ILMU KEBAL SAREK

>> Sunday, January 19, 2014





ILMU KEBAL SAREK

Dalam ilmu tradisional, kebal ertinya ilmu yang dipercayai boleh menyebabkan pengamalnya tidak lut atau tidak mampan dimakan senjata tajam atau peluru senjata api. Walaupun terkena tebas dengan golok yang tajam kulitnya tidak tergoris atau ditembak dengan senjata api,  pelurunya juga tidak mampu mengoyak kulitnya, apa lagi membunuhnya,



Pak Cu Leh

ri beramal
Cara mengamal ilmu kebal mungkin berbeza-beza. Walau bagaimana pun kebanyakannya syirik, kerana menggunakan bahan-bahan yang kotor dan juga menggunakan jin dan syaitan sebagai teman melalui jampi mentera dan sebagainya. 

Seorang lelaki baru-baru ini dilaporkan mengaku dirinya seorang pengamal ilmu kebal. Selain daripada beramal, dia juga tidak terpaksa patuh kepada  pantang larang yang tidak boleh dilanggar untuk menjaga keampuhan ilmu yang dipelajari. Semuanya menuju ke arah kesyirikan. Serentak dengan itu mentera-mentera tertentu juga perlu dibaca untuk memanggil dan memohon kerjasama dengan jin-jin. Amalan ritual itu perlu dilakukan selama empat hari berturut-turut.

Dia terpaksa akur dengan beberapa pantang larang, di antaranya yang paling berat sekali ialah dia tidak boleh solat dan mengucap dua kalimah syahdah sepanjang hayatnya mengamal ilmu songsang itu.

Satu cara amalan lagi ialah nampaknya ringan sedikit. Namun begitu ia juga melibatkan penggunaan tahi selepas berak. Ia nampak ringan kerana tidak menggunakan tahi secara langsung, tapi hanya menggunakan wap tahi itu selepas pengamalnya berak

Setiap kali selepas berak, pengamalnya mestilah mengambil wap najisnya itu dengan kedua belah tangannya dan menyapunya ke sekujur tubuhnya. Amalan itu mestilah dilakukan sepanjang hayat untuk mendapat kekebalan itu.

Perkara ini pernah diceritakan oleh, ayahanda saya Allahyarham Saleh bin Hj. Mohammed, seorang pengamal perubatan alternatif yang terkenal pada masa tersebut. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Pak Cu Leh. Katanya dalam masyarakat lama Kelantan ilmu kebal ini dikenali dengan nama ilmu Kebal Sarek. Katanya lagi dia memang kenal dengan seorang penduduk kampung yang mengamal ilmu kebal sarek itu. Tapi tidak pula diceritakan bagaimana kehidupan pengamalnya itu, dan saya pun tidak pula bertanya mengenainya. Tapi beliau memberitahu ada orang yang mengetahui petua bagaimana hendak menjadikan orang yang kebal itu tidak kebal dan lut dimakan senjata. Ilmu kebalnya tawar.

Sebagaimana  biasa beliau selalu menasihati kami supaya tidak mempelajari sebarang ilmu yang meragukan dan bertentangan dengan agama. Yang pentingnya baikkan perangai dan budi pekerti diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan mulia. Itu sudah mencuupi ketanya. Insya-Allah selamat.

Kata beliau, pantangnya berat juga. Tidak boleh mandi sepanjang hayat. Walau pun pengamalnya berjunub atau berhadas besar. Kalau mandi ilmu tidak menjadi. Tidak ada kebal.

Oleh itu bila tidak boleh mandi, macam mana ibadat solat hendak dikerjakan? Takkan sepanjang hayat, tidak berhadas besar, lebih-lebih lagi kaum wanita? Sedangkan orang yang berada dalam keadaan berhadas besar haram untuk bersolat.

Namun begitu, ilmu mestik seperti itu, biasanya diamal oleh kaum lelaki. Tidak orang perempuan. Kerana kaum wanita tidak memerlukan kegagagahan atau keperkasaan untuk dijadikan daya penarik. Mereka memerlukan kecantikan, keindahan tubuh badan yang menggiurkan. Oleh itu mereka lebih berminat kepada ilmu kecantikan dan ilmu pemanis daripada ilmu kebal.

Pengamal ilmu kebal sarek ini dipercayai tidak lut atau tidak dimakan oleh senjata tajam. Baik besi atau senjata api. Parang dan golok tidak mampu melukainya. Demikian juga peluru senjata api pun dikatakan tidak sanggup merobek kulitnya.

Orang-orang yang bercita-cita untuk menjadi kebal ini sanggup menghabiskan bukan sahaja masa, tapi juga wang ringgit, mungkin ribuan untuk memiliki ilmu kebal itu. 

Baru-baru ini dilaporkan seorang lalaki warga emas telah terpedaya kerana membeli batu permata yang berharga ribuan ringgit untuk menjadikannya seorang yang kebal. Batu-batu itu hendaklah dimasukkan ke dalam kolam dan airnya hendaklah digunakan untuk mandi dengan cara tertentu. Tapi setelah mengamalnya selama beberapa bulan dia menyedari nahawa dia telah tertipu, kerana rambutnya terputus bila dipotong dan kulitnya luka bila ditoris dengan pisau.

Tapi kepada saya, andainya ada pengamal ilmu kebal sarek atau apa-apa pun meminta saya menebas lehernya dengan golok untuk membuktikan kekebalannya sudah tentu saya menolak. Mana tahu, bila saya menebas lehernya, kepalanya akan terputus dan badannya akan jatuh terlentang.

Apa akan jadi? Saya pasti akan ditangkap oleh pehak berkuasa dan diseret ke mahkamah serta didakwa atas tuduhan membunuh. Dan jika sabit kesalahan hukuman bunuh akan dijatuhkan ke atasi si pembunuh. Di samping itu adakah saya akan terlepas dari dakwaan di Akhirat nanti atas  tuduhan bertindak membunuh orang secara bodoh seperti itu?

Tindakan negara jiran?

Pada suatu ketika dahulu ramai orang-orang Melayu di negara jiran memiliki ilmu kebal. Waktu itu keadaan di sana tidak stabil. Pembunuhan sering berlaku dari masa ke masa. Pasukan-pasukan tentera sering bertelagah dengan penduduk tempatan yang menerima layanan yang buruk. Justeru persengketaan sering tercetus yang mengorbankan jiwa.

Untuk mempertahankan diri, penduduk-penduduk tempatan memanggul senjata dan sebagai pemantapan mempelajari ilmu kebal. Dengan itu ramai daripada mereka menjadi kebal. Tapi tidaklah pasti bagaimana caranya mereka belajar ilmu kebal. Saya tidak menuduh mereka belajar kebal secara songsang, atau syirik. Tapi apa yang hendak saya ceritakan ialah bagaimana tindakan yang dilakukan oleh pehak pemerintah negara jiran untuk menghapuskan mereka yang kebal itu?

Setelah memastikan mereka kebal, maka pehak tentera pun akan menangkap mereka. Lalu kaki dan tangan mereka diikat, dan dimasukkan ke dalam guni, kemudian guni itu dilempar ke dalam sungai atau laut. Mangsa itu walaupun kebal, tapi mati juga kerana kelemasan. 

Ataupun mereka memasukkan guni yang berisi manusia kebal yang masih hidup itu ke dalam lubang yang digali, dan kemudian lubang itu ditimbus. Mangsanya walaupun tidak lut di mamah senjata atau peluru, tapi mereka mati juga kelemasan dalam bumi ditanam oleh pemerintah yang zalim.

Demikianlah nasib orang kebal, kalau tiba masanya, tidak mati di mata pedang atau di hujung tombak, atau ditembusi peluru, tapi tetap mati juga ditimbus bumi atau ditelan sungai dan laut. Atau juga di atas tikar atau tilam, di atas lantai atau di atas ranjang. Hanya Allah yang Maha Berkuasa.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP