KG.APAM DI PASIR MAS DAN HUBUNGANYA DENGAN SURAKARTA DI JAWA

>> Sunday, September 6, 2015



KG. APAM DI PASIR MAS, DAN HUBUNGANNYA DENGAN SURAKARTA DI JAWA


Dalam isu lepas kita membicarakan tentang Tok Uban di Pasir Mas Kelantan, dengan Tuban di Jawa Timur petikan  dari hasil kajian Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi.



Engku Cik Tuan Mahmud ahli kelurga Raden Panji dengan barang-barang peninggalan Raden Panji. Gambar dirakam tahun 1960an.


Untuk isu ini kita teruskan pembicaraan oleh beliau juga tentang sebuah kampung berdekatan dengan Kg. Tok Uban, iaitu Kampung Apam yang banyak pertalian dengan Surakarta di Jawa Tengah, Indonesia.


Kampung Apam ini terletak dalam arus Sungai Tok Uban-Lubok Jong. Di Kampung Apam ini kata beliau terdapat sebuah cerita rakyat mengenai  Raden Panji. Menurut cerita tersebut Raden Panji berasal dari Surakarta, Jawa Tengah. Beliau dianggar  datang ke Kelantan dalam  zaman pemerintahan Long Yunus 1756 M [1176H].


Ada dua kemungkinan kenapa beliau datang ke sini. Pertama mungkin kerana semata-mata untuk berwasata dan kedua  mungkin kerana perlarian, kerana dalam abad 18 itu penjajah Belanda membuat tekanan hebat ke atas rakyat di Pulau Jawa dengan tanaman paksa [cultural system].


Menurut ceritanya, Raden Panji pernah menjadi imam di Kampung Apam, dan pernah membina sebuah surau yang rekabentuknya seperti  Masjid Kampung Laut. Surau itu telah terbakar, dan dibangun semula oleh anak-anak cucunya. Tapak surau itu masih dapat dilihat sampai sekarang di Kampung Apam..


Radem Panji membawa bersamanya beberapa bahan penting dari Jawa. Bahan-bahan itu masih disimpan oleh anak cucunya  sampai sekarang. Barang-barang itu berupa batu penggiling yang digunakan untuk menggiling ubat-ubat tradisi dan batu nisan yang dibawa oleh beliau dari Jawa sebagai cadangan untuk diletak di atas makam beliau sendiri dan juga isterinya. 


Beliau juga membawa sepohon gayam, yang sehingga ke hari ini masih subur tumbuh di Kampung Apam. Pohon gayam banyak ditanam di Jawa Tengah dan boleh hidup sempai beratus-ratus tahun. Daunnya boleh dijadikan ubat dan buahnya boleh dijadikan makanan. Pohon ini ada kaitan dengan kepercayaan ghaib di Jawa.


Raden Panji telah berjaya menysun petak-petak kuburan berdasarkan kepada susunan makam di Jawa Tengah, iaitu di bahagikan kepada petak-petak tertentu  bagi kampung-kampung tertentu di sekitarnya. Tujuannya ialah untuk memudahkan pihak  kampung tersebut mengenal petak masing-masing, menajga kebersihan dan merawat kuburan kampung mereka. Ia juga untuk memudahkan ahli waris dari kampung-kampung tertentu menziarahi  makam keluarga masing-masing. Makam keluarga baku [induk] terletak di tengah-tenghnya.



                      Engku Cik di samping makam Raden Panji  

Bahan-bahan lain peninggalan Raden Panji pada anak-anak cucunya ialah sebilah keris Lok, sebilah keris panjang anak alang, sebilah lembing, sebuah al-Quran tulisan tangan, sebuah reha songket, satu rangkap  wayang kuit Melayu Panji.


Ada beberapa peninggalan Raden Panji pada anak-anak cucunya yang menjadi ciri adanya pertalian hubungan kekerabatan mereka dan sekaligus pertalian hubungan Kampung Apam, Kelantan-Jawa, khusunya Apam-Surakarta berupa Jampi Hala [Harimau Hala] yang berbunyi:

Doho, Kuripan, Gegelang Singhasari,

Raden Sundang, Raden Panji, Raden Kertapati, Raden Inukartasih

Mak Sarjan, Sarjan Kilat sarajalawangi.

Di samping itu ada jampi laing berbunyi:
            
 Sang Sinuhun Wong Agong Betara Guru

Ya Semar, ya Sembong Semar keluar
            
 Zaman Nenek Maha Tenggara macam seroja
            
 Chang bercang atas anak cucu cicit Semar Wong
            
 Pada waktu ketika itu
            
 Minta semar turun dari dalam dunia
            
 Bumi lemah, tanah ratu marcapura alang dunia
            
 Sebak bapak dalang ada loghat ada gaduh
            
 Hendak minta lepas dari segala
            
 Kuwung cendeng badi
            
 Bala seroka atas sifat Muhammad, pada Idris
            
 Lepas seorang lepas semua
            
 Lepas sekali bawa besar Semar
            
 Galuh, Inu, Turas.


Jampi seperti ini tidak khusus terdapat pada keluarga Raden Panji ini, tetapi terdapat pada orang-orang tertentu, terutama dalang dan bomoh di Kelantan. Fakta ini semua menandakan  bahawa di daerah Tok Uban dan Apam ini penting untuk dikaji sejarahnya kembali.


Demikianlah sekelumit catatan Drs. Abdul Rahmad Al-Ahmadi mengenai artifek-artifek penting di Tok Uban dan Apam di Kota Bharu Kelantan sebagaimana terdapat dalam kertaskerja beliau di Seminar Arkeologi Malaysia Dengan Tumpuan Khusus Kepada Negeri Kelantan pada 22 hingga 24 Ogos, 1986.


Lorong Masjid Al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput,
PT.KB. Kelantan Darulnaim.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP