SEJARAH MASJID TUA KAMPUNG LAUT
>> Monday, October 14, 2019
MENJEJAKI SEJARAH MASJID TUA KAMPUNG LAUT
Rencana ini ditulis oleh Gemulah Drs Abdul Rhman Al Ahmadi,
seoramg pengkaji dan sejarahwan yang terkenal pada tahun 1968.
Adalah dipercayai inilah artikel yang julung-julung kali
ditulis mengenai Masjid Tua Kampung Laut secara terperinci dalam bahasa Malaysia dan di siarkan oleh
media massa.
Sebelum rencana ini disiarkan dalam Mingguan Kota Bharu pada 27 Julai 1968, serombongan penulis seramai tiga orang, iaitu Gemulah Adbul Rahman Al Ahmadi, dan Gemulah Ustaz Abdullah Nakula juga seorang pengakji dan seorang sejarahwan dan Mohamed Zain Saleh penulis, editor Mingguan Kota Bharu telah beberapa kali berkunjung ke masjid itu, malah mereka berdua dipercayai telah beberapakali sebelum itu meninjau masjid yang sedang keuzuran tenat itu.
Sebelum rencana ini disiarkan dalam Mingguan Kota Bharu pada 27 Julai 1968, serombongan penulis seramai tiga orang, iaitu Gemulah Adbul Rahman Al Ahmadi, dan Gemulah Ustaz Abdullah Nakula juga seorang pengakji dan seorang sejarahwan dan Mohamed Zain Saleh penulis, editor Mingguan Kota Bharu telah beberapa kali berkunjung ke masjid itu, malah mereka berdua dipercayai telah beberapakali sebelum itu meninjau masjid yang sedang keuzuran tenat itu.
Kita siarkan kembali artikel itu, kerana kita percaya masih ramai pembaca, terutama dari genersai terkemudian yang masih belum mengetahu sejarah Masjid Tuan Kampung Laut yang penting itu.
Sekian, teriimakssih.
Drs. Abdulr Rhman
Al-Ahmadi menulis:
SUDAH
beberapa kali penulis mengunjungi masjid tua ini, maka terasalah betapa
tergugahnya hati penulis ingin mengajak masyarakat kita dan ahli-ahli sejarah,
kiranya masjid yang terbina oleh nenek moyang kita ratusan tahun yang lalu
dijaga, dipelihara dan diperbaiki demi untuk menghindarkan dari kemusnahan sama
sekali. Dalam dua tiga tahun dulu [rencana ini disiar pada bulan Julai
1968-pengarang] masjid bersejarah ini masih utuh keadaannya, tapi akibat banjir
tahun 1966 masjid ini sebahagian kakinya sudah mencicah air dan sebuah kolah
yang ada di bahagian belakang sama sekali hancur. Sungguh sayang apabila
lambang keagungan Islam yang tak ternilai ini dibiarkan musnah ditelan zaman.
Bagi Negeri Kelantan khususnya masjid tua ini sungguh penting, daripadanya dapat dijadikan bahan untuk mempelajari sejarah perkembangan Islami di sini dan sumbangan apa yang mungkin dapat diberikan Kelantan di masa lalu sebagai tempat pemancaran Islam di Nusantara. Selain daripadanya, dari masjid ini sekurang-kurangnya dapat pula dipelajari aristarktur seni bangunan asli kita. Berkatalah Profesor Jepan yang sekarang ini mengajar di Hull Inggeris yang berapa tahun yang lalu pernah melawat Kelantan, “Dilihat dari aristraktur seni bangunan, maka masjid ini adalah sama tua dengan Masjid Demak di Jawa abad kelima belas”. Isu kata-kata ini baiklah kita cuba mencari jejak sejarahnya.
SUDUT DONGENG
Timbullah persoalan: bilakah masjid ini didirikan, belum ada kata sepakat yang dapat mengesahkan, tapi dari segi dongeng seperti banyak diceritakan oleh penduduk tempatan teristimewa orang-orang Kampung Laut ada dikisahkan bahawa masjid ini didirikan dalam tahun entah berapa, oleh serombongan ahli pelayar ulama/wali yang berasal dari Cepa[Campa] yang dalam perjalanan mereka ke tanah Jawa, di tengah laut perahu mereka bocor dimasuki air , mereka bernazar bila perahunya selamat sampai di sebuah pantai yang terdekat, maka di situ akan didirikan sebuah masjid, kebetulan tempat bocor itu dimasuki oleh seekor ikan hingga menjadi penyumbat [gegala] yang dapat mencegah kemasukan air.
Terdorong oleh nazarnya, maka rombongan ulama/wali itu mendarat di sebuah kampung di tepi laut, di sana didirilah sebuah dari tiga buah masjid yang pelan dan pakunya sudah siap dibawa dari Negeri Campa. Sesudah siap masjid itu dibina, mereka meneruskan perjalanan ke Jawa untuk mendirikan dua buah masjid lagi di sana yang mempunyai sama bentuk dan ukuran pula seperti yang didirikan di Kampung Laut itu tadi.
Mengikut cerita dongeng itu lagi yang sering diceritakan oleh orang-orang Kampung Laut sekarang bahawa mereka pernah mendengar yang diceritakan oleh orang-orang Jawa , bahawa ada tiga buah masjid tua yang pernah didirikan oleh Wali Jawa itu, dua diantararnya ada terdapat di Jawa, tapi yang satu lagi tak tahu di mana letaknya, dan sangat aneh kata cerita dongeng itu , yang hilang itu diketemukan di Kampung Laut.
Pandangan Dari Segi Sejarah
Sudah lazim orang memperkatakan bahawa Jawa menerima Islam dari Melaka [ Melaka dalam erti tradisi orang-orang Indonesia bukan Melaka dalam erti geografi politik sekarang, perlu dikaji semula], dari segi angka tahun Islam di Jawa lebih awal daripada Melaka sendiri, sedangkan sebagaimana diketahui Melaka baru timbul abad 15, sdangkan jauh sebelum Melaka wujud di lebaran sebelah Barat Tuban [Kelantan ada juga tempat bernama Tok Uban], Jawa Timur seperti terdapat sebuah makam puteri Islam bernama Fatimah binti Maimun bin Habat Allah berangka tahun 475 hijriah atau1082 Masihi. Makam puteri ini di kalangan mulut rakyat disebut Makam Puteri Surai atau Makam Puteri Campa. Di zaman Majapahit pula, iaitu pada zaman Hayam Wuruk memerintah 1350-1389 dengan Perdana Mentri Gajah Mada kita lihat di ibu kota Majapahit itu sendiri di dekat desa Tralaya sekarang terdapat banyak makam-makam Islam yang bertulis pada nisannya angka tahun 1369 M. Ini menunjukkan bahawa pada awal abad 14 Islam di Majapahit bukan suatu hal yang baru sahaja masuk, melainkan sudah biasa dalam masyarakat di ibu kota, bahkan waktu itu salah seorang raja Majapahit berkahwin dengan salah seorang dari dua puteri yang datang dari Campa.
Mengenai masyarakat Islam di ibu kota Majapahit pula baiklah kita kutip apa yang diceritakan oleh Ma-Huwan seorang Islam Tionghua yang datang ke Majapahit dalam tahun 1413. Mengikut beliau di ibu kota Majapahit terdapat tiga golongan penduduk:
1]Orang-orang Islam yang datang dari Barat.
2. Orang Tionghua yang kebanyakan menganut Islam.
3.Rakyat selebihnya menyembah berhala.
Yang sangat
menarik perhatian dari keterangan Man-Huan ini perkataan dari Barat.
Sudah tentulah maksud beliau itu, ialah dari arah negeri-negeri Arab,
Indo-Persia, dan bagi kita cukup beralasan bahawa sebelum Islam itu datang ke Jawa, Islam itu telah berpijak
lebih dulu di pusat peradaban di sebelah
utara Nusantara yang dapat memegang peranan dalam refleksi kebudayaan baru itu
ke Nunsantara, dan dalam hal ini rasanya Campa dan Pantai Timur Semenanjung
Melayu yang justeru letak geografi dalam
garis perhubungan laut yang segaris cukup matang dan logik untuk memegang peranan itu.
Untuk mengetahui bagaimana peranan Campa dalam penyebaran Islam di Nusantara dalam abad 14 dan 15 , baik kita paparkan pula sedikit sejarah masuknya Islam ke Campa. Islam di Campa di bawa oleh seorang mubaligh terkenal Sayid Hussin Jamadil Al Kabri yang sebelum ke Campa pernah pula beristeri dengan salah seorang puteri dari satu dinasti yang nanti di kemudian hari menurunkan raja terkenal dalam sejarah dengan gelara Raja Cermin.
Di Campa Sayid Hussin Jamadil Al Bakri kahwin pula dengan Ramawati puteri Raja Champa, Sultan Zainalabdiin Syah . Salah seorang anak Sayid Hussin Jamadil Al-Bakri bernama Malik Ibrahim. Malik Ibrahim inilah yang nanti kemudian dalam sejarah menyiarkan Islam di Jawa Timur. Malik Ibrahim meninggal di Gersik, JawaTimur pada 12 Rabiul Awal 822 Hijrah atau 1419 .
Menurut keterangaan Riffel dalam bukunya “Sejarah Tanah Jawa” berdasarkan dongeng Jawa mengatakan bahawa Malik Ibrahim ini adalah seorang ulama dari Arabia [Arabia? Penulis] adalah sepupu kepada Raja Cermin [sebuah negeri di tanah seberang], menyiarkan Islam di Gersik, Sesudah agak berhasil menyiarkan Islam di sana, terdengarlah berita kepada Raja Cermin, tertariklah hati raja yang taqwa ini untuk bersama menyiarkan Islam itu di Jawa, lebih-lebih lagi di Majapahit, Raja Majapahit waktu itu Angka Wijaya bersedia masuk Islam asalkan beliau dikahwinkan dengan puteri yang cantik dari Raja Cermin, lalu berangkatlah Raja Cermin ke Majapahit bersama puterinya, dan puteranya Sadik Muhammad. Dari sumber lain ada mengatakan beliau disertai juga oleh sepupunyya yang lain bernama Sayid Jaafar, Sayid Qasim dan Sayid Khairat, tetapi sayang belum pun tugas pengIslaman itu dapat dilaksanakan, tiba-tiba mereka diserang penyakit menular hingga semuanya meninggal dunia kecuali Raja Cermin. Sampai hari ini makam-makam mubaligh-mubaligh itu di lebaran sebelah barat Tuban Jawa Timur yang terkenal dengan “Kubur Panjang”.
Masjid Demak Jawa
Sekarang timbul pula persoalan di manakah letaknya Negeri Cermin itu yang nampaknya memegang peranan besar dalam penyebaran Islam. Dari Raffle ada ditunjukkan letaknya di seberang, tapi banyak ahli sejarah lain sangsi untuk menunjukkan secara pasti. Ada setengah mengatakan letaknya di India, ada pula yang mengatakan letaknya di Indonesia, kalau di Indonesia di mana? Bahkan ada yang mengatakan letaknya di Ceng Mai, Siam. Tentang letaknya di Ceng Mai ini hanya didasarkan pada persamaan buyi sebutan antara Cermin dengan Ceng Mai, dan kebetulan pula di sana terdapat puteri-puteri cantik yang mungkin menjadi minat raja untuk mengawini.
Mengenai Ceng Mai, saya ini sebagai penulis tak dapat cukup dicari dari segi persamaan bunyi sebutan sahaja, sebab di sana tak dapat mewakili satu raja pun yang pernah menganut Islam, di sana agama Budha yang berkuasa dalam sepanjang sejarahnya, kerana itu ada baiknya kita cuba cari Negeri Cermin itu dari indikasi tradisi dari pengertian negeri Tanah Seberang. Di Jawa mengikut pengertian seberang banyak Semenanjung Tanah Melayu dari seberang lain di Indoneisa. Dalam Cerita Panji [hidup sebelum Majapahit] ada disebut Ratu Ayang Melayu Ratu Seberangan. Dalam sejarah Islam Demak pula pada abad 16 Patih Utus disebut pengeran Seberang Lor, kerana beliau menyerang Portugis di Melaka. Di samping itu pula dalam zaman media Islam ini pernah diceritakan ada di antara wali-wali di Jawa belajar ke Melaka. Jadi demikian pengertian seberang itu lebih menunjukkan Semenajung Melayu daripada bahagian-bahagian lain. Kalau demikian, di manakah pula letaknya Negeri Cermin itu di Semenanjung Melayu ini? Saya ingin membawa Negeri Cermin itu jauh ke Pantai Timur, ke Kelantan berdasarkan beberapa fakta-fakta.
Dari catitan bertulis , maka Pantai Timur lebih awal Islam dari Melaka [Melaka dalam pengertian geografi baru] dan kalau ada cerita yang mengatakan ada di antara wali Jawa belajar di Melaka, maka maksud Melaka itu harus dicari dalam skop yang luas dalam erti politik Melaka dulu dan Melaka dalam pengertian tradisi orang-orang di Jawa dan di Indonesia sekarang, iaitu seluruh Semenanjung Melayu ini, jadi bukan Melaka dalam erti politik yang sekerat di Pantai Barat, lagi pula mengikut sumber Portugis ada mengatakan bahawa Melaka menerima Islam dari Pantai Timur, dari Patani dan Pang [Pahang atau Panrang di Campa? Penulis]. Dan kebetulan pula di Kelantan sampai sekarang ini masih hidup di kalangan tertentu cerita mengenai Raja Cermin ini, iaitu satu dinasti yang pernah berkuasa di daerah Pengkalan Datu, Daerah Pengkalan Cepa dekat Kota Bharu[ daerah yang banyak hubungan dengan Campa dan Patani] Mengikut cerita yang hidup di kalangan tertentu itu, sangatlah cucuk dengan dengan fakta-fakta sejarah yang berhubngan erat dengan Jawa, Campa dan Kelantan [Raja Cermin]. Di samping itu kalau hendak dihubungkan Negeri Cermin itu dengan fakta mental rakyat, maka bukan berlebihan kalau dikatakan dari sejak dahulu sampai sekarang Kelantan lebih mewakili secara relitif banyak ulama-ulamanya dan dari sejak dahulu menjadi pusat pendidikan agama. Proffesor Jepan pernah menyatakan kepada penulis kehairanan beliau sewaktu berada di Kampung Cam Kemboja hasrat dan permohonan penduduk di sana kiranya Allah memberi peluang kepada mereka untuk dapat belajar agama di Kelantan. Apakah magnet itu tanya beliau?
Ya kalau hendak dicari pula Negeri Cermin ini pada fakta kecantikan fizikal tentu secara objektif kita tidak dapat menolak secara realitif fizik wanita di sini, di Kelantan lebih mewakili dari negeri-negeri di Semenajung lain, dan dalam hal ini saya ingin hubungkan dengan beberapa peristiwa sejarah masa lalu yang telah disumbangkan Kelantan dalam injeksi perkahwinan puteri-puterinya dengan raja-raja yang berkuasa. Dalam Sejarah Melayu pernah disebut bahawa Sultan Mahmud [1477] kahwin denan Puteri Unang Kening dari Kelantan, Raja Mansur dari Pahang kahwin dengan Puteri Bongsu yang mengikut nasab berdarah Kelantan pula, dalam tahun 1649 Puteri Sadun kerana termasyur cantik sangat dighairah oleh Raja Siam dan memaksa puteri tu kahwin dengan beliau. Dalam tahun 1762 seorang puteri Long Yunus kahwin dengan Tengku Mahammad Ibnu Sultan Mansur Trengganu. Dalam sejarah lain Ibnu Batutah yang pernah singgah di Kilokrai [Kelantan] 1297 menakjubi kecantikan Indru Jawijaya Mala Singha satu nama yang dalam sebutan sehari-hari Kelantaan disebut Puteri Cik Siti Wang Kembang. Mengikut Ibnu Batutah kecantikan Ratu itu sama dengan puteri-puteri Turki. Masih menjadi tandatanya sekaraang apakah latar belakang pencegahan Patih Gajah Mada melarang Hayyam Wuruk berkahwin dengan Puteri Penjajaran abad 14, adakah juga mempunyai tendens tertentu yang menyerap jauh ke Kalantan. Dari fakta-fakta ini tak anih kalau dahulu Raja Campa beristerikan pula Puteri dari Negeri Cermin ini, bahkan Raja Majapahit sanggup masuk Islam asal dikahwinkan dengan Puteri Raja Cermin yang cantik itu.
Masjid Tua Kampung Laut
Kembali kita kepada persoalan Masjid Tua Kampung Laut ini, bilakah didirikan tidak diketahui, tapi bagi ahli sejarah yang ingin mengetahui, baiklah saya ingin mengajak untuk dapat mencari tarikh itu pada sebahagian dari dinding kolah, di situ ada terdapat bekas relif ukiran dan tulisan yang hurufnya sudah tidak dapat dibaca lagi, kerana terlampau sering digosok orang bagi mencuci kolah itu, walaupun ada dijangka kolah ini dibuat lebih muda dari bangunan masjid itu sendiri, tapi berdasarkan batu kolah itu terbuat dari batu sungai atau batu bukit, maka sangat boleh jadi bahan-bahannya dibuat dari dan oleh tukang tempatan [Kelantan], sebab masa dulu dan sekarang di Kelantan banyak penduduk masih menggunakan batu penggilingan dan kisaran yang diperbuat dari batu bukit, dengan demikian ada sekurang-kurangnya petunjuk di Kelantan ada tukang pahat batu yang mampu membuat ukiran relif itu. Sampai hari ini di Kelantan masih hidup seni ukir, sobek, seni batik dan seni kerajinan perak. Jika disesuaikan dengan cerita dongeng di atas masjid tua ini dibuat oleh ulama/wali dari Campa dalam perjalanan ke Jawa dan dihubung pula dengan adanya hubungan antara antara Raja Cermin , Campa dan Jawa maka kita dibawa ke satu arah untuk menyakinkan kepada cerita dongeng itu, lebih-lebih kalau kita hubungkan dengan tarikh Masjid Demak yang didirikan pada tahun 1468 di zaman Wali Sembilan di Jawa, sedangkan sebagaimana diketahui para Wali Sembian ini ada mempunyai hubungan dengan kekeluargaan dengan Dinasti pemerintah di Campa , Raja Cermin dan Jawa, misalnya seorang wali Jawa yang bernama Radin Rahmat Allah adalah berdarah Campa. Dalam zaman Wali Sembilan ini satu hal yang amat menarik perhatian pula, timbul nama tempat baru di Jawa Tengah yang didirikan oleh Sunan Tembayat [sama dengan Kembayat Campa], iaitu seorang murid dari Wali Sembilan Kalibuga. Nama tempata itu ialah Kelatan [ pelet Kelantan hilang “nun”, Kelantan disebut Kelatan. Di kalangan ini sekarang satu-satu tempat di Pulau Jawa yang ada masakan ayam panggang atau ayam golek seperti yang khusus ada di Kelantan. Bagaimana hubungan ini terjadi Wallahu aklam.
Untuk menambah fakta tarikh Masjid Tua Kampung Laut ini baik pula dikaji dari segi bahan bangunan. Sebagaimana diketahui masjid ini tiangnya dibuat dari bahan kayu cengal, dan tiang seluruhnya 20 buah termasuk 4 tiang seri atau dapat juga dikatakan 8 tiang serinya, adapun ukuran lebar masjid ini 52 kaki dan panjangnya 60 kaki dengan lantainya diperbuat dari sejenis kayu kukuh, mungkin lamsa atau merbau yang tebalnya 3 inci lebih, lebar kayunya 6 inci dan panjangnya 26 kaki. Masjid ini sangat tinggi dari lantai ke puncak lebih kurang 50 kaki dan tinggi dari lantai ke tanah dulu kabarnya dapat dilalui gajah, mengikut cerita mulut rakyat, pernah marhum Sultan Mulut Merah Sultan Muhammad Kedua memerintah tahun 1832, memeritah menggali dasar tiangnya tapi sampai ke air mata belum juga ketemu dasarnya, tapi mengikut ukuran yang penulis ukur dari satu kakinya yang sekarang mencicah air, tinggi tiang dari dasar tanah ke lantai masih ada bahagian tiang yang di dalam tanah, ada 6 kaki 38 inci, jadi lebih kurang 9 kaki lebih, sedangkan tinggi tiang dari lantai ke tutup tiang [puncak tiang] lebih kurang 20 kaki, serta besar lilitnya tiang seri 42 inci, ditiang seri ada tetupai berukiran relung bunga terbuat dari kayu cengal stingi 38 inci dengan tebal kayunya 2 inci suku. Di dekat masjid ini ada sebuah balai lintangnya, sebagai sebuah bangunan tambahan baru. Mengkut catatan yang ditulis di atas sekeping tembaga di tiangnya ada disebut tanggalnya dibina 22 Syaaban 1328 Hijrah, pada bahagian sampingnya ada sebuah menara yang dibuat kemudian daripada binaan masjid ini tinggi lebih kurang 60 kaki.
Mengenai
kolah di belakang yang ada relif pahatnya itu, dapat disebut bahawa batu kolah
di bahagian atas itu satu blok panjang 54 inci dengan lebarnya 20 inci
dan tebal l5 inci suku. Kolah ini tinggi dari dasar simennya di bawah
ada setinggi 30 inci terdiri dari satu
setengah blok batu. Dasar kolah terdiri 3 blog yang masing-masing panjang 52
inci dan lebarnya 20 inci [jadi panjang 52X3 inci dengan lebarnya 20X3 inci.
Mengingat sangat dekatnya masjid ini dari laut bahkan masih dapat orang melihat laut terbuka dan mengingat pula sangat jauhnya masjid ini dari tebing yang dikatakan orang dulunya setengah batu lebih, maka rasanya dengan bantuan ahli-ahli kajibumi dapat diketahui pula sebanyak mana robohan tebing setiap tahun akibat banjir dan berapa ribuan meterkah timbulnya tanah yang menimbun dari pantai ke Kempung Laut sekarang, hingga dengan demikian dapat diketahui berapa meterkah tanah yang menimbun kaki masjid itu setiap tahun. Hari ini lantai masjid itu hampir sama rata dengan tanah.
Di samping itu dengan meninjau masjid ini dari segi bahan bangunan, maka dengan bantuan ahli sejarah Indonesia khususnya dan lain umumnya dapatlah dipelajari apakah ada persamaannya dengan Masjid Tua di Demak dan di Tuban. Setahu saya di Jawa sekarang bahan kayu cengal atau kayu besi itu tidak terdapat di sana, maka sudah tentulah kalau Masjid Demak dan Tuban itu dibuat dari kayu cengal, ia bukan lagi dari bahan lokal Jawa, tapi dari luar. Kalaulah demikian adanya tentulah dongeng di atas akan mendekati kebenaran.
Kalau hendak ditinjau Masjid Kampung Laut ini dari aristraktur seni bangunannya, memang terdapat persamaan gaya dengan Masjid Demak , iaitu atap bersusun bersifat ganjil tiga dengan dinah dasar empat persegi dan tiang seri lapan. Mengenai segi aristruktur seni bangunan pada setiap masjid di zaman media Islam dapat dinyatakan semuanya sama, iaitu semua bergaya unsur purba Nusantara sendiri sebagai lanjutan dari warisan seni bangunan makam yang bersusun-susun kemudian dilanjutkan pula kepada seni candi di zaman Hindu. Dalam gaya seni bangunan candi Nusantara asli ia berlainan dengan candi seni bangunan India, walaupun dilihat ada persamaan seni bangunan candi India dengan Nusantara, tapi persamaan itu terbatas kepada dinah dasar sebagai yang ditetapkan dalam silapastra Hindu, iaitu dinah dasar empat persegi, sedangkan di atas tiang candi gaya seni bangunan Nusantaralah yang berkuasa, Dari seni purba Nusantara inilah dijelmakan pula dalam seni bangunan masjid, iaitu adanya atap tumpang bersusun-susun yang kebanyakan bersifat ghasal, ganjil, satu, tiga, lima dan tujuh, makin ke atas makin kecil dan lancap, bahkan di atas sekali ada semacam bangunan bulat, di Kelantan di namakan buah gutung sebagai penutup di tengah-tengah.
Di Kelantan seni bangunan atap bangunan bersusun itu tidak hanya terdapat pada masjid, tapi juga pada wakaf-wakaf yang berserak-serak di tengah-tengah padang bagi tempat berteduh musafir atau orang-orang dalam perjalanan. Juga pada istana-istana dan rumah-rumah potongan lama.
Adanya gaya seni masjid dengan atap tumpang bersusun dengan buah gutung ini, tak lain adalah penjelmaan dasar fikiran filosofis orang-orang kita di zaman dahulu, bahawa alam ini di lapis yang di bawah masih penuh dengan kekotoran, makin ke atas makin bersih dan akhirnya bulat menuju ke alam yang tidak terbatas, terlepas dari ruang dan waktu, terlepas dari rupa dan bentuk, semuanya kembali kepada satu zat ketuhanan yang abadi.
Satu hal yang perlu diperhati mengenai kedudukan Masjid Kampng Laut ini adanya makam di sampingnya, seperti yang terdapat pada masjid Langgar di Kota Bharu ada di sampingnya makam raja-raja dan makam penduduk biasa, hal ini pun menjadi ciri khusus bagi msjid-masjid di zaman media Islam. Masjid makam semacam ini terdapat pula di Jawa . Adanya makam di samping masjid tak lain adalah lanjutan dari tradisi purba Nusantara, iaitu makam yang dimaksudkan ialah sebaaga tempat yang selalu diziarahi orang-orang yang masih hidup sedang masjid tempat berkumpul semua lapisan, bersama-sama melakukan kewajipan terhadap Allah. Jadi terpenuhlah sekali gus dua fungsi pokok dari masjid/makam seperti di Kampung Laut itu. Akhirnya oleh kerana memandang pentingnya masjid ini dari segi sejarah, maka alangkah baik kalau pehak masyarakat kita dan ahi sejarah umumnya mencari ikhtiar untuk menyelamatkan masjid ini dari kemusnahan, dan penulis ada mendengar khabar bahawa masjid ini akan dipindahkan ke suatu tempat ke Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu. Kalau benar berita ini penulis ingin menyarankan kepada pehak berkenaan supaya bentuk bangunannya tetap dipelihara sebagaimana asli yang mungkin dapat menjadi bahan kajian untuk masa-masa akan datang. Terimakasih.
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
14 Okober 2019
/13 Safar 1441
14 Okober 2019
/13 Safar 1441
0 comments:
Post a Comment