>> Thursday, November 28, 2019



MASA LEPAS
KENAPA DENGAN MASA LEPAS?





“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada da;am kerugian. Kecuali orang yang beriman dan melakukan amalan yang soleh serta saling berpesan supaya menjunjung  ajaran kitab Allah yang benar dan saling berpesan supaya bersikap sabar”.
 Al-‘Asr [103] :1-3.


MASA
Kita hidup dalam ruang masa. Malah semua yang berada dalam jagat raya ini berada dalam lautan masa.

Pada umumnya masa itu terbelah tiga peringkat sebgaimana kita semua ketahui. Pertama masa yang lalu, iaitu kemarin, minggu lepas atau bulan lepas ;kedua masa sekarang atau masa  kini, iaitu masa yang sedang kita jalani ini, dan ketiga, masa hadapan, sekejap lagi, besok, lusa, atau minggu depan, bulan depan atau tahun hadapan dan seterusnya.

Kepada kita manusia, ketiga-tiga juraian masa itu penting, baik masa lepas, masa sekarang atau masa akan datang.Semua peringkat masa itu penting untuk dijadikan perhitungan kepada diri kita. Malah seluruh masa itu penting.

Masa yang telah lepas, masa kemarin, walaupun menjadi sejarah abadi yang beku yang tidak dapat diogeh-ogehkan lagi, tapi ia tetap amat perlu diletakkan dalam neraca pertimbangan, terutama kepada kita umat Islam. Masa kemarin itu membutuhkan penilian  dan pengkajian dengan teliti dan saksama.

Mengingat masa lepas atau mengenang masa lampau bukan semata-mata untuk melihat sejarah tanpa makna, Mengingat masa kemarin bukan dengan tujuan untuk mencetuskan rasa tidak senang, rasa kecewa, atau putus asa, atau untuk meluahkan rungutan atau rasa tidak puas hati yang terbuku di kalbu lalu mengharu-birukan  hati,perasaan dan jiwa.

Mengingat masa-masa dulu bukan sahaja untuk menyemarakkan rasa rindu yang membuak-buak ingatan pada kekasih lama, kampung laman dan kawan-kawan sepermainan yang telah lama bercerai dan entah di mana dalam dunia yang luas dan fana ini. Bukanya hanya itu, Kalau setakuk itu ia tidak menyumbangkan apa-apa manfaat selain daripada menggelumbangkan lautan perasaan semata..

Lebih buruk andainya meninjau ke belakang, ke hari lepas itu  semata-mata untuk mengorek segala kelemahan, kekurangan dan kegagalan diri untuk dikesali, dirungsing dan diratapi.

Banyak orang senghaja menaruh keraguan, kerungsingan, dan kebimbangan terhadap apa yang telah berlaku kemarin atau masa yang lalu. Sedangkan apa yang telah berlaku kemarin itu telah kekejangan dan pejal/beku dalam kelaluan masa yang tidak boleh secebis pun dipinda atau diubahsuai lagi.



Orang-orang yang seperti berandaian,perkara yang mereka lakukan kemarin dan dikesali hari ini tidak akan berlaku andainya mereka melakukan perkara yang lain atau berbeza. Tegasnya mereka berandaian mereka akan memperolehi nasib yang lebih baik andainya mereka  tidak melakukan perkara yang mereka telah
Umpamanya, kalau kemarin mereka tidak pergi ke Kuala Lumpur, dan tidak  pergi kemana-mana, dan hanya tinggal di rumah, maka sudah tentu kemalangan jalanraya itu tidak akan berlaku.

Adakah benar andaian mereka andainya mereka melakukan perkara berbeza daripada apa yang telah mereka lakukan kemarin, tentu kadaan akan menjadi berbeza atau lebih baik? Atau lebih jauh andainya mereka memilih cara hidup lain yang berbeza-beza dari sekarang keadaaan mereka akan berbeza?


Di manakah anda berada,  anda terpaksa membuat penentuan, jalan hidup  mana yang hendak anda lalui, sedangkan jalan-jalan itu banyak, antaranya jalan kanan, jalan kiri atau jelan tengah. Dan jalan-jalan itu pula ada jalan bengkok, bersimpang sur, jalan lurus dan sebagainya.

Lumrahnya jalan-jalan yang anda pilih inilah yang akan menentukan nasib anda, yang akan menentukan kedudukan masa hadapan anda, terjerumus ke dalam telaga buruk  atau masuk ke istana.

Tidak ada apa-apa pun lagi yang dapat kita lakukan pada hari kemarin, ia telah menjadi masa yang keras  beku, menjadi lembaran   sejarah yang tidak dapat diubah lagi, walaupun dengan membayarnya denga harga berupa seluruh dunia ini dan isi-isinya. Ia telah menjadi hak mutlak Allah SWT,,

Ada orang gemar meninjau masa lepas, menoleh ke belakang untuk membaca segala kejayaan-kejayaan, perolehan-perolehan, dan kemenangan yang telah mereka nikmati.Sekarang dia telah memilik harta yang melimpah,tanah dan kebun, rumah lebih dari sebuah, kereta mewah lebih dari keperluan, dan bermacam-macam kemewahan lagi.

 Tujuannya adalah untuk memperaga-ragakan dirinya, membanggakan diri, mendabik dada sebagai seorang yang berjaya. Katanya semua kejayaan dan perolehan yang di dapatinya itu adalah kerana kepandaian, kehandalan, kerajian dan kerja kuat yang telah dilaburkannya kemarin. Dia  merelakan dirinya bermandi keringat dan berjaga siang dan malam untuk memperolehi apa yang dimiliknya sekarang. Semuanya itu kerana usahanya yang gigih, dan dia berhak disanjung dan dipuji sebagai seorang wira.

Justeru dia lupa bahawa yang memberikan semuanya itu kepadanya adalah Allah SWT. Dia melupakannya kerana mabuk kejayaan. Sedangkan Allah sentisa berada bersamanya. Tanpa izin Allah dia tidak akan memperolehi apa-apa.

Orang ini seperti Qarun di zaman Firaun yang mendakwa segala kemewahan dan kekayaan yang diperolehinya itu adalah kerana usahanya sendiri semata. Dan pengakhiran hayatnya, dia telah dibenakan oleh Allah dengan segala harta kekayaannya ke  perut bumi sampai sekarang.

Tidak salah menoleh ke belakang dengan tujuan mengkaji dan menilai apa yang telah kita lakukan itu baik atau buruk untuk dijadikan panduan di masa-masa akan datang. Kalau tidak baik, kita tidak akan mengulaginya lagi, tapi kalau baik kita akan meneruskannya dengan memperbaikinya lagi supaya tambah baik.

Dan kiranya apa dilakukan kemarin itu tidak benar, buruk dan bercanggah dengan perintah Allah maka kita hendaklah segera memperbaiki dirikita  dengan bertaubat dan tidak lagi melakukan perkara yang sama.

Malah andainya perbuatan itu merupakan dosa-dosa besar, maka kita hendak bersegera  membersih dan menyucikan diri kita dengan taubah, iaitu taubah nasua. Allah Taala yang memerintahkan kita supaya berserga memhon keampunan Nya dengan bertaubah, dengan memetraikan janji tidak akan mengulangi lagi segala perbuatan yang terkutuk itu untuk menyelamatkan kita daripada menerima hukuman Allah.,

Menoleh ke belakang sebagai sebagai satu langkah untuk dijadikan contoh tauladan, iktibar tentang segala apa yang telah kita lakukan. Di dalam al Quran Allah Taala banak memberitakan perkara-perkara yang lepas kepada umat manusia menerusi Baginda Rasulullah SAW untuk dijadikan contoh dan tauladan.




Banyak umah yang telah dibinasakan oleh Allah kerana kezaliman mereka, dengan mengingkari dan menghina ayat-ayat Allah dan menafikan segala ajaran Nya sebagai dusta dan palsu. Baginda Rasulullah SAW pula dianggap sebagai tukang sihir dan kitab suci al Quran itu dianggap sebagai dongeng-dongen orang purbakala. Akibat kesombongan mereka itu Allah telah membinasakan semua mereka.

Kisah-kisah benar ini diceritakan oleh Allah dalam beberapa surah al Quran sebagai pengajaran mereka yang mengingkari Allah dan Rasul Nya.

Antaranya:

Kaum Nuh terdapat dalam Surah Hud [11] ayat 25,hingga 48  dan Surah Ibrahim [14] ayat 9-15.

Kaum Hud terdapat dalam Surah Hud [11] ayat 25 hingga 60..

Kaum Tsamud terdapat daayat lam Surah Hud [11] ayat 61 hingga 68, Surah Ibrahim [14] ayat 9 dan Surah Isra’[17]  ayat 59.

Kaum Luth terdapat dalam Surah  Hud [11] 69 hingga 83,
Kaum Madyan dalam Surah Hud [11] ayat 84 hingga 95 , dan urah al-Hajj  [ayat 57 hingga 77.

Kaum Madyan terdapat dalam Surah Hud [11] ayat 84 hingga 95 ..

Kaum Firaun terdapat dalam Surah Hud [11], ayat 96 hingga 110, Surah Ibrahim [14], ayat 5  hingga 8 dan Surah al- Isr’a [17], ayat 101 hingga 104.

Justeru itu menoleh ke belakang, meninjau masa lampau bukan merugikan atau sia-sia, kalau dipergunakan dengan sebaik-baiknya sebagai manusia yang beriman dan bertakwa.





Semoga kita semua mendapat keredaan Allah SWT.

Meninjau ke belakang, menghitung masa lepas itu, tidak memberi faedah kiranya dengan tujuan untuk menyesali, mengesali, meratapi dan menangisi tanpa mengambil sebarang tindakan positif yang memberi manfaat. Dan tambah buruk lagi, kiranya masa lepas itu ditinjau dan dihitung, untuk mengira-ngira keuntugan, laba dan  kejayaan yang diperolehi terutama dari segi kebendaan, untuk dihebah-hebah dan dibangga-bangga sebagai kejayaan peribadi yang wajar dipuja dan dan sanjung tinggi oleh semua orang dan masyarakat. Dan keadaan menjadi lebih parah lagi kiranya ia disertai rasa bongkak dan sombong bahawa semua kejayaan yang dicapai dan diperoleinya itu semata-mata kerana kerajinan, ketukunan dan kegigihannya dalam usaha memburu kejayaan. Mereka tidak menyedari dan merasa sedikitpun bahawa di belakang semua kejayaan dan kemenangan yag diperolehinya itu ialah kurniaan  Allah SWT. belaka.


Sebaik-baiknya menoleh ke belakang dan  meninjau sejarah  lampau itu untuk dijadikan panduan, iktibar serta contoh dan tauladan kepada tindakan kita hari ini. Mana-mana yang tidak baik, tidak sesuai dan merugikan hendaklah ditinggalkan, sebaliknya mana-mana yang baik dan berfaedah boleh dicontohi dan diulangi dengan tindakan yang lebih baik lagi.

Justeru itu berhati-hatilah ketika menoleh ke belakang supaya tidak kehilangan arah dan tujuan yang murni sebagaimana dikehendaki oleh Alla SWT..

Demikian untuk renungan bersama, InsyaAllah semoga mendapat manfaat jua.
                                                        
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
28 November 2019
/1 Rabiulakhir 1441








 [M1]

Read more...

SELAMAT PENGANTIN BARU NURUL JIHAN DAN AHMAD AKMAL

>> Tuesday, November 26, 2019





SELAMAT PENGANTIN BARU:
NURUL JIHAN & AHMAD AKRAM



“Dan di antara tanda-tanda kebesaraan Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir”.ar-Rum[30]- 21.


PERKAHWINAN adalah peristiwa penting kepada jejaka dan dara yang akan menjadi kenangan sepanjang hayat dikandung badan.

Ia merupakan peristiwa manis yang akan akan menjadi ingatan seumur hidup kepada kedua manusia yang berbahagia itu.

Ia menjadi impian setiap jejaka dan dara yang masih belia dan teruna untuk memasuki gerbang perkahwinan, yang membuka pintu kehidupan yang terbentang ke alam rumahtangga yang luas, seluas nirwana.



Dari sinilah bermulanya sebuah kehidupan yang menyambung tali-temali kekeluarga dengan kelahiran anak dan cucu hingga ke akhir zaman.

Demikianlah Alhamdulillah telah berlangsunglah sebuah perkahwinan yang murni antara seorang teruna dan dara, yang saling cinta mencitai antara satu sama lain.




Kemarin, hari Isnin 25 November 2019 [28 Rabiulawal 1441] telah berlangsung upcara persandingan antara Nurul Jihan binti Othman dengan Ahmad Akram bin Noor Zohori di suatu tempat pilihan, iaitu di Tanjung Demong Beah Resort,  Jalan Bukit Keluang, Kampung Raja, Terenganu.




Perandingan  ini menysusul selepas keduanya diijabkabulkan sebagai suami isteri sehari sebelumnya, iaitu pada hari Ahad 24 November 2019 bersamaan dengan 27 Rabiulawal 1441.
Ramai keluarga dan sanak saudara dari kedua-dua belah datang beramai-ramai ke majlis persandingan yang cemerlang itu.




Walaupun saya bercadang untuk menghadiri majlis itu, tapi niat saya telah terhalang kerana gangguan  yang tidak dapat dielakkan. Saya memohon ribuan maaf.

Namun begitu dari jauh saya tetap berdoa demi keselamatan kedua pengantin baru, Nurul Jihan dan Ahmad Akram supaya sentiasa berada dalam rahmat Allah dan kesejahteraan hidup dari dunia hingga akhirat.

Di sudut hati saya, saya dapat merasa bagaimana gemilangnya  majlis itu berlangsung dan dicucuri dengan rahmat Ilahi.




Wahai anak-anakku tempohilah hidup yang luas terbentang ini dengan tenang, hati-hati dan sabar,dan sentiasalah berada di atas landasan syariat Allah SWT. yang benar dan suci. Insyallah anda akan selamat.

Salawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW.

Selamat pengantin baru, dan selamat  berbahagia.



Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan, Darulnaim.
26 November 2019
/29 Rabiulawal 1441

Read more...

MINGGUAN KOTA BHARU MENGHIMBAU KENANGAN

>> Tuesday, November 19, 2019






MINGGUAN KOTA BHARU MENGHIMBAU KENANGAN







MINGGUAN KOTA BHARU sebuah akhbar yang berpengaruh dan digeruni serta populer, terutama di seluruh Negeri Kelantan Darulnaim. Akhbar yang ditunggu-tunggu oleh peminat-peminatnya setiap hari Sabtu pengeluarannya untuk menemui mereka.

Di samping itu terdapat  sekumpulan para penulis yang memulakan penulisan mereka di Mingguan Kota Bharu sebelum menerjunkan ke bidang penulisan yang lebih luas dalam persuratan tanahair. Ada antara mereka terdiri dari penulis rencana, wartawan dan penyair yang memulakan penulisan mereka dalam Mingguan Kota Bharu.

Ketika menggendalikan pnerbitan Mingguan Kota Bharu saya terpaksa mengerah seuluruh daya upaya saya untuk menjayakannya. Sejarahnya penuh terukir dengan kisah suka dan duka.

Namun begitu saya banyak menimba pengalaman yang dikurniakan kepada saya sepanjang masa tersebut, khususnya tentang  sifat-sifat manusiawi yang aneka ragam.

Mingguna Kota Bharu ulung kali diterbitkan pada hari Sabtu 7 Mei 1966 iaitu keluaran sulungnya dengan begitu bersahaja. Mengandungi lapan muka surat, bertulisan Jawi dengan harga  10 sen senaskah.

 Ia merupakan sebuah akhbar yang julung kali diterbitkan, bukan sahaja di Kelantan, tapi juga di seluruh Pantai Timur selepas Perang Dunia Kedua. Sampai hari ini pun, tahun 2019, masih belum ada sebuah akhbar yang diterbitkan khusus di mana-mana negeri di Pantai Timur.

Mingguan Kota Bharu diterbitkan oleh , M. Zain Saleh bagi pehak Perko Mingguan Kota Bharu, beralamat Tingkat 1, Bangunan UMNO, Kota Bharu Kelantan. Ia tercatat di lembaran akhir, bahagian bawah mingguan tersebut. Dan ia dicetak oleh Pustaka Dian.

Kelahirannya tidak disambut dengan apa-apa majlis keraian, seperti dengan mengadakan majlis makan atau kesyukuran. Namun sebelum kelahirannya itu saya telah mengada beberapa siri pertemuan dengan para penulis muda dan mereka yang berminat dengan penulisan di pejabat, memberitahu Mingguan Kota Bharu akan diterbitkan dan kami berharap untuk mendapat sumbangan mereka. Malah saya juga bertemu dengan,  penulis-penulis  vetran untuk mendapat sumbangan mereka, termasuklah penulis-penulis wanita.

Kelahirannya pada hari itu berkebetulan dengan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan yang didakan di seluruh negara dalam usaha untuk meninggi dan mendaulatkan bahasa Kebangsaan di negara ini yang terpinggir sekian lama di tanah ibuandanya sendiri. Kerajaan sendiri memain peranaan yang penting dalam gerakan-gerakan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini. Justeru itu Mingguan Kota Bharu meletakkan motto “Jayakanlah Bahasa Kebangsaan Kita” di tempat yang teratas di muka pertamanya. Sedangkan Bahasa Melayu, kemudian Bahasa Malaysia akan dirasmikan sebagai Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967 nanti.

Kandungannya muka pertama dipenuhi dengan berita-berita dalam negara dan luar negara. Berita-berita luar negara hanya setiap satunya mengandungi beberapa  para sahaja yang saya petik daripada siaran berita Radio Malaysia pada malam tersebut.

Di Pada muka satu ini juga terdapat kata-kata sambutan/aluan daripada  Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Encik Murad Mohd Noor, kemudiannya bergelar Tan Sridan menyandang jawan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia]. Allahyarham mengalu-ngalukan penerbitan Mingguan Kota Bharu dan berharap akhbar itu akan memberi sumbangan yang penting kepada bangsa dan negara.

Muka dua ditempatkan rencana pengarang, ruangan pojok 6/9, dan berita-berita. Dalam editorialnya yang berjodol “Kelahiran Suara Rakyat” antara lain ia mendklimasikan cita-cita yang luhur dan tinggi untuk memberi khidmat kepada bangsa dan negara dengan jujur dan ikhlas tanpa terikat atau terbelenggu oleh batas-batas parti dan politik.  

Muka tiga memuat surat-surat pembaca.

Muka 4 mengandungi semuka penuh sebuah artikel megenai ajaran Subud, sebuah ajaran yang berkembang di Kelantan yang difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Dan Istiadat Melayu Kelantan.

Muka 5 mengandungi semuka penuh sebuah rencana mengenai aneka kesulitan yang terpakasa dihadapi oleh para penjual di Pasar Besar Kota Bharu.

Muka 6 mengandungi beberapa buah berita.

Muka 7 memuat campuran bahan, iaitu berita-berita, kisah lucu dan sebuah puisi. Puisi sulung yang disiarkan ialah karya Abdul Hadi berjodol Berbara Di Hati Mara Berbakti.

 Sementara  muka 8, iaitu muka akhir ialah memuat kronologi ringkas peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dalam masa seminggu sebelumnya, dan Rancangan Radio Pantai Timur dalam seminggu.

Dengan digandingi usaha yang gigih, berani, sabar dan syukur dan seronok bekerja, Mingguan Kota berjaya diterbitkan setiap minggu, meriuh-rendahkan suasana, khususnya di bumi kelahirannya Negeri Kelantan. Walaupun letih dan penat, saya terus berusaha keseorangan membina Mingguan Kota Bharu untuk diterbitkan setiap minggu sejajar dengan namanya Mingguan Kota Bharu.

Sebenarnya saya bertugas secara solo bermula dari A sampai Z. Mencari bahan/berita, membuat dami muka surat, membaca pruf dan sebagainya. Hari kemuncak bekerja setiap minggu ialah hari Jumaat, malam Sabtu. Hari itu, saya dan rakan-rakan setugas di bahagian percetakan mempunyai masa yang paling sibuk dari sejak pagi hingga jauh malam.

Pada mula-mulanya ruangan pojok Wak Long dan Pak Dogol itu disediakan oleh {Dato’] Yusoff Zaky,tapi selepas beberapa keluaran beliau menyerahkannya kepada saya untuk mengambialih tempatnya itu. Dan salah satu daripada pojok saya itu telah diberi oleh amaran keras oleh Kementerian Dalam Negeri kerana boleh mencetuskan ketidaktenteraman.

Rencana pengarang Mingguan Kota Bharu adalah hasil tulisan saya dari sejak awal sampai akhir. Beliau hanya kadang-kadang memberi sumbangan sebuah rencana untuk disiarkan, terutama rencana agama berupa terjemahan.

Malah tidaklah pelek sekiranya dalam sesuatu keluaran Mingguan Kota Bharu itu hampir seluruh kandungannya,kecuali puisi merupakan karya-karya saya sendiri, baik dalam bentuk berita atau rencana, dengan menggunakan aneka nama samaran, atau tanpa sebarang nama penulis.

Demikianlah keadaan terus berjalan selama beberapa tahun, dengan saya bermandi keringat dan mengekang mata seorang diri malam siang untuk menghasilkan Mingguan Kota Bharu setiap hari Sabtu untuk menemui para pembacanya.



Tapi pada tahun 1970 Mingguan Kota Bharu diakhiri riwayatnya kerana saya difitnah oleh kawan dari dalam luar dengan tuduhan yang memalukan. Satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan sampai sekarang. Tuduhan ini dipercayai oleh [Datok] Yusuff Zaky dan segera mencetuskan kemaraahannya dan dengan serta mengarah saya supaya segera memberhentikan penerbitan Mingguan Kota Bharu. Beliau mempunyai kuasa penuh terhadap sebarang penerbitan Syarikat Dian. Saya memohon tempoh satu keluaran sahaja  lagi kerana segala isinya telah saya siapkan dan menunggu dicetak sahaja. Turut terpalit dalam fitnah itu ialah sastrawan Norhisham Mustafa yang masih belum begitu lama bertugas bersama dengan saya di Mingguan Kota Bharu.

Maka berakhirlah Mingguan Kota di hujung senjata fitnah terhadap kami berdua. Keluaran terakhirnya yang ada dalam simpanan saya ialah bilangan serangkai 186-187 tanggal 14 Febuari 1970.

Saya masih terhimpit dengan keraguan adakah itu sebenarnya bilangan terakhir hayat Mingguan Kota Bharu? Kerana saya merasa saya ada membuat catatan pendek tentang bilangan terakhir mengenai penamatan penerbitan Mingguan Kota Bharu dan itulah bilangan terakhir menemui pembaca-pembacanya, dan ada sedikit tanda rahsia berupa bintang-bintang. Tapi Mingguan Kota Bharu yang ada dalam simpanan saya ini tidak ada perkara-perkara tersebut. Walau bagaimanapun saya berharap perkara ini dapat dipastikan nanti, Insya Allah.


Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
19 November 219
/22 Rabiulawal 1441







Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP