SEBELUM MENGENAL ALLAH
>> Monday, April 13, 2020
SEBELUM MENGENAL ALLAH
Ramai makhluk Allah,
khususnya manusia berusaha keras untuk mengenal Allah dengan lebih dekat
dan mendalam, tapi bukan semua mereka berjaya mencapai matalamatnya.
Ini berlaku mungkin kerana beberapa sebab yang tertentu,
seperti kita tidak mengamalkan cara yang sebaik-baiknya, seperti lupa bahawa
untuk mempercaya sesuatu atau beriman kepada sesuatu itu kita terlebih dahulu
hendaklah mengetahui tentang perkara yang kita hendak percaya atau cintai itu.
Tanpa pengenalan, atau mengetahu sesuatu ataupun
mengenali seseorang atau sesuatu kita
maksudkan itu, maka tentulah sukar kepada kita untuk mencintai, menyayangi
dan menanam rasa penuh kasih sayang dan kemesraan
kepadanya.
Kita juga hendaklah ingat bahawa mengenal Allah tidak
sama dengan mengenal benda-benda di alam ini, seperti mengenal makhluk, kerana
adanya perbezaan yang jauh antara zat Allah dengan segala makhluk di alam ini.
Dalam perkara mengenal Allah kita diperintah supaya
membuat panduan kepada Kitab Suci al-Quran, Hadis-hadis Rasulullah saw dan dengan menggunakan akal fikiran yang sihat
dan waras.
Rasulullah saw berabda,
“Berfikirlah kamu kepada kejadian-kejadian Allah, tatapi
janganlah kamu berfikir tentang zat Allah, kerana kamu tidak akan berkuasa
berbuat demikian”.
Orang Islam yang beriman, dan beribadat kepada Allah dengan
tulus ikhlas adalah orang yang benar-benar Mukmin.
Sebelum kita meneroka lebih jauh ke alam ke keruhanian adalah lebih baik kita mengenali siapakah
Allah itu, apakah sifat-sifat Allah itu yang patut kita ketahui.
Antara sifat-sifat Allah yang wajib dipercayai atau diimani
adalah:
Wujud Allah itu wajib ada dan tetap ada, justeru itu
mustahil Allah itu tidak ada. Akal orang-orang yang waras tidak dapat menerima bahawa
Allah itu tidak ada.
Banyak tanda-tanda yang membuktikan
bahawa Allah itu ada dan tetap ada.
Adanya alam ini adalah bukti yang
nyata tentang adanya Allah Taala itu. Allah Maha Pencipta alam yang luas ini,
dan dipenuhi dengan berbagai-bagai makhluk yang hidup dan yang mati, yang
bergerak dan tidak bergerak, seperti langit, bumi, matahari, bulan, bintang,
manusia, haiwan dan pokok-pokok.
Bagi orang-orang yang waras,
tidak mungkin atau tidak masuk akal mereka sama sekali alam yang begini luas,
tersusun dengan begitu cantik, teratur dan rapi terjadi dengan sendirinya tanpa
penciptanya.
Bolehkah baju yang sedang kita pakai sekarang ini terjadi dengan sendiri, tanpa tukang jahit yang menjahitnya, atau demikian juga dengan selipar atau kasut yang kita pakai di kaki ini terjadi dengan sendirinya tanpa pembuatnya?
Demikian juga motokar tidak akan ada, jika tidak ada pembuatnya dan tidak akan berjalan jika tidak ada pemandunya.
Mustahil semuanya itu terjadi dengan sendiri tanpa pembuatnya.
Justeru itu, alam ini adalah bukti yang jelas menujukkan
adanya Allah SWT Maha Pencipta itu. Alam dengan segala isinya tidak akan wujud
jika Allah tidak ada.
Di samping itu, banyak pula ayat-ayat suci al-Quran yang
menegaskan tentang adanya Allah Maha Besar itu, antaranya:
-Al -‘an’am [6]: 10-Lukman [31] :25-Sad [38]: 65.
Dan
-“Tiada Tuhan melainkan Dia”; Hud [11]: 14.
Allah wujud sejak Sediakala. Kewujudan Allah tidak serupa dengan
kewujudan makhluk, kerana Allah itu telah ada sejak sediakala lagi, iaitu tidak
mempunyai permulaan kerana itu ia juga tidak mempunyai tahun kelahiran seperti
manusia di samping Allah jugs tidak ada kesudahan atau pengakhiraannya
Allah berfirman:
-“Dialah Yang Maha Pertama dan Dialah Yang Maha Akhir”.
Al-Hadid [57]; 3
Maksud Yang Yang Maha Pertama itu ialah yang pertama sekali wujudnya dan Yang Maha
Akhir itu maskudnya ialah Allah itu kekal buat selama-lamanya.
Andainya Allah itu tidak wujud sejak sediakala lagi, maka
tentulah Dia kena jadi seperti makhluk juga, maka dengan itu sudah tentu ada permulaannya.
Kalau Ia kena jadi, sudah tentu ada permulaannya, dan bila ada permulaan, maka sudah tentu Ia bukan Allah.
Wujud Allah ini tiada permulaannya, tegasnya ia tetap
sediada.
Kalau makhluk saperti manusia ini berasal dari tiada, kemudian
baru ada, maka Allah tidak begitu, ia tidak bermula dengan tiada, kerana Ia
telah sedia ada.
Kalau Allah itu bermula dengan
tiada, ertinya Ia bukan Tuhan, sebab Ia pun kena jadi, maka setiap yang kena
jadi atau dijadikan itu bukan samasekali Tuhan.
Justeru itu kita wajib percaya bahawa Allah sediakala dan azali lagi sebagai Maha Pencipta Alam ini.
Allah itu kekal atau baqa’. Allah
itu mestinya kekal abadi, ia tidak rosak atau binasa atau punah buat
selama-lamanya.
Mustahil Allah fana atau binasa.
Justeru sesuatu yang rosak, punah
atau binasa itu bukanlah Tuhan.
Patung-patung atau ukir-ukiran
bukan Tuhan, kerana ia buatan manusia yang mesti rosak, punah dan binasa. Malah
Islam mengharamkan menyembah patung-patung sebagai kongsi Tuhan.
Manusia atau apa-apa makhluk
sekalipun bukan Tuhan tanpa sifat kekal, dan mesti akan rosak dan binasa bila
ketentuan masanya telah tiba nanti.
Di dalam al-Quran terdapat
ayat-ayat yang menegaskan bahawa Allah itu kekal dan tidak binasa sekalipun
segala isi alam telah hancur dan musnah.
Al-Hadid [57]:3;
- Al-Qasas [28]: 88
Dan :
-“Semua yang
berada di atas bumi pasti binasa. Dan hanya zat Allah yang kekal, brsifat
kebesaran dan kemuliaan”.Ar-Rahman –[55]: 26 & 27.
Allah itu berlainan. Allah itu
tidak serupa dengan apa-apapun, seperti tidak serupa dengan makhluk yang memang
ada permulaannya atau kena jadi ini, baik dari segi zat, sifat atau
perbuataannya.
Mustahil Allah serupa dengan yang
baru, malah tidak serupa dengan apapun.
Allah itu bukan benda atau
bersifat kebendaan.
Sedangkan makhluk itu terdiri
dari benda dan ada mempunyai sifat, seperti makhluk manusia.
Tentulah tidak serupa antara
pembuat baju dan si pembuat baju, atau antara tukang jahit dan barang yang
dijahitnya.
Ada orang yang mengamal ilmu makrifat berkhayal mengatakan Allah itu muncul seperti cahaya dalam masa mereka sedang beribadat, maka itu bukanlah Allah yang sebenarnya. Andainya Allah itu bersifat serupa dengan makhluk, maka sudah tentu ia brsifat lemah dan kekurangan, maka itu bukan Allah.
Andainya Ia tidak boleh berdiri sendiri atau bergantung atau bergantung kepada sesuatu yang lain, maka sudah tentu ia bukan Allah.
Ayat-ayat al-Quran tentang
berlainanya Allah dengan yang lainnya:
An-NahAn--An-Nahl [16]: 17/74;
As-Shuraa[42]-11
Dan
-“Dan tiada
sesiapapun sebanding dengan Allah”. Al-Ikhlas [114]: 4
Allah itu bersendirian. Allah itu
berdiri sendiri , atau bersendirian, yang bermaksud tidak bergantung atau yidak
menumpang. Justeru kalau Ia bergantung atau menumpang, Ia bukan Allah, kerana Allah
itu berdiri sendiri.
Allah tidak berkehendak atau bergantung atau memerlukan kepada sesuatu pun, seperti Allah tidak mermerlukan ruang atau tempat, kerana Allah bukan benda dan makhluk. Allah mempunyai sifat yang sempurna.
Allah tidak seperti manusia yang
hidupnya bergantung, atau menumpang kepada benda-benda lain untuk hidup,
seperti tempat, udara, air dan sebagainya yang dijadikan Allah untuk hidup.
Kalau tidak boleh berdiri sendiri
atau bergantung kepada yang lain, maka sudah tentu ia bukan Allah.
Allah menciptakan langit dan bumi, tapi tidak memerlukannya, Allah menjadikan manusia, malaikat dan jin tapi tidak memerlukannya, Allah mencipta udara, cahaya dan air tapi tidak memerlukannya sebagaimana manusia memerlukannya.
Allah itu berdiri sendiri tidak
memerlukan apa-apa dari hasil ciptaan Nya.
Zat Allah tidak memerlukan
tempat, kerana Allah bukannya bersifat, kerana sesuatu yang bersifat berhajat
kepada tempat tumpangannya.
Allah tidak memerlukan sesiapa
untuk mengadakannya, kerana Ia bukan benda baru, tapi Qadim.
Allah memerintah manusia supaya beribadat kepada Nya, tapi untuk faedah manusia itu sendiri dan bukannya untuk Allah sebagai bukti kehambaannya kepada Allah.
Allah berfirman:
“Barangsiapa
yang mengerjakan amal saleh pahalanya untuk dirinya sendiri dan berangsiapa
membuat jahat, maka dosanya atas dirinya sendiri. Dan Tuhan mu tidak
sekali-kali menzalmi hamba Nya”. Fusilat: 56
Allah itu tunggal. Allah itu esa
atau tunggal, idak berbilang-bilang atau tidak lebih dari satu, seperti dua, tiga dan empat,
sumpamanya ada Tuhan di langit dan Tuhan di bumi.
Esa pada zatnya, sfatnya dan perbuataannya.
Mustahil Allah itu berbilang-billang zatnya, sifatnya atau perbuatannya atau fiilnya.
Kalau Allah itu terlebih dari satu, dua, dan tiga umpamannya, maka ada beberapa kemungkinan boleh berlaku.
Pertama mungkin ada saling bekerjasama antara tuhan-tuhan itu, membantu atau tolong menolong dalam melakukan sesuatu.
Berkongsi dalam melakukan sesuatu bukan Allah tapi makhluk.
Atau sebaliknya mungkin berebutan
kuasa antara Tuhan-tuhan itu, umpamanya Tuhan pertama ingin melakukan sesuatu
tapi tidak dipersetujui oleh Tuhan yang satu lagi.
Tuhan pertama ingin melakukan sesuatu dalam rupa bentuk yang dkehendakiNya, tapi mungkin tidak dipersetujui oleh Tuhan 2 dan Tuhan 4.
Akibatnya berlakulah
persengketaan antara tuhan-tuhan itu kerana perbezaan pendapat.
Kalau begitu jadinya, maka semuanya bukan Allah yang mestinya Esa atau tunggal. Malah semuanya akan rosak dan binasa, termasuklah alam.
-Al-Ambia:22,
At-Taubar 31; Al-Mukminun :91
Dan:
“Maha Suci
Tuhan,Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa lagi perkasa”. Az-Zumir :4.
Allah hidup. Allah itu wajib
hidup atau mesti hidup, kalau tidak hidup atau mati Ia pasti bukan Allah.
Tidak masuk akal sama sekali jika dikatakan Allah tidak hidup, kerana segala kehidupan yang ada ini ciptaan Allah belaka.
Mustahil Allah itu mati.
Bagaimana Allah itu tidak hidup, kalau ciptaan nya, seperti manusia hidup?
Hidup Allah tidak serupa dengan
hidup makhluk, seperti manusia dan haiwan, yang hidupnya bergantung kepada perantaran, seperti daging, darah dan nafas,
dan ada permulaan dan ada kesudahannya. Tapi hidup Allah tidak bergantung
kepada sebarang perantaran dan tidak bermula serta tidak berkesudahan atau
berakhir.
Dalam Kitab Suci Al-Quran ada
ayat-ayat yang menegaskan tentang Allah itu hidup;
-Al-Furqan [25]: 58; An-Najm [53]: 44; Al-Mulk [67] : 2. Ghafir [40] :65; Taha [20]: 111
Dan:
-“Dialah yang hidup tiada Tuhan melainkan Dia”.-
Allah mengetahui. Allah mengetahui
semua dengan lengkap segala perkara,
kecil atau besar, di dalam atau di luar, di atas atau di bawah, dalam terang
atau dalam gelap; kerana semuanya ciptaan Allah.
Tidak ada sesuatupun yang tersembuyi daripada ilmu Nya.
Dia mengetahui berapa banyak ikan di laut, berapa banyak haiwan di rimba, dan berapa banyak pokok-pokok di hutan. Ia mengetahui sesuatu sebelm lagi adanya, dan mengetahui sesuatu sebelum berlaku, sedang berlaku dan sesudah berlakunya.
Ilmu Allah itu tidak didahuli
oleh tidak tahu, Ia tidak pernah lupa,
dan tidak pula terikat oleh masa dan tempat seperti makhluk manusia.
Mustahil Allah itu jahil atau tidak
mengetahui.
Allah mengetahui apa yang telah berlaku, yang sedang berlaku dan mengetahui apa yang akan berlaku.
Di dalam kitab suci al-Quran terdapat ayat-ayat yang menunjukkan Allah itu mengetahui:
-Al-‘An’am [6]: 3/50; - Al-Mujadila [58] : 7;- Yunus [10] :61
Dan
-“Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala sesuatu”. Al-Baqarah [2]:231.
Allah berkuasa atau mempunyai
qudrat. Allah Maha Kuasa. Semua perkara
yang ada, baik yang nampak atau
tidak nampak, kecil atau besar adalah
hasil ciptaan Allah Taala belaka.
Allah mempunyai kuasa yang mutlak, justeru tidak bergantung kepada apa-apapun , untuk mengadakan atau meniadakan sesuatu, meniada atau mengekalkan sesuatu yang dikehendaki Nya tanpa batasan.
Kuasa Allah tidak terbatas atau
bertara dan tidak dapat dibandingkan.
Mustahil Allah itu lemah atau tidak berkuasa.
Tidak ada sesuatu pun yang ada atau berlaku di luar dari kuasa atau ciptaan Allah, baik kecil ataupun besar, baik nyata ataupun tidak nyata.
Allah berfirman dalam al-Quran tentang diriNya yang berkuasa itu.
Al-Mu’minun
[23]: 80; Al-‘An’am [6]:6. An-Nur [24]: 44.
Dan:
-“Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala-galanya”. lAl-Baqarah [2]: 20.
Allah itu berkehendak. Allah Itu
mempunyai kehendak atau kemahuannya sendiri yang bebas, Ia menentukan segala
sesuatu yang dikehendaki Nya, tanpa paksaan atau halangan sesiapapun.
Setiap perkara yang berlaku adalah mengikut kemahuan Allah sendiri, bukan diperintah atau dipaksa dan bukan juga berlaku dengan cara tidak sengaja. Segala-galanya mengikut kehendak Allah, dan Ia menentukan samada hendak menjadikan atau meniadakan.
Semua perkara berlaku dengan kehendak Allah, tegasnya tidak ada sesuatu pun yang berlaku tanpa kehendak Nya.
Namun begitu, ia berlaku bukanlah bererti bahawa Tuhan prlukan sesuatu itu untuk diri Nya.
Demikian juga Allah tidak membuat sesuatu tanpa tujuan atau sewenang-wenangnya, tapi dilakukan dengan aturan-aturannya dan hikmatnya yang tersendiri dengan sifatnya Yang Maha Bijaksana.
Dalam al-Quran ada beberapa ayat
yang menunjukkan Allah itu berkehendak atau
beriradat:
-Yasin [36] :82; Al-Qasas: [28]: 68; Al-Imran [3}:26; Ash-Shura 42: 49.
Dan:-
-“Dan Allah membuat apa yang Ia kehendaki”.A Al-Buruj [85]: 16,
Allah itu mendengar. Allah mendengar
segala-galanya baik berupa suara, atau tidak berupa suara.
Ia mendengar segala yang ada di alam ini, di mana dan dalam keadaan apa sekalipun. Seekor semut hitam yang merayap pada malam yang gelap gelita Allah mendegar dan melihatnya.
Malah Allah mendengar apa yang tidak berucap oleh manusia, merupakan keluhan hati atau ratapan jiwa dan sebagainya.
Maka mustahil Allah itu tuli.
Tapi Allah mendengar tidak serupa dengan makhluk mendengar, tanpa telinga seperti manusia, Ia mendengar dengan cara yang layak bagi Allah.
Allah berfiman:
“-Janganlah kamu takut sesungguhnya Aku bersama kamu berdua, Aku sentiasa mendengar dan melihat”.Taha:46.
Allah melihat. Allah melihat tapi
tidak melihat dengan mata seperti makhluk.
Allah sentiasa melihat baik dalam terang atau dalam gelap, malam atau siang, halus atau kasar, berwarna atau tidak berwarna.
Allah sentiasa melihat segala
hasil ciptaan Nya di mana sahaja benada-benada itu berada.
Allah melihat bukan dengan mata seperti makhluk, tapi dengan cara yang layak bagi Allah.
Dalam Kitab Suci al Quran Allah menerangkan sifat-sifat Nya yang mendengar dan melihat itu:
-Al-Mujadila [58] :1; Al-Imran [3] :181, Az-Zukhruf [43]: 80. Al-Kahf: [18]: 26
Dan:
-“Buatlah kerja
yang saleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan”. Saba’:11
Allah berkata-kata. Tuhan
berkata-kata, tapi tidak seperti makhluk tanpa huruf dan suara atau kata-kata.
Setiap bangsa mempunyai bahasa
mereka masing-masing yang kebanyakannya tidak difahami oleh bangsa yang lain.
Haiwan-haiwan juga mempunyai bahasa mereka masing-masing, tapi dengan bahasa yang tidak difahami oleh kita manusia.
Allah berkata-kata tidak seperti manusia menggunakan mulut, lidah bibir, tidak terdahulu dan terkemudian, dan tidak salah dan silap seperti manusia.
Allah berkata-kata , memberi perintah,
larangan dan hidayah kepada makhluk
dengan caranya yang tidak dapat difikirkan oleh
manusia, seperti manusia tidak mengetahui zat Allah.
Kitab suci al Quran itu adalah kata-kata Allah yang disampaikan oleh Jibrail kepadaa Nabi Muahammad saw untuk disampaikan kepada seluruh alam.
Mustahil Allah itu bisu atau kelu
Ayat-ayat Suci al Quran yang menjelaskan Allah itu berkata-kata:
-Al-‘A’raf
[7]:145; Ash-Shuraa [42]-51; Al-Kahf [18]: 109; Lukman [31]:27.
Dan:
-“Dan Allah
berkata-kata dengan Musa dengan firman”. An-Nisa’- [4] :164
Sekian, semoga memberi manfaat
jua kepada pemabca.
Sumber:
-Asas Tauhid- Jabatan Hak Ehwal Agama Islam Kelantan.
-Pelajaran Amalan Islam Sehari=hari – Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
-Pelajaran Tauhid dan Fiqah- Majlis Agama Islam Dan Adat Istiada Melayu Kelantan
Awalluddin Sifat Dua Puluh-Klang Boon Center
Al-Islam - -Prof. M. Hasbi Ash-Shiddieqy- Bulan Bintang, Djakarta.
Pondok Rahmat:
13 April 2020/
19 Syaaban 1441
0 comments:
Post a Comment