SUKA BERANGAN-ANGAN

>> Monday, April 6, 2020




ANDA SUKA BERANGAN-ANGAN?



Salah satu rahsia besar kejayaan hidup ialah kita mesti mempunyai cita-cita, dan cita-cita itu pula mesti terang dan jelas, gambaran-gambaran yang nyata apa yang kita ingin capaikan itu, dan sentiasa berusaha ke arahnya yang merupakan sebahagian daripada matalamat hidup kita.

Malah kita mestilah melihat dan tampak dengan nyata dan jelas puncak kejayaan yang kita capai dalam mengejar cita-tia itu, dan harapan di mana kita berada, yang merupakan gambaran positif yang merangsangkan. Jasmani dan ruhani kita.


Namun begitu gambaran itu mestilah berada da.am kemampuan kita untuk mencapainya, tegasnya bukan di luar kemampuan kita yang merupakan fantasi atau khayal kosong yang akan melemparkan kita ke ceruk kekecewaan hidup atau menjadikan kita gila bayang-bayang


Justeru itu setiap apa yang kita cita-citakan atau berharap untuk memperolehinya apa yang menjadi objek cita-cita kita mestilah wujud di alam kenyataan, dan mampu kita usahakan untuk mencapainya. Ia mesti ada di alam nyata dan dalam kemampuan kita untuk mengusahakannya.


Kita wajib berusaha sejauh yang mungkin untuk mencapainya, tanpa usaha segala cita-cita kita itu akan menjadi angan-angan yang kosong dan menghabiskan masa dalam berangan-angan yang akan berakhir dengan kekecewaan yang menyesalkan.


Kita teringat sebuah kisah tentang seorang pemuda yang terkenal di seluruh nusantara
Kerjanya, menjual tuak [nira] yang dipungut dari pohon kelapa sekeliling kampung[M1] .


Pada suatu hari Mat Jenin sedang memanjat sepohon kelapa untuk mengambil tuak sebagai biasa untuk jualan.


Tak berapa takah dia memanjat pokok itu, khayalannya berterbangan jauh. Pada khayalnya dari hasil jualan tuak atau nira kelapa itu pada akhirnya dia dapat mengumpul banyak wang dan berjaya membeli sebuah ladang kelapa sawit.


Dia hidup mewah dengan memandu kereta besar dan tinggal di rumah besar.


Pada hari dia bertermu dengan tuan punya ladang di sebelah ladangnya, dan entah bagaimana telah bangkit pertengkaran mulut antara keduanya mengenai sempadan ladang.


Akhirnya Mat jenis amat marah, lalu mengepal kedua tangannya hendak memukul lawannya  itu. Tapi sebaik-baik sahaja kedua-dua tangannya itu terlepas dari memegang batang kelapa itu dia terus terjatuh ke tanah.


Nak Jadi Doktor

Ada seorang pelajar yang sering memberitahu dia ingin menjadi seorang doktor yang terkenal pada suatu masa  nanti, dan sering berlagak sebagai seorang doktor.


Tapi malangnya doktor ini pergi sekolah pun tak berapa rajin, sering ponteng dengan berbagai-bagai alasan. Namun begitu, dia tetap mendakwa dia akan menjadi seorang doktor nanti.


Mata pelajaran yang diambilnya pun tidak menjurus ke arah kedoktoran, tapi mata pelajaran lain yang tidak ada kaitan dengan bidang kedoktoran.


Namun begitu dia tidak cubapun menukar pelajarannya itu untuk menjayakan cita-citanya.
Malangnya akhirnya fikirannya telah rosak kerana dipengaruhi oleh khayalnya sendiri. Dan menjadi doktor jalanan.


Nak Jadi Penulis

Ada seorang anak muda mempunyai cita-cita besar untuk menjadi seorang penulis terkenal. Lagak memang seperti seorang penulis, mencatat di sana mencatat di sini, ke sana ke mari mengenggam buku catataan. Di mana ada orang ramai berkumpul dia pun ada di sana . Ke sana ke mari kononnya mencari bahan untuk karyanya.


Tapi cacatan itu hanya tinggal catatan, dia tidak pernah menulis walaupun sebaris di atas kertas, kecuali dalam kepalanya sahaja.


Katanya bila dia beli laptop nanti, baru dia akan menulis sungguh-sungguh. Tapi usaha untuk membeli laptop tidak pernah pun ada.

Selain itu membaca pun dia malas, sebuah buku yang sering dikepitnya ke mana pergi itu memang karya seorang penulis yang trkenal, tapi tidaklah diketahui berapa helai yang telah dibacanya?


Alangkah ruginya tenaga yang dibuang dengan sia-sia, didorong oleh angan-angan yang panjang berjela-jela, tanpa sebarang usaha untuk mencapai impian yang memang indahnya.


Kereta Besar

Ada seorang lelaki bercita-cita untuk memiliki kereta mewah, pakai pemandu untuk membawanya ke sana mari. Bagus lagaknya.


Tapi sebenarnya basikal buruk dia tak ada. Ke sana ke mari hanya berjalan kaki. Kerjanya angkat barang di pasar.


Angan-angannya lebih besar daripada usaha dan kemampuan yang dimiliknya.


Alangkah tololnya manusia-manusia seperti ini, hidup dalam angan-angan kosong.


Ada orang bunyi guruh jauh di langit, lalu mencurah air di tempayan, kerana mengharap hujan lebat mencurah.


Tempayan habis kering, hujan setitik pun tidak turun.


Ada orang menyuruh isterinya membuang segala lauk lebihan yang akan dijadikan habuan keluarganya nanti, dan menyruh isterinya “memipiskan lada”, kerana katanya dia akan pergi memikat burung di sawah.


Tapi bila dia pulang ke rumah sesekor burung pun tak ada. Dia pulang dengan tangan kosong. Sekawan burung tadi yang melintas di atas rumahnya seekor pun tidak singgah pun di sawah.


Itu dikatakan “Burung terbang dipipiskan lada”.
Di Antara Angan-angan Dan Cita
Apa ia cita-cita dan apa ia angan-angan?


Memang ada perbezaan yang jelas antara keduanya.


Angan-angan qdalah khayal atau fantasi yang wujud dalam imaginasi dan tidak mungkin wujud dalam alam kenyataan. Ia berterbangan di angkasa raya tanpa noktah dan tanpa hujung. Pengkhayal pula tidak berusaha untuk mencapainya.


Sementara cita-cita adalah sesuatu yang nyata dan positif yang memang boleh dicapai jika diusahakan, dengan izin Allah.


Angan-angan itu sesuatu yang tidak mungkin dicapai, dan sebaliknya cita-cita itu sesuatu yang mungkin dicapai atau diwujudkan ke alam kenyataan.,


Pacaklah cita-cita anda setinggi bintang dan bulan di langit sekalipun asalkan ada jalan dan usaha untuk mencapainya, dan memaku cita-cita di bumi sekalipun, ia tidak akan memberi manfaat dan tidak mungkin dicapai jika tidak ada jalan yang wajar dan tanpa diusahakan, justeru  ia hanya bergerak dalam angan-angan pengkhayal semata-mata.


Ingatlah hidup ini bukan tempat bermain-main atau bersenda guruan, atau gelanggang tempat berangan-angan; tapi hidup adalah suatu lautan pentas tempat bertindak dan berusaha untuk mencapai sesuatu.


Allah tidak menjadikan manusia di dunia itu secara bermain-main, tapi secara benar-benar dan sungguh-sungguh dengan ketentuan yang hakiki untuk Allah. Itulah hidup dan mati manusia ini untuk Allah.


Berikanlah nasihat yang jelas kepada mereka yang panjang angan-anganya bahawa hidup ini mempunyai matalamat tertentu yang jelas dan  perlu dicapai sebagai hamba Allah.


Tidak ada siapa akan masuk syurga dengan mudah atau percuma, dengan hanya membawa titel dia anak orang Islam tanpa usahanya sendiri untuk  mencapainya.


Kata Buya HAMKA:

“Bagi kita orang Islam ketentuan akan masuk syurga itu  sudah dijelaskan: Beriman dan Beramal Soleh. Beriman di dalam hati sanubari, bramal solah sebagai pembuktiannya dalam perbuatan. Kalau keduanya tidak ada, janganlah berangan hendak masuk surga”.


Ertinya kita kena senseng lengan baju, turun ke padang bekerja, bermandi keringat, bukan duduk-duduk berkhayal atau berangan-angan di jendela memerhati orang bekerja, mengharap padi akan tumbuh dan berbuah sendiri.


Allah berfirman:

-“Dan katakanlah, “Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul Nya dan orang-orang Mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui yang ghaib  dan yang nyata, lalu diberitakannya  kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”/at-Taubah [9]: 105.




Pondok Rahmat
6 April 2020/
12 Syaaban 1441








 [M1]


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP