Abby Teguhkan Hatimu

>> Monday, July 2, 2012


ABBY TEGUHKAN HATIMU



Abby



Kami bersyukur ke hadarat Allah S.W.T. kerana seorang bintang terkenal telah terbuka pintu hatinya untuk berubah dan berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik sebagai umat Islam. Itulah pengakuan anda sendiri sebagai seorang insan yang bertuah kerana dikurniakan oleh taufik dan hidayah.



Anda dengan jujur mengaku bahawa selama ini iman anda mungkin tidak cukup kuat untuk mengharungi perubahan, tapi alhamdulillah ketika berada di rumah suci Allah, Masjidil Haram anda telah disinari oleh cahaya Ilahi, seterusnya menyesali segala kesalahan dan dosa-dosa yang mungkin telah anda lakukan selama ini.



Justeru itu, katanya walaupun ketika bergelumang dalam kehidupan seni dia telah menyedari segala dosa-dosa yang dilakukannya, tapi kerana kedegilannya dia enggan untuk berubah.



Anda tidak harus merasa begitu kecewa dengan orang-orang yang tidak bersedia menerima perubahan anda, atau menyalahertikan hasrat dan niat suci anda, atau menghina anda, kerana memang begitulah lumrahnya sifat kebanyakan insan, sukar untuk menerima kebaikan, akiabt hatinya telah berkarat dengan keindahan dunia yang fana ini.



Kami ada mempunyai sedikit pengalaman yang pernah dialami pada peringkat awal oleh mereka yang ingin berubah untuk mencari kebaikan dalam keimanan. Tapi mereka terus menguatkan azam dan tidak menghiraukan segala layanan negatif masyarakat terhadap mereka, demi kerana Allah S.W.T. yang mereka damba keamapunan dan keredaan-Nya.



Sedikit sebagai contohnya. Seorang wanita mengadu bagaimana dia dipandang negatif, dikeji dan dihina oleh kenalan-kenanalanya, seolah-olah menutup aurat itu merupakan perbuatan yang terkutuk dan berdosa.



Yang lain pula mengadu dia bukan sahaja dipandang dengan serong, tapi juga dipulau oleh sesetengah keluarganya sendiri dengan menggelarnya orang baru masuk Islam.



Ada pula yang memberitahu setelah menukar haluan, dia dan keluarga ingin menunai ibadat Haji ke Mekah, ada di antara orang-orang yang menghinanya berkata,”Dosa banyak sangatlah tu hendak pergi Mekah tu”. Dan bila dia mengadakan majlis kesyukuran kerana berpeluang untuk menunai ibadat haji, ada pula yang berkata, “Tak cukup duitlah tu untuk pergi Mekah, cari sedekahlah”.



Yang lain lagi mengadu, bila mereka mengetahui dia hendak naik haji, ada di antara mereka berkata, “Naik haji pun tak guna, dosanya banyak sangat, tak diampun Tuhan, buang duit sahajalah tu”.



Yang lain pula mengadu, bila dia kerap keluar rumah kerana ada urusan, maka berkata orang-orang itu, “Allah, tak malunya dia tunjuk muka keluar rumah, di mana dia letak mukanya dengan dosa yang begitu banyak?” Tapi jika dia banyak berada di rumah pula, lain pula nada suara mereka, “Nak keluar rumah macam mana, malulah tu, dosa sekeliling pinggang”.



Pendeknya banyak rintangan yang negatif yang terpaksa dilalui oleh orang-orang yang ingin untuk mencari kebenaran. Jangan peduli. Biarkan si loncai terjun dengan labu-labunya. Kuatkan sikap, Teguhkan Iman. Sabar dan berserahlah kepada Allah.



Memanglah wajar jika anda mengatakan anda sekarang berada di sekeling orang yang berilmu. Memang pun kita dituntut bersahabat dengan orang-orang yang berilmu, dengan alim ulamak dan berada di majlis-majlis mereka untuk mendapat panduan mendalami Islam dengan lebih mendalam. Amin.



Beberapa bulan yang lalu kami pernah menulis sedikit tentang diri Abby dalam blog kami, iaitu ketika anda dilanda oleh kemelut kehidupan yang terbit dari rasa simpati saya terhadap anda. Izinkanlah kami petik sebahagian daripada tulisan itu untuk menjadi menungan, semoga memberi manfat.



Beginilah bunyinya:



Sejak akhir-akhir ini, kami sering terpandang kesah-kesah anda yang mencuit hati kami, dan membuat kami berfikir dan merenung jauh erti kehidupan ini.



Dan akhirnya terpanggillah hati kami untuk menyampaikan secoret gerak hati kami ini kepada anda yang dikasihi sebagai seorang insan seagama.



Kami bukan pakar motivasi tapi kami hanya berbicara sebagai seorang tua kepada anak-anaknya disanjungi.



Abby masih muda, cantik, berbakat dan berpotensi, mempunyai masa hadapan yang gemilang.



Ingatlah hidup di dunia ini bukan terhampar dengan kapet bunga mawar yang lembut dan semerbak mewangi.



Malah hidup di dunia ini berselerak dengan duri-duri pokok bunga mawar yang sentiasa mencucuk jari jemari tangan dan kaki kalau kita tidak hati-hati menapaki hidup ini.



Ada masa kita naik, ada masa kita turun, kadang-kadang ke atas, dan kadang-kadang ke bawah seperti sebuah roda yang sentiasa berputar.



Justeru itu kita hendaklah sentiasa bersiap sedia dan berwaspada, kerana di sepanjang putaran roda hidup ini banyak perkara yang tidak diduga sama sekali mungkin berlaku.



Kalau kita jatuh juga dalam keadaan berwaspada, kita tidak akan merasa begitu berat bahananya sebagaimana andainya kita terjatuh dalam keadaan alpa.



Lagi pun kalau kita jatuh ke hadapan, lebih dekat ke arah destinasi yang kita tuju, daripada jatuh terlentang ke belakang.



Dan kalau kita jatuh juga dalam berwaspada itu, terimalah ia sebagai satu takdir Ilahi yang telah tersurat di sisi-Nya.



Bertenang dan bersabarlah. Sabar itu senjata hidup orang mukmin. Dunia ini pinjam-pinjaman yang akan ditinggalkan bila masanya tiba nanti.



Bangkitlah kembali. Tegaklah kembali. Kejayaan itu bukan kerana tidak pernah jatuh, tapi dalam bangkit kembali setiap kali jatuh.



Berapa banyak orang keliling kelalang kami yang tersungkur. Mereka menoleh ke belakang. Menilai baik buruknya. Merasa bersalah, lalu menukar langkah, mengubah haluan, dan akhirnya mereka berjaya sampai ke puncak dengan penuh penghormatan.



Abby



Binalah hidup baru. Periksalah diri. Mahasabahlah diri. Kalau merasa pada masa yang lalu ada langkah yang salah, segeralah perbetulkan, cipta sasaran baru yang lebih unggul dalam menuju keabadian di sisi Allah SWT.



Cintailah Allah dan cintailah RasulNya. Mencintai Allah dan Rasul itulah sumber kebahagian yang abadi. Kerana di situlah sumber terpancarnya keimanan, dan keimanan itulah sumber kebahagian yang unggul yang hanya dirasai oleh orang-orang yang mencintai Allah dan Rasul.



Itulah yang dimaksudkan oleh Dr.Aidh bin Abdullah Al-Qarni bila beliau menegaskan, “Sesungguhnya, jalan satu-satunya untuk mencapai kebahagian adalah dengan mengenal agama yang benar, iaitu yang dibawa oleh Rasulullah saw. Barang siapa yang telah mengenal jalan ini, maka tidak menjadi masalah baginya jika harus tidur di pondok dengan debu sebagai bantalnya, atau sepotong roti sebagai bekalannya, demi menjadi orang yang paling berbahagia di dunia”.



Benarlah apa yang dikatakan. Kebahagian sejati itu terletak di hati, bukannya kepada benda-benda luaran yang rendah nilainya. Bukan kepada harta benda. Bukan kepada pangkat dan darjat. Di situ bukan sumber kebahagian.



Kami tidak mengatakan harta itu tidak perlu, kekayaan itu tidak penting, tapi bukan di situ letaknya sumber kebahagian itu.



Berapa ramai orang yang berharta, berapa ramai orang yang kaya raya, berapa ramai yang tinggal di istana di puncak kayangan, tapi tidak menemui kebahagian hidup, malah hidup menderita dan merana jiwanya.



Berapa ramai pula orang yang tinggal di gobak usang, di ceruk-ceruk kampung, tapi hidup dengan tenang dan damai, kerana hatinya bersalut dengan kesabran dan keimanan.



Anda masih muda, masih jelita dan mempunyai potensi sebagai seorang wanita yang berjaya. Anda masih tergolong orang yang bernasib baik, dan berpengharapan.



Pandang Keliling



Cubalah dongakkan kepala ke langit, di waktu malam yang cuacanya indah, perhatikan nun di kejauhan, jutaan bintang bergayutan di dada langit biru dengan sinar kerlip gemerlapan sekian lama menggamit anda untuk membina sebuah istana pengharapan baru.



Cubalah dongak ke langit, di waktu bulan mengembang tertampal di dada langit lazuardi, dengan cahaya yang lembut memukau yang membisikkan kepada anda supaya mensyukuri segala limpahan nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.



Cubalah buka tingkap di waktu malam yang tenang, rasa-rasakanlah hembusan bayu halus, yang sejuk, segar dan nyaman membisik-bisikkan kepada anda untuk membina hidup baru di atas tapak istana yang telah berkecai.



Jenguklah ke sungai yang airnya sentiasa mengalir laju menuju ke muara tanpa tersekat atau terhalang, mengajak anda berjuang dengan segala tenaga dan kekuatan anda untuk sampai di distinasi yang di tuju.



Jejakilah ia sampai ke laut biru, yang ombak-ombak sentiasa melanda pantai, mengubah wajah pesisir yang mendesak anda supaya bangkit kembali melukis dan mewarna corak hidup baru anda mengikut cita rasa anda.



Pandang sekeliling kelalang anda, tengoklah pokok-pokok subur menghijau menyejukkan hati, mengajak anda supaya sentiasa hidup dengan jiwa yang tenteram dan damai.



Pandanglah anak-anak anda, merekalah warisan anda, sumber kekuatan hidup anda, untuk tegak kembali mengharung kehidupan walau pun laut bergelora dan berbadai.



Jadilah seperti seekor burung yang perkasa, walaupun patah sebelah sayapnya, terbang juga ia, membelah langit, meneroka angkasa, mengejar cita-cita.



Demikian dan demikianlah.......



Anggaplah kami ini sebagai Pak Cik anda yang ingin melihat anda sentiasa hidup senang dan bahagia di sepanjang masa dari dunia hingga akhirat.



Dari jauh Pak Cik doakan semoga Allah mengharmati anda dan keluarga anda, memimpin anda ke jalan taufik dan hidayah.



Amin.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP