SAYA DAN WANITA-WANITA

>> Friday, October 18, 2013




SAYA DAN WANITA-WANITA

 





















Saya adalah pencatat memori ini, Mohd Zain Saleh. Nama pena saya ialah Razin M.S. dan lain-lain lagi.

Wanita adalah perempuan yang berlawanan sifat fizikalnya dengan lelaki, Orang dahulu memanggilnya perempuan, orang sekarang memanggilnya wanita, kaum ibu dan hawa, women dan entah apa lagi. Bahasa kasarnya betina, yang biasanya dibahasakan kepada haiwan, seperti kambing betina, atau lembu betina dan bukannya kambing perempuan atau lembu perempuan.

Sementara itu, Dian pula ialah sebuah percetak dan penerbit di Kota Bharu Kelantan. Percekatan Dian dan seterusnya Syarikat Dian Sdn Bhd. Di sinilah tempat saya bertugas pada suatu ketika dahulu dan di sinilah saya menerima fitnah wanita  yang dilumurkan kepada saya.

Dalam memori singkat saya tentang Norhisham Mustafa sebelum ini saya telah sebut sekelumit tentang fitnah wanita yang dipalitkan kepada saya yang antara lain bertujuan untuk merosakkan prestasi saya sebagai seorang  kakitangan di Syarkat Dian. Ini semua berpunca daripada iri hati dan cemburu.

Tuduhan yang dihalakan kepada saya adalah seorang lelaki yang suka bermain dengan perempuan. Sedangkan waktu itu saya telah mempunyai seorang isteri yang saya cintai dan anak. Isteri saya ialah Allahyarhmah Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya].
                
Fitnah ini merupakan salah satu sebab utama akhbar MINGGUAN KOTA BHARU yang sedang dalam proses dikembangkan, dihentikan secara mendadak. Fintah ini merupakan sebahagian daripada beberapa rangkaian fitnah yang telah dibuat begitu tersusun terhadap saya yang tidak selesa  saya umtuk mendedahkannya kerana begitu bodoh kedengarannya. Di samping itu saya juga merasa takut kalau pendedahan itu nanti menjadi fitnah untuk memburuk-burukkan orang lain. Saya ceritakan ini, sebagai latar belakang sejarah.

Pada waktu itu saya terpaksa menerima segala tuduhan dan sabar walaupun hati menjengkel. Dan Alhamdulillah, tidak pula saya berniat untuk membalasnya mereka-reka fitnah untuk menentang fitnah yang ditujukan kepada saya itu. Saya juga tidak membrsihkannya, kerana waktu saya mengetahuinya fitnah itu telah lama berjalan dan berkesan, dan penjelasan dari saya pula tidak pernah  dipinta. Saya serahkan kepada Allah untuk menentukannya.Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mengkhianati isteri, bermain kayu tiga, atau menduakannya dalam kehidupan saya sehinggalah dia menghembusnya yang akhir beberapa tahun lalu.

Sebelum khawin, dan sebelum bertemu dengan isteri saya itu, saya memang pernah tertarik dengan seorang gadis, tapi dia bukan dari kalangan mereka yang selalu datang ke pejabat MINGGUAN KOTA BHARU, dan dia juga bukan seorang penulis atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti anjuran kami.

Sepanjang masa itu pejabat MINGGUAN KOTA BHARU memang sentiasa dikerumuni oleh ramai anak-anak muda, lelaki dan perempuan, kerana kami dari masa ke masa menganjurkan berbagai-bagai aktiviti seni dan budaya yang menarik perhatian. Ini menimbulkan cemburu dan syak wasangka yang bukan-bukan terhadap saya oleh mereka yang tidak menyenanginya.

Sebenarnya kami banyak mempunyai peminat-peminat dan penyokong-penyokong yang sentiasa bersedia untuk membantu kami menjalankan berbagai-bagai aktiviti. Malah saya masih ingat, ada seorang wanita muda dan cantik tiba-tiba pada suatu pagi datang mencari saya di pejabat, katanya dia berminat untuk mengarang. Tapi rambutnya yang tidak kemas, pakaiannya yang tidak kemas, percakapannya yang agak merapu membuktikan dia kurang siuman. Saya mendengar apa sahaja yang diluahkannya. Tapi tidak lama kemudian, seorang lelaki, mungkin abang atau suaminya datang memujuknya supaya balik bersamanya, dan tidak menganggu orang bekerja. Sebelum pergi dia meninggalkan sebuah buku latihan yang penuh dengan tulisan dengan beraneka tajuk. Tapi selepas itu dia tidak pernah datang-datang lagi, dan suatu hari saya temui dia sedang berurusniaga.

Kehadiran ramai gadis-gadis di meja Minggunan Kota Bharu  bukan sahaja untuk memberi sumbangan kepada majlis-majlis yang kami adakan, malah ada juga di antara mereka menjadi orang tengah untuk kami berhubung dengan tokoh-tokoh politik, khususnya parti-parti pembangkang untuk mendapat berita mereka. Asiah Yaacob pernah membuat wawancara dengan Allahyarahmah Datin Sakinah, isteri Datok Hj. Mohd Asri Hj. Muda, Menteri Besar Kelantan pada waktu itu adalah dengan bantuan salah seorang daripada mereka.

Daripada begitu ramai  wanita-wanita yang datang ke meja saya  waktu itu, saya tidak ingat sebahagian besar daripada nama-nama mereka, kecuali hanya beberapa orang sahaja, iaitu mereka  yang pernah menghulur sumbangan karya kepada kami, itupun dalam penulisan puisi.

Untuk mencari penulis pada masa itu, bukan sahaja penulis wanita, malah juga penulis lelaki tidaklah gampang. Tidak ramai orang yang berminat menjadi penulis, kerana penulisan pada waktu itu tidak memberikan sumber ekonomi yang wajar. Tidak seperti hari ini. Oleh itu biasanya, tidak jarang lebih daripada 99 peratus tulisan-tulisan yang kami siarkan adalah merupakan hasil ciptaan kami sendiri dengan mengguna nama samaran atau tidak bernama, ataupun hasil-hasil terjemahan, tapi tidak pula dinyatakan nama penterjemahnya, kerana takut menjadi “one show man”, Sebab itu rencana-rencana itu dibiarkan begitu sahaja tanpa nama penulis atau penterjemahnya, kecuali penulis asalnya.

Bila Syarikat Dian berpindah ke bangunan baru kepunyaannya sendiri di Lundang, Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, sebahagian daripada pekerja-pekerjanya terdiri dari kaum wanita, terutama di bahagian “belakang”, menysusun helai-helaian buku selepas dicetak mengikut lambaran muka surat yang lengkap sebagai sebuah buku atau majalah, dan juga untuk di tampal kulit, dan sebahagian kecil dari mereka juga bertugas sebagai peng-touch filem sebeleum dilekatkan pada plet untuk, dicetak. Di samping itu wanita-wanita juga diambil untuk bertugas di jabatan pengarang, dan pentadbiran walaupun tidak ramai.

Demikianlah buat kali ini, dan saya memang tidak bermaksud untuk menulis panjang mengenai perkara ini buat waktu ini, kecuali sedikit sahaja yang bersangkut-paut dengan diri saya yang telah terjerat dalam fitnah yang saya terima sebagai satu cabaran kepada saya. Sebab itu persoalan ini tidak pernah saya bincangkan dengan sesiapapun, walaupun dengan isteri saya sendiri untuk tidak melebarkanya. Hanya baru kali ini saya memberanikan diri membuat catatan pendek ini sebagai satu warna memori dalam kehidupan saya. Tidak lebih dari itu.

Semoga pengalaman yang saya tempuhi ini dapat menjadi panduan kepada pembaca-pembaca dalam menjalani kehidupan mereka di rumahtangga, di tempat kerja dan juga dalam kehidupan seharian, semoga selamat dan sejahtera  megharung lautan kehidupan yang tidak pernah tenang dari ombak dan gelumbang.

Tambahan:Semalam selepas menulis tulisan ini, saya bermimpi bertemu dengan Allahyarham Datok Yusuf Zaky Yaacob. Di antara lain beliau memotong dua patah perkataan dalam tulisan saya itu. Beliau tidak menghalang saya menyiarkannya. Dan pagi ini saya telah membaca kembali tulisan ini dan membaikinya sedikit sebelum tuisan ini di poskan ke blog.




1 comments:

darma mohammad October 18, 2013 at 4:02 PM  

Salam sejahtera,

Sungguh menarik catatan tuan tentang Mingguan Kota Bharu. Dahulu saya sempat membacanya.

Wassalam.

Darma Mohammad.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP