KHADIJAH ISTERI NABI SAW YANG JELITA DAN UNGGUL
>> Saturday, June 6, 2020
KHADIJAH ISTERI NABI SAW
YANG JELITA DAN UNGGUL
KHADIJAH isteri Nabi saw yang jelitawan dan unggul puteri
bangsawan Quraisy dilahirkan di sebuah rumah mewah pada tahun 52 Sebelum
Hijriah atau 15 tahun sebelum Tahun Gajah
[570 Masihi] dalam sebuah keluarga yang terhormat dan mulia di Mekah.
Beliau adalah puteri yang
disayangi oleh ayahanda dan bondanya. Ayahandanya Khuwalid bin Asad bin
‘Abdul ‘Uzz bin Qishai bin Kilab bin Muurah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin
Fihr, sementara bondanya Fatimah bte
Zaidah bin Al-Asham bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin Abdi bin Ma’ish bin Amir bin Luwdi bin Ghalib
bin Fihr.
Ketrunan keluarga beliau adalah dari kaum bangsawan
Quraisy dari Suku Asadiyah, iaitu salah satu suku yang dihormati pada zaman
tersebut. Beliau dibesar dan dididik dengan penuh kasih sayang oleh kedua orang
tuanya yang penyayang itu.
Pada zaman jahiliah lagi Khadijah sudah terkenal
sebagai seorang yang mulia akhlaknya,
dan tidak pernah membanggakan dirinya sebagai seorang bangsawanti yang
terhormat, serta beliau juga seorang yang amat berhati-hati dalam menjaga
kehormatan dan kesucian dirinya sebagai seorang wanita. Kerana itu beliau
mendapat nama julukan yang dihormati, iaitu “Ath-thahirah” yang bererti “wanita
yang suci”.
Di samping itu beliau juga digelar “Sayyidatu Quriasy”,
iaitu orang yang termulia dari kalangan semua kaum.
Pada zaman sebelum Islam atau zaman jahiliah, Khadijah
telah mendirikan perkahwinan dengan seorang lelaki bernama Abu Halah bin
Zararah Attamimi.
Khadijah dengan suaminya itu dikurniakan dengan dua orang
cahayamata, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Anak lelaki mereka diberi nama Halah Ibnu Abu Halah yang
kemudiannya memeluk agama Islam dan menjadi salah seorang sahabat yang berjuang
bersama Nabi saw, sementara anak perempuan beliau pula bernama Hindun, dan
kemudiannya Hindun juga memeluk agama Islam dan menjadi salah seorang sahabat
Nabi saw.
Setelah suaminya Abu Halah meninggal dunia, Khadijah
berkahwin pula dengan seorang lelaki bernama ‘Utaiq bin Amid dari keluarga Bani
Makhzum, dari kaum bangsawan Quraisy juga. Perkahwinan ini tidak berkekalan
lama, kerana keduanya berpisah.
Selepas perpisahan itu, Khadijah menjanda selama beberapa
tahun. Sepanjang masa itu walaupun ramai
para bangsawan dan pembesar Quraisy yang berminat untuk mengawininya tapi
beliau menolaknya dengan baik. Beliau menghabsikan masanya dengan mendidik
kedua-dua anaknya dengan penuh kasih sayang.
Namun begitu Khadijah bukanlah seorang yang sombong atau
suka membanggakan diri.
Pedagang Yang Jutawan
Sejak zaman jahilaih lagi, Khadijah adalah seorang
peniaga yang jutawan yang mempunyai kewangan yang mencukupi. Beliau bukan sahaja
berniaga di Mekah, tapi juga menghantar barang-barang dagangannya ke Yaman dan
Syam [Syria] dengan cara mengupah pedagang-pedagang lelaki memperniagakan
barang-barangnya itu di negeri-negeri tersebut.
Ini memang sejajar dengan sikap orang-orang Qurasy yang
memang terkenal sebagai peniaga.
Pada suatu hari Khadijah mendengar berita perbincangan
seorang pemuda yang mulia akhlaknya, iaitu Muhammad dengan bapak saudaranya Abu
Thalib mengenai beliau dan perniagaannya. Abu Thalib memberi saranan kepada ank saudaranya Muhammad supaya menawarkan dirinya untuk berniaga dengan Khadijah, bagi membantu problem ekonomi keluarga mereka yang merosot.
Seterusnya Khadijah telah mengundang Muhmmad yang jujur
itu dan menawarkan kepadanya untuk menguruskan perniagaannya ke Syam, serta
menawarkan upah yang lebih tinggi daripada yang pernah diberikan kepada orang-orang
lain. Beliau akan ditemani oleh seorang kepercayaannya bernama Maisarah dalam
perniagaan itu. Nuhammad menerima baik tawaran Khadijah tersebut.
Dalam urusan perniagaan itu Maisirah bukan sahaja menjadi
pembantu Muhammad, tapi juga memerhati segala usaha dan gerak geri Muhammad
dalam perjalanan ke Syam dan juga ketika berurusan dengan para pelanggan di
Syam.
Ketika pulang dari Syam ke Mekah pula Muhammad membeli
barang-barang untuk dijual kepada orang-orang Mekah.
Khadijah mendengar berbagai-bagai cerita yang menarik dan
menakjubkan mengenai Muhmmad dari Maisirah, baik dalam masa perjalanan dan juga
ketika di Syam bagaimana Muhammad melayan dengan baik pelanggan-pelanggannya di sana.
Ketika dalam perjalanan kata Maisirah Muhammad sentiasa
dipayungi oleh awan-awan di atas kepalanya menyebabkan beliau tidak pernah
ditimpa kepanasan cahaya matahari.
Khadijah merasa terpesona dengan cerita Maisirah itu, dan
akhirnya tercetus keinginan di hatinya untuk menjadi isteri Muhammad yang mulia
tinggkah laku dan bergelar Al-Amin itu.
Tapi bagaimana caranya? Khadijah di pehak perempuan
sedangkan perkahwinan biasanya diurus oleh pehak lelaki? Kemudian Khadijah menceritakan hasratnya itu
kepada seorang temannya bernama Nafisah Kemudian Khadijah menyatakan
persetujuannya bila Nafisah mencadangkan dia akan bertemu dengan Muhammad untuk
membincangkan perkara tersebut.
Setelah Nafisah bertemu dengan Muhammad dan berbincang
dengannya mengenai hasrat Khadijah itu, Muhammad tanpa ragu-ragu memberi pesertujuannya.
Mendengar berita itu Khadijah merasa amat gembira dan segera mengatur pertemuan antara pehak keluarganya dan pehak keluarga Muhammad, Pertemuan telah berlangung antara Khadijah Abu Thalib, Abbas dan Hamzah, dengan bapak saudara Amr bin Asad. Khadijah waktu itu berusia 40 tahun sementara Muhammad berusia 25 tahun. Pinangan telah diterima oleh pehak Khadijah.
Maskahwin atau maharnya ditetapkan sebanyak 25 ekor unta
betina yang masih muda.
Perkahwinan antara
kduanya berlangsung dengan meriah sekali. Seluruh penduduk kota Mekah
bergembira dengan perkahwinan dua sejoli itu, seorang bergelar Ath-tahirah [yang
suci] dan seorang bergelar Al-Amin [yang dipercayai].
Perkahwinan Yang Bahagia
Perkahwinan keduanya berlangsung dengan aman dan bahagia,
cinta mencintai antara satu sama lain.
Khadijah melahirkan enam orang cahayamata, dua putera dan
empat puteri, seperti berikut:
-Zainab bte Muhammad, anak sulung.
-Ruqayyah bte Muhammad
-Ummi Kalthum bte Muhammad,
-Fatimah bte Muhammad, bergelar al-Zahra’, yang bererti
kembang mekar mewangi
-Qassim bin Muhammad, bergelar Tayyib yang bererti anak
lelaki yang baik.
-Abdullah bin Muhammad, bergelar Tahir bererti suci.
Kedua-dua putera mereka itu meninggal sejak masih kecil
lagi. Tapi keempat-empat puterinya berusia panjang, hingga ke zaman Islam.
Wanita Utama
Khadijah sebagai jelitawan yang ulung memang wajar
disanjug dengan gelaran yang mulia Ash-Shiddiq, al-Kubra.
Beliau menaruh keyakinan dan kepercayaan yang penuh
terhadap ke Rasululan Nabi Muhmammad saw, dan segera mengakui kebenaran
wahyunya.
Justeru beliau bukan sahaja wanita pertama malah manusia
pertama yang beriman kepada Allah dan Muhammad saw. sebagai Nabi dan Rasul Nya.
Khadijah adalah wanita pertama menjadi isteri Rasulullah
saw. dan hidup bahagia sebagai suami isteri yang diberkati Allah.
Khadijah adalah seorang wanita agung dalam Islam, selepas
Asiah isteri Firaun yang mendidik Nabi Musa, dan Maryam puteri Imran yang
melahir dan membesarkan Nabi Isa as, dan yang ketiga ialah Khadijah yang
mendampingi Rasulullah saw. Ketiga-tiga wanita itu masing-masing telah memain
peranan yang besar kepada ketiga-tiga Nabi tersebut dalam menegak dan
memperjuangkan agama Allah.
Khadijah adalah seorang pembantu yang ulung kepada
Muhammad Rasulullah saw dalam usaha dan perjuangannya menegakkan agama Islam.
Sebelum menjadi Rasul, menjelang usia empat puluh tahun, Muhammad sering
meninggalkan rumah dan isterinya kerana berkahlwat di Gua Hira yang terletak di
atas Bukit Jabal An Nur dekat Mekah. Khadijah bukan sahaja menyetujinya, dan tidak
pernah bersungut atau melarang suaminya berbuat
demikian, malah menyokong dan memberi
kerjasama dengan membekalkan makanan kepada suaminya itu, malah kadang-kadang
mengikuti suaminya berkahlwat bersama-sama selama beberapa hari. Muhammad beribadat mengikut ajaran agama Nabi Allah Ibrahim.
Dalam berulang alik ke Gua Hira itu pada suatu hari
Khadijah melihat suaminya balik ke rumah dari berkahlwat dalam keadan yang luar biasa. Namun begitu beliau tidak
panik. Kejadian itu berlaku pada malam Isnin 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Hijiriyah, bersamaan dengan 6
Ogos 610 Masehi, suatu malam yang penuh berkah. Beliau melihat wajah suaminya
tegang dan sekujur tubuhnya menggelentar. Beliau meminta Khadiah menyelimutnya dengan berkata, “Selimutkan ku,
selimutkan ku”.
Setelah keadaannya kembali tenang Muhammad saw
menceritakan kepada Khadijah apa yang telah berlaku ke atasnya ketika
berkhawlat di Gua Hira’. Katanya pada masa itu Makaikat Jibril telah datang
menemuinya dan meminta beliau membaca. Katanya beliau memberitahu beliau tidak
pandai membaca. Setelah beberapa kali perkara itu berlaku Jibril lalu
memeluknya, kemudian mengajarnya membaca Surah Al-Alaq yang bermaksud:
“Bacalah dengan nama
Tuhan mu yang telah menjadikan. Ia menjadikan manusia dari segumpal darah.
Bacalah! Dan Tuhan mu amat pemurah yang telah mengajar manusia menulis dengan
pena. Tuhan yang mengajar manusia apa yang mereka tidak tahu”. Al-Alaq: 1-5.
Itulah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada
Nabi Muhammad saw.
Untuk mententeramkan kegusaran Rasulullah saw itu
Khadijah dengan tenang berkata, “Tidak demi Allah, Allah sama sekali tidak akan
menghinamu. Engkau menyambung tali kekeluargaan, membantu siapa sahaja,
menghulurkan tangan kepada orang yang tidak mampu, selalu bercakap benar,
memuliakan tamu dan memberikan bantuan pada masa-masa terjadi bencana".
Dalam riwayat
lain, Khadijah berkata kepada Rasulullah saw. “Bergembiralah dan
teguhkan hatimu. Demi Tuhan yang jiwa raga Khadijah di tangannya, aku
benar-benar mengharap bahawa engkau akan menjadi Nabi umat ini”.
Kemudian Khadijah membawa Muhammad saw menemui sepupunya, bernama Waraqah bin Naufal,
seorang tua yang buta matanya beragama Kristian yang memahami bahasa Ibrani.
Menjawab pertanyaan Waraqah, Rasulullah saw menceritakan
apa yang telah berlaku ke atasnya ketika di Gua Hira’. Setelah mendengar cerita
Rasulullah saw itu, Waraqah pun berkata, “Inilah wahyu yang telah diturunkan
oleh Allah kepada Nabi Musa”.
Khadijah adalah penghibur Nabi saw bila berada dalam
kesepian, beliau dengan rela menyerahkan harta bendanya bila Rasulullah saw
memerlukannya, beliau adalah penguat semangat Rasulullah saw bila Baginda
saw merasa kecewa dan putus esa, dan
memberi ketenangan kepadanya bila kehidupan di sekitarnya bergelodak dengan
berbagai-bagai problem.
Rasulullah sangat menyintai Khadijah. Cinta Baginda saw
terhadap Khadijah tidak pernah padam, malah terus menyala walaupun Khadijah
telah kembali ke pangkuan Ilahi. Rasulullah selalu terkenangkan Khadijah semasa
mereka hidup bersama sebagai suami isteri yang saling cinta mencintai. Baginda
saw juga sentiasa memuliakan teman-teman Khadijah sepeninggalannya.
Rasulullh saw tidak pernah berkahwin dalam masa hayat
Khadijah masih ada, dan Baginda saw hanya berkahwin selepas Khadijah wafat.
Satu Riwayat daripada isteri Rasulullah saw iaitu Aisyah
mengatakan, “Rasulullah saw menyembelih seekor kambing beliau selalu berkata, “Kirimkan kepada
teman-teman Khadijah”.
Kata Aisyah r.a lagi, “Pada suatu hari aku mempersoalkan
hal ini dengan beliau, maka beliau menjawab, “Aku mencintai mereka yang
dicintai Khadijah”.
Rasulullah saw sentiasa meyebut nama Khadijah setiap kali
Baginda hendak meninggalkan rumah.
Aisyah ra, isteri yang paling dicintai Baginda saw
selepas Khadijah merasa cemburu bila mendengar Rasulullah saw sentiasa
menyanjung Khadijah yang telah meninggal dunia itu.
Sesungguhnya cinta Baginda saw kepada Khadijah tidak
pernah padam walaunpun Khadijah telah meninggal dunia dan ini membangkitkan
rasa cemburu Aisyah kepada Khadijah.
Pada suatu peristewa,
Aisyah berkata “Pada suatu hari beliau menyebutnya lalu aku merasa
cemburu dan aku pun berkata. “Bukankah dia hanya seorang wanita tua, sedangkan Allah telah memberi ganti kepadamu
isteri yang lebih baik dari dia”.
Kata Aisyah lagi, mendengar kata-katanya seperti itu
Rasulullah sangat marah, tubuhnya mengiggil, menyebabkan Aisyah merasa
ketakutan. Kemudian Rasulullah bersabda, “ Demi Allah tidak. Allah tidak
menggantikan dengan isteri yang lebih baik daripadanya. Dia pertama beriman
kepadaku ketika orang mengingkarinya dan hampir semua tidak percaya kepadaku.
Dia mempercayaiku ketika manusia mendustakanku. Dia membantuku dengan hartanya
ketika orang lain mengharamkan milik mereka untukku, dan daripada dialah aku mendapat keturunan, tidak dari isteri
yang lain”.
Seterusnya kata Aisyah, “Lalu aku berkata dalam hatiku.
Sejak ini aku tidak akan menyebut nama Khadijah dengan sikap dan kata-kata yang
tidak baik”.
Khadijah sentiasa bersama Rasulullah saw. dalam senang
dan susah ketika berdakwah menyebarkan agama Islam.
Tegasnya beliau adalah seorang isteri yang sentiasa membela,
Rasulullah saw dalam penyebaran
dakwahnya, daripada ancaman dan kezaliman kaum kafir Quraisy. Malah beliau rela
berkorban harta bendanya dan apa sahajah demi kepentingan Rasulullah dalam
perjuangannya untuk menegak agama Islam itu.
Kerana jasanya yang begitu penting itu, Jibril telah
datang membawa salam daripada Allah untuk disampaikan kepada Khadijah.
Riwayat nenyebut bahawa Jibril datang kepada Rasulullah
saw lalu berkata, “Ya Rasulullah, sekejap lagi Khadijah datang membawa makanan
untukmu, sampaikan salam Allah kepadanya, dan ia juga dariku. Sampaikan
pula berita gembira kepadanya, bahawa
sebuah rumah tersedia untuknya di syurga yang dibina dari mutiara yang sentiasa
diliputi kedamaian, dan tiada kebencian
dan tiada permsuhan di dalamnya”.
Kewafatan Khadijah
Pada tahun ke 10 ke Rasuluan Nabi, iaitu 3 tahun sebelum
Hijrah, Khadijah yang besar jasanya itu jatuh sakit yang membawa kepada
kewafatannya dalam usia 65 tahun. Pada waktu itu Rasulullah saw. sedang giat
menyebarkan agama Islam.
Sebelum itu bapak saudaranya Abu Thalib, seorang penolong Rasulullah saw yang amat penting di samping
Khadijah telah pergi lebih dahulu ke
hadarat Ilahi.
Pemergian kedua makhluk ini menimpakan kesan yang
mendalam kepada Rasulullah saw, maka tahun itu dinamakan “Am-ala-Huzni”. atau “Tahun Kesedihan”.
Dwmikanlah secebis riwayat ringkas yang dapat saya papar
tentang Khadijah, isteri Nabi yang amat besar jasanya kepada Nabi saw dan
perjuangan menegakkan Islam.
Justeru amatlah wajar kepada setiap lapisan wanita Islam,
baik dia seorang gadis, seorang wanita bujang, wanita bekerja atau tidak, surirumah atau tidak
mengambil Khadijah yang mulia tingkah lakunya ini sebagai idola mereka. Beliau
seorang wanita agung berjiwa besar yang mempunyai peranan yang agung dalam
sejarah perkembangan agama Islam yang namanya semerbak wangi akan terus berkekalan
hidup sepanjang zaman.
Sekian.
Pondok Rahmat
6 Jun 2020/
14 Syawal 1441
0 comments:
Post a Comment