Prof. Madya Datuk Mohd Asri Dan Datuk-Datuk

>> Thursday, October 18, 2012



PROF MADYA  DATUK MOHD ASRI DAN  DATUK-DATUK


Saya telah membaca luahan hati Prof. Madya Datuk Mohd Asri dalam Sinar Harian, Jumaat 12 Oktober 2012 yang lalu. Beliau membicarakan perasaannya sendiri mengenai gelaran Datuk yang dikurniakan oleh istana Perlis kepada beliau.


Antara persoalan yang menganggu beliau ialah adakah beliau perlu memakai gelaran itu, atau tidak memakainya dengan mengekalkan panggilan namanya yang popular di kalangan peminat-peminatnya, sebagai  Dr. Asri atau Dr. MAZA?


Bagi saya, beliau memang layak mendapat gelaran tersebut, iaitu Datuk Arif Perkasa. Serahkanlah sahaja kepada orang ramai apa yang hendak mereka panggil kepada Datuk? Dr. Asrikah? Dr. MAZAkah? Datuk Mohd Asrikah? Dan sebagainya. Tidak ada apa-apa masalahnya.

Takkan beliau hendak melarang pula, bila ada orang yang memanggil beliau Datuk?


Lagi pun setiap pemberian, penganugerahan orang, tidak kira daripada siapa sahaja, perlu dihargai dan dihormati. Demikian juga dengan pengurniaan gelaran Datuk, dan penghargaannya ialah dengan memakai gelaran tersebut, kalau tidak secara umum pun, secara terbatas pada atur-acara atau surat-surat resmi.


Umpamanya, kalau Datuk Mohd Asri hendak menulis warkah kepada pihak istana negeri Perlis, tentulah  tidak wajar kepada beliau untuk tidak menggandingkan gelaran Datuk di pangkal nama beliau?


Lagi pun pada umumnya yang memanggil datuk bukannya orang yang empunya diri yang begelar datuk kepada dirinya, tapi orang lain yang mengerti adab sopan dan budi bahasanya ketika berbicara.


Menteri Besar Kelantan. YB Nik Aziz Nik Mat, terkenal dengan panggilan Tok Guru, dan sbelumnya Ustaz, dan ada juga yang meamanggil “Ayah Ziz” juga dikurniakan gelaran Datuk. Dan sampai kini pun orang ramai, khususnya rakyat Kelantan, lebih suka mengenali dan memanggil beliau dengan panggilan “Tok Guru”. Nampaknya tidak ada masalah kepada beliau.
ai

Saya kenal dengan seorang ahli politik yang berjawatan yang dikurniakan dengan sebuah gelaran Datuk. Pada peringkat awalnya, beliau keberatan untuk menggunakan gelaran tersebut kerana hendak mempertahankan semangat kemarhaenanya di kalangan rakyat jelata. Pada surat-surat dan urusan-urusan resmi pun beliau tidak menggunakan gelaran yang diberikan itu.


Akhirnya pihak pemberi gelaran bertanya  kenapa beliau tidak memakai gelaran yang dikurniakan itu?, Tidak sukakah?


Justeru itu beliau terpaksa memakai gelaran yang dikurniakan itu  di mana-mana sahaja tanpa kekok-kekok  sampai  ke akhir hayatnya.


Saya juga tahu ada mereka yang dikurniakan gelaran datuk akan bermasam muka malah marah, jika beliau tidak dipanggil dengan gelaran datuk itu. Saya juga tahu ada sesetengah datuk yang enggan menghadiri majlis-majlis jiran tentangganya sekali pun, kerana katanya gelaran datuk yang dikurniakan kepadanya itu tidak melayakkan beliau untuk hadir dan bercampur gaul dengan masyarakat umum di majlis-majlis seperti itu.


Kita juga tahu, ada orang-orang yang berusaha keras semata-mata untuk mendapat kurniaan datuk atau lain-lain kurniaan, dan mereka sanggup mengeluarkan beberapa banyak belanja sekali pun untuk mendapat gelaran tersebut. Dan tidak jarang juga mereka ini menjadi mangsa penipuan.


Kita juga tahu ada orang-orang yang tidak dikurniakan sebarang gelaran pun sanggup menggunakan gelaran di pangkal nama mereka, semata-mata dengan tujuan untuk mengabui mata masyarakat dan juga dengan tujuan untuk menipu orang ramai dengan status mulia mereka konon.


Saya juga kenal dengan seorang manusia yang berminat untuk mendapat gelaran datuk. Tapi bila dikurniakan dengan gelaran itu, dia semacam tidak kenal langsung dengan sahabat-sahabatnya, seperti saya yang tidak bergelar datuk ini.


Pendeknya ada bermacam-macam ragam manusia dengan gelaran datuk.


Dalam hal ini, terserahlah kepada pihak yang menerima gelaran-gelaran itu untuk menilai dan menggunakannya mengikut kebijaksanaan masing-masing. Begitu jugalah dengan YBhg. Prof. Madya Datuk Mohd Asri.


Datuk Yusuf Zaky Yaacob


Memabca tulisan Datuk Mohd Asri itu, saya segera teringat kepada Allahyarham Datuk Yusuf Zaky Yaacob, seorang penulis, seorang ulamak dan seorang usahawan terkenal yang buah fikirannya sentiasa segar dan bernas

.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~Datuk Yusuf Zaky Yaacob, no tiga dari kanan.


Mereka berdua, Mohd Asri dan Yusuf Zaky  masing-masing telah dikurniakan dengan gelaran Datuk oleh pihak istana, cuma seorang telah meninggal dunia [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], iaitu  Allahyarham Datuk Yusuf Zaky Yaacob dan seorang lagi masih hidup, Datuk Mohd Asri. Seorang di negeri Kelantan, dan seorang lagi  di negeri Perlis.


Pada suatu hari Allahyrham menjemput saya makan tengah hari di rumah beliau dan mengajak saya menumpang keretanya dari pejabat Syarikat . Dian Sdn. Bhd, di Lundang ke rumah beliau di Kampung Paya Purnama.


Dalam perjalanan itu, bila kami sampai hampir dengan rumah beliau, beliau pun memberitahu saya, katanya beberapa hari yang lalu, beliau telah menerima panggilan telefon dari seseorang yang tidak dinamakannya memberitahu bahawa pihak istana ingin  menawarkan sebuah kurniaan gelaran kepadanya.


Tapi katanya dia telah menolak tawaran itu. Bila saya bertanya kenapa beliau menolaknya, beliau hanya menajwab ringkas, “Susah.....”. Dan percakapan kami mengenai perkara tersebut terhenti setakat itu sahaja.


Dan beberapa hari kemudian, bila saya bertemu dengan beliau, Allahyarham memberitahu saya sekali lagi, bahawa orang yang sama menelefon beliau, meminta beliau supaya menerima tawaran gelaran yang tersebut.


Allahyarham memberitahu, beliau masih menolak tawaran dari istana itu. Beliau tidak juga menamakan siapakah orang tersebut. Walau bagaimana pun sudah pasti, orang itu seseorang yang  mempunyai hububngan rapat dengan pihak istana pada waktu itu.


[Beberapa tahun kemudian, dalam beberapa siri rententan  peristiwa yang diceritakan, saya pasti orang yang dimaksudkan oleh beliau itu ialah seorang tokoh].


Beberapa hari kemudian bila saya bertemu  beliau sekali lagi, beliau memberitahu orang yang sama menelefon beliau sekali lagi. Katanya orang itu memberitahu, bahawa beliau tidak patut menolak tawaran tersebut, tentulah ada sebabnya pihak istana memiih beliau untuk diberikan kurniaannya itu . Orang itu “meminta” beliau berfikir semula dan memberi jawapan dalam masa yang terdekat.


“Kalau begitu, “katanya, “hamba kena terima juga tawaran tersebut. Tak apalah...”.


Beberapa hari kemudian, secara kebetulan saya bertemu dengan seorang pembantu beliau, Wan Yusuf di bandar Kota Bharu. Beliau memberitahu saya, dia baru sahaja membeli sebilah keris untuk “ustaz”. Yang dimaskudkan “ustaz” itu ialah Datuk Yusuf Zaky Yaacob.


“Buat apa beli keris?”, tanya saya.


“Ustaz nak pakai pergi ke istana”. Seterusnya beliau bercerita lagi, “Nak beli yang mahal ustaz tak mahu, kerana hulunya dibuat daripada gading gajah, binatang tak disembelih”.


Akhirnya Yusuf Zaky Yaacob yang sekian lama dipanggil dengan panggilan “Ustaz” oleh semua lapisan masyarakat, baik tua, muda, atau kanak-kanak, telah dikurniakan dengan gelaran Datuk.


Namun begitu orang-orang yang lebih dekat sedikti dengan beliau memanggilnya “Abang Suh”, sementara di kalangan keluarganya yang masih muda, seperti anak-anak saudaranya, tetap memanggilnya “Ayah Suh”.


Setelah beliau dikurniakan dengan gelaran Datuk pun, masih ramai orang yang memanggil beliau dengan panggilan “Ustaz”, terutama di kalangan anak-anak buahnya di tempat kerja, atau memanggilnya “Abang Suh”, seperti kami.


Kami hanya menggunakan panggilan Datuk ini bila menyebut nama beliau di majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh orang-orang ramai, terutama sekali di kalangan orang-orang yang bergelar.


Demikian juga panggilan datuk tersebut digunakan oleh sahabat-sahabatnya atau rakan-rakan sebaya dengannya yang juga bergelar datuk atau sebagainya, dan juga di kalangan kakitangan kerajaan yang berhubung dengan beliau.


Surat-surat yang dihantar kepada beliau, khususnya surat-surat rasmi dari kerajaan sudah tentu menggunakan gelaran Datuk pada sampul surat dan kandungannya.


Nampaknya tidak ada apa-apa masalah kepada beliau dengan nama apa pun beliau dipanggil, Datukkah, Ustazkah atau Abang Suhkah? Terserahlah kepada penggunanya, asalkan tidak menggunakan nama yang keji dan buruk.


Ada beberapa perkara yang diceritakan oleh beliau kepada saya, di waktu dan di tempat yang berlainan berhubung dengan perkara itu. Tapi mohon maaf, saya tidak boleh mendedahkannya kerana terlalu personal.


Saya hanya boleh mengatakan, ia merupakan satu ingatan yang ikhlas kepada saya yang akan menjadi kenangan sepanjang masa.


Demikianlah saya harap apa yang dihadapi oleh Allahyarham Datuk Yusuf Zaky Yaacob ini menjadi pedoman yang berharga,  khususnya kepada Datuk Prof. Madya Mohd Asri yang baru sahaja beberapa bulan menerima gelaran Datuk dari pihak istana kerana mengenangkan sumbangan-sumbangan beliau yang besar kepada negeri itu, khsusnya dan negara Malaysia amnya.


END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd









0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP