PASAR KEMBOJA DI PARIT BUNTAR
>> Thursday, May 18, 2017
Pasar Kemboja memang terkenal di Parit Buntar,
Perak. Pasar ini hanya dibuka sekali seminggu, iaitu pada hari Sabtu. Letaknya
memanjang jalan Pematang Pak Mahat, di mana gerai-gerai atau bangsal-bangsal sementara
dan sebagainya didirikan menjajari jalan tersebut, sehingga sesayup mata
memandang.
Jalan Permatang Tok Mahat- Pasar Kemboja
Saya difahamkan pada permulaannya beberapa tahun yang lalu, pasar ini diterokai oleh orang Kemboja yang berhijrah ke Malaysia, kerana itulah ianya dikenali dengan panggilan Pasar Kemboja, dan akhir-akhir ini kaum-kaum lain turut juga berniaga, terutama bangsa kita Melayu, dan dikenakan bayaran RM20 untuk satu petak kawasan niaga oleh pihak yang berkenaan, mengikut kenyataan yang dipajakkan di situ.
Selain dari di Parit Buntar, saya juga pernah menemui Pasar Kemboja di Pahang, dan di Selangor. Ini menunjukkan keaktifaan kaum Kemboja dalam meneroka rezeki ketika berada di perantauan. Di Pahang di Pekan, sementara di Selangor, di Sungai Buloh. Pekan-pekan ini memang mendapat sambutan.
Waktu kami sampai pengunjung-pengunjung masih belum ramai. Namun kedatangan pengunjung hampir tidak putus-putus, dalam kumpulan dua atau tiga orang yang berjalan kaki. Mungkin tengah hari sedikit pengunjung-pengunjung akan meningkat ramai, memenuhi pasar yang berbaris di tepi jalan Tok Mahat itu.
Kebanyakan bahan-bahan yang dijual di pasar ini berupa pakaian, terutama pakaian wanita; kain berpasang, baju dan selubung, beraneka jenis. Makanan dan minuman amat sedikit sekali. Yang ada ialah beberapa buah gerai yang memang kekal di situ setiap hari yang menjual roti canai, nasi lemak dan mee simpul dan sedikit kuih-muih.
Di samping itu sebahagian daripada peniaga-peniaga di situ tidak menjual pakaian-pakaian yang mereka secara runcit, helai demi helai, tapi mereka menjual secara borong, sekodi atau sedozen, iaitu untuk para peniaga yang ingin menjualnya pula
Sebelah kiri Negri Perak, sebelah kanan Negeri Pulau Pinang
Jalan Permatang Pak Mahat ini pula ada keistimewaannya tersendiri. Ia menjadi batu tara memisahkan Negeri Pulau Pinang dengan Negeri Perak. Di sebelah pihak terletak Negeri Perak dan di sebelah lagi terletak Negeri Pulau Pinang. Jarang kita menjumpai persempadanan negeri seperti ini, kerana biasanya sempadan negeri ialah sungai, bukit bukau, gunung ganang dan hutan belantara.
Sedang menunggu roti canai
Saya difahamkan ada lagi beberapa batang jalan di Parit Buntar yang menjadi batu tara negeri.
Siapa sebenarnya Pak Mahat
Ketika ditemui secara kebetulan beberapa orang tua di situ dan ketika dikemukan pertanyaan siapakah Pak Mahat, mereka mengeleng-ngelengkan kepala menyatakan tidak tahu, dan meminta kami bertanyakan orang yang lebih tua dari mereka, sedangkan mereka sendiripun sudah berusia lebih dari 50 tahun.
Saya dimaklumkan, pejabat-pejabat kesihatan
yang terletak di sebelah Negeri Pulau Pinang tidak menerima pesakit yang
terletak dalam Negeri Perak, walaupun rumah pesakit terletak di hadapan klinik
di seberang jalan. Demikian pula sebaliknya.
Ini adalah kebiasaan amalan
jabatan-jabatan kerajaan, seperti pejabat tanah, kerana segala dokumen-dokumen
berkenaan terdapat di ibu pejabat negeri di mana kawasan itu tertakluk dan untuk
menyelesaikannya.
Tapi perautruan persekolahan lain sedikit.
Umpamanya kanak-kanak yang orang tua mereka tinggal di Negeri Perak boleh menghantar anak-anak
mereka belajar di sekolah-sekolah Negeri Kedah yang terletak berhampiran.
Perkara ini berlaku bila ibu bapa kanak-kanak itu yang tinggal di Perak dan bekerja
swasta, bila pejabat mereka cuti am pada hari Jumaat dan Sabtu, sedangkan di Kedah cuti amnya sama iaitu pada
hari Jumaat dan Sabtu juga, sedang di negeri mereka tinggal, iaitu Perak, cuti
amnya pada hari Ahad dan Sabtu.
Dengan cara itu barulah mereka mempunyai ruang masa yang luas kepada anak-anak mereka untuk berada bersama keluarga setiap minggu, terutama kanak-kanak kecil, kalau tidak mereka amat sukar untuk bersama-sama keluarga sepanjang tahun, kerana cuti yang berbeza-beza itu.
Demikianlah kita lihat Allah Yang Maha Kaya menjadikan
manusia aneka ragam, bangsa, bahasa, budaya dan agamanya yang berbeza-beza.
Namun begitu mereka boleh hidup aman dan harmonis.
Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.
0 comments:
Post a Comment