ABDUL HADI MAHMUD, PENULIS DAN PENDAKWAH

>> Sunday, January 26, 2014







ABDUL HADI MAHMUD, MENULIS DAN BERDAKWAH


Jika kita membariskan nama-nama penulis-penulis Kelantan, nama Abdul Hadi Mahmud adalah salah seorang daripadanya yang tidak wajar dilupakan.

Beliau adalah seorang rencanawan yang banyak menulis artikel-artikel dalam berbagai-bagai media tanah air, khususnya mengenai agama, falsafah dan kesusasteraan.

Selain itu beliau pernah menulis puisi, malah saya jangka tulisan pertama beliau yang disiarkan oleh media ialah dalam bentuk puisi. Beliau pernah memaklumkan beliau sedang mengumpul puisi-puisi beliau untuk diantologi dan diterbitkan.

Salah sebuah daripada puisi beliau itu pernah diterbitkan dalam MINGGUAN KOTA BHARU dan di siarkan kembali dalam SETANGGI KOTA BHARU dalam Blog Pondokrahmat baru-baru ini. Saya tidak pasti mungkin ada satu dua lagi puisi beliau yang masih belum saya temui.

Beliau mulai menulis puisi sejak tahun 1958, tapi baru mendapat tempat penyiaran pada tahun 1963 dalam MUTIARA dan WARTA MINGGUAN. Sejak itu karya-karya beliau muncul dalam berbagai-bagai majalah dan akhbar tanah air berupa artikel agama dan sastera. Beliau pernah menjadi penulis tetap kepada beberapa buah majalah tanah air.

Beliau dilahirkan pada 1943 di Kampung Seberang Pasir Mas Salor, Kota Bharu, Kelantan. Saya masih belum pasti adakah beliau merupakan salur galur daripada keluarga AL-AHMADI, Pasir Mas, di mana salah seorang daripadanya adalah merupakan penulis sejarah yang terkenal, ABDUL RAHMAH AL-AHMADI.

Mula-mula beliau belajar di Sekolah Melayu di Pasir Mas, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Maahad Muhammadi Kota Bharu, dan seterusnya menyambung pelajarannya di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan mendapat Ijizah Aliah [Ijazah Am] pada tahun 1971.

Dari sejak tahun 1971 lagi beliau telah terjun dalam bidang gerakan dakwah Islamiah di Kelantan dan dikurniakan tuliah oleh MAIK.[Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan].

Beliau pernah menjadi guru di Sekolah Adabi Pasir Mas Kelantan sebelum bertugas sebagai Pegawai Agama dengan Angkatan Tentera Malaysia [ATM].

Di samping menulis beliau terus bergiat dalam usaha-usaha dakwah. Pada tahun 1983 beliau telah diberi tauliah oleh JAWI untuk mengajar dan berdakwah di sekitar Wilayah Persekutuan, dan pernah menjadi pembimbing kursus haji anjuran Tabung Haji Kuala Lumpur di sekitar MINDEF, Kuala Lumpur.

Apa yang saya dimaklumkan sehingga tahun 199I beliau dikurniakan dengan sepuluh orang cahaya mata, empat orang dengan isterinya yang awal dan enam orang lagi cahaya mata dengan isterinya Ustazah Halipah Ismail.

Alamat terakhir beliau yang ada dalam simpanan saya ialah di KINRARA, Kuala Lumpur.

Seingat-ingat saya, saya pernah menemui beliau beberapa kali ketika beliau masih berada di Kelantan, termasuk di pejabat kami MINGGUAN KOTA BHARU. Tapi selepas beliau berpindah bertugas di Kuala Lumpur hubungan kami langsung terputus, kecuali melalui surat-surat kepilan beliau bersama-sama dengan rancana-rencana yang beliau kirim untuk siaran penerbitan yang saya dipertanggungjawabkan, seperti SINAR KELANTAN, FAJAR ISLAM dan lain-lainnya. 



Berkaitan:

HAFSAH MUHAMMAD
DENGAN MALAM GERSASNG



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP