Kenapa suara azan menakutkannya? Tidak ada siapa yang mengetahuinya sehinggalah dia kembali ke negara tersebut untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Kepada mereka yang tidak sukakan azan, azan itu tidak bemakna apa-apa kepada mereka, semacam kata-kata kosong, semacam lagu-lagu hiburan yang masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, terus hilang membelah angin lalu.
Mereka mungkin tidak menyedari bahawa dalam lafaz-lafaz azan itu tersirat rahsia kekuatan, keutuhan, kesepakatan dan keucian dan kemuliaan Islam dan ketauhidan sebagai agama yang datang dari Allah S.W.T. Seruan azan ditakuti oleh orang-orang bukan Islam dan musuh-musuh Islam, sehinggakan ada negara-negara kafir yang mengharamkan laungan azan di negara mereka dengan diberikan berbagai-bagai alasan yang tidak masuk akal, seperti membising, mencemar udara dan sebagainya.
Janganlah kita orang Islam jadi seperti orang-orang kafir, khususnya Yahudi yang tidak sukakan azan dan mengejek-ejeknya sebagai perbuatan sia-sia dan bodoh bila mendengar azan berkemundang.
Ingatlah kepada sabda Baginda s.a.w., “Sekiranya manusia mengetahui kelebihan yang terkandung pada seruan azan dan saf pertama, dan mereka tidak memperolehinya melainkan melalui undian, pasti mereka akan turut serta mencabut undi......”.HR:Bukhari dan Muslim.
Sejarah Azan Sepintas Lalu
Mengikut sejarahnya azan buat pertama kali daamalkan oleh umat Islam ialah pada tahun kedua Hijriah ketika di Madinah.
Pada mula-mulanya menjelang waktu solat orang-orang Islam berkumpul dan menunggu untuk mendirikan solat. Waktu itu tidak ada siapa pun lagi yang melaungkan azan untuk memanggil orang bersolat.
Setelah bilangan umat Islam bertambah ramai dan sebahagian besar daripada mereka terlibat dan sibuk dengan urusan pekerjaan harian, menyebabkan agak susah untuk mengumpulkan mereka untuk bersolat jemaah.
Justeru, pada suatu hari Baginda Rasulullah s.a.w. menjemput para sahabat untuk bermesyuarat bagi membincangkan cara-cara untuk memberitahu kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat dan mengajak mereka ke mesjid untuk solat jemaah.
Dalam mesyuarat itu ada beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh para sahabat, antaranya:
-Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera bila masuk waktu solat.
-Ada yang mencadangkan supaya ditiup serunai atau trompet bila masuk waktu solat.
-Ada yang mencadangkan supaya dipalu loceng bila masuk waktu solat.
-Ada yang mencadangkan supaya dinyalakan api bila waktu solat telah tiba.
Saidina Umar al-Khattab pula mencadangkan supaya dilaungkan kata-kata, “Telah datang waktu solat”.
Usul Saidina Umar al-Khattab itu diterima oleh Rasulullah s.a.w. tapi Baginda s.a.w. menukar lafaz tersebut dengan kata-kata, “assolata jami’ah”. Yang bermaksud, “Marilah solat berjemaah”.
Bermimpi
Kemudiannya, pada suatu malam, seorang sahabat, Abdullah bin Zaid telah bermimpi melihat seorang lelaki membawa loceng. Abdullah bin Zaid segera bertanya lelaki itu adakah dia ingin menjual loceng tersebut.
Lelaki itu bertanya apakah yang hendak dibuat oleh Abdullah bin Zaid dengan loceng itu.
“Akan kami gunakan untuk memanggil kaum Muslimin untuk solat”, jawab Abdullah bin Zaid.
“Mahukah kamu aku tunjukkan cara yang lebih baik dari itu?”, Tanya lelaki itu.
“Ya, tunjuklah”, jawab Abdullah bin Zaid.
Lelaki itu lalu melaungkan lafaz azan sebagaimana yang kita ketahui sekarang.
[1.Allahhu Akbar, 2 kali
2.Asyhadu alla ilaha il-llah, 2 kali.
3.Asyhadu anna Muhammadar Rasuullah, 2 kali.
4,Haiya alas solah, 2 kali
5.Haiya alal falah, 2 kali.
6.Allahu Akbar, 2 kali.
7.Lailaha Illallah.
Maksudnya:
1.Allah Maha Besar
2.Aku bersaksi, tiada Tuhan melainkan Allah.
3.Aku bersaksi, Muhammad Pesuruh Allah.
4.Marilah sembahayang.
5.Marilah capai kejayaan.
6.Allah Maha Besar.
7.Tiada Tuhan melainkan Allah.
Untuk Azan Solat subuh ditambah, antara Haiya alal Falah dan Allahu Akbar dengan lafaz:
a.Assolatu khairun minan naun, 2 kali.
Ertinya, Sembahayang lebih baik dari tidur].
Pada hari keesokannya, Abdullah bin Zaid datang menemui Rasulullah s.a.w. menceritakan mimpinya itu, dan Baginda s.a.w. besabda, “Mimpimu itu mimpi yang benar. Insya-Allah”.
Seterusnya Rasulullah s.a.w. memerintah Bilal bin Rabah supaya melaungkan azan sebagaimana diceritkan oleh Abdullah bin Zaid itu.
Ketika Bilal melaungkan azan tersebut, Umar al-Khattab mendengarnya, beliau lalu segera datang menemui Rasulullah s.a.w. dan menceritakan kepada Baginda s.a.w. beliau juga bermimpi seperti yang dimimpikan oleh Abdullah bin Zaid itu.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Segala puji bagi Allah S.W.T”.
Justeru itu marilah kita semua, khususnya diri kami sendiri, bersama-sama menghormati seruan azan yang begema lima kali sehari sebagai wadah untuk membina diri kita dengan keperibadian Muslim yang unggul dan seterusnya membentuk sebuah masyarkat Islam yang syumul yang merentasi segala masa dan tempat untuk terus tegak sebagai umat jagat yang mulia dan dihormati sepanjang zaman.
0 comments:
Post a Comment