SUTUNG UMAR RS DALAM GETUSAN KENANGAN

>> Wednesday, November 13, 2013

SUTUNG  UMAR RS BERTEMU [DATO’]  USTAZ YUSOF ZAKY YAACOB
[Dalam Getusan Kenangan]



 
 
SutungUmar R.S. nama pena kepada Wan Umar Wan Ahmad yang telah lama berkecimpung dengan dunia penulisan dalam berbagai-bagai genre, puisi, essei, cerpenis dan novel.

Saya mempunyai sedikit getusan kenangan terhadap beliau yang ingin saya kongsikan bersama anda.

Beliau dilahirkan di Kota Bharu pada tahun 1948, pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka dan bertugas sebagai Editor Kumpulan Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, kemudian bertugas dengan Kumpulan Berita Harian dan pernah menjadi  Kolumnis Berita Minggu, iaitu “Rentak Kalam”.

Dalam bidang akademik beliau memiliki Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif deskriptif Universiti Malaya 1982.

Saya mulai mengenal beliau pada awal tahun 1970an. Pada masa itu akhbar MINGGUAN KOTA BHARU masih rancak diterbitkan oleh Syarikat Dian Sdn Bhd. Pada masa itu beliau merupakan salah seorang penyair yang memberi sumbangan puisi kepada kami untuk MINGGUAN KOTA BHARU, dan puisi-puisi itu memang diberikan tempat yang sewajarnya, di antaranya telah pun disiarkan dalam SETANGGI KOTA BHARU, Pondok Rahmat.

Saya tidak pasti adakah beliau masih ingat bahawa puisi beliau dalam peringkat awalnya pernah di siarkan oleh MINGGUAN KOTA BHARU? Adakah dalam sejarah penulisannya [jika ada] beliau pernah menyebut tentang MINGGUAN KOTA BHARU yang pernah menampung karya awal beliau itu? Saya tidak tahu.

Kalau tidak silap saya, perkenalan kami buat pertama kali bermula bila pada suatu pagi beliau datang ke Pejabat MINGGUAN KOTA BHARU yang terletak di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, Kelantan yang terletak di tingkat atas.

Beliau memberitahu saya, beliau ingin bertemu dengan [Dato’] Ustaz Yusof Zaky Yaacob yang pada masa itu terkenal dengan panggilan Ustaz. Beliau juga menjelaskan kepada saya tujuan hasrat beliau untuk berjumpa dengan [Dato’] Yusof Zaky itu.

Kebetulan pada pagi itu [Dato’] Yusof Zaky berada dalam bilik sedang menulis. Saya terus membawa beliau menemui [Dato’] Yusoff Zaky. Saya terlebih dahulu yang berbicara menjelaskan tujuan Wan Umar ingin bertemu dengan beliau itu. Kami hanya bertiga dalam bilik.

Setelah mendengar penjelasan-penjelasan yang saya berikan itu serta ditambah oleh Wan Umar untuk lebih menjelaskan lagi, [Dato’] Yusof Zaky pun memberi pendapat-pendapatnya yang agak panjang lebar dan nampaknya boleh diterima oleh Wan Umar.  Saya percaya jika saudara Wan Umar membaca cubitan tulisan saya ini beliau akan terkenangkan pertemuan tersebut.

Selepas pertemuan itu saya tidak lagi bertemu dengan beliau, kerana beliau berpindah ke Kuala Lumpur. Sedangkan saya terus menetap ke Kota Bharu. Masing-masing dengan haluan masing-masing.

Lama kemudian saya baru bertemu sekilas dengan beliau ketika beliau sedang menjalankan tugasnya di Kuala Lumpur. Dan saya juga dalam masa yang sama menjalankan tugas saya. Pada waktu itu beliau bertugas di Dewan Bahasa Dan Pustaka, sementara saya bertugas di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Juga di bahagian penerbitan seperti beliau. Kami tidak sempat bercakap apa-apapun selain dari bertegur sapa sepatah dua sahaja.

Dan kali terakhir pula, juga bertahun-tahun yang lalu, kami bertemu lagi. di Dewan Bahasa Dan Pustaka di tempat beliau bertugas. Dalam pertemuan kali ini kami berkesempatan berbual-bual agak panjang sedikit. Antara lain beliau menawarkan kepada saya untuk menulis sebuah rencana untuk Majalah Dewan Masyarakat berkenaan dengan kegiatan Penyeludupan di Sempadan Rantau Panjang dan Golok. Katanya bayarannya lumayan, lebih dari seribu ringgit.

Saya pergi ke Dewan Bahasa hari itu kerana urusan penebrbitan buku saya berhubung dengan biograpi KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang berjodol,KBDYMM SULTAN ISMAIL PETRA, Sultan Dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah buku saya yang ketiga mengenai KDYMM Al-Sultan Kelantan diterbitkan, di samping puluhan buah rencana. Tapi kali ini ia diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Di antara yang saya temui di Dewan Bahasa pada waktu itu ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, A. Aziz Deraman. Syukur Alhamdulillah, selepas buku itu diterbitkan beliau dikurniakan gelaran Dato’ oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan.

Sejak itu saya dan Wan Umar tidak lagi bertemu hingga sampai ke saat ini. Saya telah bersara dari bekerja dan beliau pun nampaknya juga telah bersara. Saya tinggal di Kelantan, dan beliau tinggal di Kuala Lumpur. Tidaklah mudah untuk bertemu. Lagikan sama senegeripun sukar bersua kalau tidak benar-benar direncanakan terlebih dahulu.

Saya akhiri tulisan singkat ini dengan doa  semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas beliau dan keluarga beliau.

Sekian.


                                                                                  







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP