>> Friday, April 30, 2021

 

SALOR

 



TOK BIDAN




POK CHU LEH

 



[Bahagian 6]

 



Menjadi bidan menguruskan kelahiran anak tradisinya kerja wanita. Tidak ada lelaki jadi bidan, kecuali di hospital dalam masa kebalakangan  ini.




Tapi Che Leh sebagai seorang bomoh mempunyai keistimewan dalam ilmu perbomohan, kerana walaupun sebagai seorang lelaki tapi beliau mempunyai kebolehan untuk menjadi mak bidan, mengurus kelahiran bayi.




Biasanya tugas perbidanan beliau akan dipohon, terutama dari kalangan keluarga terdekat bila ibu yang hendak bersalin itu mengalami masalah berhubungan dengan pengelahiran anak, seperti bayi amat sukar untuk keluar, uri atau tembuni lekat, tidak keluar dan lain-lain lagi.




Biasa seorang ibu yang lekat uri selama dua tiga hari akan mengundang beliau untuk merawat dan selalunya Alhamdulillah beliau berjaya menyelesaikannya.




Justeru jika anak-anak menantu perempuan yang hendak bersalin biasanya beliau akan diundang bersama dengan mak bidan untuk menyambut kelahiran  bayi. Pada masa dulu para ibu boleh melahirkan bayi di rumah sendiri dengan menjemput mak bidan ke rumah, tidak seperti mutakhir ini  melahirkan bayi memerlukan bidan yang khusus untuk menjamin keselamatan ibu dan anak.




Anak Che Leh Zubaidah [ Che Doh/ Kak Doh] melahirkan kedua-dua anaknya, lelaki dan perempuan, Azlan bin Abdul Rahman dan Armawati binti Abdul Rahman  di hadapan Mok Bidan, Mok Su Hawa dan Che Leh di rumah kami di Kampong Salor.




Isteri saya Asiah Yaacob, [Che Yah/ Kak Yah] ketika melahirkan anak pertama  kami, Arham Zaini adalah  di hadapan Che Leh bersama mak bidan Mok Jah di rumah kediaman kami di Kg. Paya Purnama. Anak kedua    tidak sempat menjemput beliau kerana Che Leh berada di Tanah Suci Mekah.

 



PENGALAMAN MEK [MOK LONG]




Tulisan ini diubahsuai daripada cerita yang pernah tersiar dalam Blog Pondok Rahmat.




Mek  [Mok Long] terbaring dalam bilik tidur. Sudah beberapa hari beliau begitu.




Mek sakit perut hendak bersalin. Bulannya sudah sampai, menunggu saat kelahiran bayi sahaja lagi.




Mok Bidan, Tok Yam dari Dusun Muda pagi-pagi lagi sudah sampai untuk menyambut kelahiran bayinya itu.




Pada masa yang lalu, Mek bersalin dengan mudah, tidak ada apa-apa masalah atau komplikasi.




Tapi kali ini lain sedikit, kerana menurut Tok Yam anak yang dikandunginya itu berada dalam keadaan songsang. Merbaya melahirkan anak songsang.




Mek merasa gerun untuk melahirkan anaknya yang songsang itu. Takut bayi tersangkut, tidak keluar. Dan kalau keluarpun tentu dalam keadaan sukar. Gerun.




Walau bagaimanapun Mek bertaukal, berserah diri kepada Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.




Tok Yam sedang menggosok-gosok perut Mek dengan minyak, sambil meminta Mek bersabar dan sentiasa ingat  kepada Allah.




Walau bagaimanapun Mek merasa kurang selesa kerana seseorang yang ditunggunya masih belum tiba. Ayahnya Che Leh yang tinggal di Kg. Salor, sedangkan beliau di rumahnya di Kampong Bawah Kg. Sireh, Kota Bharu.




Che Leh walaupun bukan Mok Bidan, tapi mempunyai ilmu perbidanan yang diwarisinya secara turun temurun. Beliau  mengetahui tata cara orang bersalin.




Pada masa-masa yang lalu setiap kali melahirkan  anak, Che Leh ada bersama dengan Mek. Begitulah sudah lapan orang anak Mek bersalin, dan yang ini kali yang ke sembilan diharap Che Leh pun ada bersamanya.




Che Leh berjanji akan sampai pada pagi itu untuk menyambut kelahiran cucunya. Tapi beliau masih belum sampai lagi.




Mek berharap dan bedoa semoga Che Leh akan selamat sampai sebelum tiba waktu beliau melahirkan nanti.




Tiba-tiba Mek merasa sesuatu denyutan dalam perutnya dan menyebabkan anak dalam perutnya keluar. Beliau berjaya melahirkan anak yang sedang ditunggu-tunggunya itu.




Mek melahirkan anak di hadapan  Mak  Bidan Tok Yam dan ayahnya Che Leh yang menyambut kelahiran bay itu. Selamat dilahirkan.




Walau bagaimanapun Mek banyak menumpahkan darah hingga pada suatu ketika beliau tidak sedarkan diri.




Kemudian bila Mek membuka matanya, beliau ternampak ayahnya Che Leh tersembul di muka pintu yang terbuka sedikit itu.




Beliau lalu bertanya, “Che gi mana tadi?” kerana pada sangkanya selepas menyambut cucu Che Leh keluar sekejap dari bilik.




“Che tidak ke mana-mana. Che baru sampai ni”, ayahnya Che Leh menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Dia baru sampai.




“Bukankah Che ada bersama Tok Yam tadi?”, katanya lagi.




Tapi Che Leh tidak menjawab apa-apa, lalu masuk dan duduk di sebelahnya sambl mengambil bayi itu.




Kalau begitu siapa tadi?




Anak yang dilahirkannya itu dinamakan Khairulzaman bin Ibrahim, dan panggilan timangannya Pok Su semperna dengan beliau anak bongsu.   Mek meninggal pada tahun 2017.




Kisah ini diperoehi dari anak Mek, Zawiyah Ibrahim.




Ilmu perbidanan ini selain diperolehi secara berguru oleh Che Leh, ia juga merupakan warisan daripada neneknya seorang bidan yang terkenal di Kampung Salor. Dalam waktu usia rentanya, dan tidak mampu berjalan orang-orang kampung masih berkehendakkan khidmat perbidanan neneknya itu, kerana itu beliau akan diletak dalam kandaran dan diusung ke rumah ibu yang hendak bersalin itu.




Saya terlupa nama nenek itu, dan catatan saya mengenainya masih belum ditemui.

 



Sukar Bersalin




Pada suatu masa, seorang keluarga menghadapi masalah kerana isterinya sukar untuk bersalin, Sudah beberapa hari isterinya terbaring di pembaringan, menunggu anak lahir, tapi pernah keluar-keluar. Mok bidanpun dah resah menunggu.




Kemudian lelaki itu mengundang Che Leh supaya membantu kelahiran anaknya itu. Pada masa itu kedudukan rumah mereka terpakasa pergi dengan keretapi, kerana belum ada jalan raya yang sampai ke sana seperti hari ini.




Kata Che Leh waktu beliau sampai itu wanita itu berada dalam kelam kabut, beberapa bahagian daripada badannya telah diikat oleh mok bidan dengan kain batik lepas untuk memudahkan pengelahiran, seperti dipinggang. Ini kata Che Leh bertambah merimahkan bakal ibu itu.




Beliau meminta semua ikatan itu dibuka untuk memberi keselesaan kepada sang ibu yang sedang mengalami kepayahan itu.




Kemudian Che Leh meminta  segelas air bergas, rasanya air oren dan sebiji telur ayam kampung mentah. Setelah memperolehi keduanya beliau  mencampur dan menggaduknya supaya menjadi sepadu. Selepas itu ibu itu diminta meminum air oren itu sampai habis.




Alhamdulillah tidak lama kemudian bayi dalam kandungan ibu itupun  keluar menjenguk dunia. Alangkah gembiranya mereka tidak terkata.




Ketika ditanya Che Leh kenapa perkara itu berlaku, katanya ibu itu sudah letih dan kehabisan tenaga, lalu Che Leh beri dia minum air oren supaya kuat kembali dan boleh meneran bayi seperti biasa.




Itu sahaja katanya. Betulkah begitu?




Kemudian selepas melahir seorang anak lagi setahun dua kemudian suami wanita itu meninggal dunia pergi  meninggalkan anak yang masih kecil. Akibatnya beliau kehilangan sumber pendapatan.




Pada suatu hari wanita itu datang menemui Che Leh supaya membantunya untuk mendapat  suami baru untuk membolehkan beliau hidup dengan lebih baik jika ada suami yang dapat membantu keluarga.




Che Leh tidak keberatan, lalu membantu wanita itu dengan memberi sejenis celak kening yang perlu dipakai sebagai pelaris. InsyaAllah dia akan mendapat suami.




Alhamdulillah, tidak beberapa lama kemudian wanita itu telah mendapat suami baru, dan hidup berbahagia sampai ke hari ini.




Dan anak yang dilahirkan dulu dengan kepayahan itupun masih ada dan sudah berumahtangga dan mendapat anak-pinak. Tidaklah dapat dipastikan apakah dia diberitahu tentang masalah yang pernah dihadapi oleh ibu dulunya itu.




Pondok Rahmat




Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.




Jumaat:




30 April 2021/




18 Ramadhan 1442

 





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP