>> Tuesday, February 15, 2022

 

 

 

BILA



BERCAKAP 



JAGA 



MULUT 

 


 




Setiap orang dikurniakan Allah mulut. Kerana itu setiap orang boleh berkata-kata atau bercakap.



Guna mulut selain dari untuk makan dan minum dan sebagainya peranan utama mulut ialah untuk berkata-kata atau bercakap.



Tujuan berkata-kata ataupun bercakap itu ialah untuk berhubung dengan orang lain yang mempunyai aneka tujuan pula.



Oleh itu bila dikatakan bercakap, ia bukan lagi seorang diri, tapi pasti ada lawanya untuk bercakap, seorang atau lebih. Hanya orang tak waras sahaja bercakap-cakap seorang diri tanpa lawan, sekurang-kurangnya untuk mendengar apa yang dicakapkannya itu.



Ada sesetengah orang sangat suka bercakap, mulutnya sentiasa terbuka untuk meluahkan apa sahaja kata-kata, dan sebaliknya ada pula orang yang tidak suka bercakap, sentiasa dia membatu walaupun di saat-saat dia perlu membuka mulut untuk berbicara.



Kebanyakan orang suka bercakap, sedikit atau banyak, kerana itulah kita sering lihat orang berkumpul di simpang-simpang jalan, di kedai-kedai kopi, di cafe dan sebagainya untuk bercakap-cakap ramai-ramai sambil bergelak ketawa.



Bercakap tanpa tajuk, tanpa jodol, tanpa maksud yang jelas dikatakan berbual-bual kosong. Sebenarnya ada berbagai-bagai panggilan lagi yang maksudnya berbual, seperti kata-kata  berborak, bersembang, atau mengobrol kata Orang Seberang.



Orang Kelantan kata [du]dok bual, atau kecek [bercakap] saja-saja.



Walau bagaimanapun orang yang suka bercakap banyak itu jauh lebih buruk atau bahaya daripada orang yang suka diam, menutup mulut ataupun  tidak suka bercakap banyak.



Sesungguhnya banyak berbicara itu banyak pula salahnya. Itu memang logik. Sedangkan salah orang yang tidak bercakap kalau boleh dikira  salah ialah kerana dia tidak bercakap atau diamnya tanpa berkata.



Kesan



Setiap kata-kata yang diucapkan itu memberi kesan kepada pendengarnya, baik atau buruk tergantung kepada apa yang diucapkanya. Kesan kata-kata itu amatlah kuat, sehingga diibaratkan  kata-kata itu lebih tajam dari pedang atau senjata.



Sebuah ungkapan, atau sebuah kata yang tidak wajar dituturkan mungkin mencetuskan persengkatan antara seorang dengan seorang, antara satu kaum dengan satu, dan antara satu bangsa dengan satu bangsa.



Sebuah kata-kata yang tidak wajar mungkin menjadi punca beradu mulut atau perang mulut antara seorang dengan seorang yang akhirnya jika tidak dihentikan akan menjadi perang tangan dan kaki antara kedua pihak.



Demikian juga antara satu bangsa dengan satu bangsa, antara    sebuah negara dengan sebuah negara



Boleh berlaku sengketa kerana kata-kata para pemimpin mereka yang bertelagah kata pada mulanya   mungkin mencetuskan perang dingin antara kedua negara.



Demikianlah kesan kata-kata tidak wajar itu  boleh melukakan perasaan, hati dan jiwa orang atau orang-orang yang dijadikan mangsa kata-kata tersebut.



Luka di tangan nampak berdarah, tapi luka di hati hanya sendiri yang tahu. Luka di hati ini mungkin tidak akan hilang-hilang  hingga ia menjadi dendam kesumat yang menunggu masa untuk meledak.



Kerana itu orang Islam Muslim, lelaki atau perempuan yang mulia tidak akan bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berguna ataupun memberi faedah sedikitpun. Di samping itu dia juga akan menjauhkan dirinya daripada berbuat sesuatu yang tidak memberi faedah.



Apa lagi andainya perkataan-perkataan itu dilarang oleh agama. Walaupun kita mempunyai kebebasan untuk berbicara, tapi ada perkara-perkara yang dilarang oleh agama kita bercakap tentangnya, baik menerusi perbualan atau perbincangan mengenainya.



Antaranya kita dilarang untuk membuat fitnah, berkata kata-kata dusta, menipu, memburuk-burukkan orang lain, mencaci, menghina, mencela dan mengumpat dan lain-lain kata yang bertujuan tidak baik.



Kerana itu apa yang keluar dari mulut seorang Muslim yang baik ialah perkara yang memberi faedah kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.



Kerana itu sebagai seorang Muslim yang baik, dia lebih memilih untuk menutup mulutnya daripada berbicara perkara-perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat atau berbicara tentang perkara-perkara yang boleh mencetuskan keburukan atau kebinasan kepada seseorang ataupun masyarakat umum.



Tentang hal ini Yang Mulia, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, dan jika tidak boleh hendaklah dia diam”.



Kerana itu berhati-hatilah ketika melepaskan kata, dan menjauhkan keta-kata yang boleh menjadi racun dan fitnah yang merugikan.



Dalam keadaan tertentu pilihlah slogan “Diam itu emas”.



Ingatlah firman Allah yang bermaksud:



“ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) .“ Qaf  (50) :18



Semoga kita semua diberkati Allah SWT. dan dlimpahi rahmat Nya.



Sekian.

 



Pondok Rahmat



Pasir Tumboh,



Kota Bharu Kelantan Darulnaim.



15 Januari 2022/



13 Rejab 1443.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP