Apakah Peminat Bola Sepak Gila??

>> Tuesday, June 29, 2010







ADAKAH PEMINAT BOLA SEPAK GILA?



PERLAWANAN bola sepak selalunya mendapat sambutan yang hangat di mana-mana sahaja di pertandingkan. Adalah perkara yang biasa, seramai ribuan orang menonton satu-satu pertandingan bola sepak bertiket yang bukan murah sekalipun.



Kenapa perlawanan bola sepak mendapat sambutan yang begitu hangat di mana-mana sahaja? Kenapa pula mereka bertingkah laku yang luar biasa ketika menonton perlawanan itu? Adakah mereka telah gila semuanya pada waktu itu?



Penonton-penonton bola sepak boleh menjadi hangat dan panas bila pasukan yang diminatinya tewas di tangan lawan, ini membuat darah mereka mendidih dan akan memuntahkan caci-maki, dan kata-kata kesat.



Sebaliknya kalau pasukan yang diminatinya itu mencapai kemenangan, mereka akan merasa gembira yang melimpah-limpah, sehingga mendorongkan mereka menjerit-jerit dan memekik-mekik sampai tidak sedarkan diri.



Untuk menonton sesuatu perlawanan mereka bukan sahaja mengeluarkan duit, malah sanggup menanggung kesusahan, berasak-asak, berpanas dan berhujan, walaupun tempat duduknya tidak selesa, hanya di atas simen bertigkat-tingkat yang dibina sebelah dalam sekeliling stadium sebagai tempat duduk. Dalam musim panas di negeri-negeri tropika, lantai simen itu terus panas bahangnya walaupun matahari telah terbenam di kaki langit. Malah mereka bersedia berdiri dalam hujan yang turun mencurah-curah, walaupun kadang-kadang tanpa payung atau baju hujan untuk berteduh.



Kebanyakan penonton bola sepak lebih suka berdiri daripada duduk, kerana dengan berdiri mereka dapat bergerak secara bebas, terutama di waktu keghairahan bila pasukan yang diminatinya mencapai kemenangan.



Malah peminat-peminat yang sebenarnya tidak dapat berdiam diri atau berpeluk tubuh ketika menonton perlawanan yang sedang rancak. Semangat mereka terletak di tengah-tengah padang bersama-sama pemain yang sedang berlari dan menendang bola dengan lincah, mereka juga seolah-olah turut menendang, membawa dan menanduk seperti pemain-pemain di tengah padang.



Kadang-kadang berlaku kekacauan antara penonton sesama penonton atau antara penonton dengan pemain di tengah padang. Pergaduhan juga pernah berlaku sampai mengorbankan jiwa. Kadang-kadang pergaduhan itu berlaku di tengah-tengah jalanraya antara peminat-peminat selepas pertunjukan selesai. Bukanlah satu perkara yang luar biasa, bas-bas dan kenderaan peminat-peminat diserang oleh peminat-peminat pasukan lain dengan batu dan kayu. Bila berlaku pergaduhan pihak polis terpaksa campurtangan untuk menenangkan keadaan.



Sebabnya, emosi berkumpulan lebih mudah melorongkan kepada kekerasaan dan lebih mudah membuat mereka kehilangan perimbangan. Memanglah satu perkara yang sukar terjadi kepada penonton sebagai individu untuk mencuri masuk ke dalam rumah seseorang, kemudian memecah pintu bilik dan memanjat ke atas bumbung untuk menonton perlawanan bola sepak di tengah padang. Tapi bagi sekumpulan penonton yang begitu ghairah untuk menonton sedangkan tiket telah kehabisan, perkara yang lebih buruk dari itu pun mungkin terjadi.



Kekerasaan di tempat perlawanan bukanlah satu perkara yang luar biasa lagi. Pemain-pemain dan pegawai-pegawai pernah dihujani dengan batu-batu, botol, cawan, kayu dan sebagainya. Peminat-peminat yang keberangan, pernah menyakiti pemain-pemain dan pengadil, malah kadang-kadang pernah memukul mereka sampai pengsan.



Peminat-peminat bukan sahaja merasa diri mereka sebagai sebahagian dari orang ramai yang menonton itu, tapi juga benar-benar merasa diri mereka sebagai salah seorang daripada pemainya.



Faktor ini jugalah mendorongkan peminat-peminat yang keghairahan berlari-lari ke tengah-tengah padang.



Selain daripada itu, menurut ahli-ahli psaikologi, ada satu macam kenikmatan dalam menanggung kesukaran untuk menonton perlawanan bola sepak. Malah mereka mungkin merasa bangga menanggung kesukaran-kesukaran tersebut.



Peminat-peminat bola sepak juga merasa kepuasaan kerana kegemarannya dapat memenuhi keperluannya yang asasi sebagai manusia, iaitu perasaan dimiliki. Di bandar-bandar terkemuka, pasukan bola sepak menjadi bahan pembicaraan dari mulut ke mulut, malah kadang-kadang menjadi berita radio, akhbar dan tv. Itulah sebabnya pasukan bola sepak yang baik dapat menimbulkan kebanggaan di kalangan orang ramai yang meminatinya dan menjadi kebangaan negerinya.



Peminat-peminat juga mempunyai hubungan emosi yang kukuh dengan pemain-pemain pasukan yang diminati, Justeru itu kemenangan atau kekalahan sesuatu pasukan itu mempunyai kesan terhadap seluruh peminat-peminatnya. Ini boleh diperhatikan pada wajah dan air muka mereka. Dan inilah juga yang mendorongkan seseorang peminat tulin mengikuti ke mana sahaja pasukannya bermain, walaupun ratusan batu.



Yang lebih menghairahkan lagi, ialah sewaktu berada dalam kumpulan itu mereka boleh berbuat sesuatu yang tidak tergamak mereka melakukannya secara individu, kerana akan dicaci dan dicela oleh orang ramai. Tapi dalam kumpulan penonton yang ramai itu mereka memekek sekuat hati mereka suka, mengutuk pengadil, menyakit hati pegawai-pegawai lain, mempersalahkan lawan secara terang-terangan, merangsangkan pasukan yang diminatinya, membaling barang-barang, menolak orang ramai, pendeknya mencurahkan segala emosinya yang terkurung.



Inilah suasana-suasana bola sepak yang menarik ramai orang menontonnya dan itulah sebabnya tayangan bola sepak semenrusi tv tidak menarik hati peminat-peminat bola sepak yang sebenarnya. Menonton tv tidak ada suasana kebisingan dan kemeriahan seperti berada di stadium bola. Itu jugalah sebabnya peminat-peminat kriket atau bolatangkis tidak sehebat peminat-peminat bola sepak.

Keterangan gambar

Gambar atas:
Permainan bola pada abad 18.

Gambar bawah:
Permainan bola abad 20.


[Rencana ini pernah disiar dalam Majalah SANTAJIWA keluaran Mei-Jun-1975 oleh penggendali Blog “Pondok Rahmat@gmail.com” ini dengan mengguna nama samaran ZAHRAIN].


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP