NORHISHAM MUSTAFFA BAWA MARDIANA, DARMA MOHAMMAD BAWA UFUK FIKIR

>> Tuesday, November 19, 2013






NORHISHAM MUSTAFFA BAWA MARDIANA. DARMA MOHAMMAD BAWA UFUK FIKIR


                             Kiri Norhisham dan kanan Darma

Sabtu 16 November 2013, Pagi. Bersamaan dengan 12 Muharam 1435.

Dua orang kawan dari kalangan penulisan bertandang ke pondok kami. Mereka terdiri dari dua orang sastrawan yang tanah yang terkenal.Mereka ialah novelis dan eseis, Norhisham Mustaffa dan penyair Darma Mohammad.

Kedua-duanya memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Siapa Norisham dan siapa Darma.

Norhisham masih tinggi dan segak seperti dulu-dulu juga, sementara Darma walaupun sekali atau dua sahaja saya pernah menemuinya di masa-masa yang lalu, tapi bila saya terpandang wajahnya, saya merasa saya telah lama mengenalinya, dan telah banyak kali bertentang wajah dengannya sejak bertahun-tahun yang lalu.

Tujuan kunjungan mereka ialah untuk mahabah dan mengukuhkan sutera silaturahim, menghangatkan kembali ikatan persahabatan yang telah tersirat sekian lama baik secara langsung atau tidak langsung.


Pertemuan akhir dengan Norhisham sudah berlalu kira-kira tiga tahun lebih yang lalu, iaitu ketika beliau dan Wadi Leta SA berkunjung ke rumah kami di Sungai Durian, Kuala Krai untuk mengucapkan belausangkawa di atas pemergian abadi isteri saya, Asiah Yaacob.

Kali ini mereka berkunjung di pondok kami di Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Saya tidak bawa mereka ke Pondok Rahmat, tapi ke Teratak Rahmat yang letaknya bersebelahan, kerana saya sebenarnya tinggal bersama dengan anak saya di Teratak Rahmat dan bukan di Pondok Rahmat yang hanya semacam rumah rihat di waktu siang hari kepada saya dan juga sebagai tempat simpanan buku-buku saya yang sebahagiannya telah berusia puluhan tahun. Saya tidak dibenarkan tinggal sendirian oleh anak-anak saya sebagaimana diamanah oleh Mamanya kepada mereka semasa hayatnya.

Dalam peretemuan sekilas itu bermacam-macam perkara yang kami bualkan, terutama mengenai lautan penulisan dan para pelautnya yang mengombakkann lautan penulisan itu dengan aneka warna, termasuk mengenai pelaut-pelaut itu sendiri yang terdiri dari sahabat-sahabat lama kami yang seiring jalan dengan kami sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, dan kini kebanyakannya telah berpisah dibawa oleh arus dan haluan hidup masing-masing.

Norhisham rupa-rupanya  mempunyai pengetahuan tentang  rakan-rakan sejawat lama kami yang kembara di lautan penulisan itu, yang saya telah kehilangan pintalan tali hubungannya. Kebanykan mereka telah meraih kejayaan, dan ada pula di antara mereka yang mempunyai keluarga yang telah bertambah besar, iaitu seperti saya juga dengan  memiliki menantu dan cucu. Alhamdulillah.

Sebahagian dari mereka masih berlabuh dan tinggal di Negeri Kelantan Darulnaim dan sebahagian lagi pula tinggal bersauh di ibu negara Kuala Lumpur. Dan semunya masih aktif dalam mencanai kalam mereka  melayari lautan penulisan dengan aneka warna genre penulisan.

Kami juga sedikit sebanyak menyentuh detik-detik peristiwa-peristiwa lampau yang menyiggung kami pada waktu itu. Fitnah-fitnah yang dilemparkan ke atas saya, juga dihumbankan ke atas Norhisham, terutama fitnah yang dikaitkan dengan wanita sebagaimana pernah saya sentuh sedikit di masa-masa yang lalu. Penulis wanita yang dikaitkan dengan saya dalam drama fitnah itu sampai hari ini pun masih belum saya kenali, kecuali namanya sebagai penyumbang kepada MINGGUAN KOTA BHARU.

Tanpa kami sedari, masa berjalan terlalu pentasnya, meratah waktu kami. Rupa-rupanya hampir dua jam telah berlalu dan mereka pun memohon untuk berpisah. Semoga bertemu kembali dalam suasana yang lebih berbahagia di masa-masa akan datang.

Seelum itu Norhisham telah menyerahkan sebuah sampul kepada saya, demikian juga Darma. Dalam sampul Norhisham terdapat dua buah novelnya yang terbaru, dan dalam sampul Darma pula terdapat sebuah antologi puisi beliau.



Antologi Darma berjodol Kumpulan Puisi UNTUK FIKIR, terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, sementara novel Norhisham masing-masing berjodol Terminal Cinta dan Kembara Mardiana. Kedua-keduanya diterbitkan oleh Aras Mega [M] Sdn Bhd.

Katanya kedua-dua novel beliau itu baru sahaja siap dan masih lagi belum diedar di pasaran.

Terimakasih kepada beliau dan Darma. Kembang gembira hati saya menerimanya. Hanya Allah sahaja membalasnya.

Saya masih belum berkesempatan membaca kedua-dua novel dan kumpulan puisi Darma itu, kerana pada waktu ini saya sedang membaca sebuah novel yang baru sahaja beli.

Selepas kereta yang dinaiki oleh Norhisham dan Darma hilang dari pandangan, tiba-tiba terpancar dalam benak saya alangkah baiknya kalau diadakan satu perjumpaan khusus untuk para penulis  yang seangkatan dengan kami untuk mengeratkan kembali silaturahim antara satu sama lain.

Insyallah nanti akan saya ajukan perkara ini kepada Norhisham dan Darma untuk meninjau pendapat mereka.

Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap sepatah
Jangan simpan di dalam hati.

                                                                                




3 comments:

darma mohammad November 19, 2013 at 9:35 AM  

Salam sejahtera :

Alhamdulillah. Saya sungguh gembira dapat berjumpa dengan Tn Haji Mohd Zain kerana sudah sekian lama membaca tulisan tuan dalam majalah Dian, majalah yang menjadi bacaan tetap saya.

Terima kasih atas segala perkongsian pengalaman yang begitu banyak dan amat berharga.
Insya-Allah, jika ada ruang, dapat kita bertemu lagi untuk menyambung perbincangan tentang dunia persuratan.

Terima kasih atas segala-galanya.
Wassalam.

Darma Mohammad.

darma mohammad November 19, 2013 at 9:36 AM  

Salam sejahtera :

Alhamdulillah. Saya sungguh gembira dapat berjumpa dengan Tn Haji Mohd Zain kerana sudah sekian lama membaca tulisan tuan dalam majalah Dian, majalah yang menjadi bacaan tetap saya.

Terima kasih atas segala perkongsian pengalaman yang begitu banyak dan amat berharga.
Insya-Allah, jika ada ruang, dapat kita bertemu lagi untuk menyambung perbincangan tentang dunia persuratan.

Terima kasih atas segala-galanya.
Wassalam.

Darma Mohammad.

Pondok Rahmat December 10, 2013 at 2:38 PM  


Salam. Terimakasih.Banyakkah karya-karya baru yang telah siap?
Harap rancagan untuk mengadakan penulis-penulis penulis-penulis lama itu akan berjaya.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP