BERSYUKURLAH KERANA BERSYUKUR ITU IBADAH
>> Sunday, June 30, 2019
SYUKUR:KENAPA
MESTI BERSYUKUR?
“Boleh sedikitpun tak kena, boleh banyak pun tak kena”.
Begitulah kata-kata yang kadang kala saya dengar diucapkan oleh orang-orang tua di kampung saya dulu.
Apa maknanya?
Maksudnya menunjukkan orang atau orang-orang yang dikataakan itu tidak bersyukur dengan rahmat Allah. Memperolehi sedikit rezki pun tak kena, dan mendapat banyak rezki pun tak kena. Semuanya tidak puas hati.
Itulah wajah jelas orang yang tidak bersyukur.
Nikmat Allah
Setiap orang Muslim sentiasa merasa bahawa nikmat Allah yang dikurniakanya kepadanya amatlah besar dan banyak. Tidak terhitung bilangannya.
Allah berfirman:
“Jika kamu menghitung nikmat Allah itu tiadalah dapat kamu mengiranya satu persatu””. An-Nah:18.
Nikmat-nikmat itu diterimanya sejak seorang manusia berada dalam rahim ibunya, dari setitis mani lalu bernagsur-angsur membentuk dan membesar menjadi seorang bayi dalam kandungan ibunya.
Kemudian bila sampai masa ketetapannya dia keluar dari rahim ibunya dan lahir ke dunia. Seterusnya dengan rahmat Allah ia terus berkembang menjadi seorang kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya dengan rahmat Allah mencapai usia lanjut.
Dan di peghujung hayatnya itu dengan rahmat Allah dia menemui kematian mengikut kententuan Allah untuk kembali kepadaNya.
Di sepanjang hayatnya itu, sebelum jasadnya menjadi kaku tidak bernyawa,
dia mendapat begitu banyak limpahan
rahmat dari Allah SWT, yang tidak terhitung.
Allah melimpahkan kepadanya beraneka bentuk rezeki yang tidak terkira dalam berbagai-bagai bentuk.
AllahH mengurniakan pekerjaan kepaedanya
untuk mendapat rezeki bagi menyarakan keidupannya.
Allah mengurniakan kepadanya makan, minum untuk membolehkan dia hidup.
Allah mengurniakan kepadanya rumah untuk dia berkeluarga, berihat, berteduh
dari hujan dan panas.
Allah mengurniakan kepadanya isteri, suami, anak pinak, dan cucu cicit
sebabagai penyambung generasinya.
Allah mengurniakan ilmu pengetahuan kepadanya.
Dan pentingnya Allah mengurniakan kepadanya Islam sebagai agama yang diredaNya dunia dan akhirat.
Terlalu banyak untuk dibutirkan di sini segala rahmat Allah dikurniakan kepada setiap makhluk, dan jika dihitung tidak akan ada noktah berhentinya. Apa yang diutarakan di atas itu hanya sekadar sebahagian kecil contohnya sahaja.
Allah berfirman:
“Apa sahaja nikmat yang ada pada kamu semuanya dari Allah”.An-Nahl:53.
Bersyukurlah
Dalam bahasa mudah Syukur itu ialah “Terima Kasih” atau”Thank You Allah”.
Kita sebagai seorang hamba hendaklah sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan itu.
Kita hendaklah menyanjung tinggi segala kurniaan Allah itu di samping bersyukur kepada Allah segala pengurniannya itu.
Lumrahnya ada dua cara untuk menyampaikan syukur kepada Allah.
Pertama menerusi lidah atau lisan, iaitu dengan bertahmid memuji Allah.
Rasulullah saw bersabda tentang syukur menerusi lisan:
“Menyebut nikmat Allah itu merupakan kesyukuran dan meninggalkan sebutannya merupakan kekufuran. Siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit tidak akan mensyukuri yang banyak dan barang siapa tidak mensyukuri manusia tidak akan mensyukuri Allah”.
Menyebut-nyebut nikmat yang dikurniakan Allah dengan ikhlas dan jujur bererti mensyukuri kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakannya, dan merupakan amalan yang amat disanjung tinggi oleh Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Keengganan seseorang untuk berbuat demikian dengan terang menujukkan dia seorang yang tidak beradab kepada Allah dan rendah budi pekertinya kerana tidak bersyukur kepada Allah yang telah melimpahkan rahmat ke atasnya.
Akibat Tidak Syukur
Saya ingin menceritakan sedikit pengalaman saya akibat tidak bersyukur. Pada usia muda dahulu kami pernah berhijrah ke Kuala Lumpur. Ringkas ceritanya begini. Pada suatu hari Aallahyarahmah isteri saya membeli sepasang kasut baru untuk saya.
Tapi saya tidak begitu sukakan kasut itu kerana tapaknya lebih tinggi dari kasut biasa yang saya pakai. Justeru setiap kali hendak memakainya saya sentiasa merungutkan tentang kasut itu kerana tidak selesa dipakai. Sepatutnya saya bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan sepasang kasut baru kepada saya.
Kira-kira dua minggu kemudian, hari ini hari Jumaat, dan sambil merungut saya pakai kasut itu untuk pergi ke masjid bersolat Jumaat. Bila selesai solat Jumaat saya pun mencari kasut saya itu di tempat saya menyimpannya tadi.Tapi kasut itu sudah tidak ada lagi di situ. .Puas saya cari di kawasan di sekitar juga tidak ada. Dan saya tunggu sehingga para jemaah hampir balik semuanya. Kasut itu tidak kelihatan juga.
Saya lalu disentak oleh kesedaran bahawa demkianlah akibat tidak bersyukur kepada nikmat Allah. Beleber tak habis-habis! Maka kasut itupun terus lesap.
Bersyukur adalah merupakan sebahagian daripada ibadat yang diperintahkan Allah ke atas hamba-haba Nya.
Dalam hubungan ini kata-kata “Alhamdulillah” adalah merupakan ucapan lisan yang menggambarkan kesyukuran agung seseorang kepada Allah SWT.
Dalam surat Alfatihah ada kata-kata Alhamdulillah yang melambangkan kesyukuran yang tinggi seseorang kepada Allah SWT dan sesudah solat pula kita disunatkan memabacanya sebanyak 33 kali supaya kesyukuran itu sentiasa menjadi amalan hidup kita setiap masa.
Kedua bersyukur menerusi angota jasmani, iaitu dengan melakukan ketaatan kepada Allah menerusi anggota-anggota badan ini. Mengikuti segala perintah Nya dengan amalan, dengan meninggal yang dilarang dan melaksanakan apa yang diperintah.
Dan andainya rahmat yang dikurniakan itu berupa harta benda dan kekayaan, tenaga dan ilmu pegentahua, dia juga hendaklah menyalurkan rahmat itu kepada orang lain yang memerlukannya untuk menikmatinya bersama, seperti kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, membina sekolah-sekolah dan sebagainya.
Tegasnya kita dituntut mempergunakan segala nikmat Allah yang kita perolehi itu sebagaimana diperintah oleh Allah dan disukainya dan bukannya berbuat maksiat atau melaburkannya tanpa mengira buruk baiknya.
Dengan itu seluruh anggota jasmani kita di pergunakan untuk tujuan yang baik belaka, seperti kaki, tangan, mata, telinga, mulut lidah dan sebagainya, dan menjauhkan perkara-perkara yang munkar atau yang dilarang oleh Allah.
Itulah ia hakikat kesyukuran yang darjahnya lebih tinggi daripada sifat sabar yang juga begitu mulia sifatnya untuk dimiliki oleh setiap orang hamba Allah.
Orang-orang yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat Allah adalah orang yang kufur, iaitu kufur nikmat, iaitu melupakan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang melimpah rahmat ke atasnya.
Allah berfirman:
“Hendaklah kamu ingat kepada Ku niscaya Aku ingat padamu dan bersyukurlah kepada Ku serta jangan kamu ingkar kepada Ku”.Al-Bqarah:152..
Dan
“Dan sungguh Kami telah berikan hikmah kepada Luqman, iatu, “Bersyukurlah kepada Allah dan barangsiapa bersyukur kepada Allah maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri,dan berangsiapa tidak bersyujur[kufur], maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terrpuji”. Luqman:12.
Dan
“Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”.Ali ‘Imran:145.
Diakhiri artikel ini dengan sebuah doa yang sering dibaca selepas solat:
“Allahumma a’innni ‘ala dzukrika wa syukrika wa husni
‘ibadatik”.
Maksudnya,
“Ya Allah aku memohon pertolongan Mu agar jadikan aku
hmba Mu yang ingat kepada Mu, syukur kepada Mu dan elok ibadah kepada Mu”.
Kg. Parit, PT. Kota Bharu Kelantan.
30 Julai 2019
/26 Syawal 1440
0 comments:
Post a Comment