MAIK Terbit "Bibit Pelajaran" 1948

>> Sunday, July 8, 2012


MAIK TERBIT “BIBIT PENGTAHUAN” 1948



“Satu petang sa-ekor kekabor sedang gotel tahi ayam.



Datang sa-ekor katak lumpat-lumpat dekat kekabor itu.



Katak tanya kekabor , “Engkau buat apa itu kekabor?”.



Kekabor-“Saya hendak buat lesong tuan”.



Katak-“Ambai! Tahi bagitu lembek engkau boleh buat lesong?”.



Kekabor-“Bukan lesong sahaja saya boleh buat: peluru, bedil, bom, kapal terbang kapal pergi ke Mekah pun boleh buat”.



Katak senyum dengan jawab kekabor yang agas [sombong] itu.



“Tuan hendak ka-mana katak, maghrib ini?”.



Katak- “Hajat aku hendak ka Mekah”.



Kekabor- “Amboi, jauh! Sudah gelap ada-kah sampai?”.



Katak- “Hajat aku hendak pergi sembahayang maghrib, bila sudah, balek selalu”.



Kekabor- “Oh! Bohong!!”



Katak- “Bukan bohong, aku hendak pergi dan balek dengan kapal terbang yang engkau buat itu-lah”.



Penjelasan pengarang:”Kekabor ialah sejenis kumbang maghrib.



Di atas adalah satu kutipan daripada buku teks yang diterbitkan pada tahun 1948 tanpa sebarang pembetulan, termasuk ejaannya juga, masih dikekal dengan ejaan rumi lama. Petikan tersebut adalah salah sebuah daripada cerita nasihat yang terkandung dalam buku yang berjodol “Bibit Pengtahuan” [Bachaan Rumi] untuk darjah satu.



Buku teks tahun 1948 ini ditulis bagi pehak Pejabat Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan, merupakan cetakan yang pertama, dan dikeluarkan olah Majlis Ugama Islam Kelantan untuk mereka yang hendak mempelajari tulisan rumi di sekolah-sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan.



Pengarangnya Md. Abu Bakar bin Saman, dan nama samarannya MABS. Beliau adalah guru di Madrasah Muhammadiyiah Kota Bharu Kelantan dari tahun 1928 hingga 1948. Saya tidak mempunyai maklumat tentang beliau, walau pun semasa hayatnya saya pernah berjumpa beliau di kediamannya di Kota Bharu, tapi saya tidak pula mengambil apa-apa maklumat yang sewajarnya dari beliau sebagaimana biasa. Dan maklumat-maklumat yang sedikit mengenai beliau itu pun tidak saya catat sebagaimana semestinya.



Saya pernah melihat beberapa siri tulisan beliau mengenai sejarah negeri Kelantan tersiar dalam majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Kelatan, semasa majalah itu di bawah pimpinan Datok Yusuf Zaky Yacob.



Dalam kata pendahuluan “Bibit Pengetahuan”, MABS antara lain menulis, “Kemudian dari itu, sanya kitab ini dicadangkan bagi anak-anak lelaki dan perempuan yang baharu hendak belajar bahasa Melayu tulisan Rumi di sekolah-sekolah jagaan dan pandangan Majlis Ugama Islam Kelantan”.



“Boleh juga digunakan di sekolah-sekolah rakyat, kampung atau bagi diajar kepada anak lelaki dan perempuan di rumah-rumah, atau pun kepada orang tua muda lelaki dan perempuan yang hendak belajar tulisan rumi senyap-senyap di rumahnya”.



Buku setebal 60 muka surat itu secara tidak langsung dihiasai dengan rencana-rencana dan kisah-kisah pendidikan sebagaimana kita petik di atas yang berjodol “Katak Dengan Kekabor”. Ia juga dihiasai dengan banyak ilustrasi yang saya percaya hasil lukisan penulisnya sendiri.



Dalam bab akhirnya pula, iaitu di bahagian belajar berlatih menulis tulisan rumi terdapat beberapa kata-kata berupa motivasi yang berbentuk kata-kata hikmat, antaranya:



“Allah Yang maha Besar.



Berish itu ibu Kesihattan



Carilah ilmu serata dunia.



Dirikan sekolah, nescaya ia dirikan kita



Gunakan kerjamu kerana A.B.T [Agama.Bangsa.Tanah air]



Hapuskan orang buta huruf



Jangan takut kerana benar



Kasihkan bangsa dan nusamu



Malaya tanah air-ku selama-lamanya



Nanti akan bangkit Melayu Raya Bersatu



Otak baik dalam badan sihat



Pemuda harapan bangsa



Takkan Melayu hilang di dunia



Yakinkan kebolehan dirimu



Z’aba pendita bahasa Melayu”.



MABS dalam buku ini cuba menyemai unsur-unsur pendidikan yang penting kepada anak-anak bangsa yang amat dahagakan ilmu pengetahuan pada masa itu, terutama dalam membentuk semangat dan budi pekerti yang mulia.



Sebaimana dalam kata aluan Haji Nik Abdulraman, Pegawai Agama Majlis Agama, “Kemudian daripada itu- saya telah tatap buku [kitab] Bibit Pengetahuan karang Cikgu Mnuhammad Abu Bakar maka didapati isi dan perkataan-perkataan yang tersunting di dalamnya menasabah bagi bacaan kanak-kanak sekolah dan padan dengan keadaan masa yang sedang bergubar-gubar semangat kebangsaan. Bahkan buku ini nampaknya adalah bersesuaian dengan asuhan semangat dan budi pekerti kanak-kanak yang sedang tengah naik”.



Buku ini dicetak oleh sebuah pencetak yang terkenal di Kelantan pada suatu ketika dahulu, iaitu AL-KAMALIAH PRESS Kelantan.



Di kulit belakang buku terdapat catatan dalam tulisan rumi yang mengandung zikir dan doa yang saya tidak tahu siapa yang mencatatnya. Doa itu sebuah doa yang baik, tapi ianya menyempang jauh dari tajuk tulisan untuk menyertakannya di sini.



Semoga Allah cucuri rahmat kepada penulisnya. Amin!



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP