>> Thursday, April 29, 2021

 

SALOR

 



POK CHU LEH TK BOMOH PATAH

 



[Bahagian 5]




Pok Chu Leh sebagai tok bomoh biasa, juga terkenal sebagai Tok Bomoh Patah, iaitu merawat orang yang sakit urat dan patah tulang. 




Pesakit-pesakit yang boleh berjalan kerana tidak melibat anggota-anggota utama untuk berjalan akan datang ke rumah, tapi jika patah itu melibatkan anggota yang penting untuk berjalan, seperti peha Che Leh akan dijemput ke rumah mereka oleh pesakit.




Anggota-anggota yang sering dirawat ialah patah tulang lengan, dan patah tulang kaki. Di samping  patah tulang  ada pula mereka yang tercabut sendi untuk dimasukkan semula. Sendi-sendi yang biasa tercabut itu ialah sendi lengan, sendi siku dan sendi bahu.




Jika tulang yang patah, Che Leh akan  memasukkan dulu tulang yang patah ke tempat asalnya, demikian juga jika sendi yang tercabut, tulang sendi itu akan dimasukkan semula ke tempatnya  yang asal yang telah tercabut itu.




Kemudian sendi yang tercabut atau tulang yang patah itu dibalut khusus yang dipanggil belat, iaitu menggunakan buloh-buloh yang diraut berkeping-keping sebesar jari kemudian disambung dengan tali menjadi seperti belat ikan untuk diikatkan pada tulang yang patah itu. Tapi kalau sendi dibalut kemas-kemas.




Dalam masa yang tertentu pesakit diminta datang semula untuk pemeriksaan adakah sudah baik atau tidak, kalau sudah baik tidak perlu dibalut atau dibelat lagi, dan dibiarkan bebas seperti biasa.




Biasanya sekali rawatan sudahpun pulih. Lama masa yang diambil tergantung kepada masalah yang dihadapi.

 



TUKANG URUT




Seiring dengan tok bomoh patah Che Leh juga terkenal sebagai seorang tukang urut kepada orang-orang yang hendak mengurut atau massage badan mereka untuk membetulkan urat-geramat.




Pesakit-pesakit biasa datang berurut di rumah kami, atau menjemput Che Leh   ke rumah mereka. Berurut ini biasanya pada waktu malam, selepas Isyak.




Beliau sering pergi keluar negeri Kelantan kerana menunai permintaan orang ramai untuk berurut. Beliau sering dijemput ke negeri Pahang, khususnya ke Mentakab, di mana permintaan berurut cukup menggalakkan. Kira-kira lebih dari seminggu baru beliau balik ke rumah. Beliau pergi dengan menaiki keretapi

 




Pondok Rahmat,




Pasir Tumboh, KB, Kelantan

 



29 April 2021/




17 Ramadhan 1442

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP