KEGILAAN PADA BENDA-BENDA BARU

>> Thursday, August 10, 2017






KEGILAAN KEPADA BENDA BARU


Fitrah manusia memang menyukai sesuatu atau sukakan benda-benda yang baru, bermula dari sekecil-kecil barang, membawa kepada sebesar-besar barang; bermula dari permainan kanak-kanak, membawa kepada bangunan-bangunan tinggi dan besar, serta kebun-kebun dan taman-taman yang luas.






Kalau kita perhatikan, kesukaan manusia kepada benda-benda baru itu, sudah melangkaui kebiasaan, sehingga tanpa disedari telah melampaui menjadi semacam keanehan atau kegilaan.

Ia berlaku di mana-mana sahaja di seluruh dunia, terutama di kalangan masyarakat-masyarakat maju dan bertamadun yang mempunyai aneka kelengkapan untuk mencipta benda-benda baru yang pada umumnya diminati oleh manusia.

Kegemaran kepada benda-benda baru ini telah memberi laba yang besar kepada para peniaga dan kaum-kaum kapitalis untuk menambahkan pendapatan mereka, dengan menciptakan barang-barang baru untuk dipasarkan.

Mengikut pengamatan ada beberapa  cara pembaharuan barang-barang itu diperbuat untuk dipersembahkan kepada publik, pertama mencipta benda-benda yang memang baru, yang tidak ada sebelumnya, ataupun memperbaiki barang-barang lama dengan menukar bentuk dan wajahnya kepada bentuk dan wajah baru, dan satu lagi cara ialah memberi nama-nama baru yang menarik kepada sesuatu benda baru atau benda lama yang diberikan nafas baru yang lebih menarik.

Biasanya bila timbul sesuatu barang baru, dan diberikan promosi yang hebat, boleh membuat publik terpikat dengannya, dan akan memilih barang-barang baru tersebut untuk dibeli.

Cuba perhatikan pertumbuhan kedai-kedai makan atau restoran di negara kita, baik di kampung-kampung ataupun di bandar-bandar, mereka saling berebut-rebut untuk mencipta benda-benda baru untuk dipasarkan di restoran mereka..

Nama-nama restoran pun telah dicipta dengan begitu hebat sekali untuk menarik orang ramai yang mendengar atau melihatnya, lantas berkunjung untuk berbelanja.

Restoran-restoran lama yang bertukar tuan, sering ditukar kepada nama baru yang dikira lebih hebat dan menarik, dan pekerja-pekerjanya ditukar, kalau tidak semua pun sebahagian darinya, dengan harapan dapat memberi sumbangan yang lebih menarik. Wanita-wanita muda dan cantik biasanya dijadikan umpam  sebagai daya tarik pelanggan di restoran-restoan.

Di samping itu resipi-resipi yang disediakan kendengaran lebih hebat dan menarik, termasuk aneka jenis masakan-masakan yang pelik-pelik dari dalam dan luar negara dengan nama-nama yang beraneka ragam.

Umpamanya nasi kerabu, sejenis makanan tradisional Kelantan, sudah tidak tradisional lagi, kerana bahan utamanya, iaitu “tumis” sudah tidak ada lagi. Namanya juga ada berjenis-jenis, ada nasi kerabu Siam, nasi kerabu hitam, kerana warna nasinya kehitaman, ada nasi kerabu kuning, kerana nasinya berwarna kuning kunyit dan sebagainya. Sedangkan nasi kerabu yang original ialah nasi putih bertumis khusus dan berulam.

Lebih hebat lagi dalam pakaian, terutama pakaian wanita, berbagai-bagai jenis fesyen telah direkacipta dari masa ke masa untuk menarik hati kaum wanita, kadang-kadang dengan fesyen-fesyen yang tidak sopan, menelanjangkan bahagian-bahagian badan yang tertentu, terutama dengan tujuan untuk menarik hati lelaki yang sentiasa terpesona dengan seks dan keindahan badan wanita.

Kadang-kadang dalam agama pun manusia inginkan pembaharuan. Andainya pembaharuan itu sejajar dengan kehendak syariah, memanglah wajar, tapi kalau telah terseleweng dari ajaran sebenarnya, maka buruklah padahnya yang akan menimpa. Pada masa-masa yang lalu, banyak pembaharuan-pembaharuan agama ini merupakan ajaran-ajaran sesat manusia yang dirikacipta oleh manusia yang telah dirasuk syaitan.

Justeru itu sentiasalah berhati-hati dalam setiap perkara  yang bersifat pembaharuan dalam agama. Manusia yang dipengarusi syaitan sering memperalatkan agama untuk mencapai tujuan mereka yang buruk itu.

Dalam bidang politik pun tidak kurang juga munculnya berbagai-bagai pembaharuan, ada yang baik dan ada yang tidak baik kepada sesebuah parti itu. Kelahiran parti-parti baru, serpihan daripada parti-parti lama merupakan pembaharuan kepada parti tersebut, kerana mereka yang tidak puas hati dengan perjlanan parti telah keluar parti, lalu menubuh parti baru, sebagai alternatif.

Dalam bidang rumahtangga juga memang ada mereka yang ingin membina pembaharuan; si suami ingin mencari isteri baru, sementara si isteri pula ingin mencari suami baru, kerana sebab-sebab mereka sahaja yang mengetahuinya. Bagi lelaki untuk membuka gelanggang baru tidak banyak menempuh persoalan seberat kaum wanita, kerana lelaki dibenarkan oleh agama berkahwin lebih dari satu, tapi sang isteri tidak, kerana itu mereka terpaksa bercerai terlebih dulu sebelum dibolehkan memilki senjata baru, dan sudah tentu ini melibatkan keluarga seluruhnya, terutama anak-anak mereka. Justeru berfikir lebih lanjut sebelum apa-apa tindakan yang hendak diambil.

Satu lagi bidang yang sangat digemari oleh puak-puak kapitalis dalam usaha pembaharuan mereka ialah dalam bidang mainan kanak-kanak. Kita lihat di pasaran, sentiasa muncul benda-benda baru, berlambak-lambak mainan-mainan baru untuk menjamu selera kanak-kanak. Biasanya mainan-mainan itu bukan sahaja cepat rosak, tapi juga boleh mengancam keselamatan kanak-kanak yang bermain-main dengannya, seperti termakan atau tertelan benda-benda yang boleh mengancam keselamatan.

Justeru ituibu bapa dan orang-orang dewasa yang membeli mainan-mainan untuk anak-anak mereka hendaklah sentiasa awas dan waspada dengan anak-anak mereka yang bermain-main dengan barang-barang tersebut, pastikan ianya tidak merbahaya dan selamat di pergunakan oleh anak-anak mereka.

Memang sudah menjadi satu kebiasasan kepada kanak-kanak menyukakan sesuatu benda yang baru, tidak kira apa bendanya, walaupun tidak diketahui apakah kegunaannya. Dan tabiat buruk kanak-kanak ini telah terbawa-bawa kepada orang-orang dewasa, iaitu menyukai barang-barang baru, walaupun mereka belum pasti barang-barang baru itu memberi manfaat atau tidak kepada mereka, atau sebaliknya menjadi ancaman kepada mereka. Itu adalah satu kegilaan kepada orang-orang dewasa terhadap benda-benda baru, persis kanak-kanak yang sukakan barang-barang baru tanpa mengetahui apa-apa kesannya terhadap mereka.

Taufiq Al-Hakim seorang sastrawan Mesir, menegaskan, bahawa sikap kanak-kanak yang sukakan barang-barang atau mainan-maianan baru itu serupalah dengan sikap bangsa-bangsa dan masyarakat yang masih dalam tahap kebudakan atau tahap kemajuan permulaan. Katanya mereka kelihatan begitu berminat kepada sesuatu yang baru, peristiwa-peristiwa baru, berita-berita baru, akhbar-akhbar baru, kerajaan baru samada yang baru itu dapat dimanfaatkan mereka atau tidak, yang perlu kepada mereka ialah perubahan dan kepuasaan mengalih rasa dengan apa cara sekalipun.

Mengulas kegemaran seperti ini beliau menegaskan, “Kebiasaan ini memang jelik. Ia akan membuat sesuatu bangsa dan masyarakat itu cepat berubah-ubah, mempunyai pandangan hidup yang dangkal dan datar, sikap tidak sabar, tidak gigih dan tidak mendapat kesempatan yang wajar utnuk memperkukuh asas-asas hidup mereka yang stabil dan yang matang ini, disebabkan kerana mereka gemar mengubah dan menukar segala sesuatu  segala sesuatu sebelum benar-benar difahami, ditliti dan dinikmatinya”.

Seterusnya beliau memberi amaran tentang bahaya-bahaya kegilaan kepada benda-benda baru kepada para pemimpin, dan menegaskan, “Sikap kebudakan yang demikian mungkin mendorong mereka bertindak mempengaruhi dan menekan pemimpin-pemimpin mereka agar menurut apa sahaja kehendak-kehendak dan keinginan mereka dan akibatnya sudah tentu akan menghalangi mereka untuk menempoh tahap perkembangan ke arah kematangan berfikir”.

Justeru itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan sesuatu yang baru, baik apa benda sekalipun, baik dalam alam kebendaan, kepercayaan, keyakinan dan sebagainya supaya kita tidak mudah menyeleweng dan tersesat nanti, memilih benda-benda yang tidak perlu malah membahayakan. Dan kepada mereka yang sebelah lagi, iaitu mereka yang anti pembaharuan juga hendaklah sentiasa berhati-hti tanpa terikut-ikut oleh sentimen, menolak semua perkara baru semata-mata kerana ia baru, walaupun memang  baik dan wajar untuk memperbaiki yang lama atau menggantikannya dengan yang baru yang diketengahkan itu.


Sekian.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP