>> Saturday, April 24, 2021

 

 

SALOR

 



PERWATAKAN




TOK BOMOH




POK CHU LEH


Bahagian [1]


https://pondokrahmat.blogspot.com/2021/04/salor-tok-bomoh-pok-chu-leh-kampung.html


Bahagian 2








Che Leh perwatakannya berdada bidang, tingginya biasa dan kulitnya sawo matang, tidak gelap. Kepalanya sentiasa berambut pendek dan beruban Tidak berjanggut, tidak berjambang dan tidak berkumis.





Beliau tidak banyak bercakap, nampak pendiam, tapi mudah disapa, ramah dan mudah tersenyum.




Beliau sentiasa berkain pelekat yang dikilas, berbaju biasa berlengan panjang, berselipar [akhirnya selipar Jepun].




Beliau seorang yang tenang, tidak mudah naik berang, tapi kalau ada orang melakukan  sesuatu yang tidak wajar, kemarahannya akan membara tapi tidak pernah mencedera atau berkelahi dengan orang, atau menampar atau memukul orang.




Namun begitu beliau seorang pemaaf. Pernah pada suatu masa salah seorang daripada keluarganya mengupah seorang tok bomoh  di kampung sebelah supaya membuatnya jatuh sakit berat. Tok bomoh tersebut, sebagai sahabat memberitahu tentang rancangan tersebut sambil menyatakan dia tidak bersedia melakukannya, malah menawar balik kihdmatnya jika Che Leh ingin  membalasnya. Tapi beliau menolaknya dan mengatakan tidak perlu dan serah  sahaja kepada Allah membalasnya. Lagipun tok bomoh tersebut masih belum berbuat apa-apa terhadap beliau dan keluarga beliau pada waktu itu.





Kerja utama beliau ialah tukang gunting rambut, bertempat di Kedai Salor, tapi beliau lebih dikenali dengan kerja sampingannya memberi khidamat perbomohan  kepada masyarakat, kerana itu beliau dikenali dengan panggilan Pok Chu Leh Tok Bomoh.

 



RAHSIA MAKAN POK CHU LEH




Walaupun manusia hidup bukan untuk makan, tapi manusia perlu  makan  untuk hidup.




Allah telah menyediakan begitu banyak bahan-bahan alami yang boleh dimakan. Tergantunglah kepada manusia sendiri untuk menentu dan memilih mana-mana makanan yang sesuai dan serasi dengan mereka untuk memperolehi kekuataan ruhani dan jasmani bagi menjalani kehidupan ini.




Demiankah untuk meneruskan kehidupan ini Che Leh mempunyai banyak pilihan makanan untuk dijadikan bahan makanan harian beliau.




Untuk makan nasi biasanya mesti ada lauk-pauk, yang terdiri dari ikan, daging dan ayam dan sebagainya.




Che Leh seperti manusia lain juga mempunyai pilihan lauk-pauk tersendiri yang sesuai dengan selera beliau. Antara masakan yang disukainya ialah masakan tradisional Kelantan, iaitu masakan singgan, baik singgan daging atau singgan ikan.





Kalau perut lembu pula, ialah perut muda yang direbus dan dicicah dengan penyicah yang pedas, yang mengandungi cuka dan lada, dimasak atau tidak dimasak.




Daging selain disinggan, beliau juga suka makan daging yang dibakar panggang tawar dan dicicah dengan budu pedas atau dibuat penyicah yang khas, dan beliau juga suka makan daging percik.




Selain itu beliau suka juga makan perkakas dalam seperti limpa dan hati yang juga dimasak singgan atau dimasak percik atau dibakar garam kunyit.




Kalau ikan beliau suka makan ikan bakar garam kunyit atau ikan tawar dicicah budu atau sambal lada.




Che Leh juga suka makan nasi kerabu bertumis yang dimasak oleh Mok.




Beliau suka makan nasi dengan ulam, seperti buah jering, kerdas dan petai, terutama yang mentah atau tidak dimasak. Beliau juga suka makan sayur yang dijadikan ulam, seperti mentimun dan terung mentah, termasuk terung manggur.




Petai rebus atau petai jeruk juga menjadi ulam kesukaannya. Kalau petai mentah beliau suka makan bersama dengan kulitnya.




Kalau beliau makan ulam jering ada caranya yang tersendiri. Jering yang dihidangkan itu tidak perlu dibuang kulitnya, kerana kulit jering itu akan dipecah dengan tapak kakinya, dengan jalan memijak buah jering itu hingga terbelah dua dan keluar isi dan selaputnya. Isi jering muda itu disuap sebutir semulut dan dikunyah sebelum ditelan.




Sebab itu jika jering itu dipetik dari tanaman sendiri biasanya dihidangkan dengan tangkai-tangkainya sekali. 




Walaupun giginya sudah tidak penuh tapi masih utuh untuk memamah makann-makanan yang keras seperti jering itu.




Selain dari jering mentah beliau juga memakan jering rebus. Jering rebus itu adalah jering yang telah tua di pokok dan direbus hingga empuk, kemudian dimakan dengan kelapa parut atau kukur setelah digaul sedikit garam dan gula ikut suka.




Bagi orang yang tidak bergigi jering rebus itu akan ditumbuk terlebih dulu dengan lesng batu hingga pecah-pecah atau menjadi lembut sebelum dimakan.

 



CARA MAKAN




Biasanya orang makan di atas lantai, dia duduk bersela menghadapi hidangan makanan. Tapi Che Leh duduknya berlainan, beliau jatuhkan sebelah kaki kirinya di atas lantai dan sebelah kaki kanan ditegak lurus sampai ke lututnya.




Sebelum itu kektika makan beliau duduk mencangkung seperti orang-orang abdi duduk. Kemudian kedudukan seperti itu ditegur oleh isteri dan anak-anaknya  kerana nampak tidak sopan.




Setiap kali ketika makan bersama, emak akan menegur Che Leh, antara lain katanya,”Tak tahu malu sungguh Che mu ni [ayahmu] tak tahu malu kepada budak-budak [anak-anak] ni”.




Akhirnya Che Leh  mengalah  dan mengubah kedudukan makannya seperti dikatakan di atas tadi.




Perubahan itu nampaknya dapat diterima oleh kami semua tanpa sebarang bantahan, malah merasa amat gembira dengan perubahan itu.

 



ROTI BAKAR




Beliau suka makan roti bakar, sekeping atau dua keping, dan roti itu disapu dengan mentega, serta ditabur dengan gula atau disapu dengan kaya, jadi roti kahwin.




Roti ini mestilah dibeli dari kedai kopi yang menjadi kesukaannya. Beliau tidak makan roti bakar di rumah. Biasanya beliau makan roti bakar di waktu pagi sebagai sarapan.




Minumannya ialah kopi susu. Kopi susu ini juga mesti dibeli dari kedai kopi, beliau tidak minum kopi yang dibuat di rumah. Di rumah beliau hanya minum air kosong selepas makan nasi.




Kalau beliau uzur tidak mampu keluar rumah, kopi susu dan roti bakar itu akan dibeli di kedai kopi.




Dulunya kedai yang menjadi kesukaan beliau dan kuncu-kucunya ialah sebuah kedai kopi orang Tionghoa yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk untuk berkumpul.




Kopi susu itu dimasukkan ke dalam tin susu kosong dan dibawa balik ke rumah. Kalau tidak emak,  Jin [Zain]lah yang biasa pergi membeli kopi susu itu untuk Che Leh  yang uzur itu.




Kemudian bila kedai kopi Tionghoa itu ditutup kerana keluarganya memeluk agama Islam beliau beralih ke sebuah kedai kopi Melayu yang baru dibuka, kepunyaan suami isteri yang kami panggil Mok Cik Wok dan suaminya kami panggil Abah, kerana keturunan Sayid.




Che Leh bukan tidak suka minum air kosong, beliau minum, tapi seperti dikatakan tadi beliau minum di kedai kopi, tidak di rumah. Di rumah ada sebuah gelas kaca besar untuk air minumannya yang digunakannya setiap kali lepas makan. Selagi beliau ada tidak siapapun menggunakan gelas itu, dan Mok akan mengisinya dengan air kosong bila Che Leh lepas makan.




Malah beliau tidak minum air di rumah sesiapapun kalau beliau menunai jemputan, dan beliau tahan dahaganya.




Siapakah agaknya yang simpan gelas beliau itu sampai sekarang?




Walau bagaimanapun saya tidak pernah mendengar sepatah beliau bersungut dengan masakan Mok, walaupun beliau suka memakannya ataupun tidak menyukainya.




Bahagian [3]


https://pondokrahmat.blogspot.com/2021/04/salor-pok-chu-leh-merawat-orang-sakit.html


Pondok Rahmat




Pasir Tumboh, KB.




24 April 2021/




12 Ramadhan 1442





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP