Kembara Ramadhan 1431 H

>> Tuesday, August 31, 2010


Bersama cucu "Angah" di Subang


KEMBARA Ramadan 1431H


KAPALTERBANG yang aku naik daripada Pengkalan Chepa, Kota Bharu mendarat di Lapangan Terbang Subang pada pukul 9.00 malam. Terlewat kira-kira 15 minit dari jadual asalnya. Biasalah tu. Alhamdulillah semuanya selamat.

Hari itu, hari Khamis malam Jumaat, 16 Ramadan 1431H [26 Ogos 2010]. Tidak seperti biasa di masa-masa yang lalu, kali ini aku hanya sendirian. Hanya Allah bersamaku.

Sudah lebih dari dua puluh tahun lamanya aku tidak menaiki pesawat terbang. Sepanjang masa itu kami biasanya bergerak ikut jalan darat, dengan menaiki keretapi, bas atau membawa kenderaan sendiri, biasanya dipandu oleh anak-anak atau menantu untuk perjalanan jarak jauh. Kali terakhir aku pandu kereta sendiri untuk jarak jauh ialah kira-kira empat tahun yang lalu dari Kota Bharu ke Penang dan Penang ke Kota Bharu untuk beberapa kali dalam masa terdekat kerana urusan keluarga.

Terasa sedikit kekekokan ketika menaiki kapalterbang selepas kira-kira dua puluh tahun menyampingkannya. Aku selalunya merasa bimbang, takut-takut mabuk ketika kapalterbang memulakan penerbangan atau ketika mendarat sewaktu di atas landasan. Alhamdulillah dalam penerbangan kali ini semuanya berjalan dengan baik.

Aku menaiki kapalterbang ke KL kali ini atas desakan anak-anak dengan alasan yang logik, lebih cepat sampai, tidak meletihkan dalam bulan puasa ini, tambahan pula tiket kenderaan awam sukar untuk diperolehi setiap kali menjelang hari raya seperti ini.

Kata mereka, kalau nak pergi ke Kuala Lumpur di masa-masa akan datang, naik kapalterbang sahajalah papa, mudah dan tidak membebankan. Betul kata mereka tu.

Seperti biasa sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini “keluarga” kami di KL akan berkumpul mengadakan sembahayang sunat terawih yang diimami oleh hafiz-hafiz jemputan, biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar tahfiz di sekitar ibu kota. Kepada mereka yang tinggal di sekitar KL, mereka boleh pergi setiap malam, dan kepada kami yang tinggal berjauhan seperti aku ini akan pergi beberapa hari sahaja sepanjang bulan Ramadan ini mengikut kemampuan kami masing-masing.

Di majlis ini kami dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain dengan semangat mahabah yang kian semarak.

Biasanya pada masa yang lalu, aku berangkat berdua dengan isteriku, Asiah Yaacob. Tapi sekarang beliau telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya, sejak kira-kira setahun yang lalu. Ya Allah cucurilah rahmat ke atas rohnya dan kurniakan ia tempat yang mulai di sisi Engkau ya Allah.

Semasa dalam penerbangan, aku terkenangkan isteriku. Alangkah gembiranya jika beliau ada bersama di sisi dalam penerbangan ini. Kenangan manis yang tidak pernah berhujung meliputi selama berpuluh-puluh tahun sejak kami mendirikan rumahtangga dalam usia yang muda belia berpesta dalam benakku.

Allahyarhamah isteriku sebenarnya tidak begitu gemar menaiki kapalterbang, kerana kesan “hanyut” naik kapalterbang itu akan dirasainya selama beberapa hari baru hilang. Namun begitu jika perlu dia merelakannya seperti di masa-masa yang lalu.

Kami meredhakan dengan pemergian beliau. Pemergian beliau adalah berpunca dari tangan ghaib yang hatinya berkarat dengan hasad dan kedengkian terhadap kami. Semoga Allah mengampunkan kami semuanya.

Lintasan-lintasan ini menjangkau jauh menerjah langit-langit fikiranku yang tidak berhujung. Anak-anakku sering memberitahu mereka selalu teringatkan ibunya yang dipanggil “mama” dan “wan” oleh semua cucunya. Kadang-kadang mereka didatangi oleh mimpi-mimpi yang menggembirakan tentang beliau. Semoga begitulah hidup beliau sentiasa dalam rahmat Allah.

Semasa di dalam kapalterbang, sebelum bertolak, seperti lumrah kapten kapalterbang akan membuat pengumuman, dan diikuti oleh pramugari memberitahu langkah-langkah keselamataan yang perlu diambil oleh para penumpang.

Terlintas pula dalam fikiranku, alangkah baiknya, andainya di samping membuat beberapa pengumuman penting itu mereka juga meminta para penumpangnya supaya berdoa kepada Allah/Tuhan masing-masing untuk keselamatan mereka semasa dalam penerbangan itu.

Kita harus ingat, walaupun secekap manapun manusia, sehandal manapun mereka, sebijak manapun mereka, sekuat manapun mereka, di belakang semuanya adalah Allah yang menentukan segala-galanya. Tangan Allah yang menentukan nasib kita semua.

Para petugas pula, bukan sahaja perlu ramah dan sopan, tapi patut mengikuti tatasusila agama, kalau Islam perlu menutup aurat. Kita kembali kepada Allah.

Ingatlah semua perkara berlaku atas kehendak Allah kerana hukum sebab dan akibat. Buat begitu, jadi begitu. Tak buat begini, jadi begini. Sebab dan akibat itulah yang dicari oleh orang-orang yang terlibat dalam sesuatu nahas atau kemalangan, adakah ia berpunca daripada kecuaian manusia atau memang tidak dapat dielakkan? Itulah undang-undang sebab dan akibat yang Allah kurniakan kepada makhluk-makhlukNya.

Hanya Allah sahaja yang dapat melindungi semuanya itu. Manusia hanya mampu berusaha dan berdoa. Justeru usaha hendaklah disertai dengan doa semoga Allah menyempurnakan segala harapan kita.

Di Subang telah menunggu anakku, Arham Zaini yang menunggu ketibaanku bersama dengan keluarganya. Aku terus dibawa ke surau tempat kami menunai solat tarawih.

Untuk selama tiga malam berturut-turut aku bersolat tarawih di situ. Anak bongsuku, Ahmad Syaibani Zaini yang menuntut di UKM ikut menyertai kami. Setiap malam ketika menunai solat tarawih, kami bukan sahaja teringatkan Allahyarhamah isteriku, malah kami merasa seolah-olah ia hadir bersama-sama kami dalam suasana yang syahdu itu.......

Terasa pantasnya masa berlari. Sedar-sedar hari Ahad telah tiba, dan aku terpaksa balik ke Kota Bharu, meninggalkan keluarga, sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan kami di KL dengan harapan berjumpa lagi masa yang terdekat.

Aku menaiki kapalterbang dari jenis yang sama dari Subang ke Kota Bharu. Kapal terbang dijadualkan bertolak pada pukul 3.20 petang. Kerana menyangka seperti di masa-masa yang lalu keadaan dalam kapal terbang diselimuti oleh kesejukan, maka akupun terus memakai baju sejuk sebelum menaiki kapal terbang. Tapi bila aku melabuhkan punggung di kerusi, keadaan sebenarnya berbeza, udara dalam kapal terbang terasa meruap panas, baju sejuk yang aku pakai terpaksa kutanggalkan, namun begitu bahang panas masih juga terasa.

Penumpang di hadapanku terpaksa mengipas-ngipaskan badannya dengan majalah. Sekujur badanku terasa basah bermandi peluh. Sebahagian daripada butang baju terpaksa dibuka, dan aku turut mengipas-ngipas badanku dengan majalah usang yang disediakan dalam kapalterbang itu. Berkebetulan pula sepanjang perjalananku itu bola matahari yang terpampang di dada langit itu menimpa di sebelah kerusiku yang secara berkebetulan terletak di bahagian tepi dinding kapalterbang. Bertambahlah bahang panasnya. Kepanasan yang kurasakan semacam naik kereta yang penghawa dinginnya telah rosak di tengah hari di dalam cuaca yang panas terik.

Aku berdoa kepada Allah supaya tiada perkara yang tidak dingini berlaku ke atasku, kerana biasanya ketika berada dalam kepanasan seperti itu di dalam kenderaan boleh menyebabkan aku merasa kepeningan dan nak muntah. Tapi mujurnya dengan izin Allah tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah aku masih dapat bertahan.

Sesampai di Pengkalan Chepa, anak perempuanku, Noorbaiti Zaini, suaminya Safayi dan anak-anaknya telah sedia menunggu untuk membawa aku pulang. Mereka juga menghantar aku ketika bertolak empat hari lepas.

Sekian, sampai ke temu lagi. Selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya. Maaf zahir dan batin.
xxxxxx

Renunglah:
* “Kita menilai diri kita dari apa yang kita rasa dapat kita buat, tetapi orang lain menilai kita dari apa yang telah kita buat”. Longfellow.

* “Mara terus! Anda mungkin terserandung sesuatu, mungkin ketika itu anda tidak begitu bersedia. Tapi saya tidak pernah mendengar seseorang terserandungkan sesuatu ketika dia sedang duduk”. Charles F.Kettering.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP