>> Friday, February 25, 2022
MALULAH
SIKIT???
Apakah yang dikatakan malu itu?
Ya apa dia malu tu?
Malu itu merasa enggan atau tidak bersedia berbuat atau
melakukan sesuatu kerana sebab-sebab tertentu.
Persoalannya segan atau malu itu kenapa atau kepada siapa
pula?
Pertanyaan ini amat penting dijawab
kerana ia menentukan nilai atau harga malu itu sendiri?
Ya, kenapa malu? Malu kepada siapa?
Biasanaya dalam urusan kehidupan seharirian i manusia merasa malu kepada seseorang kerana pangkat atau kedudukannya,
seperti usianya lebih tua atau kerana kedudukan atau pangkatnya lebih tinggi
atau kedudukannya lebih berpengaruh.
Kerana itu bila kesan atau
pengaruh itu sudah tidak ada lagi,
maka rasa malu itupun turut hilang atau tidak ada lagi, dan segala pantang
larangnya tidak diendahkan lagi.
Malunya pun turut menghilang tanpa
sebarang guna lagi, lebih-lebih lagi andaniya manusia itu tidak berada di
hadapan mata lagi.
Kerana itu malu yang sebenarnya itu
mestilah kepada sesuatu yang lebih unggul atau lebih mulia dari pangkat dan
darjat.
Perasaan malu seperti ini hanya
terbetik dalam hati nurani manusia ketika hendak melakukan sesuatu yang tidak
wajar atau bercanggah dengan kebenaran atau kemuliaan yang sebenarnya.
Umpamanya ketika tercetus atau
muncul keinginan untuk melakukan sesuatu yang tidak wajar akan segera tercetus
dalam hati nuraninya rasa malu untuk melakukannya, dan menyebabkannya tidak
meneruskan perbuatan yang dikutuk oleh hatinya sendiri itu.
Beliau merasa demikian kerana
merasa ada yang mengetahui perbuatan salahnya itu dan dia merasa malu untuk
melakukannya.
Siapakah yang dimalukannya itu?
Ia tidak lain daripada Allah SWT
yang Maha Besar yang mengetahui segala-galanya.
Beliau mrasa Allah SWT itu
sentiasa ada di mana-mana sahaja dia berada, di langit atau di bumi.
Beliau yakin Allah melihat apa sahaja
yang dibuatnya, apa sahaja yang dikatakannya, apa yang disembunyikanya dan apa
yang dizahirkannya.
Tidak ada rahsia bagi Allah.
Ia mengetahui segala-galanya.
Perasaan sentiasa adanya Allah
ini menyebabkan manusia ini tidak bersedia untuk berbuat sesuatu yang menyeleweng atau
bercanggah dengan kebenaran, baik dalam bentuk perbuatan, tutur kata malah
segala gerak gerinya.
Untuk merasa sentiasa keberadaan Allah ini amatlah penting kepada kita setiap Muslim, kerana rasa keberadan Allah inilah yang membuktikan kita seorang Muslim.
Sebenarya ada berbagai-bagai perkara yang menjadi hijab yang mendinding kita daripada melihat atau merasa Allah sentiasa berada bersama-sama kita sepanjang masa.
Antara faktor-faktor itu ialah
kuasa, kerana bila manusia merasa dirinya berkuasa istimewa dia tidak akan merasa
teragak-agak lagi untuk melakukan sesuatu yang dikehendakinya tanpa mengira
baik atau buruk.
Mempunyai kekuataan ekonomi juga
boleh menjadi hijab yang tebal antara seseorang
dengan Allah, boleh menghalangnya merasa
keberadaan Allah sepanjang masa bersama dengannya. Justeru itu dia merasa dia
boleh berbuat apa sahaja yang dia suka dengan harta benda, dengan wang ringgit
yang dimilikinya itu yang dapat diguna untuk membeli apa sahaja, termasuk
kehormatan dan nyawa manusia.
Dia tidak merasa memerlukan sesiapa lagi dengan
harta kekayaannya yang melimpah itu yang kepadanya diperolehinya kerana kepandaiannya dan usahaya yang gigih untuk
mencarinya. Justeru itu Allah pun tidak
dirasai keberadaannya bersama dengannya.
Justeru itu sesatlah manusia
seperti ini sepanjang hayatnya tanpa bertemu dengan Allah yang Maha Berkuasa
menentukan segala-galanya.
Dia tidak merasa malu kepada
Allah kerana dia tidak merasa keberadaan Allah bersama dengannya
sepanjang hayatnya.
Kerana itu mempunyai rasa malu
terhadap Allah itu amatah penting untuk menjaga keperibadian kita sebagai seorang
Muslim supaya sentiasa berada di atas
jalan kebenaran dan kewajaran. Tegasnya menjadi Muslim yang unggul.
Rasulullah SAW pun pernah
menegaskan kepentingan malu kepada Allah itu dalam Hadis yang bermaksud:
“Malu itu
sebahagian dari iman”.
Dan untuk mendapat rasa malu itu
mestilah ada perasaan keberadaan Allah. Tanpanya rasa malu terhadap Allah tidak
akan ada.
Semoga Allah sentiasa bersama kita. Dan kita kekal sebagai seorang Muslim
yang beriman.
Sekian.
Pondok Rahmat
Kota Bharu Kelantan
Darulnaim,
Jumaat:25
Febuari 2022/
23 Rejab 1443.
0 comments:
Post a Comment