Sekuntum Mawar Di Taman Hati

>> Monday, August 23, 2010


SEKUNTUM Mawar Di Taman Hati

BULAN Puasa Al-Mubarak ini kian hari kian mendekati ke penghujungnya. Alangkah pantasnya masa berlalu. Kejar mengejar antara bulan dan matahari, antara siang dan malam.

Justeru, sentiasalah waspada, jangan biarkan arus hari yang berlari menghumbankan kita dalam cerung-cerung kelalaian yang akhirnya mendamparkan kita ke pantai penyesalan yang tidak berkesudahan.

Dengan ini bererti sudah dua kali aku melayari Ramadan tanpa isteri di sisi. Beliau [Asiah Yaacob] telah kembali ke sisi Rabbnya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Beliau ibarat sekuntum mawar yang sentiasa berkembang mekar serta semerbak mewangi di taman hati-hati kami yang tidak pernah luntur-luntur walaupun hari-hari berlalu membawa seribu warna.

Mawar indah dan menyegarkan sentiasa subur di jambangan hati kami, tanpa pernah mengenal kelayuan.

Malah lebih subur di taman hati daripada hari-hari kehadirannya yang telah berlalu bersama dengan pemergiannya yang abadi.

Mawar sentiasa di taman hati sepanjang waktu. Sentiasa berkembang dan mewangi di sepanjang hari dan malam di lubuk hati para kekasih yang ditinggalkan kesepian sendirian.

Perpisahan tidak dapat melenyapkan kewangian mawar menyerbak di taman hidup kami. Perpisahan tidak dapat memisahkan kami dalam erti kata yang sebenarya. Malah lebih memilinkan hati kami dalam untaian kasih yang tak berhujung.

Jauh di mata dekat di hati. Hilang di mata hidup di hati.

Sesungguhnya kami reda dengan pemergiannya. Tapi dalam keredaan itu hati kami terus terpaut dengan keindahan dan kwangian sekuntum mawar merah yang sentiasa berkembang di taman hidup kami.

Ya Allah Engkau Maha Mengetahui. Mawar kami gugur diracuni oleh tangan berdekatan yang kejam dan ganas kerana di lubuk hatinya bersarang dengan karat-karat kedengkian yang memusnahkan.

Ya Raab, Engkau lebih Mengetahui dari kami. Limpahilah keadilan kepada kami yang menjadi mangsa kedurjanan ini.

Mawarku adalah cintaku, kasihku, suri hidupku, bondaku dan teman hidupku. Kasihnya kepada kami selebar samudera yang tidak berhujung dan bertepi.

Setiap kali azan berbuka berkemundang membelah langit senja, sebelum air membasah kerongkongnya, Mawar membuka kelopak tangan, berdoa, doanya panjang, katanya untuk semua kami, semua kekasihnya, suami dan anak-anaknya yang tercinta.

Kini Mawar yang kelopaknya sentiasa berkembang dengan Mahabah, dan kasih sayang itu sudah tidak ada lagi. Sudah gugur dari tangkainya. Yang ada hanyalah kenangan ketika berbuka yang mendayu-dayukan hati.

Di hujung Ramadan ini, hari lebaran akan tiba – penuh dengan debaran tanpa Mawar di jambangan mata.

Sesungguhnya sepanjang hidup yang meniti lalu, penuh dengan warna-warna kenangan yang tak terukir oleh kata, tak terlakar oleh tangan. Indahnya masa-masa yang berlalu yang dibaja oleh kasih dan sayang. Hanya kini tinggal kenangan.

Setiap Jummat, kami akan sampai dan berlabuh di pusara di mana Mawar disemadikan utuk selama-lamanya dalam perjalanan pulangnya kepada Rabbnya yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Dalam masa hayatnya, dia sentiasa berpesan, kalau dia gugur telebih dahulu ke hadirat Illahi kunjungilah pusaranya dan duduklah di sisi pusaranya sambil memanjatkan doa untuknya, memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun.

Wasiatnya lagi, bawalah anak-anak dan cucu-cucu bersama untuk mnezirahi pusara dan mendoakan untuknya.

Sesungguhnya dia selalu bermadah, malah beberapa hari sebelum dia berangkat ke hadirat Ilahi, dia tetap bermadah, dia ingin pergi terlebih dahulu dari suaminya, kerana katanya, dia tidak mampu hidup bersendiran tanpa suami di dunia yang fana ini, lagi pun katanya siapa akan mendoaknya kalau dia pergi terkemudian dari kami?

Madahnya memang benar! Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memperkenankan harapan dan doa sucinya. Dia telah kembali ke pangkuan Ilahi pada Hari Rabu, 8 Rejab 1430 [1 Julai 2009]mendului kami semua.

Wahai Mawarku, hiduplah dikau dalam limpahan rahmat Tuhanmu dalam taman-taman Syurga yang indah sementara menunggu Hari Kebangkitan.

Wahai Mawarku, ingatan terhadapmu akan terus hidup. Kenangan akan terus segar. Mimpi-mimpi akan terus menghiasi tidur kami. Alangkah mansinya masa mengharungi hidup bersama walaupun kadang-kadang terdapat onak dan duri merintangi jalan.

Kami selalu memanjatkan doa untuk kesejahteraanmu, lebih-lebih lagi di hari baik bulan baik ini, bulan Ramadan yang akan dikuti oleh hari lebaran, semoga doa kami diperkenankan oleh Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang Kekal dan Abadi yang rahmatNya tidak berpenghujung.

Ya Allah ampunilah kami, kedua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-saudara kami dan semua yang kami kasihi.

Sekuntum Mawar telah gugur, tapi ia masih tetap segar menjadi penghias taman hati kami yang membawa bau yang semerbak mewangi selagi hayat dikandung badan, selagi masa terus beredar.


M.Zain Saleh

Kuala Krai.
Isnin 13 Ramadan 1431.
xxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP