KAMPUNG GAJAH DALAM LAKARAN SEJARAH PERAK
>> Friday, November 15, 2013
KAMPUNG GAJAH DALAM LAKARAN SEJARAH PERAK
“Maka tidakkah mereka berjalan di atas muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang sebelum mereka [yang mendustakan rasul] dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?”. Yusuf: 109.
KAMI mengambil masa kira-kira dua jam, dari Sungai Buloh, Selangor untuk sampai ke Kampung Gajah, Perak. Letak Kg. Gajah dari bandar Ipoh ialah kira-kira 75 km, dan dari Teluk Intan pun sejauh kira-kira 26 km sahaja. Kami menggunakan khidmat panduan jalan Google. Di Teluk Intan inilah terletaknya sebuah menara yang condong keadaannya.
Kampung
Gajah ini penuh dengan lakaran sejarah yang tidak mungkin dilupakan, terutama
oleh penduduk Negeri Perak amnya dan penduduk Kampung Gajah dan juga
sekitarnya.
Kalau kita menyusuri sejarah Kampung Gajah kita akan dapati bahawa Kampung Gajah merupakan tempat bersemayam beberapa orang Sultan Perak yang titis barisnya berasal daripada Sultan di Melaka. Banyak tanah-tanah perkuburan keturunan Raja-raja Perak terdapat di Kampung Gajah sampai sekarang.
Kampung
Gajah merasa bangga kerana memiliki beberapa tokoh pejuang yang menentang
penjajah British di Perak, iaitu Dato’ Maharaja Lela. Tokoh-tokoh lain yang
termasyur ialah Megat Tarawis dan Dato’ Sagor yang namanya saya lihat
diabadikan sebagai nama sebuah sekolah, SRK Dato’ Sagor yang terletak di pinggir
jalan. Dato’ Maharaja Lela dan orang-orangnya telah bangkit menentang penjajah
British, yang berakhir dengan JWW Birch dibunuh oleh Sepuntun di Pasir Salak,
tidak jauh dari Kampung Gajah.
Selain itu Kampung Gajah juga mempunyai beberapa tokoh zaman moden yang terkenal. Dalam bidang politik mereka ialah Ramli Ngah Talib dan Megat Junid Megat Ayob. Ramli Ngah Talib adalah bekas ADUN Kg. Gajah dan juga bekas Menteri Besar Perak sebelum menjadi ahli Parlimen.
Asal
Usul Kampung Gajah
Sebagaiama
tempat-tempat lain juga, setiap nama yang diberikan kepada sesuatu tempat atau
kampung itu mempunyai sejarah asal usulnya yang tersendiri. Tapi bagi Kampung
Gajah di Perak ini ada mempunyai tiga legenda, kenapa kampung itu dinamakan Kampung
Gajah.
Kampung Gajah dinamakan Kampung Gajah kerana dipercayai banyak didapati gajah-gajah yang berkeliaran di Bukit Tunggal dalam Kampung Gajah. Gajah-gajah ini hidup dengan memakan tanaman-tanaman yang diusahakan oleh penduduk, seperti pokok pisang dan kelapa, yang gajah suka makan umbutnya. Dari sinilah dipercayai kampung itu dinamakan Kampung Gajah.
Legenda kedua ialah sewaktu tentera-tentera Siam datang hendak menyerang Kampung Gajah mereka melihat banyak kesan-kesan tapak kaki gajah dalam sawah dan di tebing sungai yang menimbulkan rasa cemas dan takut di hati mereka. Justeru mereka membatalkan hasrat mereka untuk menyerang Kampung Gajah. Sedangkan apa yang mereka lihat itu bukannya tapak kaki gajah yang sebenarnya, tapi kaki manusia yang membesar dan membengkak kerana diserang oleh penyakit untut yang berpunca dari gigitan sejenis nyamuk yang dipanggil elephhhantiatis yang banyak terdapat di paya-paya tropika.
Legenda ketiga berhubung dengan sebuah batu besar yang menyerupai seekor gajah yang terletak di kaki Bukit Tunggal. Batu Gajah itu mengikut legenda berasal dari seekor gajah yang telah disumpah oleh makhluk halus yang dipanggil Sang Kelembai. Makhluk ini dipercayai tinggal dalam hutan dan tidak suka mendengar bunyi bising. Bila ada sesiapa membuat bising, Sang Kelembai yang dipercayai mempunyai kuasa sakti akan menegur, dan bila ditegur manusia atau binatang yang membuat bising itu terus bertukar menjadi batu.
Orang-orang Asli di Kampung Gajah, jika mereka hendak pergi memburu dan kebetulan melewati batu gajah itu mereka pantang menegur atau menyapa, kerana mereka percaya teguran atau sapaan itu membuat mereka tidak akan memperolehi hasil perburuan, kerana itu mereka akan terus balik ke rumah dengan tangan kosong. Malah lebih jauh lagi mereka percaya mereka boleh bertukar menjadi batu jika mereka diteugur oleh Sang Kelembai.
Ketika bekas Perdana Menteri, Dr, Mahathir Mohammad menghadiri majis Semarak di Kampung Gajah telah timbul cadangan untuk menukar nama Kampung Gajah dengan nama lain, kerana dikatakan penggunaan nama kampung itu tidak sesuai lagi sebagai Kampung Gajah yang sedang pesat membangun. Tapi cadangan itu mendapat bantahan sebilangan besar penduduk dan tidak ditemui nama ganti yang lebih sesuai, kerana itu nama Kampung Gajah tidak ditukar dan terus kekal sampai sekarang.
Sebelum itu dua buah nama tempat di Perak telah ditukar kepada nama yang baru, iaitu Telok Anson telah ditukar kepada nama Teluk Intan dan nama Port Weld telah ditukar kepada nama Kuala Sepetang
Majoriti
penduduk Kampung Gajah adalah Melayu, dan selebihnya orang Cina dan India. Pada
masa dahulu, sebelum kedatangan JWW Birch ke Perak orang Cina memang ramai
tinggal di Kampung Gajah. Tapi bila tercetus Perang Sabil di Sungai Manik
mereka telah berpindah ke bandar-bandar lain di Perak, seperti Teluk Intan,
Langkap dan Setiawan.
Perang Sabil ini juga dikenali dengan panggilan Perang Sungai Manik. Perang ini dilakukan oleh orang-orang Melayu dalam masa darurat antara tahun 1948 hingga 1960 terhadap kumpulan komunis yang kebetulan kebanyakannya terdiri dari orang Cina yang telah membunuh ramai orang-orang Melayu yang mereka syaki bekerja sama dengan Jepun dalam masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Akibat pereang itu orang-orang Cina yang pada masa itu ramai tinggal di tebing Sungai Perak berpindah ke tempat-tempat lain. Ada sebuah kampung dikenali dengan nama Kampung Cina yang terletak dalam Mukim Bandar Kampung Gajah.
Kemuncak
Perang Sabil itu berlaku di Jambatan Sungai Tunku, Teluk Intan di antara
orang-orang Melayu dengan pengganas komunis yang dianggotai oleh orang Cina
pada masa itu.
Saya teringat di kampung saya, di Mukim Salor Kota Bharu Kelantan, ada juga sebuah kampung dinamakan Kampung Cina, terletak dekat dengan Seberang Pasir Mas, Salor, kerana ramainya orang-orang Cina tinggal di situ. Kampung Cina itu masih wujud hingga sekarang.
Sebahagian
besar penduduk Kampung Gajah terlibat dalam bidang pertanian sejak ratusn tahun
yang lampau lagi. Justeru di kampung itu banyak terdapat pokok-pokok durian
yang sebahagian daripadanya telah meningkat usia ratusan tahun. Di musim durian
berbuah dan meluruh penduduk-penduduk Kampung Gajah akan berusaha memungut buah
durian untuk dipasarkan.
Salah
sejenis buah durian yang termasyur di Kampung Gajah, terkenal dengan nama
Durian Tok Paduka Raja, bukan durian kunyit atau durian King sebagaimama di
tempat-tempat lain.
Sejak
kebelakangan ini di sekitar kawasan kampung tersebut banyak ditanam dengan
pokok kelapa sawit yang diusahakan oleh FELCRA.
Rata-rata
orang-orang Melayu Kampung Gajah berbudi bahasa, suka bergotong royong, dan
hidup aman damai antara satu sama lain, walaupun mereka mungkin mempunyai
fahaman-fahaman yang berbeza.
Semoga bertemu lagi.
Semoga bertemu lagi.
0 comments:
Post a Comment