LEBUHRAYA TIMUR BARAT DALAM KENANGAAN

>> Saturday, May 20, 2017










LEBUHRAYA TIMUR-BARAT MENGUSIK  KENANGAN


Kali ini sudah beberapa kali saya melalui Leburaya Timur Barat atau sebutan ringkas para pengguna ialah “Jalan Grik” atau “Jalan Jeli” yang menghubungkan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.


Kadang-kadang saya memandu sendiri kenderaan, dan kadang-kadang saya menjadi penumpang yang kenderaannya dipandu oleh orang lain, samada kenderaan awam atau kenderaan sendiri, seperti hari ini.


               Panaroma dari lebuh raya

Jalanalan baru ini memendekkan perjalanan ratusan kilometer untuk sampai dari Pantai Barat ke Pantai Timur. Sebelum itu jalan ke dari Pantai Barat ke Pantai Timur yang bermula dari Alor Star Kedah, ke Kota Bharu, Kelantan sejauh kira-kira 1,000 km. Tapi hari ini telah amat jauh berkurangan.



                 Di pinggir lebuh raya


Hari itu kami berhasrat pergi ke Parit Buntar Perak, kerana tujuan-tujuan yang tertentu selain daripada mengukuhkan silaturahim keluarga.

Tidak banyak perubahan yang berlaku pada jalan yang panjang itu. Ia masih mempunyai dua tempat rihat yang popular, iaitu Titi Wangsa dan Grik, sementara di Tasik Banding ada sebuah hotel yang belum pernah kami pijak walaupun sudah lama didirikan di tebing sungai itu.

Seperti menjadi lumrah, dalam sesuatu usaha, terutama kerja-kerja besar, seperti pembinaan Lebuh Raya Timur Barat ini, selain dari perbelanjaan juga terpaksa menghadapi berbagai-bagai rintangan, dan salah satu daripadanya berupa ancaman komunis yang masih aktif sepanjang tahun-tahun tersebut.

Salah satu ancaman komunis ke atas kemajuan  lebuh raya itu ialah serngan yang mereka lakukan pada tgahun 1981 yang menimpakan kerosakan yang bukan sedikit pula.

Sejak kebelakangan ini sebuah batu peringatan mengenai sejarah pembinaaan lebuh raya itu telah dibina di suatu kawasan di pinggir sebuah cerung dan di kaki bukit untuk perhatian sesiapa sahaja yang berminat. Ramai pelalu-pelalu lebuh raya itu kelihatan berhenti melihat-lihat dan berfoto kenangan di situ.

Untuk memendekkan bicara saya kutip sepenuhnya kenytaan bekas Menteri Besar Kelantan, waktu itu, Dato’ Muhammad Yacob selaku Pengarah keselamatan Negeri, yang teks ucapan asalnya masih ada dalam simpanan saya. Walaupun singkat, tapi cukup sekadar mengandungi maklumat-maklumat penting mengenai kejadian tersebut.

Beginilah bunyi kenyataan seingkat beliau sepenuhnya:


 
Batu peringatan lebuh raya


Kenyataan Akhbar Oleh YAB Dato’ Menteri Besar Kelamntan Selaku Pengarah Gerakan Negeri Berkaitan Dengan Kejadian Di Batu 161/2 Pada 15.3.81 Di Lebohraya Timor Barat

“Kejadian berlaku pada 15.3.81 jam 7.50 pagi. Pada hari itu seramai 9 orang pekerja JKR Lebuhraya dari Kem Batu 141/2 telah dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di batu 29 dan 24 dan di batu 161/2  mereka telah diseranghendap oleh sekumpulan 4 atau 5 orang pengganas komunis. Letupan bermula dari jerangkapsamar yang dilanggar oleh lori itu di jalan raya tersebut diikuti dengan tembakan daripada M79 dan seterusnya tembakan daripada senjata rifle M16, Kesemuanya 4 jerangkap samar telah dilanggar.



Kenyataan bertulis




Plantun tentera yang berpangkalan batu 17 berhampiran tempat kejadian telah terdengar bunyi tembakan tersebut dan telah datang segera memberi bantuan tembak balas. Tembak menembak berlaku selama 5 minit.

Dalam kejadian tersebut 6 pekerja JKR telah mendapat cedera, 5 dari mereka mendapat cedera ringan dan dirawat di Hospital Daerah Tanah Merah manakala satu lagi cedera parah dan telah dimasukkan ke Hospital Besar, Kota Bharu dan keadaannya diberitakan terselamat dari bahaya.




               Papan kenyataan lebuh raya

Kejadian ini dipercayai berlaku hasil daripada penyerahan diri Musa Ahmad dan keluarga, Pengerusi Parti Komunis Malaya. Pihak komunis khasnya daripada Rejimen ke-10, yang berpengkalan dan berselindung di kawasan Weng Selatan Thailand adalah sekarang dalam keadaan gelisah, putus asa dan terlalu terdesak. Mereka merasa kecewa kerana penyerahan diri ini akan menjatuhkan moral mereka dan menghilangkan kepercayaan terhadap diri sendiri. Mereka telah mengeluarkan beberapa arahan dan penafian palsu terhadap penyerahan Musa Ahmad dan keluarga.






Sebuah perhentian di lebuh raya


Tambahan lagi tekanan daripada pihak kerajaan yang telah melancar dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti geraksaraf dan perangsaraf sejak akhir-akir ini di kawasan sempadan dalam menjatuhkan moral pihak pengganas komunis, telah dirasai oleh mereka dan keresahan ini telah menggerak mereka untuk melakukan apa sahaja hinggakan tergamak melakukan seranghendap terhadap orang-orang yang tidak berdosa, dan tidak berupaya melawan dengan tidak bersenjata, seperti pekerja-pekerja JKR tadi. Sifat pengecut ini bukan sahaja dikutuk oleh segenap rakyat malah menyakinkan lagi rakyat kepada betapa palsunya dakyah-dakyah komunis selama ini. Ini menunjukkan juga bahawa mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat, terutama daripada golongan orang-orang Melayu.


              Di Jeli


              Di perhentian Titi Wangsa


Selaku Pengerusi Gerakan Negeri, saya suka menegaskan sekali lagi sebagai mengulangi kata-kata Musa Ahmad bahawa perjuangan bersenjata komunis adalah sia-sia belaka. Oleh itu saya menyeru supaya pihak komunis menyerah diri dan balik ke pangkal jalan dan hidup bebas seperti rakyat biasa”.

               Di perhentian Titi Wangsa

Demikian kenyataan Allahyarham Dato’ Hj. Muhammad Yacob, Menteri Besar Kelantan selaku Pengarah Gerakan Negeri pada hari itu. Setidak-tidaknya dapat dijadikan sedikit bahan sejarah tanah air yang tercinta yang tidak sunyi daripada  berbagai-bagai macam cabaran sepanjang masa.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah lebuh raya yang begitu besar manfaatnya itu kepada manusia siap juga dibina dan dapat memberi khidmatnya yang penting.



Taman Dahlia,
Parit Buntar, Perak.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP