SUNAN BONANG DALAM CERITA BARI KELANTAN

>> Friday, October 4, 2019






SUNAN BONANG DALAM CERITA BARI RAKYAT  KELANTAN DARULNAIM



Sunan Bonang adalah salah seorang daripada Wali Songo atau Wali Sembilan yang memain peranan yang penting dalam pengembangan agama Islam di Indonesia, khususnya di Jawa.



                               Sebuah pantai di Kelantan


Jajaran nama Wali Songo itu adalah seperti berikut, di mana terdapat Sunan Bonang salah seorang daripadanya:

-Sunan Ampel

-Sunan Bonang

-Sunan Giri

-Sunan Drajat

-Sunan Kalijaga

-Sunan Maria

-Sunan Kudus

-Sunan Gunung Jati

-Sunan  Tembayat

Sunan Bonang diputerakan oleh bondanya Nyai Ageng Manila, dan ayahandanya ialah Bong Sui Hoo, yang bergelar Sunan Ampel, iaitu Sunan yang ulung dalam rangkaian Wali Songo itu.



                                          Biduanwanita Cik Siti Wan Kembang


Sunan Bonang dilahirkan pada 1465 Masihi dan diberi nama  Raden Maulana Makdum Ibrahim.


Pada suatu ketika ayahandanya Sunan Ampel telah menghantar beliau dengan sepupunya Sunan Giri untuk mengambil Haji  dan juga belajar agama di Tanah Suci Mekah.


Dalam perjalanannya ke Mekah itu dikisahkan mereka berdua singgah di Melaka dan belajar dengan seorang guru tersohor di negeri itu.


Tapi perkataan Melaka pada masa itu bagi orang-orang Jawa dikatakan meliputi kawasan yang luas, bukannya negeri Melaka yang di fahami oleh kita di Tanah Melayu pada masa itu, tapi meliputi  negeri-negeri di wilayah Pantai Timur Semenanjung, termasuk Patani, Kelantaan, Terengganu dan Pahang.


Justeru itu mengikut cerita bari rakyat Kelantan dua orang wali daripada Wali  Songo iaitu, Sunan Bonang dan Sunan Giri telah singgah dan belajar di Kelantan Darulnaim. antan dalam perjalann ke Mekah itu.


Mengikut Abdul Halim Bashah, seorang pengkaji dan penulis sejarah, dalam bukunya “Wali Songo, Dengan Perkembangan Islam di Nunsantara”, kedua-dua wali itu datang ke Kelantan dan belajar di suatu tempat dalam Jajahan Pasir Mas, iaitu Bukit Panau.


Selepas belajar di Kelantan itulah mereka mungkin pergi ke Melaka dan belajar dengan seorang guru terkenal di sana.


Menurut Halim Bashah mereka berdua berguru dengan seorang guru yang terkenal, bernama Saiyid Thana’uddin, seorang guru yang memiliki ilmu keruhanian dan kebatinan yang tinggi.


Menurut ceritanya juga Sunan Bonang dan Sunan Giri telah diarah oleh gurunya itu supaya membina sebuah masjid di Kampung Laut bersama dengannya. Itulah mengikut sumber ini, pembinaan Masjid Kampung Laut, sebuah masjid  yang tertua di Malaysia ini turut dibina bersama oleh kedua-dua wali tersebut.


Tapi kisah-kisah ini dan kisah-kisah seumpamanya yang menceritakan barikan dari mulut ke mulut oleh orang-orang tua Kampung Laut di mana masjid tua itu dibina dianggap oleh penulis dan pengkaji sejarah yang terkenal Allahyarhamn [gemulah] Abdul Rahman Al Ahmadi  sebagai dogengan atau cerita bari belaka yang memerlukan kajian yang teliti.




Langit Kelantan



Namun begitu ada beberapa sumber lagi mengenai pembinaan Masjid Kampung Laut itu yang berbeza-beza.


Insyallah di masa akan datang saya akan siarkan sejarah Masjid Kampung Laut yang ditulis oleh Gemulah Adul Rahman Al-Ahmadi yang merupakan penulisan yang ulung mengenai masjid Kampung Laut  Laut tersebut  yang pernah  disiarkan dalam mana-mana media massa tanah air.


Menurut cerita bari itu lagi, setelah tamat belajar kedua-duanya akan berangkat pulang  ke tempat mereka masing-masing. Sebelum berangkat masing-masing mereka dikatakan telah dibekalkan oleh guru mereka dengan segenggam tanah dari Bukit Panau, dengan pesanan guru jika kiranya mereka menemui tanah di Jawa yang serupa dengan tanah yang diberikan kepada mereka itu, maka di situlah tempatnya mereka harus bertapak untuk mengembangkan dakwah Islamiah mereka.


Dalam perjalanan pulang itu, Sunan Bonang berhenti di Tuban, sementara Sunan Giri kembali Ke Gersik.


Sunan Bonang telah menyebar agama Islam dengan gigihnya sehingga berjaya menyebar agama Islam ke Kraton Majapahit, dan berjaya mempengaruhi golongan-golongan atasan di istana, termasuk Raden Indera Patah.


Beliau juga berjaya mendirikan pasantren atau pondok-pondok di Bonang, suatu tempat berhampiran dengan Tuban yang telah berjaya melahirkan ramai pendakwah-pendakwah yang berwibawa untuk menyebarkan agama Islam di Indonesia.


Mengikut Pak Wandi Muallim, warga Tuban  pasaterannya sudah tidak ada lagi di Bonang. Namun begitu  di situ terdapat sebuah masjid peninggalan Sunan Bonang yang masih utuh sampai sekarang. Pembinaan masjid ini juga dikatakan berlangsung dengan penuh misteri, di mana mengikut sebuah cerita ia tiba-tiba muncul begitu sahaja pada suatu hari di situ.


Mmengikut Pak Wandi Masjid itu terkenal dengan nama Masjid Astana Sunan Bonang.


Berhubung dengan pertalian antara Sunan Bonang dengan Kelantan ini saya suka mengulangi sebutan bahawa di dinegeri Kelantan ini ada sebuah ilmu kebatinan yang dikatakan berpangkal dari Sunan Bonang. Pelajar-pelajarnya mampu merawat penyakit-penyakit tertentu, khususnya berhubung dengan penyakit buatan orang atau sihir.


Saya diberitahu oleh murid-muridnya bahawa mereka menerima penyampaian ilmu dari guru mereka, Sunan Bonang secara langsung yang akan muncul di hadapan mereka dalam keadaan sedar, bukan tidur, khayal atau bermimpi. Yang diajar bukan sahaja ilmu-ilmu perubatan tapi juga ilmu-ilmu agama secara terang dan jelas.


Ilmu Sunan Bonang ini masih boleh didapati sampai sekarang di Negeri Kelantan Darulnaim dan masih menjadi amalan mereka yang mempelajarinya


Mungkinkah ilmu kebatinan ini berasal langsung dari Sunan Bonang sendiri ketika beliau berada di Kelantan pada suatu masa yang lalu itu, dan di sampaikan oleh murid-muridnya dari satu generasi ke satu generasi hingga ke hari ini?


Sunan Bonang, seperti juga dengan kebanyakan para wali dikurniakan oleh Allah dengan kebolehan-kebolehan yang luar biasa yang dikatakan keramat. Ada beberapa cerita mengenai kekeramatan Wali Sunang Bonang ini, dan saya hanya mengutip  sebuah daripadanya sahaja untuk renungan.


Diceritakan bahawa pada suatu masa seorang Brahman Hindu, namanya Skyakirti telah bertungkus lumus mengkaji kitab-kitab agama Islam dengan tujuan utamanya untuk berdebat dengan Sunan Bonang. Kemudian Si Brahman dan pengikut-pengikutnya menaiki sebuah perahu untuk menemui Sunan Bonang di Tuban, tapi bila sampai berhampiran Tuban perahu yang mereka naiki itu telah karam. Semua barang-barangnya, termasuk kitab-kitab yang dibawa sang Brahman yang telah tenggelam ke dasar laut.


Walau bagaimanapun si Brahman dan pengikut-pengikutnya berjaya menyelamatkan diri dan  mendarat di pantai Tuban. Kemudian si Brahman bertemu dengan seorang lelaki sedang berjalan sendirian dengan menggengan sebatang tongkat dalam tangannya.


Bila mereka bertemu, orang itu lalu mencacak tongkat yang dipegangnya itu ke bumi dan bertanya pendeta itu apakah tujuan dia datang ke Tuban?
Setelah mendengar penjelasan Brahman itu, lelaki itupun lalu mencabut tongkatnya yang dicacak tadi, maka memancutlah air keluar dari lubang tongkat itu bersama-sama dengan kitab-kitab yang dibawa oleh Brahman yang telah tenggelam bersama perahunya di laut.


Melihat kerjadian itu, si Brahman yakin itulah orang yang dicarinya, aitu Sunan Bonang dan yakin akan kemuliaan dan kebenaran agama Islam, dan tanpa teragak-agak menjadi pengikut setia Sunan Bonang.


Tempat yang memancut air dari lubang bekas cocokan   tongkat Sunan Bonang itu dikatakan telah menjadi sumur atau telaga di Pantai Tuban. Sumur itu dikatakan masih ada sampai sekarang. Di sekeliling sumur itu telah di bina tembok yang dapat dilihat dengan jelas bila air laut surut.


Walaupun sumur itu terletak di dalam laut, tapi airnya tetap tawar dan boleh terus di minum begitu sahaja seperti air telaga biasa yang terletak di daratan.


Pak Wandi Muallimin memberitahu bahawa sumurnya masih terdapat di situ, dan airnya masih keluar, dan rasanya masih tawar seperti air telaga biasa di daratan walaupun ditenggelami air laut bila air pasang. Mengikut Pak Wandi Muallimin sumur itu dikenali dengan nama srumbung,


Sunan Bonang meninggal dunia pada tahun 1525 Masihi di Pulau Bawean, Surabaya, di Laut Jawa. Jenazahnya dikebumikan di Tuban.





Kg. Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
4 Oktover 2019
/5 Safar 1441

4 comments:

lloni October 5, 2019 at 12:00 AM  

Assalam..bila gemuloh Abdul Rahman al Ahmadi meninggal..ambo pernah jupo dgn dia di pasir mas ketika itu dia duk mesin air tebu..Allahu takdey jupo dia..

Anonymous,  September 12, 2022 at 9:18 AM  

Syeikh thanaudin tu adi putra adik syeikh jamadil kubro sedangkan sunang bonang tu dari keturunan syeikh jamadil kubro bgaimana bljarnya yg sebetulnya di bukit panau kelantan bukn melaka keliru bnyk blog ni buat lgi kajian

Anonymous,  January 18, 2023 at 10:38 PM  

Allahukahbar

Anonymous,  January 18, 2023 at 10:40 PM  

Allahuakhbar Allahu ya karim

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP