BERSEPADU SEMPENA AIDIL ADHA

>> Sunday, August 27, 2017









BERPADU SEMPENA AIDIL ADHA







AIDIL ADHA akan mengunjung kita dalam masa sehari dua lagi. Begitulah setiap tahun sejak ratusan tahun yang lampau, dan terus berlanjutan selagi dunia berkembang, untuk disambut oleh umat Islam di seantero dunia, khususnya dengan mengunjungi Tanah Suci Mekah untuk menunai ibadat Haji.







Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukum Islam yang lima yang wajib ditunakan oleh muslimin dan muslimat yang berkemampuan. Inilah jalan orang-orang yang beriman dan bertakwa yang rela berkubran kerana menunaikan perintah suci agamanya yang datang dari Allah.

Malah sebagai seorang Islam kita dituntut supaya sentiasa menghiasai hidup kita dengan bertakwa yang tulen kepada Allah SWT., iaitu dengan mentaati dan mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan Nya, dalam semua sitiwasi, susah atau gembira, masa kelapangan atau kesempitan, baik di hadapan khalayak ramai atau sewaktu bersendirian.

Aidil Adha akan tiba dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Pada hari itu seperti lumrahnya berkumpul jutaan kaum Muslimin dan Muslimat dari seluruh dunia berpakaian seragam putih, dan tidak berjahit bagi kaum lelaki.

Sebagai umat Islam sudah tentu kita merasa bangga, merasa hebat dengan perhimpunan yang berlangsung setahun sekali itu, dengan semangat persatuan dan kesepaduan. Kita berimankan seorang iman tanpa mengira apa mazhabnya dan tanpa bertanya dari puak mana, tanpa melihat apa warna kulitnya, tanpa bertanya bangsanya, malah semuanya mengikut satu arahan, dan semuanya sebulat suara.

Demikian indahnya ajaran Islam, dan demikian hebatnya cara hidup Islam. Tapi kita merasa dukacita, kerana suasana yang harmonis itu hanya berlaku sekejap sahaja, persis embun di hujung rumput, bila ditimpa panas hilanglah ia. Bila selesai menunaikan ibadat haji dan umat Islam kembali ke tanah air masing-masing, perangai lama mereka berulang lagi. Mereka kembali berpecah semula, dan kembali hidup berpuak-puak lagi. Mereka tajamkan rasa permusuhan sesama sendiri. Mereka mengangkat senjata kepada mereka yang seagama. Mereka kembali berdendam, mereka bajai budaya fitnah, buruk sangka, caci maki dan seribu macam sifat-sifat keji dan jelik lagi. Amalan Haji gagal diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian.

Kita tidak payah pergi jauh melintasi sempadan untuk melihat perpecahan  ini. Pandang sahaja sekeliling di tanah air kita, bagaimana perpecahan masyarakat itu berlaku antara kita sesama Melayu tegasnya sesama Islam. Ia berlaku di peringkat atas dan di peringkat bawah, dengan menyalakan api-api persengketaan yang bertujuan untuk menjaga kepentingan diri sendiri masing-masing. Dalam kancah persengketaan seperti ini, berlakulah ungkit mengungkit, tuduh menuduh, fitnah memfitnah, cabar mencabar dan sebagainya tanpa penghujung........

Salah satu sumber persengketaan yang membenihkan perseteruan dan perpecahan dalam masyarakat kita ialah fahaman pilitik yang berbeza yang telah menjadi barah sejak sekian lama merosakkan masyarakat dan bangsa kita tanpa dapat disembuhkan. Dan lebih malang lagi pula sejak mutakhir ini timbul kembali perpecahan kerana agama yang kian hari kian meruncing nampaknya, ialah hampir mengulangi perpecahan masa yang lalu dengan perseteruan antara “golongan tua dan golongan muda”, tapi hari ini dengan tuduhan yang lebih lantang, iaitu golongan ahli sunnah [WSJ] yang menanggap dirinya tulen dengan golongan yang dituduh sebagai Wahabi kerana mempunyai pendapat yang berbeza, terutama mengenai soal Sunnah Rasulullah.

Bilakah kemelut sesama Islam ini akan berhenti, sukar untuk diramalkan, selagi setiap orang Islam, baik pucuk pemimpin atau orang-orang di bawah enggan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya serta menghayatinya dalam kehidupan seharian mereka.

[Rencana ini dipadankan daripada Khutbah Aidil Adha MAIK,
Tahun 1418 H – 1998 M.]


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP