PROF. MUHD KAMIL IBRAHIM BERDAKWAH BERDASARKAN PENGALAMAN

>> Sunday, November 15, 2015




PROF. DR.MUHD KAMIL IBRAHIM
BERDAKWAH BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI





                                Prof.Muhd Kamil Ibrahim

 Pada umumnya  para pendakwah kita jika memberi ucapan di mana-mana sekalipun terlebih dulu akan memilih tajuk-tajuk yang mereka fikir menarik kepada orang ramai yang mendengarnya. Biasa pula topik-topik pilihan itu  nerupakan isu-isu semasa atau sedang hangat dipertuturkan.


Demikian jugalah andainya pemilihan tajuk itu ditetapkan oleh penganjur, maka pihak penganjur juga akan memilih isu-isu semasa yang menarik yang sedang rancak diperkatakan.




                                 Prof.sedang melayan orang ramai


Ini berbeza dengan pendakwah Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang bertutur berdasarkan pengalaman beliau sendiri. Justeru pengalaman-pengalaman beliau itu banyak dan luas, maka banyaklah topik-topik yang boleh beliau ketengahkan.


Di antara topik-topik yang menjadi pilihan beliau berdasarkan pengalaman beliau ialah mengenai ujian dari Allah. Malah beliau pernah menulis sebuah buku mengenai ujian yang berjodol “Bersyukur Saat Diuji”.


Semalam beliau bertutur-ucap di Masjid al-Qasimi, Pasir Tumboh, Kota Bharu mengenai ujian-ujian Allah terhadap hamba-hambaNya. Ianya berdasarkan berbagai-bagai ujian yang telah diterimanya selama ini, termasuk ditimpa penyakit.


Inilah kali kedua saya berkesempatan mengikuti tutur-ucap dakwah beliau dan di masjid yang sama,  juga kira-kira dua bulan yang lalu. Cuma masa sahaja yang berlainan, yang pertama selepas Solat Subuh dan yang semalam selepas Solat Maghrib di Masjid al-Qasimi.




                                 Asyik mendengar


Menurut beliau kita manusia ini terlalu banyak menerima ujian dari Allah, malah kita sentiasa diuji dengan berbagai-bagai ujian. Antara ujian-ujian itu ialah anak pinak, harta benda, kematian dan sebagainya.


Malah menurut beliau tidur juga merupakan ujian, kerana tidur boleh menghalang kita daripada menunai kewajipan bersolat, terutama untuk bersolat jemaah di masjid.




                                 Berdoa Dan Solat


Kebanyakan manusia katanya bila diuji oleh Allah walaupun sedikit mereka langsung lupa kepada Allah. Banyak dari mereka bila ditimpa sakit terus lupa kepada Allah. Mereka tinggalkan solat yang penting dalam Islam itu. Walaupun mereka mampu bersolat, tapi kebanyakan mereka melupakannya. Sedangkan kewajipan bersolat itu tidak lupus kerana sakit, malah kita dituntut solat walapun sakit.


Beliau mengungkapkan pengalaman beliau ketika ditempatkan diwad di sebuah hospital di Johor. Kata beliau seluruh pesakit-pesakit di wad itu walaupun beragama Islam tidak solat, walaupun mereka masih mampu bersolat.


Menurut beliau, penjaga-penjaga pesakit di wad, terutama anak-anak bukan sahaja perlu menjaga keperluan jasmani orang tua mereka, tapi juga hendaklah mempastikan orang tua mereka bersolat, jika mampu, bila masuk waktu solat.


Demikian juga dengan mangsa-mangsa banjir. Walaupun banjir telah surut dan mereka ditempatkan sementara di penempatan yang selamat berhampiran dengan masjid, mereka enggan bersolat di masjid.


Beliau tidak puas hati  dengan mereka yang sering memberi nasihat kepada mangsa-mangsa ujian, seperti mereka yang dilanda banjir supaya bersabar menghadapi ujian Allah.


Sebab selain dari bersabar, katanya kita umat Islam dituntut juga supaya bersolat. Memohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, termasuklah doa-doanya sekali.




 Berminat nampaknya




Beliau bersyukur walaupun dilanda berbagai-bagai ujian tapi masih boleh bersyukur dan mampu tersenyum. Antara ujian-ujian besar yang pernah dialaminya ialah rumah beliau di Johor pernah ditenggelami banjir besar, yang merosakkan harta benda, termasuk buku-buku yang disayangi, beliau mendapat sakit hingga ke hari ini, kematian keluarga, terutama ayahandanya yang dikasihi.


Beliau mengunggkap ayat suci al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud:


“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”. –Al-Baqarah [2]: 45.


Salam hormat takzim pencatat kepada Prof. yang dikasihi.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP