Air! Oh Air!
>> Wednesday, October 10, 2012
AIR!AIR! OH AIR!!
Hari Jumaat lepas, [5 Oktober 2012] saya solat Jumaat di Masjid Damansara, Kuala Lumpur. Walau pun kepala paip telah banyak disediakan di masjid itu, dan air pun mencukupi, tapi kami terpaksa berbaris beberapa waktu, menunggu giliran untuk ambil wuduk, kerana ramai jemaah yang hendak solat.
Malam sebelum itu, saya dan beberapa orang sahabat karib berada di rumah seorang sahabat. Rumahnya besar dan indah, ada kolam mandi di tengah-tengah kawasan rumah dan terletak di kawasan yang terbuka. Pada malam itu semua kawan-kawan mandi-manda di kolam, kecuali saya.
Kerseronakan dan kegembiraan terpancar di wajah-wajah mereka yang keriangan berkecimpung di kolam renang, berenang ke hulu dan ke hilir, terjum dan menyelam, sekujur badan dibasahi air. Salah satu nikmat Allah yang Maha Agung.
Keperluan Kepada Air
Air sebagai suatu bahan yang menjadi asas binaan kehidupan itu sebenarnya mempunyai banyak kegunaan. Baik kepada makhluk manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan.
Manusia boleh hidup selama beberapa minggu tanpa menikmati sebarang makanan, asalkan mereka boleh minum air. Tapi tanpa air, manusia hanya mungkin boleh hidup antara tiga sehingga sepuluh hari sahaja.
Malah mereka tidak mungkin hidup tanpa air. Tegasnya tanpa air semua makhluk hidup di dunia ini akan musnah dan binasa.
Kegunaan Air
Kegunaan air yang utama kepada manusia ialah untuk minum, untuk memasak makanan dan juga untuk pembersihan diri dan sekitar supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan segar serta menyenangkan.
Dalam badan makhluk manusia, air memain berbagai-bagai peranan penting, seperti membentuk darah, hingus, kahak dan sisa-sisa pembuangan yang tidak diperlukan, seperti keringat, air kencing, air mata, air susu dan sebagainya.
Air berguna untuk membantu kelancaran pencernaan makanan dalam perut, berguna untuk paru-paru, buah pinggang, perut, usus dan juga kulit supaya tidak menjadi kering dan berkerasap.
Dalam badan manusia, air merupakan alat penganggkutan untuk membekalkan semua bahan-bahan yang diperlukan oleh seluruh organ-organ jasmani.
Melalui air inilah, bahan-bahan yang tidak perlu atau merbahaya yang terdapat dalam badan dibuang menerusi proses tertentu, seperti sel-sel badan yang telah mati.
Di samping berguna untuk buah pinggang, air juga berguna untuk kesihatan organ-organ lain yang penting, seperti jantung, paru-paru dan perut.
Ia berguna untuk melancarkan pertukaran udara dalam badan manusia, dan dapat menghilang kepanasan dalam badan.
Kalau kita merasa kehausan, maka rasa haus itu hanya dapat dihilangkan dengan meminum air- apa-apa air yang wajar diminum.
Kepentingan Air
Air adalah merupakan sebaik-baik minuman untuk semua manusia. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sebaik-baik minuman di dunia dan di akhirat adalah air”.
Semua benda yang hidup dijadikan Allah dari air. Firman-Nya, “Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapa mereka tidak juga beriman”.Al-Anbiya’: 30.
Mengikut kajian sains air ialah sejenis cecairan mengandungi hidrogen dan oksigen, iaitu dua bahagian atom hidrogen dan satu bahagian atom oksigen yang diformulakan sebagai H2O.
Sains juga mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada jasmani manusia adalah terbina dari air, iaitu kira-kira 70 peratus daripada tubuh manusia terbina dari air.
Justeru itu tubuh manusia memerlukan air yang banyak dari masa ke masa untuk memproseskan sesuatu keperluan yang diperlukan oleh jasmani manusia bukan sahaja untuk hidup, tapi juga untuk hidup dengan sihat.
Justeru jika tidak ada air dalam badan kita atau tidak ada air dalam kehidupan kita, bererti kita tidak mempunyai masa yang lama untuk terus survival, malah akan segera menemui kematian.
Pengeluaran Air
Air yang terdapat dalam badan kita pula keluar menerusi berbagai-bagai cara, seperti keluar bersama najis, air kencing, keringat, muntah, wap ketika kita bernafas dan ketika ceret beret.
Untuk kehidupan, air-air yang hilang itu perlu diganti dengan jalan meminum air.
Untuk menggantikan air yang hilang dari tubuh itu, kita perlu menggantinya dengan dua hingga tiga leter air setiap hari.
Air sebanyak itu tidak perlu diminum sekali gus dalam satu masa, tapi ia boleh diminum sebanyak beberapa kali dalam masa-masa yang berlainan untuk mencukupkan keperluannya.
Dengan mendapat air yang mencukupi seperti itu, barulah jasmani kita menjadi kuat dan sihat dan mampu menentang berbagai-bagai serangan penyakti yang sentiasa menunggu mereka yang cuai. Lagi pun otak yang baik itu, terletak pada badan yang baik.
Sumber Air
Air meliputi sebahagian besar daripada permukaan bumi, iaitu dengan kadar 72 peratus, dan terdapat dalam berbagai-bagai bentuk dan keadaan pula, seperti air laut, air bawah tanah, air pada bongkah air batu yang besar yang terdapat di benua Antartika, di Greenland dan lain-lain tempat lagi.
Justeru itu, bukan semua bekalan air semula jadi itu boleh diminum secara langsung, umpamanya air laut, ia tidak dapat diminum kerana rasanya yang masin, bongkah air batu di khutub utara dan selatan tidak dapat diminum kerana sejuknya. Di samping itu kebanyakan air pula kotor, kerana pencemaran semula jadi atau pencemaran akibat hasil tangan manusia sendiri, terutama sekali akibat kerakusan manusia untuk mengejar kemewahan.
Mengikut kajian sains, sebahagian besar dari air bumi ialah terdiri dari air laut yang masin, iaitu sebanyak 96.5 peratus, sementara bongkah air batu di khutub-khutub pula merupakan sebanyak 1.7 peratus air bumi, dan 1.7 peratus lagi terdiri daripada air bawah tanah. Sebahagian kecil lagi terdapat dalam atmosphere.
Daripada semua itu pula, hanya sebanyak kurang daripada 0.3 peratus air bersih yang terdapat dalam
sungai, tasik dan atmosphere yang boleh dan layak digunakan.
Sedangkan semua hidup-hidupan, khususnya manusia memerlukan air yang bersih untuk hidup, dan juga untuk hidup dengan sihat, segar dan bersih.
Daripada segala air bumi itu, jumlah air bersih amatlah kecil, iaitu sebanyak 2.5 peratus sahaja, air layak untuk dipergunakan oleh manusia.
Justeru bilangan penduduk dunia yang kian meningkat dari masa ke masa, yang terdiri dari manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, maka bekalan semula jadi air tulen bertambah merosot dari masa ke masa. Sehingga hari ini adalah dianggarkan sebanyak kira-kira stu bilion penduduk dunia tidak memiliki sumber air yang bersih.
Andainya sumber-sumber bekalan air tulen ini tidak dikawal selia dengan baik, maka dibimbangi pada suatu masa yang tidak lama lagi akan tercetus perbalahan atau peperangan kerana berebut sumber air, seperti dipercayai pernah berlaku di zaman primitif yang lalu.
Air Dipolitikkan
Di negara kita, khususnya di Selangor dan juga di Kelantan hal pembekalan air bersih telah dijadikan isu politik oleh parti-parti politik yang tertentu, dengan harapan untuk memancing undi rakyat dalam pilihan raya yang akan datang ini. Biasanya permasalahan yang dikemukkan nampak begitu dangkal, dan sengaja diada-adakan sehingga menampakkan kebodohan pihak yang melakukannya di mata rakyat jelata.
Air Hujan
Kita memperolehi air di dunia ini daripada beberapa sumber. Air hujan yang turun dari langit adalah salah satu daripadanya.
Air hujan adalah sejenis air yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Di samping dapat dijadikan air minum yang biasa, dan menyuburkan tanaman, air hujan juga mempunyai keberkatan.
Allah berfirman, “Dan kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya”. Qaf: 9
Dan firman-Nya, “Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu”.Ibrahim: 31.
Justeru itu selain daripada berguna sebagaimana biasa, air juga mempunyai kegunaan sampingan, seperti tujuan merawat penyakit-penyakit yang tertentu dan dengan kaedah-kaedah yang tertentu pula. Insya-Allah.
Air Zamzam
Selain dari air hujan, air yang juga tinggi nilainya, ialah air Zamzam yang bukan sahaja berguna untuk menghilangkan dahaga, tapi juga menyembuhkan penyakit.
Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja meminum air Zamzam malah mensunnhakan umatnya minum air Zamzam.
Saidina Ali bin Abi Thalib meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. meminta diambilkan satu bekas air Zamzam dan Baginda s.a.w. meminum sebahagian daripadanya.
Baginda s.a.w. juga memerintah umatnya supaya meminum air Zamzam kerana air Zamzam itu mengandungi banyak manfaat dari segi duniawi dan ukhrawi.
Sebuah Sabda Rasulullah s.a.w. mengenai air Zamzam bersumber dari Jabir yang menceritakan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Air Zamzam itu tergantung dari niat meminumnya, apabila engkau meminumnya dengan niat untuk memohon kesembuhan panyakit dari Allah, maka Allah akan menyembuhkan penyakitmu. Apabila engkau meminumnya dengan niat untuk memohon perlindugnan, maka Allah akan melindungimu. Apabila engkau meminumnya dengan niat untuk menghilangkan dahaga, maka Allah akan menghilangkan dahagamu. Dan apabila engkau meminum dengan niat mengenyangkan perut, maka Allah akan mengenyangkan engkau. Dan air Zamzam itu adalah air dari telaga yang digali oleh Malaikat Jibril dan minuman segar bagi Nabi Ismail”. HR:Ibnu Majah & Baihaqi.
Air Batu
Kita patut berhati-hati dengan air batu, kerana boleh menyebabkan peminumnya mengalami kerosakan gigi, batuk, selsema dan penyakit dada.
Air tulen yang bersih tidak mempunyai sebarang rasa atau bau. Ia bebas daripada bahan-bahan beracun, bebas daripada pencemaran dan bebas daripada kuman mikrob yang boleh mengancam kesihatan manusia yang menggunanya.
Tapi dengan tujuan untuk menimbulkan rasa yang lebih enak, menarik, lebih berkhasiat, malah juga membahayakan, manusia telah merubah bentuk, rupa dan rasa air dalam berbagai jenisi dan dengan berbagai-bagai nama yang berbeza-beza, supaya lebih menarik kedengaran di telinga dan lebih menggalakkan untuk diminum.
Untuk mengetahui bagaimana banyaknya jenis air-air yang telah diubahsuai itu dengan berbagai-bagai rupa, rasa dan bentuk, pergi sahaja ke pasar-pasar raya, resturan-resturan, dan kedai-kedai runcit, dan perhatikanlah dengan teliti peti sejuk atau rak-rak yang diletakkan dengan bekas-bekas yang berisi air itu.
Oleh itu anda hendaklah lebih hati-hati dalam memilih jenis air minuman, jangan terpilih minuman yang tidak wajar dan tidak sesuai dengan anda yang boleh menimbulkan kesan-kesan sampingan yang buruk kepada kesihatan anda, baik untuk jangka pendek atau pun jangka panjang.
Air Untuk Berkumur
Salah satu amalan penting yang patut dilakukan selepas setiap kali makan ialah membersih mulut dengan cara berkumur-kumur menggunakan air kosong yang bersih. Berkumur selepas makan adalah kebiasaan yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Tujuannya ialah untuk membuang sisa-sisa makanan yang mungkin terlekat pada gigi-gigi atau di dalam mulut yang boleh menjadi punca berbagai-bagai jenis penyakit, khususnya penyakit yang berhubung dengan alat pencernaan.
Abdullah bin Abbas r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah meminum susu, lalu beliau berkumur seraya bersabda, “Sesungguhnya ia memiliki lemak”.
Ketika saya sedang menaip rencana ini, bekalan air rumah kami di Sungai Durian, K.K. telah terputus. Ia dikesan selepas kami balik dari solat Subuh. Entah apa sebabnya tidaklah diketahui. Seingat-ingat saya sejak tinggal di sini hampir sepuluh tahun, kami tidak pernah dimaklumkan jika bekalan air hendak dipotong. Pemotongan itu boleh berlangsung selama beberapa jam, sehari, selama beberapa hari malah ada yang lebih dari seminggu, tanpa makluman kepada kami oleh pihak yang berkuasa. Untuk hari ini, bekalan air akan disambung semula,atau tidak, tidaklah diketahui.
Alangkah baiknya kiranya, pihak berkuasa memaklumkan terlebih dahulu kepada para pengguna jika bekalan air hendak dipotong dengan tepat, bila dan sampai bila, supaya tidak meresahkan pengguna menunggunya, dan membolehkan melakukan persediaan terlebih awal jika ada makluman. Payah sangatkah hendak membuat makluman seperti itu?
Air! Oh Air! Kepentingannya tidak akan terasa, selagi kita mendapat bekalan air yang mencukupi setiap hari, dan ia hanya akan terasa bila bekalan air itu terputus atau tidak ada lagi.
Oleh itu gunalah air dengan sebaik-baiknya, dengan sewajarnya, dengan hati-hati, supaya tidak melampau dan tidak tersalah guna yang boleh mengancam keselamatan diri. Jauhilah air yang tidak perlu dan air yang membahayakan. Bukan sebarang air boleh diminum dan digunakan. Berhemahlah dalam mengguna air. Berjimatlah menggunakan air. Kadang-kadang air itu serupa emas di kawasan yang tidak berair. Jangan menyesal kemudian.
END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End.
0 comments:
Post a Comment