>> Sunday, April 25, 2021

 

SALOR

 



POK CHU LEH 




MERAWAT




ORANG SAKIT

 



[Bahagian 3]

 







  •                Cucu Azlan & Ayah Alang



Menjadi bomoh tidaklah mudah seperti yang disangkakan oleh sesetengah orang. Jawatan ini dilantik oleh orang ramai yang mengktiraf jawatan itu, iaitu dengan cara mereka menjemputnya untuk merawat orang sakit. Bila sudah ramai dijemput orang ramai untuk merawat orang sakit maka itulah tandanya orang itu telah diiktiraf sebagai bomoh.




Di sesetengah tempat dipanggil tok bomoh, di sesetengah tempat dipanggil tok pawang, dan di sesetengah tempat pula dipanggil tok dukun dan lain-lain panggilan lagi. Dan dalam masa mutakhir ini pula ia dipanggil “perawat tradisional”. Walau apapun panggilannya tugasnya merawat orang sakit mengikut kaedah ilmu masing-masing.




Dalam perawataan biasa tok bomoh menggunakan doa yang berbentuk jampi mentera untuk merawat orang sakit, di samping itu mereka biasa juga menggunakan bahan-bahan tradisioanl, seperti daun-daun, kulit-kulit, bunga-bunga dan akar-akar kayu diberikan kepada pesakit sebagai ubat yang difikir sesuai dengan penyakit-penyakit mereka masing-masing.




Walau bagaimanapun Pok Chu Leh tidak pernah meninggikan suarunya ketika berdoa atau membaca jampi, tapi ia sekadar suaranya didengar oleh pesakit dan orang-orang berhampirannya sahaja.

 



SAKIT BIASA




Pada masa dahulu semua jenis penyakit akan dirawat oleh tok bomoh, baik penyakit yang nampak dilihat atau yang tidak nampak dipandang. Demikianlah Che Leh merawat berbagai-bagai jenis penyakit sepanjang hayatnya.




Antara penyakit-penyakit yang sering dirawat oleh beliau ialah demam, batuk, campak, sakit gigi, sakit  gusi, sakit perut, sakit mata, kanak-kanak cacing, penyakit gatal, penyakit seduan atau resdung dan lain-lain penyakit lagi.




Penyakit demam ada beberapa jenis pula, dan untuk demam biasa, Che Leh menggunakan daun-daun dan akar kayu yang sesuai dengannya. Ada akar dan dayun kayu itu direbus untuk diminum airnya, ada yang dibuat air mandian, dan ada juga hanya digunakan untuk jaran kepala atau untuk basuh kepala semata.




Pada masa dahulu ramai bayi atau kanak-kanak yang terkena penyakit cacing, menyebabkan perutnya buncit, terik dan berkilat, dan mukanya cengkung.




Che Leh biasanya mengubat kanak-kanak itu dengan “memangkah”, iaitu perut kanak-kanak  itu akan dipangkah atau dirajah dengan kapur barus dengan bacaan dan cara-cara tertentu. Insya Allah sembuh.




Dalam hal ini ada sebuah kisah di mana seorang kanak-kanak menghidap penyakit cacing, telah puas berubat dengan beberapa orang bomoh tapi tidak juga baik-baik. Pada suatu hari orang tua kanak-kanak itu membawanya berjumpa Tok Bomoh Pok Chu Leh untuk mendapat rawatan.




Sebelum dirawat, orang tua kanak-kanak berjanji jika anaknya itu sembuh dia rela menjadikan anaknya itu sebagai anak angkat Pok Chu Leh, iaitu anak angkat pada namanya sahaja.




Alhamdulillah setelah dirawat oleh Che Leh kanak-kanak itu sembuh, dan sejak itulah anak itu menganggap kami adalah keluarga angkat mereka, sebagai ayah angkat, ibu angkat, abang angkat dan adik angkat sampai ke hari ini.




UNDANG TOK BOMOH




Bila ada orang sakit Che Leh tok bomoh akan ditemui dengan dua cara, pertama kalau penyakit itu ringan pesakit akan datang menemuinya di rumah tapi kalau berat kurang mampu  untuk berjalan, keluarga pesakit akan mengundang Che Leh pergi ke rumah mereka untuk merawat pesakit itu.




Tidak ada had waktu tertentu Cik Leh boleh dipanggil, baik siang atau malam. Biasa jua beliau dipanggil oleh keluarga pesakit pada waktu larut malam, atau waktu kami sedang lena tidur, kerana mereka mendapat serangan sakit mengejut atau pesakit tidak mampu menunggu hari esok kerana kesakitan.




Berapa bayarannya? Beliau tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran walaupun terpaksa bertugas di malam-malam hari dengan percuma. Ia tergantung atas budi bicara tuan rumah untuk memberi apa-apa upah kepada Tok Bomoh.




Che Leh tidak pernah menyungut atau menggomel walaupun beliau balik dengan tangan kosong selepas merawat pesakit di tengah-tengah malam. Tidak ada masalah baginya. Beliau biasa pulang tanpa apa-apa.




PROBLEM SUAMI ISTERI




Seperti biasa problem suami isteri merupakan  satu perkara yang penting, yang mencangkup bidang kehidupan yang luas sekali. Berbagai-bagai problem mungkin muncul dari kehidupan berkeluarga ini. Dan di antara problem-problem itu memerlukan nasihat dan panduan daripada orang-orang yang dianggap lebih berwibawa. Di antara mereka ialah tok-tok bomoh tempat meminta nasihat dan bantuan.




Pada masa dahulu  persoalan  mencari jodoh ini tok bomoh selalu mendapat rujukan daripada orang ramai. Demikianlah dengan Tok Bomoh Pok Chu Leh.




Biasanya orang lelaki datang meminta tolong tok bomoh membantunya untuk mendapatkan seseorang gadis atau wanita yang enggan atau keberatan untuk menerimanya sebagai teman hidup.




Kalau tujuannya baik dan wajar Che Leh bersedia menolongnya, tapi jika ada keraguan dan ada unsur penganiaya beliau tidak ragu-ragu lagi menolaknya. Biasanya tergantung kepada firasat beliau.




Teganya beliau tidak menghulurkan pertolongan kepada semua mereka yang datang meminta bantuan, kalau perlu ditolak, maka ditolaknya secara baik.




Di samping itu ada pula suami atau isteri yang datang meminta tolong membaiki rumahtangga mereka yang hendak roboh, kerana salah seorang daripadanya ingin berpisah tapi yang seorang lagi enggan.




Ada pula isteri yang datang meminta tolong supaya suaminya yang berperangai kasar atau kedekut, datang minta tolong supaya suaminya itu  berubah menjadi suami yang baik dan bertimbang rasa.




Ada pula suami isteri yang datang meminta tolong kerana isterinya terlalu kerap beranak, tegasnya meminta dijarak atau dijarangkan waktu beranak itu untuk memberi kerihatan kepada isterinya.




Sebaliknya ada pula suami isteri yang datang meminta tolong kerana mereka tidak mendapat anak sudah bertahun-tahun kahwin, tegasnya meminta supaya segera mendapat anak.




Demikiankan berbagai-bagai problem mengenai perkahwinan yang terpaksa dihadapi oleh tok bomoh untuk membantu masyarakat.




UBAT-UBATAN




Che Leh bukan sahaja merawat menggunakan jampi-jampi atau doa-doa yang dibacanya kepada pesakit, tapi beliau juga memberikan ubat-ubat yang diambil daripada berbabagi-bagai jenis pokok. Pokok-pokok itu, seperti dau-daun dan akarnya ada yang baru dipetik ketika hendak digunakan tapi ada juga yang telah dikeringkan.




Ketika beliau meninggal dunia dulu beliau banyak meninggalkan ubat-ubat yang terdiri daripada akar-akar dan kulit-kulit kayu yang telah dikeringkan. Setelah menyimpan begitu lama selepas kematiannya, sebahagian besar daripada akar-akar kayu itu terpaksa dibuang juga kerana rosak dimakan masa. Namun begitu sebahagian kecil darinya masih disimpan sebagai tanda mata.




Selain itu ada secebis kawasan di hadapan rumah kami yang berpagar mudah yang beliau tanam dengan beberapa jenis pokok ubat, antaranya pokok kancing baju dan misai kucing. Bila beliau meninggal kawasan sejemput kera itu telah dirosakkan.




Beliau sebenarnya lebih suka mengambil sendiri bahan-bahan yang diperlukan pesakitnya untuk pengobatan, tanpa meminta pihak pesakit mencarinya, kerana untuk mengelak daripada pihak pesakit merasa kurang yakin terhadap kekesanan ubat bila megetahui ubat-ubat yang diguna itu berupa bahan-bahan yang terlalu mudah didapati malah tidak jarang pula terdapat di tempat  mereka lalul-alang. Kerana itu identiti ubat itu senghaja tidak didedahkan kepada pihak pesakit.

 



Pondok Rahmat




25 April 2021/




13 Ramadhan 1442






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP