PUSING-PUSING CARI ROTI BAKAR

>> Thursday, April 6, 2017







PUSING-PUSING CARI ROTI BAKAR



Peritsiwa ini berlaku beberapa hari yang lepas. Pagi itu saya dan anak saya ada sedikit urusan membeli-belah di Kota Bharu. Sementara itu kami juga mengambil kesempatan  untuk sarapan pagi di Kota yang telah beberapa bulan tidak kami kunjungi.

Namun begitu, seperti biasa saya lebih bersarapan dengan sepiring bubur oats dan dua keping roti, cicah madu. Makanan kegemaran saya. Tapi anak saya tidak mengambil apa-apa pengalas perut pun.

Kami keluar dari rumah kira-kira pukul sembilan. Ketika berada dalam kenderaan kami berbincang singkat apa yang hendak kami makan pagi itu, dan akhirnya membuat keputusan untuk makan roti bakar, disapu dengan mentega dan kaya [roti kawin], yang juga makanan kegemaran saya.

Kami menuju ke sebuah resturan lama yang terletak di Bandar Kota Bharu, sebuah resturan yang memang termasyur dengan roti bakar dan telur masak separuh. Setahu saya resturan ini telah termasyur sejak saya masih kanak-kanak lagi, jika disebut namanya jarang orang yang tidak mengenalinya.

Setelah sampai dan parkir kereta di tempat parkir yang berhampiran kami melangkah ke resturan tersebut. Tapi masyaAllah ramainya orang. Resturan penuh dengan pelanggan, malah di luar masih ada lagi beberapa orang sedang berdiri menunggu giliran untuk masuk, malah ada lagi yang sedang sampai.

Jam sudah hampir pukul sepuluh. Anak saya belum sarapan  apa-apa lagi, dan perut saya pun turut merasa lapar. Melihat keadaan yang gawat itu, kami mengambil keputusan untuk berundur dan mencari tempat makan yang lain.

Ketika berbincang sedikit sewaktu berada di dalam kereta, kami membuat keputusan untuk pergi ke sebuah resturan terletak agak di luar bandar sedikit, yang juga termasyur dengan roti bakar istimewa dan aneka nasi bungkus.

Bila kami sampai, resturan telah penuh sesak dan sekumpulan orang sedang menunggu di luar bangunan untuk masuk. Di amping itu setelah berputar-putar beberapa kali, tidak ada tempat parking yang kosong, malah nampaknya ada mereka yang parking di tempat-tempat yang tidak sewajarnya.

Jam sudah pukul sepuluh lebih. “Ooi macam ni, rupanya Kota Bharu, nak makan roti pun susah”, keluh anak saya yang baru balik dari luar Kelantan.

Saya lalu mencadangkan supaya kami pergi ke sebuah resturan lagi yang betul-betul terletak di tengah Bandar Kota Bharu. Resturan lama yang termasyur dengan nasi belauk, khususnya ayam kampong dan masakan Indonesia. Harap-harap ada tempat parkingnya, kerana di kawasan ini biasanya jarang ada tempat kosong. Mengikut ingatan ini pada masa-masa yang lalu memang resturan ini memang  menjual roti bakar.

Nasib baik waktu kami sampai ada sebuah kereta sedang diundurkan ke belakang untuk keluar parking, kami terus memasukinya. Dan setelah memasukkan duit parking kami terus beredar ke resturan yang terletak di seberang jalan.

Setelah duduk, kami meminta roti bakar dua set seorang, iaitu empat keping. Tapi sejurus Cina penjual dengan kecewa memberitahu kami roti telah habis, dan meminta kami tuggu sekejap untuk membeli roti di kedai roti di sebelah resturannya. Tapi sekejap kemudian, dia datang kembali membeitahu roti juga telah habis.

Apa nak makan. Jam sudah pukul sepuluh setengah lebih, masih belum bersarapan. Kebetulan nasi tengah hari nampaknya telah siap, lalu anak saya meminta nasi dan beberapa jenis lauk yang digemarinya dan dirasakan selamat untuk dimakan. Dua pinggan nasi kosong, satu untuk beliau dan satu untuk saya.

Bila anak saya mulai makan, tapi saya masih teragak-agak lagi untuk menjamahnya, Cina kedai itu menghampiri meja kami memberitahu supaya kamu tunggu sekejap kerana dia ingin pergi mencari roti di kedai lain yang tidak berapa jauh dari situ.

Anak saya terus memakan nasi, tapi saya tetap bersabar menunggu roti dijanjikan. Bila roti sampai saya minta dua set atau empat keping roti bakar roti r sapu kaya, dan anak saya pula hanya meminta satu set roti sahaja. Minumannya saya minta sebotol air mineral dan anak saya pula minta milo o.

Roti bakar menggunakan dapur arang itu rasanya cukup sedap dan menyelerakan, sedangkan di rumah kami makan roti bakar menggunakan pembakar roti elektrik. Setelah habis memakannya saya minta tambah dua set lagi. Sementara anak saya pula selepas makan nasi meminta dua set roti bakar kawin, sapu mentega campur kaya. Semuanya habis dimakan.

Demikianlah masa dan keadaan telah berubah. Kalau dulu kebanyakan orang Melayu Kelantan suka makan di rumah bersama anak dan keluarga, kalau makan nasi belauk pun, nasi itu dibungkus dan dibawa balik ke rumah untuk makan bersama keluarga. Tapi hari ini tidak lagi, mereka bukan sahaja suk makan di luar, malah isteri, anak-pinak dan keluarga pun turut diangkut makan di luar.

Keadaan seperti ini berlaku malam dan siang, semua gerai makan yang popular penuh dengan pelanggan.

Ini menyebabkan Kota Bharu tidak lagi seperti dulu, mudah untuk mencari nasi, berlainan dengan sekarang.

Setelah melunaskan harga semuanya, termasuk sedikit lauk-pauk dibungkus untuk dibawa balik, kami pun meninggalkan resturan itu dan terus bergerak untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi yang telah kami rencana sejak di rumah lagi.

Ini memberi pengajaran bahawa bukan semua yang kita mahu, walaupun segala kelengkapan telah cukup, tidak mesti kita perolehi; kalau Allah tidak izinkan, kita tidak akan memperolehinya sebagaimana yang kita rancang, kerana rancangan kita tidak mesti rancangan Allah.

Alhamdulillah!


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP