CINTA CAPE TOWN - 'I LOVE YOU NATRAH"- Siapa NATRAH yang saya jatuh cinta itu?

>> Tuesday, October 29, 2013




CINTA CAPE TOWN
 “NATRAH I LOVE YOU?”


 



TENGAH hari semalam saya baru selesai membaca novel  CINTA CAPE TOWN. Ia hasil karya novelis, NORA ISMA FUAD.

Ketika novel itu masih dalam tangan saya, cucu saya Nik Nur Syaafiya Zaini balik dari prasekolah. Dia lalu terpandang buku di tangan saya, dan terus membaca sepatah perkataannya, iaitu CINTA. Disebutnya berulang-ulang kali “cinta-cinta-cinta”.

Kemudian dia lantas memajukan pertanyaan kepada saya, “Cinta itu apa ‘atok”.

Spontan saya menjawab, “Sayang”.

“Sayang itu I love you-lah ‘atok?”.

Tanya gadis kecil itu lagi.

“Ya”, jawab saya.

“Macam mama dengan papalah ‘atok”. Katanya lagi.

“Ya, macam tulah”.

“Oh begitu”, katanya.

Dia pun terus berhenti bertanya tentang cinta.

Soalnya sekarang saya juga telah jatuh cinta.

Tua-tua beginipun jatuh cinta juga?

Ya! Kenapa tidak?

Dengan siapa?

Dengan NATRAH.

Natrah tu siapa?

Seorang wanita.

Yalah wanita. Tapi siapa dia?

Seorang yang cantik

Taat kepada ibu bapa

Taat beragama

Bertimbang rasa

Pandai memasak

Pandai berpakian

Pandai bergurau

Pandai melukis

Berkahwin dengan seorang duda bernama Sulaiman. Tapi Sulaiman meninggal sebelum sempat mereka bersatu, kerana mereka nikah gantung.

Kemudian Natrah yang janda itu kahwin lagi dengan seorang duda bernama Duha seorang pelukis.

Di mana NATRAH sekarang?

NATRAH adalah salah seorang watak penting dalam novel CINTA CAPE TOWN karya Nora Isma Fuad.  Terbitan Karangkraft.

Kepada saya novelis CINTA CAPE TOWN berjaya menggambarkan watak NATRAH dengan begitu cermat, ia kelihatan hidup dan bergerak. Justeru watak itu terpandang-pandang oleh saya.

Oleh sebab saya bukan pengulas dan pengeritik sastera, maka seperti biasa saya hanya bercakap mengenai sesebuah novel  berdasarkan persepsi atau tanggapan  saya  selepas membacanya. Demikian juga dengan novel CINTA CAPE TOWN.

CCT adalah sebuah novel pendidikan yang berunsur Islam. Watak-watak utamanya dihidupkan sebagai seorang yang bersolat, walau dalam keadaan macam mana sekalipun.

Namun begitu saya menjadi tertanya-tanya bila dalam penggembaraan beberapa orang wataknya ke Cape Town, iaitu Saiful dan kawan-kawannya bermula dari atas kapalterbang dan sampai ke Lapangan Terbang Johannesburg mereka tidak lagi digambarkan sebagai seorang Muslim sejati yang menunaikan kewajipan bersolat mereka lima kali sehari.

Sehinggalah mereka sampai ke Cape Town. Apa yang dipentingkan oleh mereka ialah makan-makan dan tempat-tempat untuk dilawati, dan mencari cinta untuk salah seorang daripada wataknya, iaitu Ridzuan. Justeru itu mereka lupa untuk bersolat.

Berkelana atau bermusafir tidak boleh manjadi alasan kepada orang-orang Islam lelaki dan perempuan meninggalkan solat lima kali sehari semalam. Di sinilah letaknya, di mana orang Islam semestinya hebat mematuhi perintah agamanya, baik di mana mereka berada.

Satu lagi saya merasa keliru bila Johannesburg dan Cape Town digambarkan seolah-olah satu tempat yang sama. Johannesburg itu Cape Town dan Cape Town itu Johannesburg.

Sedangkan Johannesburg  dan Cape Town dua tempat yang berlainan yang jauh letaknya. Kalau kita menaiki kapalterbang dari Johannesburg mengmabil masa dua jam untuk sampai ke Cape Town. Demikian juga sebaliknya. Dan kalau ikut jalan darat pula ia dikatakan mengambil masa lebih dari 15 jam.

Bagaimana kesampaian Saiful dan rakan-rakannya di lapangan terbang Johannesburg yang disambut oleh Aqil dengan kereta itu boleh sampai ke Cape Town dalam masa yang sekejap sahaja?

Ini mengelirukan. Novel ini sebuah novel cinta dan kembara, di mana sebahagian daripada peristiwa yang berlaku dalam novel itu bertempat di Cape Town. Beberapa tempat yang dilawati oleh Saiful dan kawan-kawannya itu dilukis dengan detail. Justeru saya merasa tidak wajar kalau hendak dinovelkan Johannesburg dan Cape Town sebagai sebuah tempat yang sama.

Sepatutnya Saiful dan rakan-rakannya selepas turun di Lapangan Terbang Johannesburg menaiki kapalterbang lain menuju ke Cape Town di mana Afiq sedang menunggu mereka dengan kereta untuk dibawa pulang ke rumahnya.

Beberapa tahun yang lalu kapalterbang dari Kuala Lumpur terus ke Cape Town. Tapi kemudiannya telah dibatalkan dan kapalterbang hanya berhenti di Johannesburg sahaja. Hendak pergi ke Cape Town dengan cepat kena naik kapalterbang lain dari Johannesburg.

Walau bagaimana pun kepada saya novel CINTA CAPE TOWN adalah sebuah novel yang baik dan patut menjadi bacaan, terutama pemabca-pembaca dari kalangan generasi muda.

Ia mempunyai mesej. Tahniah untuk Nora Isma Fuad.

Saya suka memetik sinopis novel CCC sebagaimana yang tertulis pada kulit belakangnya seperti berikut:

“Cinta boleh membawa kepada sifat obses yang akhirnya mencetus kepada kehancuran spiritual.

Obses terhadap kekasih membawa percaturan hidup kepada Katrina, isteri Saiful. Katrina juga dalam masa yang sama terlalu obses dengan masa lalunya. Dia tersepit antara penyesalan dan realiti.

Begitu juga seorang pelukis berbakat, Duha yang terlalu obses terhadap Manisah, isterinya yang sudah lama dia kenali sejak zaman persekolahan lagi. Kehilangan isterinya secara tiba-tiba menjadi misteri sehinggalah dia akhirnya menyedari, dia terlalu hidup dalam fantasinya sendiri.

Di manakah penghujung simpulan yang mereka temui? Berbekalkan nilai kekeluargaan yang utuh dan persahabatan yang tidak ternilai, Natrah. Vimmi, Ridzuan, Shahrizan membantu Saiful dan Duha kembali menempatkan cinta dalam ruang kehidupan mereka.

Dan siapa kata cinta tidak bleh ditemui”.

Ya siapa kata?



3 comments:

Nora Isma Fuad November 13, 2013 at 8:36 PM  

as salam,

Saudara rahmat. Terima kasih kerana kesudian membaca Cinta cape town.Dan terima kasih kerana 'terjatuh hati' dgn natrah.

terima kasih kerana sudi menulis akan kelemahan dalam novel ini. Jarang sekali berjumpa pembaca yg mahu mengulas mengenai sebuah novel.

Dalam bercerita tentang Capetown, saya akan terlalai untuk bercerita tentang solat dan agama. Ketika itu fokus agak tertumpu kepada kisah cinta baru ridzuan dan Wan jasmin. Umumnya (saya agak) pembaca tahu bahawa mereka adalah muslim yg patuh kepada agama.mereka digambarkan mengerjalan solat semasa bekerja. Sebenarnya banyak elemen agama yg dimasukkan, tetapi banyak yg dipotong. Mungkin kerana naratif itu terllau panjang dan ditakuti akan membosankan.

Johannarberg dan Cape town.. ! Ohh tidak. disebabkan saya hanya membaca web Bm dan b.inggeris, dan kedua tempat ini belum dilawati lagi, jadi, sudah jelas saya terkeliru! Bercampur baur antara kedua tempat atau blog yg saya singgah2 barangkali mencampur adukkan keduanya!

terima kasih kerana sudi mengulas.

Nora isma fuad

Nora Isma Fuad November 13, 2013 at 8:36 PM  
This comment has been removed by the author.
Pondok Rahmat December 15, 2013 at 9:08 PM  



Salam. Terimakasih atas penjelasan.

Bolehkah anda berikan novel-novel anda yang masih berada di pasaran sekarang?

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP