ALAHAI SITI RAHMAH

>> Monday, November 21, 2016






ALAHAI SITI RAHMAH





                           Rahmah bersama atoknya


Generasi-generasi kita yang baru lalu biasanya memilih nama-nama yang tertentu untuk anak-anak mereka yang baru lahir, baik untuk anak-anak lelaki ataupun anak-anak perempuan, iaitu nama-nama yang difikir baik dan mudah pada sebutannya.


Antara nama-nama nama anak perempuan ialah yang populer di kalangan orang-orang kedesaan ialah RAHMAH. Orang Kelantan menyebutnya “Romah” atau “Cik Romah” supaya kedengaran lebih bersopan. Di kampung saya dulu ada beberapa wantia dan gadis yang bernama Rahmah, ada di antaranya masih lagi hidup sampai sekarang.


Sebaliknya pula untuk nama-nama  anak-anak lelaki dipilihnya nama Rahmat. Tapi seingat-ingat saya di kampung saya, sampai sekarang masih belum ada orang lelaki yang bernama Rahmat, walaupun yang perempuannya ada beberapa orang bernama Rahmah.


Kenapa nama Rahmah menjadi pilihan?


Saya terpanggil untuk meninjau sedikit nama Rahmah, bila cucuanda saya “Angah” disarankan menukar namanya kepada nama tersebut, dan telah dipersetujui oleh beliau dan keluarga. Tapi bila pertukaran itu diangkat ke Jabatan Pendaftaran Negara dengan sokongan pihak berkuasa agama ianya telah ditolak. Namun begitu nama panggilan biasanya tetap Rahmah, walaupun nama kad pengenalan tidak berubah. Semoga nama Rahmah akan membawa lebih keberkatan.


Kenapakah nama Rahmah menjadi pilihan. Adakah ia hanya secara kebetulan yang diambil daripada perkataan Arab atau ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik nama itu?


Apa ada pada nama?


Sejauh yang saya ketahui, dan seterusnya saya kutip dan kumpul di sini secara ringkas untuk dikongsi bersama mengenai nama Rahmah. Semoga memberi manfaat jua.


Rahmah ialah nama salah seorang wanita yang agung dalam sejarah kemanusiaan, yang tidak mungkin akan dilupai oleh sesiapa yang mengetahuinya, kerana peranannya begitu besar sebagai seorang insan yang mulia hati dan jiwanya.


Mengikut riwayat Rahmah yang dimaksudkan ialah isteri kepada Nabi Ayyub as. Yang begitu besar mendapat ujian dari Allah untuk menguji keperkasaan iman Ayyub menerusi Iblis yang mendapat keizinan-Nya.


Beliau menderita penyakit yang terlalu kronik yang mengikut kebiasaannya tidak ada harapan lagi untuk sembuh, menghadapi acaman kebuluran, di samping itu semua empat belas orang anak-anaknya telah mati dalam kemalangan yang dicetuskan oleh Iblis untuk menjalankan misi jahatnya merosakkan keimanan Ayyub kepada Allah. Namun Ayyub tidak berdegis, tidak  berganjak sedikit pun dari keimanannya yang utuh  kepada Allah SWT.


Seluruh jasad Ayyub, dari kepala sampai ke kaki dinaiki  kudis yang bernanah dan berulat. Amat menakut dan menjijikkan.


Justeru itu semua saudara maranya tidak lagi sudi menghampirinya, malah mereka menjauhkan diri darinya dengan penuh kejijikan dan kebencian.


Pada waktu itu Ayyub mempunyai tiga orang isteri. Akibat penyakit yang dieritanya itu dua daripada isterinya itu minta diceraikan, dan Ayyub memenuhi permohonan mereka.


Seorang isteri lagi yang berhati mulia, namanya Rahmah tidak minta diceraikan, malah tetap setia bersama Ayyub. Beliaulah yang merawat dan melayan Ayyub sepanjang beliau menderita kesakitaan yang sesetengah riwayat mengatakan selama lapan belas tahun lamanya.


Orang-orang tempatan pula kerana terlalu bencikan Ayyub dan gentar penyakit Ayyub itu akan menular kepada anak-anak mereka lalu meminta isterinya Rahmah membawa Ayyub segera meninggalkan tempat itu.


Kata mereka kalau Rahmah tidak segera membawa Ayyub pergi mereka akan beraramai-ramai mengusirnya dari situ.


Rahmah isteri yang setia itu tidak ada pilihan lagi, lalu mengkendung suami atas punggungnya sambil menangis lalu segera meninggalkan tempat tinggalnya itu dengan hati berkecai penuh kepiluan dan genangan air mata yang mencurah keluar.


Dalam pelarian yang penuh dengan keharuan itu, mereka bertemu dengan sebuah  bangunan runtuh yang telah digunakan oleh penduduk sebagai tempat pembuangan sampah. Tanpa pilihan Rahmah meletakkan suaminya atas timbunan sampah-sampah itu untuk berhenti.


Tapi orang ramai yang melihat mereka berdua berada di situ mereka sangat marah, dan memaksa Rahmah supaya segera membawa Ayyub berhambus dari situ.


“Kalau kamu tidak segera membawanya pergi, kami akan lepaskan anjing-anjing kami untuk memakan suamimu itu”, Ancaman keras mereka.


Mahu tidak mahu Rahmh segera mengkendung suaminya dan berlalu dari situ dengan isak dan tangis yang berpanjangan mengenangkan nasib yang menimpa mereka.


Bila sampai di suatu persimpangan jalan, Rahmah berhenti, kemudian beliau membina sebuah rumah dari kayu untuk tempat tinggal mereka. Beliau mengambil batu-batu untuk dijadikan semacam kerusi tempat suaminya bersandar, dan mengutip sejenis dulang yang digunakan untuk makan hewan ternakan  untuk kegunaan mereka.


Rahmah pergi ke seluruh kampung mencari pekerjaan dan akhirnya bekerja sebagai pemotong roti untuk menampung makan suaminya yang tidak berdaya langsung lagi itu.


Tapi bila orang-orang kampung itu mengetahui beliau adalah isteri kepada Ayyub mereka enggan lagi memberi bantuan kepadanya dan menghalau dia pergi, dan tukang roti juga enggan mengambilnya bekerja lagi.


Rahmah yang berhati kemanusiaan itu, lalu pergi berjumpa dengan isteri tukang roti, dan merayu berhutang sedikit roti untuk diberi makan kepada suaminya Ayyub yang sedang kelaparan itu.


Pada mula-mulanya, wanita, isteri tukang roti itu menghalau Rahmah daripada mendekatiunya, kerana takut dilihatt oleh suaminya dan dia dimarahi nanti.


Tapi kemudiannya, dia menukar fikiran, bila melihat jalinan-jalian rambut yang cantik yang terdapat di kepala Rahmah. Dia meminta Rahmah memotong satu daripada ikatan jalinan rambutnya itu untuk ditukarkan dengan roti.

Rahmah mempunyai dua belas jalinan rambut yang cantik di atas kepalanya, dan rambut itu panjang sampai meleret ke tanah. Dan ini menambahkan lagi kecantikan wajahnya yang memang sedia cantik itu, yang diwarisi dari kecantikan turunan Nabi Yusof as. Dan Ayyub sangat sukakan jalinan-jalinan rambut isterinya yang begitu menawan itu.


Rahmah tanpa berfikir panjang, lalu menggunting semua jalinan rambutnya, dan menukarnya dengan empat buku roti untuk diberi makan kepada suaminya.


Bila melihat roti yang dibawa oleh isterinya dan kepalanya telah gondol dari jalinan-jalinannya yang cantik itu,  lalu timbul salah sangka dan marah kepada isterinya yang setia itu. Beliau lalu terlanjur bersumpah akan merotan isterinya seratus kali bila beliau sihat nanti.


Setelah mengetahui keadaan yang sebenarnya sebagaimana diberitahu oleh isterinya, beliau menangis kesedihan kerana terlanjur melepas sumpah ke atas isterinya yang begitu perihatin terhdap nasibnya itu.


Bila Ayyub benar-benar sembuh dari penyakitnya itu beliau amat keberatan untuk menunaikan sumpah merotan seratus kali isterinya yang amat pengasih, penyayang dan setia itu.

Maka Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang membuka jalan keluar kepada hamba-Nya yang beriman. Allah berfirman dalam al-Quran, “Dan ambillah seikat [rumput]  dengan tanganmu, lalu pukullah dengan itu, dan janganlah engkau melanggar sumpahmu.Sesungguhnya Kami dapati dia [Ayyub] seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sungguh dia sangat taat [kepada Allah]”- Shad 44.


Sementara itu isterinya memujuk Ayyub supaya tidak bersedih kerana rambutnya itu pasti akan tumbuh lagi dengan lebih baik.


Rahmah lalu duduk di sisi Ayyub, memotong roti itu dan menyuapi suaminya dengan penuh kasih sayang.


Demikian wanita yang bernama Rahmah ini menjaga suaminya selama berbelas-belas tahun sehingga beliau sembuh kembali dengan izin Allah SWT.


Demikianlah Rahmah, seorang wanita yang begitu agung kemanusiaannya dalam seluruh sejarah kemanusiaan.


Dalam keadaan suaminyha menderita kesakitan Rahmah menegaskan, “Jangan kanda bimbang, adikanda tidak akan meninggalkan kanda selagi hayat dikandung badan”.


Adakah wanita-wanita seperti ini mulia hatinya? Mungkin ada di mana-mana, tapi kita tidak menyedari atau mengetahuinya kerana kesibukan diri sendiri.



Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP