ZAHARI AWANG DALAM MIMPIKU

>> Sunday, October 27, 2013


ZAHARI AWANG DALAM MIMPIKU    



Zahari Awang yang puisinya kita siarkan dalam SETANGGI KOTA BHARU  XXIV yang lalu, lebih terkenal sebagai seorang politikus daripada seorang penyair.

Dalam tulisan singkat ini saya cuba mengumpul dan mencantum beberapa peristiwa yang ada kaitannya antara Zahari dengan saya untuk dikongsi bersama dengan pembaca yang dihormati.



Saya rasa saya telah mendengar nama Zahari Awang ketika kami belajar di Sultan Ismail College Kota Bharu.

Saya masih terpandang-pandang kalibat susuk tubuhnya, seorang yang tampan dengan hidungnya yang mancung.

Tapi waktu itu saya belum mengenali beliau secara dekat, tidak sebagaimana saya mengenai Allahyarham Uthman Al-Muhammadi yang junior saya ketika belajar di Sultan Ismail College.

Justeru saya ingat perkara ini terasa macam mimpi-mimpi sahaja, sehingga kadang-kadang terbetik keraguan dalam benak saya, adakah ianya suatu mimpi atau realiti?
 
Tapi saya masih ingat beliau sering juga menyertai aktiviti-aktiviti sastera yang kami anjurkan atas nama MINGGUAN KOTA BHARU. Foto-foto yang saya simpan membuktikan kehadiran beliau di mjalis-majlis tersebut.

Di samping itu Zahari juga pernah menghulurkan sumbangan, berbentuk puisi dan rencana untuk MINGGUAN KOTA BHARU.

Ini bukan mimpi lagi, kerana ada bukit hitam putihnya.

Tapi ada satu peristiwa lagi yang meletakkan saya dalam seolah-olah bermimpi kembali. Namun begitu dengan baik sangka saya harap mimpi saya ini merupakan mimpi yang benar.

Pada suatu pagi, selepas beberapa tahun saya berkerja di Pustaka Dian, bila saya tiba di pejabat, saya lihat Zahari Awang duduk di sebuah meja sedang menulis sesuatu. Saya merasa terkejut dalam hati, tapi tidak pula menzahirkannya. Waktu itu pejabat Pustaka DIAN terletak di Simpang Tiga Lido, Jalan Che Su, berhampiran Sungai Kelantan. Sekarang bagunan itu sudah tidak ada lagi.

Saya tidak pernah diberitahu bahawa Zahari telah diterima sebagai kakitangan Pustaka DIAN, [Syarikat Dian Sdn. Bhd]. Tiba-tiba sahaja saya lihat beliau duduk dan sedang bekerja di meja, yang kalau tidak silap saya dikosongkan oleh sdra Razali M.H.O yang telah meninggalkan DIAN kerana bekerja di Jabatan Penerangan Malaysia Kuala Lumpur.

Saya tidak tahu bila beliau membuat permohonan untuk bekerja dan bagaimana caranya, dan sampai ke hari ini masih menjadi teka-teki kepada saya?

Pada waktu itu saya rasa kami belum berkesempatan untuk membentuk suasana yang lebih ramah mesra, kerana kehadiran beliau secara tiba-tiba dan juga pada hari-hari tersebut saya terlalu sibuk dengan urusan tugas. Kami tidak sempat berbual panjang, selain daripada berbicara sepatah dua seperti biasa, dan beliau pun nampak tekun dengan menulis.

Beberapa hari selepas itu, pada suatu pagi, tiba-tiba [Dato’] Yusuff Zaky memanggil saya, dan memberitahu saya sesuatu tentang Zahari. Beliau menyerahkan sebuah sampul yang berisi surat kepada saya dan meminta saya menyampaikannya kepada Zahari. Beliau sendiri katanya akan pergi berihat ke Menara, Thailand. Memanglah pada suatu ketika beliau memang suka melancung ke Menara bersama famili, dan keluarganya pun ramai di sana. Saya pun sering dibawanya bersama.

Saya terkejut mendengar apa yang beliau beritahu kepada saya. Dalam hati tertanya-tanya bagaimana beliau  boleh menceritakan  sesuatu yang berlaku di pejabat, sedangkan  setahu saya sepanjang beberapa hari Zahari bertugas itu beliau tidak pernah sempat masuk ke pejabat, kerana terlalu sibuk.

Saya percaya ada seseorang di antara kami telah melaporkannya kepada beliau, dan laporan itu nerupakan ancuman berbisa yang berasaskan hasad dan dengki. Pada waktu itu bahang-bahang fitnah memang sudah terasa sekali  sekala menyengat saya, tapi saya tidak mengambil kisah sehinggalah saya sendiri menjadi mangsa fitnahnya.

Saya serahkan surat tersebut kepada Zahari dan memberitahu Ustaz minta saya menyampaikannya. Saya terasa amat berat untuk bertanya apa-apa pun kepadanya. Mulut saya menjadi terkunci dengan peristiwa di luar dugaan itu.

Kemudiannya, mungkin pada pagi itu juga beliau mengemas-ngemaskan barang-barangnya dan terus meninggalkan mejanya, dan tidak datang-datang lagi. Pada waktu saya menyerahkan surat itu hanya saya dan beliau sahaja yang ada di pejabat. Zahari pergi tanpa pamitan.

Dalam hati merasa sedih kerana beliau telah menjadi mangsa ancuman-ancuman yang berbisa. Dan beliaulah orang yang pertama di peringkat “atas” di Syarikat DIAN yang menjadi mangsa fitnah iri hati, dan lama kemudiannya saya juga menjadi mangsanya.

Sehingga sekarang sudah berpuluh-puluh tahun berlalu saya tidak pernah bertemu dengan beliau. Saya harap, beliau tidak menaruh salah sangka terhadap saya.

Namun, oleh sebab perkara ini telah lama berlalu, dan berlaku pula dalam masa yang pantas, saya merasa seperti saya bermimpi-mimpi? Adakah ia benar-benar berlaku, atau ia hanya merupakan bayangan-bayangan yang wujud dalam mimpi?

Namun begitu saya masih teringat-ingat lagi susuk tubuhnya dan gaya suaranya ketika berkata-kata. Saya harap andainya kami bertemu di masa-masa akan datang ini saya masih dapat mengenali beliau menerusi wajahnya ataupun suaranya.

Saya mohon maaf kepada beliau dan juga pembaca-pembaca andainya memori ini merupakan mimpi dan ilusi saya, kerana dalam hati saya yakin ianya memang benar.

Zahari Awang berasal daripada Kampung Bukit Tiu Machang. Kampung Bukit Tiu adalah terletak di jalan lama Machang Pasir Puteh, dan juga boleh ke Kuala Krai jika membelok ke kanan melalui jalan ke Bukit Bakar.

Menyusuri sejarah hidupnya jauh sedikit, beliau adalah bekas seorang anggota Parlimen Kuala Krai mewakili PAS. Pada masa itu beliau baru menjangkau usia 24 tahun, justeru menjadi ahli Parlimen PAS yang termuda di Malaysia

Zahari Awang adalah anak didik kepada Allahyarham Dato’ Muhammad Asri Hj. Muda, bekas Menteri Besar Kelantan dalam zaman pemerintahan PAS.

Beliau bekas pelajar Universiti Sains Malaysia [USM], Pulau Pinang dalam Fakulti Sains Politik. Beliau juga pernah mendapat biasiswa Fullbright U.S.A. Sebelum itu beliau bekerja di Pejabat Tanah Machang sebagai seorang kerani.

Mengikut laporan yang terdapat website pada tahun 2011, Zahari Awang, berusia sekitar 60an tahun, menetap di Gucil, Kuala Krai. Saya baru terpandang sebuah puisi beliau yang belum disiar dalam SETANGGI KOTA BHARU  tercatat perkataan Kuala Krai. Tapi itu sudah berpuluh-puluh tahun yang lampau. Namun  sayangnya saya tidak pernah bertemu beliau di sekitar Kuala Krai ini, baik di bandar kecil Kuala Krai ataupun di lain-lain tempat sejak saya tinggal di Kuala Krai hampir sepuluh tahun yang lalu. Saya juga pernah pergi ke Kampung Guchil [sebenarnya ada banyak Guchil- Guchil 1, 2 dan seterusnya], kawan saya dan keluarga saya juga ada yang tinggal di Gucil, tapi tidak pernah pula berjumpa dengan beliau.

 Zahari Awang, dua berdiri dari kiri


Saya harap andainya ditakdirkan saya bertemu dengan beliau, saya masih lagi boleh mengecaminya menerusi susuk tubuhnya ataupun menerusi rentak gayanya bercakap.
Saya sekali lagi memohon maaf  kerana mencatat mimpi ini yang saya harap merupakan mimpi yang benar. Saya juga ingin memohon maaf yang khusus kepada beliau, kerana beberapa kerat daripada puisi beliau yang saya siarkan dalam SETANGGI KOTA BHARU XXIV itu terpaksa saya padamkan kerana sebab-sebab yang tertentu.


2 comments:

Anonymous,  March 14, 2014 at 11:00 PM  

Assalamualaikum.Sepertinya saudara terlalu rindu pada beliau.Saya masih tercari-cari siapakah beliau yang sebenarnya.Jika ada,mohon andai sudi,ceritakan lagi tentang dia..

Pondok Rahmat March 25, 2014 at 11:05 PM  

Waalaikumusalam
Maaf lambat jawab. Internet amat buruk. Hari imi agak baik sikit. Perkara terakhir yang saya tahu tentang sdra Zahari ialah perkahwinan anak beliau dengan salah seorang sahabat saya baru-baru ini.Di majlis khawin itu beliau bertemu dengan sahabat saya yang turut hadir meraikannya. Antara lain, katanya dia masih tinggal di Kuala Krai.Sekian terimakasih.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP