>> Wednesday, April 28, 2021


 

SALOR

 

TOK BOMOH

 

 

MEMBANTU KERJA RUMAHTANGGA

 



 [Bahagian 4]




Che  Leh adalah seorang suami yang suka membantu kerja-kerja urusan rumahtangga isterinya Mok Munah.




Kalau beliau tidak keluar bekerja dan berada di rumah beliau melakukankan berbagai-bagai aktiviti rumahtangga. Malah beliau menyediakan masa yang khusus untuk tujuan tersebut.




Sebagai seorang ayah, terutama ketika anak-anak baru dilahirkan atau masih kecil beliau bertanggungjawab mencuci kain lampin anak-anaknya yang  masih kecil itu. Beliau tidak segan-segan membawa kain-kain lampin itu ke sungai dan membasuhnya walaupun ramai orang mandi-manda dengannya, termasuk kaum wanita.




Beliau selalu membelah kayu api kerana kayu-kayu yang kami beli itu biasanya  berukuran besar-besar, setindak-tidaknya sebesar betis atau peha orang dewasa. Sebelum boleh digunakan untuk memasak, kayu-kayu api itu terpaksa dibelah empat keping atau lebih terlebih dahulu baru boleh digunakan untuk memasak.




Oleh sebab Mok Munah menjual pulut bakar, maka banyaklah kayu api yang terpaksa digunakan setiap minggu.




Jika ada batang-batang kayu yang tidak repuk untuk dibuat kayu api Che Leh  akan membelahnya terlebih dahulu dengan menggunakan kapak untuk digunakan oleh Mok memasak. Pada masa itu masih belum ada dapur gas, malah dapur minyak tanah pun masih belum banyak dipergnakan orang.




Kayu-kayu itu diperolehi dari pokok-pokok sekitar dalam kawasan rumah yang tumbang atau mati, dan kayu-kayu yang dipungut hanyut dari sungai waktu air naik atau air pasang.




Kayu-kayu yang dibelah itu akan diatur elok-elok di bawah rumah atau berhampiran rumah untuk mudah diangkut ke dapur.




Beliau suka membersih kawasan rumah dengan menyapu sampah-sampah yang biasa, seperti daun-daun yang kering yang gugur. Di sekeliing rumah kami terdapat banyak pokok, teutama pokok-pokok buah-buahan.




Biasanya sampah-sampah itu dikumpul dan dibakar. Di samping menghilangkan kekotoran ia juga boleh menghalaukan jamuk.




Biasanya di musim banyak nyamuk beliau akan memperasap rumah untuk menghalau nyamok dengan menggunakan karak atau jolok yang diperbuat dari daun kelapa kering. Daun kelapa itu akan diikat kemas-kemas pada pelepahnya kemudian dicucuh api, dan dibiarkan berasap kemudian karak itu dibawa ke seluruh bawah rumah untuk menghalau nyamuk.




Hati-hati kalau rumah buruk, kerana aktiviti ini boleh membuat rumah terbakar.




Beliau juga suka menolong memasak, terutama jika  Mok tidak ada di rumah, kerana pergi ke rumah anak yang beranak kecil. Beliau tinggal selama beberapa hari bersama mereka yang beranak kecil itu.




Sepanjang masa itu Che Leh tinggal bersama anak-anaknya, salah seorang daripadanya ialah anak perempuan bongsu, Siti Maryam namanya dan panggilan  timangannya Su kerana anak bongsu. Masa itu beliau masih lagi bersekolah.




Su inilah yang memasak untuk Che Leh sepanjang Mok tak ada di rumah, terutama untuk memasak  nasi tengah hari dan malam. Che Leh suka menolong Su memasak, seperti membakar ikan, daging atau menolong memasak nasi.




Demikianlah kehidupan kami hari demi hari dengan aman dan bahagia sehingga sampai  ke akhir hayat kedua-dua Che Leh dan Mok.

 

 




Pondok Rahmat




Pasir Tumboh, 




Kota Bharu, Kelantan.




28 April 2021/




16 Ramadhan 1442

 



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP