AMFIBIA DI KALANGAN HAIWAN DAN MANUSIA

>> Thursday, March 22, 2018








AMFIBIA DI KALANGAN HAIWAN DAN MANUSIA

Pada umumnya makhluk Allah di dunia ini bertempat di darat atau di air. Di darat itu mungkin di pergunungan, di pelembahan, di gua-gua dan sebabaginya. Antara penghuninya ialah manusia, dan haiwan-haiwan seperti gajah, harimau, ular dan sebagainya. Di air pula ialah hewan seperti ikan-ikan, buaya, labi-labi dan sebagainya.

Namun begitu, ada pula makhluk Allah, iaitu haiwan boleh hidup dalam dua alam, iaitu didarat dan  di air. Haiwan yang ganjil ini diklasfiksikan oleh ahli-ahli sains sebagai jenis amfibia.

Antara haiwan amfibia ialah katak, kodok, ketam nipah, dan salamander.



                            Kodok [Katak Puru]


Di darat amfibia ini tinggal di berbagai-bagai tempat, seperti di atas tanah, dalam tanah dan juga tinggal di atas pokok-pokok.

Amfibia ialah jenis haiwan berdarah sejuk. Kulitnya bukan sahaja berguna untuk melindungi daging badannya, tapi juga berguna untuk pernafasan, di samping menggunakan paru-paru. Salah satu ciri-ciri penting jenis binatang berdarah sejuk ialah suhu badannya berubah-ubah mengikut keadaan.

Biasanya kulit haiwan amfibia mengandungi racun yang merbahaya. Istimewanya bila berhadapan dengan ancaman musuh, amfibia akan menukar warna kulitnya sebagai amaran kepada musuh-musuh untuk menjauhinya. Antara warna-warna itu boleh menjadi warna yang terang, seperti merah, hitam atau kuning.

Namun begitu haiwan amfibia yang hidup dalam dua alam ini menjadi bahan makanan yang menyelerakan di kalangan sesetengah penduduk dunia.

Antara penduduk-penduduk dunia yang suka makan amfibia ialah mereka yang tinggal di Amerika Selatan yang gemar makan katak bulldog. Demikian juga penduduk-penduduk di Midwestern Amerika suka makan katak bulldog.

Bahagian katak bulldog yang suka mereka makan ialah kakinya untuk dimasak, sementara punggungya digoreng. Mereka memburu katak bulldog di malam hari berhampiran dengan sungai.

Sementara di negara Cina, katak-katak itu dijual hidup-hidup untuk dimasak dan dimakan mengikut selera masing-masing.

Sementara di Kelantan Malaysia, iaitu di ibu negerinya, Kota Bharu, katak-katak juga dijual di pasar-pasar pagi untuk orang-orang bukan Islam. Katak-katak itu setelah ditangkap, dibunuh, dibuang kulitnya dan dicucuk pada lidi seperti satay untuk dipasarkan.

Saya tidak pasti adakah pada akhir-akhir ini satay katak mentah itu masih dijual di pasar pagi Kota Bharu, kerana telah agak lama saya tidak ke pasar tersebut.

Menurut kajian sains, sejak akhir-akhir ini jumlah amfibia di seluruh dunia telah berkurangan.

Manusia Amfibia

Bukan sahaja di alam haiwan, tapi di kalangan manusia juga ada golongan amfibia, iaitu manusia amfibia. Manusia amfibia ini juga, seperti haiwan  boleh hidup dalam dua alam yang berbeza.

Yang dikatakan manusia amfibia ialah manusia yang munafik, yang percakapannya atau perbuataannya berbeza dengan apa yang ada dalam dada atau hatinya.  Lain kata, lain bikinnya. Manusia seperti ini boleh hidup di alam nyata bersama dengan manusia biasa, tapi dengan kepura-puraan, iaittu dengan menyembunyikan  apa yang sebenar tersirat di dalam  hatinya. Lain di mulut lain di hati.

Seseorang mungkin mengaku dia seorang Islam, dan menonjol-npnjolkan tata hidupnya seperti orang Islam, tapi hakikatnya dia seorang kafir, yang menentang Islam. Mereka pura-pura beriman, sedangkan hatinya menenang atau memusuhi Islam, malah berusaha untuk melemah dan meruntuhkan Islam dan umat Islam.

Itulah manusia munafik. Mereka yang amalannya berbeza antara lahir dan batinnya, yang dicapkan sebagai manusia

Maka dikatakan oleh ulama salaf, “Jika ada persamaan antara lahir dan batin, atau luar dan dalam, maka seseorang Islam itu dianggap netral dan adil. Dan jika di dalam hati lebih baik dari di luar, maka dia dianggap baik. Tapi jika di luarnya lebih baik, sedangkan di dalamnya tidak baik, maka seseorang itu dianggap jahat”.

Perbuatan orang munafik itu adalah perbuatan terang-terangan menipu Allah SWT. Walaupun mereka menyangka mereka menipu orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman, maksudnya, “Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, walhal mereka hanya menipu ddiri mereka sendiri sedang mereka tidak menyedari”. Al. Baqarah: 9.

Orang-orang munafik bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri tapi juga lebih buruknya mengancam masyarakat Islam seluruhnya. Mereka hidup bercampurgaul dengan orang-orang Islam kerana pada zahirya mereka mempamrikan diri mereka sebagai orang Islam. Mereka bersolat, berpuasa, berzakat, pergi ke masjid berjamaah dan sebagainya, tapi batinnya mereka adalah memusuhi dan membenci Islam dan umat Islam, dan secara sembunyi-sembunyi berusaha untuk menghancurkannya.

Tapi kini, orang-orang munafik ini lebih agas, dan jahat daripada orang-orang munafik zaman dahulu. Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qadhawi pernah menegaskan kejahatan orang-orang munafik zaman kini dengan ujarnya, “Orang-orang munafik zaman sekarang ini lebih jahat dan buruk daripada orang-orang munafik di zaman Nabi Muhammad saw.

Katanya, “Orang-orang munafik zaman dahulu masih lagi pergi ke masjid untuk menunaikan solat meskipun dengan perasaan hati berat dan malas, sedang orang-orang munafik zaman sekarang sudah tidak lagi menunaikan solat sama sekali”.

Orang-orang munafik zaman dahulu masih lagi menyebut nama Allah meskipun hanya sedikit waktu sahaja, namun orang-orang munafik hari ini sudah tidak pernah ingat Allah lagi walaupun sesaat”.

Seterusnya kata beliau, “Orang-orang munafik zaman dahulu masih mahu pergi  ke medan perang untuk ikut berjhihad bersama-sama orang Islam memerangi orang-orang kafir, namun kaum munafik sekarang ikut bersama-sama orang-orang kafir memerangi Islam dan kaum Muslimin.

Menurut beliau sikap orang-orang munafik ini pelik. “Seandainya mereka dengan cara terus rerang mengistiharkan kekufuran dan serta kemurtadaannya serta keluar dari Islam, maka kita akan mengetahui dengan jelas dan mengambil sikap yang sesuai dengan perintah Allah Ta’ala dan Rasul Nya. Namun mereka sangat licik dan ligat menyembunyikan kekufuran mereka, supaya mereka tetap dapat bersama kita untuk menikam dari arah dalam”.

Ya sikap si munafik itu pelik, lebih pelik dari haiwan amfibia yang boleh hidup di dua alam, kerana manusia amfibia boleh hidup dalam semua keadaan dan suasana.

Nasib orang-orang munafik ini amat buruk di akhirat nanti. Mereka akan menerima azab dari Allah SWT lebih dasyat daripada azab yang disedikan untuk orang-orang kafir.

Janji Allah terkandung dalam firmannya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu [ditempatkan] pada tingkatan yang paling bawah dari neraka”. Al-Nisa’:145.

Justeru itu sentiasalah kita berhati-hati supaya  tidak terjatuh dalam golongan munafik yang dimusuhi Allah ini.

Kerana Rasulullah saw bersabda, maksudnya, “Tanda kemunafikan itu ada tiga: apabila ia bercakap, ia berdusta; apabila berjanji, ia memungkiri dan apabila diberikan amanah, ia mengkhianati”.

Alangkah gampangnya untuk menjadi munafik, walaupun seseorang itu bersolat dan berpuasa.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP