Pengasas Mazhab Hanafi Dengan Roti Canai

>> Thursday, April 9, 2015





PENGASAS MAZHAB HANAFI DENGAN ROTI CANAI



Kapal terbang dari Kota Baru mendarat di Subang kira-kira pukul sebelas malam semalam. Dalam perjalanan ke Saujana, Sungai Buloh, kami singgah di sebuah restoran Mamak untuk menikmati sedikit makanan.


                                         Roti Canai

Seperti biasa walaupun sudah pukul dua belas, pengunjung-pengunjung masih ramai, termasuk lelaki dan perempuan, tua dan muda, malah kanak-kanak juga masih ada sedang menikmati makanan di situ bersama-sama dengan orang-orang tua mereka.


Meja-meja yang diatur di tempat awam di luar restoran pun tidak kurang dengan pengunjug, yang asik berborak-borak dengan aneka nada suara, ada degan suara yang tinggi dan ada pula dengan suara yang rendah.


Kami hendak makan capati, tapi telah habis, lalu kami minta dua keping roti canai kosong dengan kuah kacang dhal. Segelas air suam dan segelas kopi.

Ketika sedang makan roti canai itu tiba-tiba memori saya teringatkan kepada kisah seorang ulama yang terkenal, Abu Hanifah dengan kisah roti canainya yang baru sahaja saya baca.


Kisah ini diceritakan sendiri oleh Abu Hanifah, Pengasas Mazhab Hanaf itui, kepada kawan-kawannya.


ROTI CANAI ABU HANIFAH


Pada suatu hari beliau keluar mencari air, dan seorang lelaki datang menemuinya dengan membawa sebuah kantung yang  penuh berisi dengan air.


Lelaki itu ingin menjual airnya itu kepada Abu Hanifah dan mendesak beliau supaya membayar harganya lima dirham. Justeru mahu tidak mahu beliau terpaksa membelinya dengan harga yang ditawarkan oleh lelaki tersebut.


Kemudian Abu Hanifah menawarkan lelaki itu memakan roti canai yang dibawanya. Roti canai itu banyak minyak.


Lelaki itupun makan dengan lahapnya, sehingga semuanya habis disantal.


Kemudian dia merasa dahaga, lalu meminta Abu Hanifah memberikan kepadanya sedikit air.


Abu Hanifah berkata, dia boleh memberikan segelas air pada lelaki itu sekiranya dia sanggup membayarnya dengan harga lima dirham.


Oleh sebab dia amat dahaga, lelaki itupun lalu membayar apa yang diminta oleh Abu Hanifah itu.


Maka dengan itu Abu Hanifah mendapat kembali wangnya sebanyak lima dirham, air yang masih berbaki dan juga kantung kulit itu.


Saya tersenyum-senyum sendirian mengingat peristiwa itu, ketika melihat sekeping roti canai dan segelas air terhidang di meja di hadapan saya.


Nota Kaki:


Abu Hanifah ialah seorang ulama yang terkenal, iaitu Pengasas Mazhab Hanafi, salah satu daripada beberapa mazhab yang termasyur dalam Islam.


Nama sebenarnya, Nukman bin Thabit bin Zuta, keturunan Parsi, lahir pada 80 Hijriah [5 September 699 Masihi], di Kampung Anbar, Kufah, Iraq, dalam zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan.


Ada beberapa sebab kenapa gelaran Abu Hanifah itu diberikan kepadanya:


-Kerana beliau selalu membawa dakwat bersama denganya ke mana sahaja beliau pergi. Tujuannya ialah untuk mencatat segala ilmu yang dipelajarinya.


-Kerana seorang daripada anaknya bernama Hanifah.


-dan kerana beliau seorang yang cenderung kepada agama, sebagimana makna yang terkandung dalam erti perkataan “Hanifah” itu.


Beliau pernah ditawar jawatan dalam kerajaan oleh pihak berkuasa, tapi ditolak oleh beliau, kerana bimbang beliau akan diperalatkan oleh khalifah untuk kepentingannya.


Beliau meninggal dunia pada tahun 150 Hijriah, [14 Jun 767 Masihi] dalam usia 70 tahun, ketika berada dalam penjara, dan dikebumikan di Baghdad. Di kawasan pusara beliau telah didirikan sebuah masjid, iaitu Masjid Abu Hanifah.


Beliau diberikan nama jolokan yang  istimewa: iaitu “Imam segala Imam”.



Jalan Teratai, Saujana,
Sungai Buloh, Selangor.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP