PENYAIR YANG BERIMAN DAN PENYAIR YANG MUNGKAR

>> Friday, December 27, 2019





PENYAIR YANG BERIMAN DAN PENYAIR YANG MUNGKAR/ SASTRAWAN YG. BERIMAN DAN SASTRAWAN YG. MUNGKAR




SEKARANG kita berundur ke belakang sekejap menjejak kaki  sejenak ke zaman silam. Untuk melihat peranan puisi atau  syair di kalangan bangsa Arab sebelum dan selepas kedatangan agama Islam.

Pada zaman jahiliah itu bait-bait  syair mempunyai kesan yang amat mendalam kepada masyarkat Arab, lebih-lebih lagi kerana orang-orang Arab  begitu tertarik dengan bahasa-bahasa yang beriram. Justeru itu  kedudukan para penyair amatlah tinggi di mata masyarakat. Bila ada majlis deklamasi syair, orang ramai akan berduyun-duyun untuk menghadiri dan mendengar lantunan bacaan syairnya.

Pada masa itu para penyair dipandang amat tinggi dan mulia dan amat besar pengaruhnya kepada masyarakat  Arab.

Bait-bait puisi atau syair yang diklamasikan oleh para penyair pada masa itu dianggap persis seperti ilham suci yang datang dari langit. Apa sahaja yang terkandung dalam syair-syair tersebut semuanya tidak dipertikaikan dan dipercayaai oleh masyarakat sebagai sesuatu kebenaran yang mutlak.

Tegasnya pengaruh syair itu amat besar kepada masyarakat Jahiliah itu, justeru itu para penyair mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi masyarakat.


 
Di kalangan para penyair Jahiliah itu terdapat tujuh orang penyair yang dihormati dan dimulai oleh masyarakat , di mana hasil-hasil syair mereka di gantung di Kaabah sebgai penghormatan kepada mereka, dua orang daripada penyair itu ialah Hassan dan Labid.

Malah kaum Musyirikin itu kadang-kadang membuat dakwaaan bahawa ayat-ayat suci al- Quran itu sebagai gubahan puisi, dan seterusnya mendakwa bahawa Rasulullah SAW itu adalah seorang penyair bukannya seorang Nabi dan Rasul yang membawa wahyu dari Allah SWT.

Segala apa yang terdapat dalam puisi atau syair rekaan para penyair yang berada di gurun kekeliruaan dan kebingongan itu akan diikuti dan dilaksanakan oleh masyarakat yang sesat tanpa mengira benar atau salah, betul atau bohong.

Katakanlah andainya ada sesebuah puak atau kabilah yang selama ini dipandang hina dan keji, atau tidak bernilai sedikitpun di mata masyarakat, tapi kiranya ada syair yang tiba-tiba menyanjung dan memujanya sebagai kabilah yang mulia dan terpuji, maka dengan sekelip mata kabilah yang selama ini dipandang keji itu, dengan tiba-tiba akan berubah menjadi sebuah kabilah yang disanjung tinggi dan dimuliai oleh masyarakat.

Justeru itulah para penyair diberikan penghormatan dan kemuliaan oleh raja-raja, orang-orang kenamaan,  kaum-kaum bangsawan, dan hartawan. Seperti lumrah dalam masyarakat, para penyair itu juga diberikan berbagai-bagai hadiah yang berharga.

Sebagai balasannya para penyair akan memuja dan menyanjung golongan tersebut sebagai kumpulan yang istimewa dan patut dipandang mulia dan wajar diagung-agungkan.

Serupalah dengan zaman sekarang di mana sesetengah orang yang berada, mempunyai keudukan, berpangkat, ahli-ah;li politik memberi upah dalam berbagai-bagai bentuk hadiah  kepada para penulis supaya mewar-warkan diri  mereka sebagai orang baik-baik, mulia dan berjasa, suka berderma dan sebagainya menerusi majalah-majalah, akhbar-akhbar dan internet.

Sebaliknya pula  para penulis itu juga diberikan aneka hadiah atau ganjaran untuk memburuk-buruk atau merendah-rendahkan orang lain, khususnya lawan-lawan mereka, terutama puak-puak politik yang berani melupakan nilai-nilai kebenaran dan kesucian dalam masyarakat dan agama asalkan hasrat dan kehendak nafsu mereka dapat diraih.

Justeru itu, seperti sesetengaah penulis hari ini juga, para penyair Jahiliah  itu akan menuntut hadiah-hadiah dan ganjaran sebagai imbuhan dari orang-orang yang mereka sanjung dan puja itu walaupun apa yang mereka tuliskan itu karut dan dusta semata-mata.

Tapi berbeza dalam gerak kerja antara sastrawan  zaman lampau itu dengan penyair sekarang. Pada masa itu hanya para penyair atau para pencipta puisi sahaja yang dipergunakan oleh orang-orang berkepentingan untuk memproklamasikan kepentingan mereka, tapi hari ini para  penyair tidak mendapat tempat dalam urusan seperti itu, kerana puisi-puisi tidak mendapat tempat yang meluas  di hati masyarakat hari ini, justeru itu mereka menggunakan para penulis rencana dan wartawan untuk menulis dalam majalah, akhbar dan internet dan seumapanya untuk mencapai tujuan mereka.

Pada masa dulu para penyair terpakasa berkelana dari tempat ke setempat untuk mencari dan menemui orang-orang yang ingin memperolehi khidmat mereka, seperti ketua-ketua kampung, ketua-ketua suku, para pembesar dan sebagainya dengan upahan-upahan yang dipersetujui berrsama. Tapi hari ini para penulis tidak payah bergerak atau berkelana untuk mencari mangsa, kerana dengan bantuan alat-alat komunakasi zaman moden seperti telefon, inrtenet dan bank mereka dengan senang sahaja dapat menghubungi atau dihubungi oleh mereka yang memerlukan khidmatnya.

Penyair-penyair itu, seperti juga dengan sesetengah  penulis hari ini akan memuji dan megaggung-agungkan sesiapa yang sanggup dan mampu memberi upah yang lumayan kepada mereka, kalau tidak mereka akan memperburuk-burukkan atau mencerca dan mencela mereka dengan harapan untuk mendapat upahan juga untuk menutup mulur mereka sendiri, sebaliknya mereka akan menyanjungkan musuh-musuhnya yang sedia memberi ganjaran atau upahan yang menyenangkan.

Penyair-penyair zaman lampau sebelum Islam itu kebiasaannya tidak jujur dan tidak menulis perkara yang benar, tapi berdasarkan fantasi dan rekaan mereka semata-mata dengan motif yang tertentu, khususnya mencari ganjaran hadiah, kerana mereka tidak mempunyai arah perjuangan hidup yang murni. Justeru itu anggota-anggotaa masyarakat yang juga tidak mempunyai pendirian hidup yang nyata akan tenggelam dalam syair-syair fantasi bersama mereka menuju kehancuran.
Penyair-penyair atau sastrawan-sastrawan seperti ini mencela apa yang tidak patut mereka cela, mengutuk apa yang tidak patut mereka kutuk, menyanjung apa yang tidak wajar mereka sanjung, memuja apa yang tidak wajar mereka puja, maka hanyutlah mereka di lembah kesesatan dan kedustaan yang hina-dina.

Para penyair itu tidak mengamalkan apa yang mereka tulis itu, namun begitu syair-syair mereka tetap disanjung dan diikuti oleh golongan masyarakat yang bodoh dan telah yang juga sesat seperti mereka.

Para penyair khasnya, dan sastrawan amnya yang seperti inilah yang dicela oleh Islam.
Allah berfirman dalam Kitab Suci al-Qurran, Surah Asy-Syua’araak [26], ayat 221 hingga 227 yang bermaksud:
 “Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala
“Tidakkah engkau melihat mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang lembah [khayal dengan angan-angan kosong?

“Dan bahawa mereka memperkatakan apa-apa yang mereka tidak melakukannya” –As-Syu’ara’[26]- 221-226.

Sebaliknya para penyair dan sastrawan yang jujur, berkata benar serta ikhlas, maka mereka dihormati oleh Islam dengan sewajarnya sebagai manusia yang beriman. Penyair-penyair ini mendapat keredaan Allah SWT kerana sumbangan-sumbangan mereka yang penting terhadap agama Islam yang mulia itu,

Sesungguhnya syair-syair yang diciptakan oleh penyair yang beriman dan bertakwa itu diredhai oleh Allah SWT, kerana mereka menghasilkan syair-syair bernilai seni yang benar dan jujur, terutama dalam menggambarkan keagungan Allah dan kemuliaan Nabi saw, dan juga menggambarkan sejarah Islam dengan jelas dan benar untuk menghidupkan semangat juang yang murni di kalangan umat Islam.

Justeru itu para penyair dan sastrawan yang ikhls dan beriman mempunyai keteguhan dalam cita-cita dan perjuangan hidup dan tidak terikut-ikut dengan gejolak perasaan yang meluap-luap tanpa arah dan tujuan yang benar, dan merayau-rayau di alam fantasi dan khayalan.

Mereka menggunakan hasil-hasil syair mereka untuk menegakkan agama Allah, mempertahankan penganut-penganutnya, kesucian dan kemuliaan agamanya dan kebenaran tanpa ragu-ragu dan bimbang dan tanpa teragak-agak dengan penuh keyakinan dan dengan semangat juang yang murni dan tepu tanpa terpengaruh dengan dorongan-dorongan duniawi yang rendah yang diletak di bawah tapak kaki mereka.

Inilah penyair yang digambarkan oleh Allah dalam berfirman Nya yang bermaksud:
“Kecuali orang-orang beriman dan beramal saleh  [dari kalangan ahli-ahli syair itu] dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya, dan [ingatlah!] orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali”. –As-Syu’ara’[26] -227.

Difahakan ayat tersebut meliputi kepada para penyair juga, khususnya penyair di zaman Rasulullah  saw kerana pada masa itu mereka juga dihina dan dikeji, dicerca-celca, termasuk daripada  syair-syair para penyair Musyrikin.

Penyair-penyair yang beriman dan bertakwa seperti ini memang terdapat di zaman Rasulullah saw. Dengan syiar-syiar itu mereka menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang bermaharajalela dalam masyarakat Jahiliah. Penyair-penyair Islam itu dengan beraninya mempertahankan Rasulullah saw dan perjuangan yang dibawa oleh Baginda untuk menegakkan aktikad Islam yang suci dan mulia menerusi hasil-hsil karya syair mereka.

Antara penyair-penyair beriman pada masa itu yang terkenal ialah Hassan ibn, Thabit, Ka’b ibn Malik, Abdullah ibn Rawahah, Abdullah ibn az-Ziba’ra, dan penyair Abu Sufyan  ibn al-Harith ibn Abdul Mutalib yang mempergunakan syair mereka untuk mempertahankan Islam. 

Sejarah mencatatkan bahwa ada waktu-waktu tertentu perutusan dari Jazirat Arab datang menghadap Rasulullah saw di Madinah setelah Baginda saw berjaya dalam diplomasi Hudaibiyah atau sesudah berjaya penaklukan kota Mekah, ada di antaranya membawa bersama mereka para penyair untuk mengalunkan suara mereka, maka Baginda saw meminta penyair Hassan bin Thabit membalas syair mereka dengan syair pula.

Malah Baginda saw pernah mendoakan Penyair Hassan dengan doa yang bermaksud:
“Ya Tuhan, sokonglah dia dengan Ryhul-Qudus!”.

Penyair ’Abdullah bin Rawalah dalam Peperangan Mu’tah membaca syiar ketika menghadapi perang maut itu.

Selepas itu, iaitu di zaman kebelakangan lahir lagi penyair-penyair Islam yang ulung yang berjaya menghasilkan karya-karya seni Islam yang agung dan terus memancarkan sinar takwa dan keimanana yang dapat dirasakan hingga ke hari ini dan di masa-masa yang mendatang mewangikan ufuk dunia sastera Islam.
Sebagai contohnya, penyair-penyair  Islam yang ulung yang lahir selepas itu, ialah Al-Bushairiy [Imam Al-Busissri]- 17 Mac 1213-1294] yang melahirkan syiar Qasidah “Burdah”, Maulana Jalaluddin Rumi, [30 September 1207-17 Disember 1273], Maulana Mohammad Iqbal [4 November 1877-21 April 1938] dengan syair Shikwa dan Jawab-e- Shikwa, Pian Mashriq dan sebagainya.

Sebaliknya penyair-penyair yang tidak mempunyai dasar perjunagan hidup yang murni dan mantap  sentiasa terpengaruh dengan gelumbang-gelumbang emosi dan sentimen yang tidak mantap dan berubah-ubah mengikut selerea perasaan mereka yang diterapkannnya dalam puisi-puisi mereka dalam berbagai-bagai warna dan bentuk yang tidak menentu kalu. Warna-warni kehidupan inilah yang mempermain-mainkan dan mempenaruhi sesntimen penulisan mereka yang sentisaa berubah-ubah walaupun dalam menghadapi persoalan yang sama dan tidak berubah.

Sesetengah para penyair, suka berkhayal dan suka hidup dalam dimension fantsai dan mimpi-mimpi mereka, yang tidak berpijak atau wujud dalam alam nyata yang menyebabkan mereka hanyut tanpa tujuan, dan menjadi sesat-barat dalam pemikiraannnya yang tidak terjejak di bumi kenyataan.

Terpesona dan terpedaya dengan  kebendaan atau kepentigan dunia merupakan satu persoalan yang serius bukan sahaja kepada para penyair, tapi juga kepada seluruh para sastrawan dari sejak dulu hingga sekarang, kerana perkara ini akan menimpakan impak yang besar kepada emosi dan jiwa mereka, yang menenggelamkan mereka dalam arus kegelapan duniawi

Tapi di zaman Rasulullah saw para penyair yang beriman dan bertakwa mempunyai emosi dan sentimen yang terkawal dan mereka menggunakan kebolehan mereka dalam bersyair untuk memperjuangkan kesucian Islam dan menegakkan kebenaran Islam, serta menangkis serangan-serangan fitnah tang kotor yang dilancarkan oleh penyair-panyir kafi terhadap Baginda  Rasulullah saw dan agama Islam yang suci.

Baginda Rasulullah saw menggalakkan penyair-penyair berkarya berjuang menegakan dan mempertahankan kebanran dan Islam serta menentang kekufuran. 

Ini jelas membuktikan bahawa syair itu seperti juga cabang-cabang seni yang lain bukannya buruk atau keji dan hina pada sanya, tapi penyalahanguanya menyebabkan syair itu tercela dan tidak dapat diterima oleh Islam, sebagaimana ahli-ahli ukir menggunakan kepandaiannya utnuk mengukir patung-patung atau berhala-berhala yang  membuat orang menjadi syirik kepada Allah SWT.

Baginda dilaporkan pernah bersabda kepada seorang panyair bernama Hassan ibn Thabit, dengan katanya:

Baginda Rasulullah saw pernah bersaabda kepada penyair Hassan ibn Thabit, maksudnya:

“Tandingilah mereka [penyair-penyair Musyirikin dengan sajak-sajakmu] dan ingatlah bahawa Jibril bersamamu”.

Kepada seluruh penyair Baginda saw pernah pula bersabda, maksudnya:

“Sesungguhnya seorang Mu’min itu adalah berjihad dengan pedang dan lidahnya. Demi Allah yang jiwaku di tangan Nya, sajak-sajak yang kamu lontarkan kepada mereka [penyair Musyrikin] seolah-olah sama dengan lontaran anak-anak panah”.

Sebaliknya Baginda saw pernah memerintah para sahabatnya supaya menangkap sewaktu mendengar seorang penyair yang sedang mengalunkan snyiarnya dengan sabda Baginda saw:

“Kamu tangkaplah syaitan itu, Sungguh sekiranya perut salah seorang daripada kamu dipenuhi oleh nanah, adalah lebih baik daripada dipenuhi oleh syair”.
Amirul Mukminin Umar bin Alkhathab ra. memecat seorang  memecat Nu’man bin Adi bin Nadhlah, seorang pegawai di Mysan, Basrah yang dilantik bleh belaiu sendiri kerana didapati bersyair yang fantasi menggambarkan dia sedang mabuk dan mendengar nyanyian seorang biduan.

Justeru itu, wahai para penyair dan para penulis Islam tentukanlah sikap anda dalam berkarya supaya anda tidak sesat-barat dalam kehidupan yang fana ini tapi akan menentukan nasib anda di akhrat nanti.

Setiap orang mestil bercita-cita dan berusaha untuk melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya, terutama ahli-ahli seni seperti para sastrawan walaupun untuk mencapai kesempurnaan itu dalam semua perkara itu tidak mungkin dengan daya kemampuan kita yang terbatas sebagai makhluk Allah. Namun begitu azam dan cita-cita kita tertaplah tidak berganjak kearah mencapainya, baik dari segi jasmani dan ruhainya atau lahir dan batinnya.


Perpustakaan:

Tafsir Quran Karim – Prof. Mahmud Yunus – P.T. Hidakarya Agung Djakarta.
Tafsir AlAzhar-Prof. Dr. Hamka- Yayasan Latimojong Jln. Juwono 7- Surabaya. 1984.
Tafsir Ibnu Katsir- Penerbitan Insan Kamil, Jalan Rajawali. R 02/RW 03  Jawa Tengah.
Tafsir Zilailil Qur’an - Di Bawah Bayangan Al-Qur’an- Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimuahullah- Terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob.-Pustaka Aman Press Sd, Bhd., 4200-A, Simpang Tiga Telipot, Jalan Yahya Petra, 15700 Kota Bharu Kelantan Darulnaim.
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, - Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri-1988.
The Glorious Kur’an- Abdallah Yousuf Ali - Beirut
Al-Quran Dan Terjemahan – Khazaanah Rabbani Publisher-2012.
Al-Furqan [Tafsir Quran]- A. Hassan- Pustaka Aman Press, 4200 A, Simpang Tiga Telipot, Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, Kelantan Malaysia.-1973.


Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan Darulnaim.
27 Disember 2019
/30 Rbiulakhir 1441

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP